Kembali Senyum
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 27 Februari 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)
2176

Bacaan






Cerpen Kembali Senyum

“ Maafkan Bie….Tapi selama ni Bie memang betul-betul cintakan sayang….”

“ Dasar lelaki lidah bercabang. Kalau awak cintakan saya, mesti awak akan setia. Tak adanya nak bermain cinta kat perempuan lain!” si perempuan mula naik suara membentak. Terlalu marah hingga tidak peduli lagi akan banyak mata yang sedang memandang di tempat terbuka sebegitu.

“ Dia yang goda Bie….”

“ Bertepuk tangan sebelah tak akan berbunyi….” Balas Kamilah sinis.

“ Mulai sekarang, hubungan kita putus. Jangan berani nak hubungi saya. Barang-barang yang saya pernah bagi tu takpe saya sedekah” sengaja Kamilah berkata begitu ditekan suara di hujung ayat kerana hatinya terlalu sakit. Hati rasa tertoreh. Sakit!

“ Kalau awak lelaki sejati, kahwinlah dengan dia. Bertanggungjawab! Berani buat, berani tanggung!” Kamilah terus berlalu usai berkata begitu tanpa berpaling memandang ke belakang.

*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*

“ Makanlah sikit Kam….” Pujuk Azra sambil menolak sepiring rojak sotong dekat dengan Kamilah yang hanya diam. Direnung hidangan yang ditolak Azra menghampirinya.

Setelah sebulan Kamilah putus dengan bekas kekasihnya Syahir, Azra mengajak untuk keluar bersama. Kebetulan sewaktu drama terlerainya cinta Kamilah, Azra turut berada di situ. Itu yang Azra rasa terpanggil untuk meluangkan masa. Baru hari ini berpeluang untuk bertemu.

“ Aku masih terasa sakit dia permainkan aku macam ni. Ingat bila dah habis belajar, ingatkan lepas setahun lebih kerja kami kahwin. Tapi jadi macam ni pula” luahan Kamilah disusuli dengan hembusan nafas berat.

Azra mendengar tanpa menyampuk. Memberi ruang Kamilah meluahkan rasa yang terbuku di dada. Bila Kamilah berhenti bercakap barulah dia bersuara.

“ Kita hanya merancang, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba….”

“ Jika akhirnya kamu tidak bersama dengan orang yang sering kau sebut dalam doamu, mungkin kamu akan dibersamakan dengan orang yang diam-diam sering menyebut namamu dalam doanya….Ni aku petik kata orang “ sambung Azra.

“ Masih ada yang sayang padamu~masih ada yang rindu padamu~usah dikesalkan dirimu~senyum-senyum selalu~” Azra menyumbang suara menyanyi pula bila Kamilah masih diam tidak berkutik. Penuh perasaan dia mendendangkan.

“ Lagu siapa tu…” berkerut dahi Kamilah cuba untuk mengingat-ingat kalau-kalau dia pernah mendengar. Pelik dan baru pernah didengar.

“ Lagu Noraniza Idris. Lagu raya, dah lama. Haha aku tak tau macamana aku boleh ingat…Aku pernah dengar waktu kecil je…”

“ Masih ada insan~ yang lebih menderita….Darimu…” Azra menyambung bait lirik yang diingati. Itu sajalah yang dia tau.

“ Haha itu sajalah yang aku tau bait lirik dia….” Azra gelak tanpa suara. Dalam banyak-banyak lagu raya, lagu dengan lirik sedih itu yang dia ingat.

“ Makanlah…please…” pujuk Azra. Dia juga mengambil sudu menyuap rojak ke mulut sendiri. Akhirnya Kamilah mengikut jua bila Azra menghulur satu sudu untuknya.

“ Nadiya ada bagitau aku…” Azra memandang Kamilah menanti cerita seterusnya.

“ Irfan kan kawan baik Syahir. Bila dah tau kami putus, baru dia buka mulut bagitau Nadiya yang selama ni Syahir tu dekat dengan aku sebab nak manfaatkan aku je. Supaya tugasan proposal, thesis, pembentangan semua tu aku tolong dia buat. Senang kerja dia…” Kamilah tunduk sambil mengunyah sotong yang baru masuk ke dalam mulut.

Terus Azra mengusap lengan rakan yang baru menjadi sahabatnya itu. Menyalur kekuatan. Pasti sakit dan bertambah luka di hati bila diri hanya dimanfaatkan tanpa sedar. Cinta palsu dan plastik yang diberi.

“ Sabar…Nasib baik kau tahu sekarang perangai dan kelakuan sebenar dia, putus sekarang sebelum kahwin. Kalau sampai kahwin mungkin perangai dia makin menjadi-jadi…” pujuk Azra.

“ Cinta tulus aku pada dia membuatkan aku buta, tak nampak yang aku dipergunakan macam tu” akui Kamilah akan kesalahan diri.

“ Dah selamat kahwin pun dia dengan perempuan yang dia dah rosakkan tu…Itupun kata Nadiya sebab campurtangan keluarga…Budak tingkatan empat. Sudahlah tak payah cakap pasal dia…Membazir air liur je…Tak berfaedah langsung” kali ini makin maju Kamilah menyuap makan. Gara-gara kecewa atau baru terbuka selera Azra tak tahu.

Sakit….sakit…..perit rasa di dada yang sedang dirasa Kamilah.

“ Kam…Tak apa kalau kau nak nangis atau sedih…Tapi tak boleh lama-lama. Di saat yang sama kena bina kekuatan untuk bangun bangkit kembali teruskan langkah”

“ Rasa kecewa tu macam air dalam gelas plastik ni. Cuba untuk buang rasa tu supaya ruang tu dapat diisi dengan hal lain, manfaatkan ruang. Isi almari ke, peti sejuk ke…” Kamilah mengukir senyum pahit mendengar gurauan Azra. Azra meneruskan menghirup air cincau minumannya.

“ Boleh pulak simpan almari dan peti sejuk dalam hati…” balas Kamilah. Hatinya tercuit. Terhibur dengan gurauan Azra.

“ Boleh je…Terpulang pada pemilik hati sendiri…Kalau kau nak letak gambar aku dengan bingkai cantik pun boleh…” selamba saja Azra mengusulkan. Raut wajah Kamilah langsung tidak berubah dengan lawak ciptaan Azra.

“ Hari Ahad ni kau lapang tak? Nak ajak kau teman aku pergi jogging…

“ Boleh juga. Pagi ke petang? ”

“ Tengoklah macamana. Hari Sabtu lagi kita bincang tetapkan masa…Aku kena mula dietlah Kam, badan aku dah mengembang bila dah lama tak turun padang ni...” jelas riak risau di wajah Azra.

“ Berapa kilo? Kalau setakat empat atau lima kilo kan masih normal lagi…Badan kau tu bukannya berisi sangat…” komen Kamilah. Realistik.

“ Memanglah…Ni dua kali ganda dari tekaan kau tu. Sepuluh kilo. Sepuluh beb!Kena berhempas pulas ni nak turunkan…

“ Kau teman aku eh. Partner in crime teman aku jogging, masuk gim…” Azra sengih lebar menampakkan semua gigi depannya yang tersusun cantik. Penuh berharap tawaran diterima Kamilah.

“ Tengoklah nanti…”

“ Alah janganlah jual mahal dengan aku…Tak perlu setiap hari ahad. Boleh lepas habis kerja ke…Sambil-sambil tu terisi juga masa kau…”

“ Iyalah…Insyaa Allah…ThanksAzra for being by my side now…” ucap Kamilah. Air matanya menitik. Segera disekanya dengan tisu. Bila ada yang sudi berada di sisi saat susah hati siapa yang tidak terharu.

“Aku tak nak bagi harapan palsu dan janji kosong, yang aku akan sentiasa ada di sisi kau. Tak tak….Aku tau aku tak akan dapat buat macam tu. Hatta keluarga kita sendiri pun tak dapat janji macam tu. Cuma Allah yang sentiasa ada. Aku cakap tak bermakna aku bagus. Aku pun masih dalam proses memperbaiki diri…” ucap Azra serius. Dia tidak mahu Kamilah terlalu menyanjung dirinya dan berharap dia akan setia di sisi setiap masa.

If it is not as what we expect, itu yang jadi salah satu sebab punca kita rasa kecewa” sambung Azra.

Setelah menerima pemberian telekung dari orang tidak dikenali suatu ketika dulu, Azra rasa terinspirasi untuk turut berbuat kebaikan dan membantu orang lain. Sebenarnya dia dan Kamilah hanya sekadar kawan biasa satu kuliah yang tidak rapat. Masing-masing ada kumpulan geng sendiri.

“ Hidup kita ni macam sebuah kembara di lautan. Ombak tu ujian. Quran pula macam sauh. Huda syifa dan rahmah iaitu petunjuk, penyembuh dan keberkatan. Quran manual hidup, satu kunci kejayaan dan sumber cahaya hidup kit di dunia, dalam kubur dan waktu kat padang mahsyar, terus ke syurga in syaa Allah~Jadi banyakkan mengadu pada Allah. Allah tidak akan meninggalkan kita sendiri. Allah sangat menyayangi kita lebih dari rasa kasih seorang ibu pada anaknya. Ini peringatan untuk kau dan aku sendiri…” panjang lebar Azra menjelaskan.

“ Ringkasnya, macamana kita nak rasa bahagia, tenang dan berjaya kalau kita jarang buka manual kita iaitu Quran” Kamilah membuat rumusan sendiri.

“ Al-Quran boleh…Penunjuk jalan…Sunnah rasul penerang peribadi…Aku baru sedar maksud lain penunjuk jalan tu GPRS lah…Supaya tak sesat dan tersasar dari jalan menuju ke syurga” luah Azra. Serius selama ni dia tak perasan cuma baru-baru ni dia sedar.

“ Terima kasih sahabat…” ucap Kamilah sambil memandang Azra. Tangan kanannya meraih tangan kanan Azra. Sungguh dia menghargai kehadiran Azra di sisi saat dia belajar menerima hakikat realiti episod cintanya yang disemai bertahun-tahun dengan Syahir berakhir.

“ Dah…Tak payah nak sentap. Lepas ni kita pergi shopping. Aku nak bagi hadiah persahabatan. Istimewa untuk kau…Hehe” usul Azra sebelum ketawa sendiri. Cuba membuai hati Kamilah.

*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*

Azra mengadu mengantuk gara-gara tidur lewat semalam. Namun dikuatkan hati masuk kerja dan meneruskan janji dengan Kamilah untuk turun padang trek selepas balik kerja.

“ Semalam aku tengok movieLaskar Pelangi. Menangis! Sedih. Cerita tu buat aku bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang. Betullah. Kita selalu merasakan diri kita susah. Tapi sebenarnya ada orang lain yang lebih susah dan menderita dari kita. Huhu” Azra mengenang kembali pengajaran yang dia kutip semalam.

“ Betul... Biasalah kita manusia ni ada saja kehendak. Bila dah dapat, masih nak lagi…” sambung Kamilah. Azra perasan wajah Kamilah ketat saja sejak dari tadi.

“ Kau dah terima kad jemputan Nadiya?” Kamilah senyum pahit. Irfan bakal suami Nadiya adalah sahabat Syahir. Dulu sewaktu zaman universiti, Kamilah, Syahir, Nadiya dan Irfan selalu keluar bersama berempat.

“ Ada…Kau nak datang ke nanti?” Azra faham kemelut perasaan Kamilah. Patutlah mukanya muram sejak tadi rupanya ada yang membelenggu fikirannya. Pasti luka dikecewakan masih terasa. Lagi pula bila datang ke sana pasti ramai orang yang tahu hubungannya dengan Syahir hadir. Boleh jadi ada yang akan bertanya bila gilirannya dan Syahir menyusul ke jinjang pelamin. Paling tragis, kalau Syahir juga hadir dengan isterinya! Lagilah sakit…

“ Mestilah aku datang. Nanti kalau tak datang macam seolah-olah aku belum dapat terima perpisahan aku dengan lelaki tu. Terluka memanglah. Aku rasa terluka teruk tapi tak adanya aku nak meratap…Masih banyak lagi lelaki lain” berbaur emosi marah Kamilah menuturkan kata-katanya. Yang lalu biarkan berlalu, tutup buku lama dan buka buku baru. Itu yang dia sedang berusaha lakukan.

“ Bagus. Ini baru Kamilah. Perempuan super…”

“ Haha superman versi perempuan eh?”

“ Tak perlu sedih. Allah jauhkan Syahir tu dari kau sebab Allah nak bagi kau lelaki yang jauh lebih baik untuk kau. Sama ada tahun ni, tahun depan, dua tahun depan…Allah ‘alam. Allah lebih tahu” pujuk Azra.

“ Superwoman untuk lelaki yang super juga. Bagai cincin dengan permata, bagai pinang dibelah dua…Sepadan” ulas Azra menyambung pujukan mengubati hati si sahabat.

“ Kita pergi bersamalah nanti ke majlis Nadya tu…” usul Kamilah.

“ Betul ni? Manalah tau kau nak sewa mana-mana lelaki hensem menyamar jadi tunang atau kekasih…” duga Azra. Itukan benda klise dalam drama. Manalah tahu kalau sahabatnya itu turut membuat perkara yang sama.

“ Orang lain mungkin akan buat macam tu tapi aku tak. Buat apa nak buat macam tu. Aku dah taubat nak keluar berdua dengan mana-mana lelaki bukan mahram…”

“ Kalau macam tu, kau ajak abang kau” ringan saja usulan itu meluncur dari bibir Azra. Spontan terfikir dan cakap terus.

“ Ni kau sebenarnya nak ajak dia keluar teman ke? Aku okey je…Dengan senang hati aku restu kalau kau jadi kakak ipar aku. Balik rumah nanti aku bagitau kat dia kau nak minta teman majlis Nadiya tu. Mesti dia boleh kosongkan jadual terus…” bersemangat Kamilah cuba untuk memadankan abangnya dengan Azra.

“ Haip! Apa ni…Aku saran untuk kau je tadi. Bukan aku nak ajak dia…” Azra merengus.

“ Azra….” Panggil Kamilah sambil memandang wajah Azra. Terus Azra mengangkat kening menanti apa yang akan diutarakan Kamilah. TIba-tiba je lembut suara Kamilah memanggil. Azra curiga.

“ Kalaulah satu hari nanti abang aku minta nombor telefon kau kat aku. Boleh aku kasi?...Ini kalau….Belum jadi lagi” Sambung Kamilah. Matanya tidak lepas memandang reaksi Azra.

“ Nak buat apa? Bukannya kenal….” Balas Azra tenang. Dah agak ada udang disebalik batu di sebalik panggilan lembut Kamilah tadi.

“ Tak payah…Tak ada urusan nak buat macam tu… ” sambung Azra sambil menukar posisi duduk agar lebih selesa.

“ Abang aku macam syok kat kau Azra. Dia selalu tengok bila kau datang singgah ke rumah…Walaupun tak renung, tapi dari cara dia tengok kau tu macam ada sesuatu” Kamilah membuka cerita perilaku abang sendiri. Kalau jadi lagilah dia suka Azra jadi kakak iparnya.

“ Kalau macam tu, lepas ni aku singgah kat rumah kau. Kita jumpa kat luar je...” usul Azra.

“ Ala… Janganlah macam tu…. Nanti aku yang sunyi tak ada kawan…” adu Kamilah.

“ Boleh je kita jumpa kat luar….Lagipun, abang kau tu mungkin rabun tak pakai cermin mata dia, iyalah muka biasa-biasa macam ni dia nak pandang... Lainlah muka comel korea yang nyanyi gwiyomi tu…” Azra mencebik. Dia realistik berpijak di bumi yang nyata. Sedar diri badan macam kayu dan paras tak cantik. Kalau melembutkan badan ataupun menari memang dia tak boleh.

Tiba-tiba berderai ketawa Kamilah. Gelak besar bila terbayang kalau Azra buat gwiyomi dengan muka yang selalu tak berperasaan dan badan keras. Sangat lucu.

Mata Azra terbeliak. Tak sangka Kamilah akan ketawa besar macam tu. Terus dia mengambil gambar mengabadikan momen indah. Dia senyum dan rasa lega. Sudah lama tidak melihat Kamilah seceria itu. Bukan marah yang dirasa tapi hati rasa senang berbunga-bunga.

“ Cantiknya kau Kam.... Dah lama aku tak tengok kau senyum sampai mata pun senyum macam ni… Lega hati aku bila kau dah boleh senyum dan ketawa macam ni…” terpancar riak lega di wajah Azra. Tangan kanannya menggosok mata yang bergenang air mata. Sebak.

Terus Kamilah berhenti ketawa. Tak sangka insan bernama Azra ni sensitif tentang orang lain sampai tahap macam ni.

“ Aku terbayang kalau kau betul-betul buat gwiyomi tu…” Kamilah menyapu mata yang berair dek kerana ketawa.

“ Tengok…Kau pun gelak sama…Itu hakikat…Aku tak kecil hati pun…” ulas Azra.

“ Memang betul pun abang aku tak pakai kaca mata tapi aku berani jamin mata dia terang tak rabun. Polis kan terlatih cekap dan peka. Lagipun dia tak pandang kau dengan mata fizikal”

“ Dahtu? Mata apa? Mata kucing?” makin Kamilah bantai gelak bila Azra memintas.

“ Dia kata…,Ni betul dia sendiri yang cakap bukan aku reka tau. Dia kata, aura positif kau memancar keluar di muka walaupun dia tak pernah dengar kau bercakap atau tengok dekat…”

“ Ada-ada je…” ringkas saja komen Azra. Dia mengambil mudah dan tidak menganggap itu satu pujian.

“ Abang aku kerja baju seragam. Inspektor polis...” Kamilah menaikkan saham profil abangnya.

“ Tak nak….Nanti jenuh aku kena soal siasat setiap hari…” tolak Azra.

“ Sejak bila kau jadi prejudis macam ni…don’t judge a book by its cover. Tak semua macam tu…” bidas Kamilah.

“ Memang kebiasaan polis macam tu kan…” tambah Azra masih dengan pendapatnya.

“Kalau bertugas memanglah selalu soal-siasat orang. Tapi ada juga masa rehat. Takkan waktu rehat, dengan keluarga dia nak buat macam tu setiap masa. Letihlah…Tapi kalau pun macamtu, dia sedang tunjukkan rasa prihatin dia, sikap ambil berat...cuba pandang sisi baik dulu….fikir positif, buat apa pesimis dan negatif…Kalau tak ambil berat dan perhatian, nanti dikata tak sayang pula…”

“ Setiap manusia ada perasaan. Ada cara tersendiri menzahirkan rasa cinta dan kasih sayang. Kalau betul dia jatuh cinta kat kau, kau tengoklah nanti macamana rupa dia jatuh cinta. Aku pun tak tahu macamana, nak bayangkan pun aku tak boleh agak” ucap Kamilah. Serasanya abangnya itu belum pernah angau kerana cinta.

Perbualan mereka terhenti seketika bila ada suara memberi salam di muka pintu. Abang Kamilah yang sedang mereka sebut yang balik. Arsyad Hakimi mengucap salam sebelum masuk. Azra menjawap di dalam hati. Kamilah pula terus mendekati si abang.

“ Apa tu bang?” tegur Kamilah merujuk pada plastik yang dijinjit di tangan abangnya.

“ Cucur udang rangup dan cendol…Hidang je terus cucur tu masih panas lagi. Bagi kawan Kam bawa balik sekali cendol tu…” usul Hakimi sambil menghulur plastik ke tangan adiknya.

“ Eh kau jangan balik dulu…Aku ke dapur kejap. Kau duduk je tak payah ikut…” Kamilah terus ke dapur usai meninggalkan pesan. Bukan ucapan berupa permintaan tapi arahan!

Azra pura-pura sibuk. Tidak selesa bila ditinggalkan begitu. Dia mengambil majalah di atas meja dan membelek isinya. Hakimi pula sedang membuka stokin di kaki. Hari itu dia hanya berpakaian biasa bukan pakaian seragam.

“ Kam kata Azra tinggal di pangsapuri jalan Kundang tu. Betul ke?” soalan Hakimi diiakan tanpa suara. Tak berpura-pura lelaki ni komen hati Azra. ‘Dah tau nama aku dari Kam terus tak tanya lagi kat empunya badan’.

“ Tinggal seorang?” juga angguk.

“ Bahaya awak tinggal seorang…Hati-hati….Kawasan tu makin selalu ada kes pecah rumah….” Pesan Hakimi.

“ Terima kasih atas nasihat tu…” balas Azra. Dalam hati sudah terbit rasa kurang senang bila abang inspektor sudah pesan-pesan begitu. Rasa terkongkong.

“ Saya ke dapur dulu nak teman Kam…” Azra bangkit dari duduknya bila Hakimi mengangguk. Langkah cepat diatur ke dapur. Dia sudah biasa bertandang jadi sudah tahu dimana.

“ Kau memang…Sengaja kan…” ucap Azra dengan dua kening bertaut sebaik Kamilah memandangnya senyum-senyum.

“ Tak adalah…Kan aku tengah siapkan makanan ni…Kita makan sama-sama. Dengan abang Kimi, mak dan ayah…” ucap Kamilah membela diri. Senyumannya masih tidak lekang terukir dari bibir.

“ Aku dah nak balik…” ucap Azra sambil menyuap sepotong cucur udang masuk ke dalam mulut. Kamilah sedang mengambil gelas untuk diletak ke dalam dulang.

“ Makanlah dulu dengan kami…” ajak Kamilah.

“ Tak apalah…Ni aku dah makan ni…” tolak Azra. Merajuk. Dia nak pergi cepat-cepat dari situ.

“ Nah ambil cendol ni…Kau sendiri dengar tadi abang Kimi bagi kau…” Kamilah menghulur satu kontena bulat berisi cendol untuk Azra bawa pulang.

Setelah bersalam dengan Kamilah, Azra terus ke muka pintu hendak pulang tapi tidak lama. Dia berpatah balik ke dapur. Bertemu Kamilah yang sudah mengangkat dulang ke meja makan.

“ Kenapa?” soal Kamilah hairan. Tadi bukan main Azra nak cepat pulang.

“ Ada kereta blok kereta aku…” lemah suara Azra. Dapat mengagak kereta siapa. Tadi waktu datang tadi tak ada.

“ Kereta abang Kimi lah tu. Marilah makan dulu…Mesti abang Kimi tengah mandi tu…”

“ Ambilkan kunci kereta dia, biar aku alih sendiri…” usul Azra. Salah sendiri parkir di halaman rumah. Selalunya bila bertandang, dia hanya parkir di luar tepi jalan.

“ Tak apa. Biar saya alih sendiri. Maaflah…” Hakimi muncul dengan kunci di tangan.

Sempat Azra menjeling Kamilah yang senyum-senyum mengusik tanpa suara. Azra membalas dengan membuat muka monyok.

“ Memandangkan kau dah kembali senyum, jadi lepasni aku akan jarang dah datang sini…” umum Azra pada Kamilah.

“ Alah janganlah macam tu…” Kamilah cuba memujuk. Azra melambaikan tangan sebelum membuntuti langkah Hakimi ke luar rumah.

“ Terima kasih untuk cendol tu…” sempat Azra bersuara sebelum Hakimi masuk ke dalam keretanya.

“ Kasih diterima…” abang dan adik sama je sengal detik hati Azra. Dikawal hati supaya tidak terus-terusan mengata. Nanti tak pasal-pasal hangus pahala amalan. Cendol di letak ke kerusi sebelah pemandu sebaik masuk ke dalam kereta. Hendak menolak pemberian cendol tu tadi nanti dikata sombong jadi dia terima sahaja dan bawa pulang.

~TAMAT~



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku