Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 12
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1592

Bacaan






DEWAN Musytari nampak megah dengan dekorasi yang berkonsepkan ‘Star Galaxy’. Faiq menarik nafas lega setelah melihat ke arah jam di tangannya yang sudah menunjukkan angka 6.30 petang.

Baru kini tubuhnya terasa sangat lesu apabila terpaksa menguruskan majlis perkahwinan ini dari pagi sehingga sekarang. Klien kali ini memang sangat mencabar dirinya.

“Faiq, kita ada masalah besar.” Shahmi berbisik perlahan lalu membuatkan Faiq mengeluh berat.

Cukuplah dengan karenah klien yang tidak habis-habis mahu menukar alas meja, backdrop pelamin dan juga memberikan komplen terhadap setiap perkara yang dirasakannya tidak sesuai.

“Apa lagi?” Faiq bertanya sambil memandang tajam ke arah Shahmi.

“Ops. Bukan soal majlis ni tapi soal majlis sambutan hari lahir duta Itali hari Selasa ni.” Shahmi berkata seraya mencekak pinggang.

Anak matanya melihat ke arah sekeliling dewan. Silingnya dipenuhi dengan juntaian kain berwarna hitam, biru gelap dan putih berselang-seli. Mereka meletakkan pelbagai saiz dan corak bintang serta planet yang bersinar di dalam gelap.

Bagi Shahmi, konsep ini dirasakannya agak pelik dengan majlis perkahwinan. Selalunya ramai klien mahukan konsep ceria ataupun lebih kepada warna pastel, tetapi pelik pula dengan klien mereka yang seorang ini.

“Tak ada jurufoto Fashion Queen yang boleh pergi hari tu. Dia orang semua ada kerja.”

Faiq mengeluh lagi. Kalau itu masalahnya, masih boleh diselesaikan. Cuma, mereka perlu bertindak dengan kadar segera untuk mencari jurufoto baru.

“Esok ingatkan aku. Kalau kau ada kawan-kawan yang buat freelance jurufoto pun bolehlah aku rasa. Tak ada masa banyak dah ni.” Faiq berkata dengan suara mendatar.

Shahmi hanya mengangguk. Dia melonggarkan sedikit tali lehernya yang terasa mencengkam leher. Lemas! Patutlah Eryna bengang dan stress dengan majlis kali ini. Tak pasal-pasal dia yang perlu menggantikan tempat Eryna.

Mujurlah Faiq tidak tahu bahawa mereka baru saja perang besar. Itu semua gara-gara Eryna ternampak nama seorang gadis lain menelefon Shahmi ketika lelaki itu sedang memandu semalam.

Eryna memang cemburu buta, fikir Shahmi. Pertunangan mereka di ambang bahaya sebenarnya. Semalam Eryna telah mengeluarkan perkataan keramat itu. Kalau ikutkan Shahmi, dia tidak sanggup mahu memutuskan pertunangannya dengan gadis yang telah lama bertakhta di hatinya itu.

“Weh, apa yang kau fikir sampai berkerut dahi tu?” soal Faiq yang memakai sut berwarna hitam.

Shahmi segera menggelengkan kepala sebelum menjawab, “tak ada apa.”

“Pasal Eryna. Macamlah aku tak tahu.” Faiq berkata tanpa memandang ke arah Shahmi yang lebih tinggi beberapa sentimeter daripadanya.

Shahmi mendiamkan diri dan menyilangkan tangan sambil terus memerhatikan beberapa orang pekerja membuat pemeriksaan akhir terhadap sistem audio dan lampu.

“Ada bakal isteri pun masalah. Tak ada bakal isteri pun jadi masalah.” Faiq menggumam perlahan tetapi cukup untuk membuatkan Shahmi menoleh ke arahnya.

“Apa masalah kau?” Shahmi menepuk bahu Faiq yang nampak lebih serabut daripada biasa.

Mereka berdua bergerak ke tepi dinding untuk memberikan laluan kepada beberapa buah troli yang membawa gelas tinggi ke meja VVIP.

“Keluarga Sheila lamar aku.”

“Hah?”

Faiq mengangguk perlahan. “Nampak tak? Tak ada bakal isteri pun bagi masalah kat aku.”

Shahmi menggaru dagunya yang licin. Memang benar kata Faiq. Ada atau tiada, sama saja. Pasti akan timbul masalahnya.

“Habis tu? Kau terima?” soal Shahmi.

Faiq ketawa sinis. “Kau merepek ke? Aku bukannya ada hati pada dia pun.”

Giliran Shahmi pula ketawa. “Weh, orang sekarang ni boleh kahwin tanpa cinta. Lepas bernikah, hah pergilah bercinta!”

“Kata kau senanglah. Yang nak menanggungnya siapa?” balas Faiq dengan tenang.

Shahmi ketawa lagi sebelum mengusik sahabat yang juga ketua syarikatnya, “terima aje lah. Mesti banyak job kita dapat lepas ni. Mana tahu, impian kau nak buat majlis di luar negara tercapai. Sheila kan mahir bab-bab cari job ni.”

Faiq menjeling tajam ke arah Shahmi yang tersenyum. “Aku lebih rela membujang.”

“Kau sanggup ke dengar soalan-soalan panas sampai kau tua nanti? Weh, berdesing telinga!” Shahmi berkata sambil menggelengkan kepalanya berulang-kali.

Faiq tidak menjawab. Mujurlah dia jauh daripada keluarga ayahnya yang berada di Korea sana. Kalau tidak, entah apa yang akan diperkatakan terhadap dirinya.

“Aku naik bilik dululah. Sekejap lagi dah masuk Maghrib.” Shahmi berkata setelah melihat Faiq hanya mendiamkan diri.

********************************

PERGH! Ini majlis perkahwinan ke atau majlis menghantar angkasawan ke ruang angkasa?! Aku melopong apabila melihat dewan hotel yang sudah bertukar rupa.

Dahsyat gila konsep! Tak pernah aku tengok ada kerlipan bintang-bintang di langit. Siap ada segala jenis planet. Mata aku kemudiannya melihat ke arah pelamin di hadapan mata.

Sekali lagi aku mengangkat kening. Bagusnya siapa yang menguruskan majlis ni. Mana entah dia orang angkut ruang besar berbentuk bulat yang ada tempat duduk untuk pengantin itu. Futuristik betul!

Tanpa sedar, aku tergelak kecil. Sekali imbas, macam duduk dalam set cerita Star Wars. Apakah pengantin lelakinya akan berpakaian seperti Darth Vader dan Wawa sebagai pengantin perempuannya pula seperti Padmé Amidala?

Entah-entah semua pakaian dayang-dayang pengantin berkonsepkan watak Yoda? Hish! Jangan merepek Zulaikha! Aku menahan ketawa yang bakal terburai bila-bila masa.

“Oh, maaf.”

Padan muka! Gelak lagi seorang diri sampai terlanggar seseorang. Aku segera mengangkat muka dengan senyuman yang masih lagi terukir.

“Awak?”

Aku mengerutkan dahi. Eh, sekejap. Macam pernah aku jumpa dia ni. Terus hilang imaginasi aku tentang Star Wars. Aku membetulkan beg kamera yang hampir melurut ke lengan.

“Awak ni memang suka melanggar orang ya?” Lelaki itu bersuara.

“Oh? Maaf. Saya tak perasan.” Aku membalas dan kemudiannya mengetap bibir.

Alahai, dia ni rupanya yang aku langgar di KLIA hari tu! Aish, kenapa pula dia kena ada sini? Aku mengeluh kecil. Tanpa mempedulikan lelaki itu, aku membuka beg kamera untuk mengambil ‘senjata’ utama malam ini.

“Saya nampak awak gelak seorang diri tadi bila tengok pelamin kat depan tu. Kenapa?” soal lelaki yang aku sendiri tak tahu apa namanya.

Yang aku ingat, dia kawan kepada Rayyan. Itu saja. Aku berpura-pura tidak mendengar soalannya tetapi apabila mengingatkan watak Yoda, aku terus ketawa tiba-tiba.

“Weh…”

“Eh, maaflah. Saya teringat sesuatu bila saya nampak konsep ala-ala cakerawala di dalam dewan ni,” ujar aku sambil tersenyum.

Aku segera mengambil beberapa keping gambar dengan kamera Nikon D60 kesayangan aku. Dewan sudah mula dihujani dengan tetamu-tetamu walaupun masih belum ramai.

Mujurlah aku ‘cuti’ hari ini. Jadi, hanya mama ke surau bersama rombongan keluarga pengantin sebelah Pak Cik Wan. Aku mengambil kesempatan ini untuk terus ke dewan bagi mendapatkan lokasi sesuai untuk merakam gambar.

“Maksud awak?”

“Huh? Hmm. Saya teringat Star Wars.” Aku berkata dan terus tergelak lagi.

Setelah selesai mengambil beberapa keping lagi gambar, aku menoleh dan memerhati lelaki itu. “Pelikkan konsep ni?”

“Konsep ni?”

Aku mengangguk. “Saya rasa kelakar. Macam tak logik. Entah siapalah yang buat. Gelap gelita nampak. Lepas tu saya nampak macam ada yang tak kena antara konsep siling dan juga pelamin. Awak tak rasa macam tu ke?”

Lelaki di sebelah aku itu hanya mendiamkan diri. Ah, lantaklah. Tadi kau tanya lagi aku kan kenapa aku gelak? Aku bagitahu aje lah apa yang terlintas dalam kepala ni, betul tak?

“Awak ni jurufoto rasmi majlis ni ke?” soal lelaki itu tiba-tiba.

“Ya. Sebelah keluarga perempuan.”

“Oh. Awak ada kad? Manalah tahu kot-kot saya nak kahwin nanti, boleh saya panggil awak.” Lelaki itu memberitahu.

Aku mengerutkan dahi. Ini memang betul nak khidmat jurufoto ke atau saja nak cari jalan ambil nombor telefon aku? Come on… Cara mengorat tu dah lapuklah wahai encik yang aku pun tak tahu nama apa.

“Saya serius, bukannya saya saja gatal nak nombor awak.” Dia berkata dengan selamba.

Cis! Aku membuat muka sebelum meletakkan beg kamera di atas meja yang berhampiran. Aku mengoyak kertas daripada sebuah buku nota kecil dan dengan pantas, menulis nama dan nombor telefon yang baru.

“Nah. Saya belum ada kad.” Aku berkata dengan nada mendatar.

“Faiq.” Lelaki itu berkata sambil memberikan kad namanya.

Aku mengambil kad tersebut lalu terus dimasukkan ke dalam beg kamera. Tak ada masa nak tengok sekarang ni. Bila-bila masa saja majlis akan bermula. Baiklah aku buat kerja daripada melayan orang sebelah ni.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku