Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 14
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1518

Bacaan






SEBAIK saja aku keluar dari bilik Mr George, ketua fotografi Fashion Queen Studio, aku disambut dengan senyuman Rayyan. Nasib baik dia muncul lepas aku habis temuduga. Kalau tidak, mesti habis kena sakat!

“Macam mana? Okey? Garang tak Mr George tu?” Rayyan bertanya bertalu-talu ketika aku tiba di hadapannya.

Aku hanya tergelak. “Okey je.”

“Jom, aku belanja kau makan,” ajak Rayyan yang nampak begitu kemas dengan baju denim dan seluar jeans hitamnya.

“Kau seorang aje ke? Tak bawa Auni?” Aku menyoal.

Kami terus melangkah keluar dari bangunan Fashion Queen. Matahari bersinar terik di luar tetapi tidaklah terlalu rasa bahangnya.

“Tak. Auni ada kerja sikit, dia kirim salam pada kau.” Rayyan berkata.

“Wa’alaikumsalam…”

“Bila dia orang bagitahu keputusan?” soal Rayyan kembali.

“Oh. Dah terima pun.” Aku menjawab sambil terus ketawa.

Alhamdulillah. Terasa lapang terus hati apabila diterima masuk kerja. Kata Mr George, dia kagum melihat portfolio yang aku bawa. Lagipun, aku dah ada banyak pengalaman fotografi di luar negara.

“Hah? Ye ke? Cepatnya! Tahniah Ju! Okeylah, kira aku belanja ni untuk raikan kaulah ya?”

“Alah, tak mahulah kat bistro. Bawalah aku kat Menara KL ke, Pavilion ke…”

Rayyan mencebik, “demand!”

Aku tergelak lagi sambil kami berdua terus masuk ke dalam sebuah restoran yang terletak di bangunan sebelah Fashion Queen. Ini mesti bakal menjadi tempat lepak aku selepas ini.

Sambil melihat menu yang menghidangkan pelbagai jenis masakan tempatan dan antarabangsa, aku terus mengukir senyuman.

Kata Rayyan, memang Fashion Queen tengah kekurangan pekerja di bahagian fotografi. Aku sendiri sebenarnya tak kisah nak kerja kat mana-mana.

Pertama kali masuk Fashion Queen pagi tadi pun aku dah rasa selesa. Apatah lagi bila melihat ruang kerjanya yang nampak begitu tersusun. Secara tak langsung, terus datang rasa gembira. Syukur alhamdulillah dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.

Telefon aku berdering tatkala aku selesai memesan Honey Aloe Vera Ice dan Dry Wantan Mee. Aku menjeling ke arah telefon dan tertera nama Faiq di situ.

“Assalamua’laikum.”

“Wa’alaikumsalam.”

“Zulaikha, berkenaan dengan tawaran jurufoto majlis hari lahir duta Itali tempoh hari yang saya cakap tu, macam mana ya?” soal Faiq di hujung talian.

Aku menepuk dahi apabila mendengar soalannya. Hisy, macam mana aku boleh lupa pasal tu? Hmm, kalau majlis tu tak ditunda, mesti aku boleh ambil. Masalahnya sekarang, aku pun dah dapat kerja.

“Saya minta maaflah, sebab saya baru saja dapat tawaran kerja. Jadi, rasanya saya tak dapat nak ambil job tu,” terang aku dengan perlahan.

Ada timbul perasaan bersalah tetapi itulah, bukan salah aku pun. Kata Faiq, mereka terpaksa tunda majlis hari lahir itu sebab duta Itali terpaksa terbang ke negaranya semula pada hari tersebut kerana tuntutan kerja.

“Oh ye ke? Congratulations! Tak apalah, tak ada rezeki. Awak dapat kerja di mana?”

Aku mendengar soalan Faiq sambil memandang Rayyan yang terus tersengih seorang diri menghadap telefonnya itu. Itu mesti tak lain tak bukan, tengah main mesej dengan isteri kesayangannya.

“Fashion Queen Studio.”

“Oh.”

Aku terfikir sejenak. Faiq ni tahu ke pasal Fashion Queen Studio? Hmm, siapalah yang tidak tahu mengenai studio glamourni, kan? Terdetik juga rasa bangga di hati kerana diterima masuk ke dalam sebuah syarikat yang besar.

“Maaf ya…”

“Eh, tak apa. No need to say sorry.” Lelaki itu berkata.

Aku pula hanya tersenyum dan tidak lama selepas itu kami memutuskan talian. Beberapa hari lepas, memang Faiq ada menghubungi aku.

Kata Faiq, dia memerlukan seorang jurufoto untuk majlis hari lahir. Aku pula ketika itu memang tengah free, tapi tak ada rezeki pula sebab ianya telah ditunda.

“Ah, weh kau kenal Faiq, kan?” Aku terus bertanya pada Rayyan setelah dia meletakkan telefon bimbitnya kembali di atas meja.

“Faiq mana?”

“Yang kita jumpa di KLIA.”

Berkerut dahi dua pupu aku itu sebelum akhirnya dia mengangguk. “Hah, kenapa dengan dia?”

“Aku jumpa dia hari tu kat wedding kawan mama.”

“Oh. Dia tu kan memang wedding planner. Agaknya dia yang uruskan majlis tu,” ujar Rayyan sambil menarik gelas tinggi berisi jus tembikai yang dipesan.

Huh? Wedding planner? Serta-merta aku terbayang perbualan antara aku dan dia semasa di dalam dewan. Alamak! Dahlah sesedap rasa aku mengutuk majlis tu dulu! Ya ALLAH! Apa kau dah buat Zulaikha?!

Aku terus mengutuk diri sendiri sambil meletakkan kepala di atas meja. Malunya! Kalau betul Faiq yang buat dekorasi majlis hari tu, memang sampai bila-bila aku tak nak jumpa dia!

“Weh, kau ni kenapa?” Rayyan menyoal.

Aku memandang wajahnya dan berkata dengan penuh kesal, “kau tahu tak… Aku pergi kutuk dekorasi majlis tu depan-depan dia.”

Rayyan ketawa besar dan menyebabkan beberapa orang yang berada berdekatan kami memandang. Argh! Terasa nak lari dari sini! Kenapalah mulut ni lantang sangat bersuara?

“Habis tu, apa yang dia cakap kat kau?” Rayyan menyoal lagi sambil tersengih.

Wajah aku jangan ceritalah. Silap-silap dah macam udang kena bakar. Malu bercampur dengan terkejut! Tapi… Kalau tak salah aku, Shahmi kata dia yang uruskan majlis kenduri tu. Maksudnya, adakah Shahmi dan Faiq bekerja sekali?

“Dia tak cakap apa-apa pun. Dia yang tanya pendapat aku. Hah, aku bagitahu aje lah apa yang aku rasa.” Aku menjawab sambil mencebik.

Ah, biarlah. Bukannya aku perlu jumpa dia pun lagi. Nasiblah. Dah lepas pun. Malu tu memanglah ya, tapi memandangkan aku pun bukan kenal dia sangat, jadi tak payahlah nak gabra semacam, kan?

Rayyan pula menggelengkan kepalanya berulang-kali sambil mengambil telefon bimbitnya yang masih terdampar.

Nasib baiklah aku tak tengok kad nama masa dia bagi tempoh hari. Kalau masa tu aku tersedar, memang lagilah aku malu!

******************************

FAIQ menatap wajah Shahmi yang kemurungan di hadapan matanya. Lelaki itu menarik nafas panjang setelah mengetahui pertunangan sahabatnya itu bersama Eryna akhirnya putus di tengah jalan.

Eryna pula tidak datang kerja hari ini. Pagi tadi dia telah menelefon Faiq untuk mengambil cuti kecemasan selama tiga hari. Katanya ada hal keluarga yang perlu diuruskan. Namun, Faiq tidak terkejut jikalau Shahmi yang merupakan punca sebenarnya.

“Jadi?” soal Faiq.

“Macam tulah. Nak buat macam mana. Sedih memanglah tapi ini lebih baik daripada bercerai,” ujar Shahmi dengan selamba.

Faiq menarik nafas. Dia bukannya risau perhubungan antara mereka berdua. Dia tidak peduli sekiranya mereka bercinta atau berpisah sekalipun, janji jangan sesekali mengenepikan kerja masing-masing.

Baginya, Shahmi dan Eryna ibarat seperti orang kuat di kiri dan kanannya. Masing-masing mempunyai kepakaran yang tersendiri. Faiq tidak mahu kehilangan mereka berdua tetapi dalam masa yang sama, dia juga bersedia sekiranya salah seorang daripada mereka mahu mengundurkan diri.

“Bertabahlah.”

“Aku tahu. Dah nak masuk berbelas tahun bercinta pun masih tak boleh faham, nak buat macam mana? Live must go on.”

“Emm…” Faiq tidak memberikan sebarang komen kerana bunyi mesej masuk di telefonnya mengganggu perbualan mereka seketika.

Rayyan : Ray ada di bistro bawah ni. Abang ada kat office tak? Jomlah turun lepak.

Faiq tersenyum kecil. Dia mengerling ke arah jam tangan. Jarum jam sudah hampir menginjak ke angka sebelas pagi. Faiq lantas terus bangun lalu memandang ke arah Shahmi.

“Kau kenal Ray, kan? Model Fashion Queen tu. Dia ada kat bawah. Nak ikut aku tak pergi minum?” soal Faiq.

Shahmi menggelengkan kepalanya. “Tak apalah. Aku nak siapkan sikit lagi sebut harga untuk majlis kahwin kawan keluarga aku.”

“Bulan berapa majlisnya?”

“Mei.”

“Nanti jangan lupa periksa kalendar, tengok tarikh dulu. Risau nanti bertembung banyak majlis, tak pasal-pasal kita kena kerat badan,” usik Faiq seraya membuka pintu bilik.

“Baik bos!”

Faiq segera keluar dari pejabatnya untuk ke tingkat bawah. Bagus juga Rayyan datang sini kerana dia ingin bertanyakan beberapa hal tentang majlis perkahwinan Rayyan yang akan berlangsung nanti.

Lelaki itu masuk ke dalam Bistro Ria yang lengang. Dia tersenyum setelah nampak Rayyan melambainya. Di hadapan lelaki itu ada seorang gadis.

“Oh, awak rupanya.”

Faiq menegur Zulaikha yang nampak terkejut. Dia segera duduk di sebelah Rayyan tetapi matanya tidak lepas daripada memandang Zulaikha yang melarikan pandangan daripadanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku