Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1792

Bacaan






AKU membuka pintu kaca Dublin Studio Photography dengan sedikit debaran di hati. Tiada orang di ruang lobi. Mungkin masing-masing sedang sibuk ataupun ada sesi fotografi di luar.

“Ju!”

Suara seseorang menerjah cuping telinga. Secepat kilat aku menoleh dan terus tersengih apabila bertembung mata dengan Neil, jejaka Irish yang cuba mengorat aku selama ini.

“Hi Neil.”

“Ju, cronaím thú…” Neil melafazkan kata rindu.

Ah, sudah! Inilah yang aku malas sebenarnya nak datang. Kadang-kadang hati rasa tak sanggup tolak lamarannya lantaran sikapnya yang tidak pernah putus asa dan peribadinya juga baik.

Namun, hati aku degil nak terima. Nak buat macam mana, kan? Aku hanya memberikan senyuman buat Neil yang memanglah kacak ala-ala Nicky Byrne, bekas ahli kumpulan Westlife.

“Kenapa awak datang sini?” tanya Neil dengan slang Inggeris yang pekat.

“Oh. Sepupu saya ada fotografi hari ini tapi saya tak tahu dia di studio yang mana satu.” Aku menjawab.

Neil mengerutkan dahinya sebentar sebelum tersenyum kembali dan berkata, “Ray? Dia ada di atas. Naiklah ya. Macam tak biasa aje kat sini.”

Kami sama-sama ketawa sebelum Neil meminta diri untuk keluar bagi menghadiri fotografi pra-perkahwinan di lokasi luar. Sejuk-sejuk pun, orang tak kisah bila tiba bab ambil gambar. Janji hasilnya cantik biarpun bibir terpaksa dioles banyak kali dengan balm agar tetap nampak pink.

Aku beredar ke tingkat atas dengan segera. Dari jauh terdengar suara seorang lelaki sedang memberikan arahan. Langsir yang menutupi tempat fotografi itu aku kuak perlahan.

Tersengih aku melihat Rayyan yang baru duduk di sebuah sofa panjang. Ada beberapa orang lagi yang sememangnya aku kenal sedang berlegar di kawasan studio. Masing-masing sedang sibuk menjalankan kerja mereka.

“Ray!”

Rayyan memandang aku sekilas. Wah, lebar terus senyuman! Kalau tadi nampak tegang semacam aje. Tambah pula bila wajahnya dirias ala-ala gothic. Seram!

“Aku tahu kau mesti datang!” ujar Rayyan.

Aku sempat menjelirkan lidah ke arahnya sebelum mampir dan duduk di sisi sambil mengangkat tangan ke arah jurufoto yang selama ini juga menjadi teman baik aku di studio.

“Banyak lagi ke?” tanya aku.

“Baru tiga.” Rayyan menjawab ringkas.

“Huh, tak kuasanya aku nak tunggu sampai sepuluh!”

Rayyan menjegilkan matanya ke arah aku. Manakala aku pula ketawa melihat reaksinya. Sesekali mata aku tertancap ke arah peralatan kamera di hadapan. Ah, rindu pula nak bekerja!

“Tiket flight kau bila?” Rayyan bertanya seraya membuka tali leher yang membelit lehernya.

“Tiga minggu lagi. Kenapa?”

“Kau bagi details. Aku patut balik minggu depan dengan dia orang semua tapi photoshoot aku tunda pula dua minggu lagi sebab klien nak tukar konsep. Alang-alang, baik aku balik dengan kau. Bosan weh 14 jam dalam kapal terbang tu kalau seorang diri!” Rayyan membebel.

Aku membetulkan duduk sambil menjawab, “nantilah aku mesej kau. Aku sendiri pun lupa flight pukul berapa sebab mama yang buat semuanya.”

“Ei, pemalasnya. Semua nak suruh mama buat. Nanti kau kahwin, macam manalah agaknya.”

Amboi! Dengan pantas, aku memukul lengannya. “Itu lain. Lagipun, aku macam dah tak ada hati nak kahwinlah. Aku rasa macam baik aku jaga mama sampai tua.”

“Ya ALLAH, mana boleh cakap macam tu! Nanti bila Aunty Ina tiba-tiba dapat jodoh, kau nak buat apa? Menganga? Atau duduk dalam selimut, nangis seorang diri sambil fikir kenapalah aku tak kahwin?” Rayyan mengusik sambil membuat muka, mengejek aku sebetulnya.

Cis! Dia ni memang pantang diberi peluang, asyik nak menyakat aku aje! Mujurlah tak lama lagi dia nak kahwin. Senang sikit hati aku, bebas daripada usikan dan omelannya.

“Diamlah. Bukan apa, aku macam malas dah nak mula bercinta. Ei, tak tahulah nak bercinta macam mana.” Aku menjawab sambil bersandar di sofa.

“Cinta itu akan datang sendiri. Bukannya susah. Bila orang sayang, kau sayanglah balik,” ujar Rayyan.

Dia sudahpun bangun dari tempat duduk setelah stylist memanggilnya untuk menyalin pakaian seterusnya. Manakala aku pula terus emosional sendiri di atas sofa.

*****************************

“CUBA kau fikir, kenapa kau ditakdirkan berjumpa dengan lelaki biskut tu setiap tahun. Dahlah jumpa pun setahun sekali. Kau tak rasa pelik ke?” Rayyan memulakan penyiasatan.

Aku tidak menjawab tetapi hanya merenung pendinding api yang berada di hadapan mata. Kalau panahan mata aku ada kuasa, dah sah-sah boleh terus tembus ke dinding rumah sebelah.

Perut aku mula terasa sebu setelah dengan enaknya menikmati makan malam yang disediakan oleh mama sebentar tadi. Grill salmon yang besar dengan cendawan serta tomato yang dipanggang. Tak lupa, roti tradisional Irish yang mesti ada di atas meja, soda bread.

Istimewanya soda bread ni sebab ia menggunakan buttermilk ataupun yogurt. Jadi rasanya memang lain sedikit daripada roti biasa.

“Aku rasa dia tu mesti senior atau junior sekolah aku. Kalau tak, kenapa dia senyum macam dah kenal lama?” Aku menyoal Rayyan kembali.

“Ke dia…” Rayyan mengangkat keningnya ke arah aku.

“Apa?”

“Saudara dengan Amsyar?”

Aku membeliakkan mata. “Hisy, tak mungkin!”

Aku menggelengkan kepala dengan perlahan. Soal ini timbul setelah aku memberitahu Rayyan yang aku kerap kali bermimpi tentang lelaki yang aku jumpa setahun sekali itu. Walaupun jarang jumpa, entah kenapa wajahnya jelas di ingatan.

“Kau tak cuba hubungi Amsyar lagi?” Rayyan menyoal perlahan.

Aku menggelengkan kepala sekali lagi dan menjawab, “tipulah kalau aku kata tak pernah. Hmm... Pernah, tapi aku rasa dia tukar nombor telefon lepas kami berpisah tu.”

“Kenapa? Kau tak pernah cuba tanya kawan-kawan universiti dulu?” Dua pupu aku itu bertanya lagi.

“Dia orang semua tak tahu. Lagipun, Amsyar terus menjauhkan diri macam tu saja daripada dia orang juga. Aku peliklah.”

Rayyan termenung seketika. “Mak ayah dia? Takkan kau tak kenal?”

Aku tersenyum sinis sebentar bila terdengar soalan itu. Aku memandang tajam ke arah Rayyan sambil menyoal, “kau percaya tak sepanjang enam tahun aku bercinta dengan dia, sekalipun dia tak pernah bawa aku jumpa mak dan ayah dia?”

“Serius?”

Aku menggangguk perlahan. Adoi, terasa sayu pula bila mengingatkan Amsyar. Sesungguhnya lelaki itu memang seorang yang agak pelik. Biarpun dia sangat menyayangi aku, tetapi aku perasan, kehidupannya macam diselubungi misteri.

“Kalau dia serius dengan kau, mesti dia bawa kau jumpa keluarga dia, betul tak?” tanya Rayyan.

“Aku faham. Itu sebabnya aku pelik. Bila dia buat keputusan untuk berpisah, dia hilang terus macam tu aje. Tak ada dah perkhabaran. Kalau kau nak tahu, aku pernah pergi rumah sewa dia tapi dia orang kata, dia dah pindah sehari sebelum dia putuskan hubungan.” Aku berkata dengan panjang lebar.

“Tak apalah. ALLAH akan gantikan dengan yang lebih baik.” Rayyan berkata.

“InsyaALLAH. Dahlah, lupakan soal aku tu.” Aku menjawab ringkas sambil mengambil secawan teh di atas meja.

Mama tidak kelihatan di mana-mana. Mungkin terus naik ke bilik selepas makan malam tadi. Ataupun sedang menyiapkan manuskrip novelnya yang terbaru.

Sementara nak pulang ke Malaysia ni, aku pasti mama mahu menyiapkan tulisan novel Inggerisnya. Nanti bila dah balik sana, mesti mama akan jadi lebih sibuk dengan syarikat yang akan dibukanya.

“Okeylah. Aku nak balik.”

“Memang patut kau balik pun,” usik aku.

Setelah menghantarnya di muka pintu, aku terus naik ke tingkat atas untuk membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak. Aku membiarkan lampu ruang tamu terpasang sebab Miss Jane Abdullah, teman serumah kami masih belum pulang dari tempat kerja.

Aku masih teringat kisah empat tahun lepas. Aunty Hanani menawarkan rumahnya sebagai tempat tinggal ketika kami bercadang untuk mencari rumah sewa. Namun, mama menolaknya dengan baik. Akhirnya kami berjumpa dengan Miss Jane di Dublin Mosque yang kebetulan sedang mencari teman serumah.

Alhamdulillah. ALLAH Maha Penyayang. Biarpun hidup aku tidak dilengkapi dengan kasih sayang seorang ayah, aku masih ada mama. Bila terkenangkan papa, aku cepat-cepat sedekahkan Al-Fatihah buatnya.

Pilu rasanya sebab aku tak ingat langsung apa-apa kenangan aku dan papa. Kasihan mama kerana harus menghadapinya seorang diri ketika aku masih kecil lagi.

Aku segera membaringkan diri di katil dan mencapai telefon bimbit. Tersengih aku melihat entri baru daripada instagram bubblyknit. Geram pula aku tengok produk mengait yang terbaru daripadanya.

Kagum betul tengok semua produknya. Ada macam-macam jenis termasuklah plush toy, scarf, barang-barang dekorasi untuk rumah dan juga sweater untuk kanak-kanak serta orang dewasa.

Banyak betul masa dia ni, getus aku dengan perlahan. Mungkin dia adalah seorang surirumah yang mempunyai hobi mengait. Alang-alang tak buat apa-apa, baiklah jual online,kan? Dapat juga untungnya. Itulah yang dinamakan hobi yang mendatangkan duit.

Aku pernah memesan beberapa kali daripada bubblyknit ni. Mujurlah dia boleh hantar produk ini sampai ke Ireland. Itupun sebab Dura yang follow instagram dia dulu. Aku pula terus jatuh hati dengan produk yang ditawarkan. Comel sangat!

Dalam hati ada juga rasa gatal nak belajar mengait. Manalah tahu, boleh dijadikan kerja sampingan. Aku pasti tuan punya bubblyknit ini adalah seorang yang sangat teliti dan sentimental. Tengok produk pun tahu.

Mata aku menangkap gambar terbaru sebuah bekas pensel yang dikait dengan warna turqoise dan putih. Comel gila! Tak boleh jadi ni! Order! Order! Memang kopak aku macam ni. Bukan tak boleh tunggu balik Malaysia nanti, kan? Ah, biarlah! Nanti orang lain orderdulu, aku yang gigit jari! Dahlah limited edition!

Aku menjeling ke arah jam dinding. Dah pukul sebelas malam rupanya. Kalau di Malaysia sekarang kiranya dah pukul enam pagi. Hah, okeylah tu.

Tanpa perlu menunggu dengan lebih lama, aku membuka aplikasi WhatsApp. Senangnya zaman sekarang ni, kan? Walaupun orang tu duduk beribu-ribu batu, bila WhatsApp, rasa macam duduk sebelah rumah aje!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku