Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 2
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2068

Bacaan






“RAYYAN nak kahwin.” Pengumuman Aunty Hanani mengejutkan semua orang.

Aku melopong mendengar penjelasan ibu saudara sepupu aku itu sedangkan orang lain termasuklah keluarga Uncle Edmund sedang melonjak kegembiraan.

Comhgáirdeas! Comhgáirdeas!” jerit anak Uncle Edmund yang berusia lima belas tahun itu dengan ucapan tahniah.

Go raibh maith agat!” Rayyan pula tidak berhenti mengucapkan terima kasih kepada semua dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.

Akhirnya aku senyum. Jodoh Rayyan sudah tiba. Memang benar, setiap kali aku terdengar ada orang akan berkahwin, hati aku sedikit sebanyak akan rasa terhiris dan tersentap padahal tak patut langsung aku rasa begitu. Semuanya telah termaktub.

Jiwa aku sememangnya terlalu sensitif apabila terdengar tentang kebahagiaan orang lain yang akan menjejaki alam perkahwinan. Mungkin kerana dua tahun lagi aku bakal memasuki usia tiga puluh tahun.

“Jangan nak touching sangatlah!” Rayyan yang duduk di sebelah aku menyiku perlahan.

“Bila masanya aku touching?” Aku menjelirkan lidah sambil menjeling tajam.

Mug berisi penuh dengan air cokelat panas yang terletak di atas meja kopi itu aku ambil dan minum. Terasa mual di anak tekak. Mungkin sebab terkejut mendengar pengumuman yang tidak disangka ini.

“Kau kena sabar lagi Ju. InsyaALLAH, tak lama lagi tu adalah…” Rayyan menepuk perlahan bahu aku.

“Isk kau ni!” Aku menyikunya semula.

Macamlah aku frust sangat bila dia kahwin, kan? Nanti dah balik rumah mesti aku lupa terus pasal isu ini. Sekarang memanglah terasa sebab baru dengar berita.

“Sekejap. Ina pun ada benda nak bagitahu.”

Suara mama pula kedengaran di tengah-tengah kekecohan tersebut. Aku memandang mama yang masih nampak begitu muda walaupun sudah berusia lima puluh satu tahun.

We will be going back to Malaysia.” Akhirnya mama memberitahu mereka semua.

But whyZarina?” Isteri Uncle Edmund bertanya.

“Kawan Ina di sana buka syarikat penerbitan buku. Dia mahu Ina jadi share partner, sekaligus jadi ketua editor.” Mama menjelaskan keadaan.

Sebetulnya, aku kasihan dengan mama. Papa meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya sewaktu aku berumur tiga tahun. Selepas itu, mama kahwin lain tetapi jodohnya juga tidak panjang.

Ingatan aku kabur. Mungkin kerana aku masih kecil. Sejak itu, mama bekerja keras untuk menyara kehidupan kami berdua. Kedua ibu bapa mama sebelah Ireland pula memang telah lama tiada.

Kini, kami hanya mempunyai pertalian saudara mara sepupu yang masih lagi utuh dengan perhubungan kekeluargaan.

Aku bersyukur kerana kami masih lagi baik sehingga sekarang. Lagipun, keluarga arwah papa sangat jauh tinggal di Sarawak. Hanya sesekali kami dapat ke sana untuk menziarahi mereka.

“Eh, nanti kiranya masa aku balik Malaysia, kau dah ada sanalah, kan?” Rayyan tiba-tiba bertanya tatkala fikiran aku mula melayang merata-rata.

“Hmm. Ya kot. Kenapa?”

“Aku hire kau jadi photographer untuk wedding aku, boleh?” soal Rayyan sambil tersengih-sengih.

Aku memikirkan sejenak sebelum menjawab, “bayar.”

Of course babe! Inikan soal bisnes,” jawab lelaki itu sambil mendengus kecil.

Aku ketawa besar. Haikal mampir ke arah sofa di sebelah kami yang sudah dikosongkan oleh anak-anak Uncle Edmund.

“Bila kau balik sana? Dah beli tiket? Kau tinggal di rumah lama nanti ke?” soal Haikal bertalu-talu sambil menyuap Colcannon, sejenis makanan tradisi masyarakat Irish yang juga menjadi makanan kegemaran aku.

Ianya adalah kombinasi ubi kentang dan kale atau kubis. Ubi kentang direbus sehingga empuk. Lepas tu panaskan mentega dan masukkan kale atau kubis.

Kalau suka, letak sekali bawang besar yang dicincang halus. Agak-agak dah okey, baru masukkan susu atau krim sebelum akhir sekali letak ubi kentang lalu dilenyekkan bersama.

Hidangkan dalam mangkuk panas-panas dengan seketul mentega di atasnya. Bila nak makan, boleh cicah dengan mentega cair tadi. Fuh! Menerangkan saja buat aku rasa nak ambil sekali lagi walaupun tadi dah bantai semangkuk.

“Oits! Kau mengelamun apa? Banyak lagi Colcannon kat meja tu! Tak payah nak tenung mangkuk aku ni.” Haikal mengusik.

Sekelip mata aku terus menghilangkan diri ke meja makan yang masih dipenuhi aneka makanan. Seketika kemudian, aku kembali duduk di sofa.

“Hah, sambung balik. Kau tanya apa tadi?” Aku menyoal Haikal sambil membetulkan jaket yang tersangkut di celah-celah kusyen kecil ketika duduk.

“Bila balik sana?”

“Sebulan lagi. Kau?”

“Dua minggu lagi aku balik semula,” jawab Haikal dan meletakkan mangkuk yang sudah licin di atas meja.

“Nanti akad nikah aje atau kenduri terus?” Aku bertanya Rayyan tanpa memberikan maklum balas kepada Haikal.

Rayyan termenung sebentar. “Mummy kata akad nikah saja dulu yang penting.”

“Mana sempat nak buat tu semua Ju. Inipun kira mummy balik Malaysia sekejap semata-mata untuk pergi ambush pengantin perempuan.” Haikal menyampuk.

“Maksud kau?” Aku bertanya sambil terus menyuap makanan.

“Auni belum tahu lagi,” jawab Rayyan dengan ringkas.

Huh? Aku membulatkan mata. “Kau confirm ke dia nak kat kau wei?”

Aku nampak Haikal mengangkat bahunya. “Kalau ikut kata spyaku, Auni masih sayangkan Ray.”

“Amboi! Sampai pasang spy!” Aku ketawa.

“Dia tulah yang suruh! Aku pula yang kena.” Haikal mendengus.

Selepas itu kami diam membatu sambil mata terus tertancap ke arah televisyen. Drama bersiri Irish. Sejujurnya aku tak berapa nak memahami bahasa mereka walaupun nama saja keturunan Irish.

“Eh, lupa aku nak tanya kau. Nanti Cinta Lokasi tu ada musim kedua ke?” Aku menyoal Rayyan.

“Entah.”

“Kenapa? Kau nak join eh?” usik Haikal.

Aku tergelak kecil. Nak suruh aku berlakon drama realiti tu? Oh minta maaf sangat! Aku hanya suka menontonnya. Itupun sebab dipaksa oleh Rayyan.

“Merepek! Aku suka tengok rancangan tu sebab intipatinya menarik. Kau tak tahu apa akan jadi bila kau dipasangkan dengan orang lain dalam drama realiti tu,” jelas aku sambil mengambil mug air cokelat.

“Faham. Memang orang kata realiti, hakikatnya kau terpaksa juga menipu perasaan kau sendiri bila berlakon.” Haikal memberitahu.

Aku memandang ke arah Rayyan sambil bertanya, “habis tu, kau menipu juga perasaan kau masa berlakon tu?”

Lama juga aku lihat Rayyan mengerutkan dahinya sambil sesekali memandang ke arah aku kembali yang masih menantikan jawapan daripadanya.

“Memang betullah aku tipu pada mulanya. Kau belum tahu macam mana Auni tu begitu membenci aku. Depan kamera terpaksalah jadi baik. Belakang kamera?” Rayyan berkata dan serta-merta ketawa kecil.

“Kau tengok semua episod ke?” soal Haikal sebelum sempat aku menjawab soalan Rayyan.

“Tengoklah! Zaman sekarang canggih. Semua episod tu aku tengok online kat laman web,” ujar aku sambil menyilangkan tangan.

“Terang juga hati kau pada teknologi rupanya. Aku ingat masih buta.” Haikal mengusik lagi.

Aku menarik muka. Ya, faham sangat! Aku memang seorang yang malas untuk berinteraksi dengan media sosial kecuali emel. Facebook tu memang ada tapi semuanya penuh dengan keturunan Shane aje!

“Seronok, kan? Jumpa sekejap, lepas tu kahwin.” Aku berkata perlahan dan didengari oleh Rayyan.

“Hah, dah mulalah tu nak sensitif! Dah jodoh aku Ju. Berjumpa sekejap, lepas tu berkenan dan terus ambil keputusan nak kahwin.” Rayyan berkata.

Aku mengeluh kecil sebelum beristighfar panjang. Kalaulah jodoh aku dengan Amsyar, mungkin sekarang kami sudah beranak-pinak.

Walaupun kecewa kerana tindakan drastiknya yang memutuskan perhubungan tatkala kemanisan bercinta itu masih lagi berada di tahap menggunung, aku tetap reda dengan keputusannya.

ALLAH saja tahu betapa jiwa ini bagaikan dicarik. Tiada orang ketiga. Tiada juga pergaduhan. Cuma Amsyar menjadi dingin sebelum akhirnya dia membuat keputusan.

“Apa cerita kau dengan Mr Chipsmore tu?” Soalan Rayyan membuatkan aku terus ketawa.

“Mr Chipsmore? Wah, siapa tu?” Aku memandang Aunty Hanani yang tiba-tiba muncul di hadapan kami lalu duduk di sofa berdekatan.

Aku ketawa. “Mana ada Mr Chipsmore!”

“Kau tak jumpa dia lagi ke tahun ni?” usik Rayyan.

Aku menggelengkan kepala dengan perlahan. “Aku peliklah. Kenapa aku jumpa dia tiap-tiap tahun?”

Rayyan mengangkat bahu sebelum menjawab, “manalah tahu, itu jodoh kau.”

“Kamu jumpa dia di mana Ju?” Aunty Hanani menyoal.

“Merata-rata aunty. Ju pun pelik. Setiap tahun Ju mesti jumpa dia! Yang kelakar tu, Ju boleh jumpa dia di airport Dublin tahun lepas! Kalau tahun ni Ju jumpa dia lagi, entahlah. Tak tahu nak cakap apa.” Aku berkata sambil tergelak.

Manalah tak pelik. Masuk tahun lepas, dah tujuh kali kami bertembung. Setiap tahun, mesti sekali terjadi pertemuannya. Namun, dia hanya pandang aku dan tersenyum seolah sudah kenal lama. Siapa sebenarnya dia?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku