Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 13
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1524

Bacaan






TIDAK berkelip mata Faiq memerhatikan gadis yang melanggarnya sebentar tadi berlalu dari situ. Cis. Sedap betul mengutuk konsep majlis aku ni, ya? Hati kecil Faiq terus rasa tercalar dan tercabar.

Dia melihat sekeliling dewan. Kalau ikutkan hatinya, dia sendiri tidak berkenan dengan konsep ini tetapi nak buat macam mana kalau klien sendiri yang mahu!

Faiq memandang ke arah kertas yang diberikan oleh gadis itu tadi. Zulaikha dan nombor telefonnya. Nampak gaya, salah satu masalahnya akan selesai. Faiq mengingatkan dirinya untuk menelefon gadis itu esok. Dia meletakkan kertas itu di salah satu kocek sut.

Matanya mula menerawang mencari Shahmi yang telah hilang entah ke mana. Usai solat Maghrib tadi di bilik, Faiq segera turun semula ke Dewan Musytari untuk memantau majlis. Setakat ini segalanya berjalan dengan lancar.

“Hello!”

Faiq menoleh pantas ke arah suara di belakangnya. Eryna berada di situ sambil tersenyum lebar. Gadis itu mengangkat ibu jarinya berulang kali.

Well donebos! Cantik! Kalau I tahu, dari mula lagi I bagi you uruskan,” puji Eryna.

Faiq hanya tersenyum kecil sebelum berkata, “cantik? Betul ke?”

“Yalah, you ingat I tipu ke?”

“Mungkin, sebab I ni bos you.”

Eryna tergelak lagi. Dia nampak begitu anggun dengan jubah panjang berwarna peach dan dihiasi dengan selendang warna lebih gelap yang mempunyai glitters.

“I cakap betul. Siapa yang sanggup tolong klien realisasikan impian mereka untuk buat konsep macam ni?” Eryna memuji lagi.

“Ada juga orang puji. Sejuk sikit hati I mendengarnya.” Faiq berkata perlahan sambil tersengih.

“Kenapa? Ada orang tak puas hati?”

Faiq mengangguk selamba.

“Siapa? Siapa yang tak reti nak menghargai konsep dan rekabentuk seni tu?” soal Eryna sambil menyilangkan tangannya.

“Tak payah you fikir. Yang you datang ni kenapa? I ingat you tak suka dengan klien ni?” soal Faiq dengan perlahan.

“Hmm. Dato’ telefon dan jemput I datang. Terpaksalah. Demi bisnes. Macamlah you tak faham kan?” bisik Eryna kembali.

Faiq mengangguk. Mereka berdiri di penjuru ruang dewan sambil memerhatikan majlis yang sudahpun bermula. Dari jauh, Faiq nampak Zulaikha yang berbaju kurung warna biru muda itu sedang berjalan ke sana sini untuk mengambil gambar.

Selain Zulaikha, ada beberapa orang lagi jurufoto yang mundar-mandir di dalam dewan. Faiq masih memerhatikan Zulaikha yang begitu cekap menghalakan muncung kameranya.

“Eryna, Shahmi kat sana,” ujar Faiq dengan ringkas setelah dia ternampak Shahmi yang berada tidak jauh daripada Zulaikha ketika itu.

“I datang sebab Dato’. Bukan sebab Shahmi.” Suara Eryna kedengaran tegang.

Faiq memandang ke arahnya. “Tapi dia kan tunang you. I rasa you patut…”

“I dah minta putus.”

Lelaki itu memandang Eryna tanpa berkelip. “Putus?”

Eryna mengangguk. “I dah penat.”

Faiq memandang wajah Shahmi dari jauh. Sahabatnya itu mungkin tidak menyedari kehadiran Eryna di sini. Patutlah muram saja dia melihat Shahmi sejak pagi tadi.

“You dah fikir panjang? Dah hampir setahun you berdua bertunang.” Faiq menyoal sambil terus melihat Shahmi dan Zulaikha silih berganti.

“Sepuluh tahun pun belum tentu boleh bahagia Faiq.” Eryna berkata.

Faiq mengangguk dan terus berkata-kata di dalam hatinya. Itulah alasan mengapa dia mahu mengelak untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana gadis sekalipun.

Bagi Faiq, soal perasaan ini ternyata adalah sesuatu yang menggusarkan fikiran. Dia lebih rela serabut tentang soal kerja daripada melayan emosi seorang gadis.

Sebab itulah sehingga sekarang dia tidak pernah jatuh cinta. Faiq tidak menafikan bahawa dia pernah memikirkan soal perkahwinan tetapi itu semua belum cukup baginya untuk dijadikan alasan mencari teman hidup.

******************************

ANAK mata Shahmi menangkap kelibat seorang gadis yang sedang mengambil gambar pengantin di meja makan. Ada semacam aura tentang gadis itu.

Shahmi menunggu sehingga gadis itu berpaling. Susuk tubuhnya mengingatkan Shahmi tentang seseorang. Lama juga dia berfikir sebelum akhirnya gadis itu berlalu dari situ.

Seperti terkena renjatan elektrik, tubuh Shahmi terkaku apabila dia ternampak jelas wajah gadis yang pernah bertakhta di hatinya dahulu. Zulaikha!

Tanpa perlu menunggu lama, Shahmi segera melangkah ke arah Zulaikha. Gadis itu pula berjalan laju menuju ke bahagian belakang dewan.

“Zu… Zulaikha?” Shahmi mencuit perlahan bahu gadis yang membelakanginya itu.

Zulaikha yang sedang leka membelek gambar-gambar di skrin kecil kamera menoleh ke arah suara yang memanggil namanya.

Bulat anak mata masing-masing apabila akhirnya pandangan mereka bertentang. Shahmi dan Zulaikha saling berpandangan beberapa saat.

“Shahmi… Apa… Apa you buat kat sini?” Zulaikha berkata dengan tergagap.

Shahmi tersenyum kecil. “I yang uruskan majlis ni. You? Jurufoto?”

Zulaikha hanya mengangguk. Dia kembali tunduk memeriksa kameranya. Shahmi yang berada di sebelah terkaku lagi seperti tidak berupaya mengeluarkan suara.

“You… You sihat? Dah lama kita tak jumpa, kan?”

Zulaikha mengukir senyuman sebelum membalas soalan Shahmi, “alhamdulillah.”

“You datang seorang aje?” soal Shahmi lagi.

Zulaikha mengangguk sambil menutup muncung kamera dengan penutupnya. Gadis itu kemudiannya memandang ke arah sekeliling dewan, cuba mengelak daripada bertembung pandangan dengan Shahmi.

“Amsyar… Amsyar apa khabar?”

Soalan Shahmi membuatkan Zulaikha terkedu. Gadis itu menelan air liur dan menarik nafas panjang sebelum memandang ke arah Shahmi.

“Kenapa you tanya?”

“Emm.” Shahmi terdiam kerana dia sendiri tidak tahu mengapa soalan itu yang dia tanya.

Sorry, I terpaksa pergi.” Zulaikha berkata ringkas sebelum akhirnya berlalu pergi tanpa menunggu kata-kata Shahmi.

Gadis itu keluar dari dewan untuk menuju ke tandas. Hatinya terusik dengan pertanyaan Shahmi. Hampir bergenang air matanya kerana terkejut melihat Shahmi, lelaki yang pernah disayanginya sebelum kehadiran Amsyar.

Ah, benci! Zulaikha menggetus di dalam hati. Kenapalah banyak sungguh masalah menimpa dirinya sekembalinya ke Malaysia?

Zulaikha meletakkan beg kamera di atas kaunter sinki lalu melihat dirinya di cermin. Dia menarik nafas panjang dan kemudian menghembusnya perlahan.

Shahmi hanya mengingatkan dirinya tentang Eryna, kawan yang pernah menjadi sahabat baiknya sepanjang mereka bersekolah.

Dia tidak tahu mengapa Eryna terlalu mencemburuinya. Hubungan Zulaikha dan Shahmi putus setelah Eryna mengambil tindakan untuk mendapatkan Shahmi tanpa mempedulikan perasaan Zulaikha.

Amsyar hadir tatkala hatinya dirundung pilu dan kini, lelaki itu pula yang menghilang. Kenapa dia berjumpa Shahmi kembali sekarang? Zulaikha berkira-kira untuk terus pulang tanpa masuk kembali ke dalam dewan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku