Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 25
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1555

Bacaan






AKU melipat telekung lalu menyimpannya di dalam beg sebelum meletakkannya kembali di almari surau. Jam dinding sudah menunjukkan angka sembilan malam.

Kata Mr George, mereka mahu habiskan shooting untuk majalah Fashion Queen hari ini juga. Entah jam berapalah nak tamat agaknya. Inipun mujur ada breaksekejap. Alang-alang, aku solat Isyak terus. Balik nanti boleh terus tidur.

Aku membetulkan kardigan warna biru tua yang dipakai. Shawl yang membaluti rambut itu aku gayakan dengan ringkas saja. Bedak pun tak pakai. Ah, bukannya ada sesiapapun bila dah malam ni. Tinggal model-model dan para jurufotor yang setia bekerja.

“Ika, makan dulu jom!” pekik Khairul, salah seorang jurufoto yang overtime malam ini.

Aku mengangguk seraya mengangkat tangan dari jauh. Khairul terus masuk ke pantri bersebelahan dengan Studio 1, studio paling besar di tingkat tiga ini.

Mata aku terbuntang apabila melihat Faiq dan Shahmi sedang berbual dengan Mrs Jazzy di suatu sudut. Namun, aku buat-buat tidak nampak. Aku menghampiri beg sandang yang terletak di atas meja lalu mengambil telefon bimbit yang ditinggalkan tadi.

Tanpa berlengah, aku keluar dari studio dan menuju ke pantri. Meriah sungguh pantri yang sederhana besar itu dengan bau pizza! Tersengih aku melihat mereka yang sedang makan dengan penuh berselera.

“Banyak lagi ke?” Aku bertanya kepada Khairul yang duduk bersama Elaine.

Khairul menggelengkan kepalanya. “Almost finish.

Aku menarik nafas lega. Jam tujuh petang tadi Khairul menggantikan aku untuk sesi pengambaran seterusnya. Mujurlah dia habis assignment di luar tadi lebih awal. Naik kematu tapak kaki aku berdiri sejak tengah hari tadi!

Khairul yang lebih senior hampir empat tahun itu cekap mengambil gambar. Yalah, aku pun baru lagi di sini. Masih belum cukup ilmu. Mr George pula jenis yang workaholic. Kalau dia belum penat, jangan harap orang lain boleh rehat dahulu.

Aku menyuap pizza pepperoni ayam bercampur cendawan dengan sos tomato itu dengan penuh nikmat. Lapar gila! Kami cepat-cepat cuba menghabiskan makanan setelah nampak Mr George bangun dari tempat duduk.

“Tak sempat pizza ni nak hadam dalam perut I,” bebel Elaine seraya menyuap sup cendawannya.

Aku tergelak. “Dulu selalu macam ni juga ke?”

Khairul mengangguk. “Biasanya bila nak shooting untuk majalah aje. Once a month merasalah kalau nak tidur kat studio. Nasib baik Mrs Jazzy tak letak asrama dalam bangunan ni, kalau tidak I rasa nak sewa satu.”

Elaine mencebik. “Eleh.”

10 minutes more! Otherwise we will have to sleep in the studio tonight!” Suara Mr George tiba-tiba kedengaran di pintu masuk pantri.

Serentak dengan itu berkumandang bunyi kerusi plastik bertembung dengan lantai berkemasan cement render. Para model yang terlibat cepat-cepat keluar dengan bunyi kasut tinggi mereka menghingarkan suasana.

Sekelip mata hanya tinggal aku seorang saja di pantri. Mak aih, bertuah betul semua orang! Tinggalkan kotak-kotak pizza macam ni aje?

Selepas membersihkan meja pantri ala kadar, aku terus ke studio yang pastinya sudah memulakan pengambaran. Elaine memberikan isyarat mulut, bertanya sama ada aku mahu pulang ataupun tidak.

Aku menggelengkan kepala. Walaupun sesi aku sudah tamat tadi, rasanya macam tak seronok aje kalau aku tinggalkan mereka semua. Nanti apa pula kata Mr George.

Cucukan di pinggang membuatkan aku hampir menjerit sebelum akhirnya aku menutup mulut. Pergh! Siapa pula yang nak kacau aku ni? Aku berpaling ke arah belakang.

“Ya ALLAH! Auni rupanya! Akak ingat siapalah tadi,” bisik aku seraya terus memeluknya.

Rayyan yang berdiri di sebelah isterinya itu tersenyum panjang. “Mrs Jazzy kata kau kat studio tadi.”

“Kau jumpa dia?”

Rayyan mengangguk. “Ada di bawah.”

“Eh, jom keluar. Susah nak cakap.” Aku menarik tangan Auni untuk keluar dari situ. Takkan nak tarik tangan Rayyan pula!

“Korang berdua buat apa kat sini?” Aku menyoal setelah menutup pintu studio.

“Kami pergi makan dekat kawasan sini tadi. Dah alang-alang, Ray ajak datang sini jumpa Mrs Jazzy. Nak tanya pasal baju untuk kenduri bulan Mei nanti,” ujar Auni dengan lembut.

Wajah isterinya itu kelihatan bercahaya. Aku aje yang perasan ke atau orang kata itulah seri seorang isteri? Ke dah berisi ni? Tersengih-sengih aku apabila terfikirkan soal itu.

“Oh, ha’ahlah. Akak pun terlupa pasal kenduri korang berdua tu.” Aku menepuk dahi.

“Akak ambil sekali aje, sebab keluarga kami cadang nak buat sekali harung. Jadi, tak adalah majlis sebelah lelaki atau perempuan.”

“Okeylah macam tu, senang sikitkan?”

Rayyan mengangguk. “Lagipun nanti Haikal nak bertunang minggu yang sama dengan kenduri tu. Mummy dan daddy datang sini untuk dua agenda besar.”

Terbeliak mata aku apabila mendengar Haikal pula mahu mengikuti jejak langkah adiknya. Hisy. Mulalah aku rasa nak kahwin ni!

“Apa pasal tak kahwin aje terus? Meriah sikit majlis kahwin kau nanti,” usik aku.

“Hisy. Mana boleh. Kasihan Haikal. Nanti wartawan dah confirm hightlight cerita pasal aku. Maklumlah artis popular, kan?” usik Rayyan sebelum lengannya dicubit oleh Auni.

“MasyaALLAH, abang ni perasan betul! Ei…”

Aku tergelak melihat mereka berdua. Dari ekor mata, aku nampak ada figura dua orang lelaki sedang berjalan ke arah kami.

“Eh, abang!” tegur Rayyan.

“Ray! Lewatnya datang sini?” Faiq menyoal.

Shahmi memberikan senyuman ke arah aku. Maka terpaksalah aku membalasnya. Sesekali aku melihat jam tangan.

“Akak balik dengan siapa nanti?” soal Auni tiba-tiba.

Serentak dengan itu, Faiq dan Rayyan berpaling ke arah aku. Err… Aku ada buat salah ke? Kenapa mereka bertiga ni pandang aku?

“Emm… Belum tahu.” Aku menjawab ringkas.

“I hantar you baliklah kalau macam tu,” ajak Shahmi.

“Ju, awak lupa ya kita ada discussion sikit? Saya hantarkan awak balik nanti lepas kita meeting.” Faiq pula mencelah.

Ops! Apa pasal dengan mereka berdua ni? Daripada aku balik dengan mereka berdua, baik aku tumpang balik dengan Rayyan! Adus, kenapalah aku tak terfikir tadi?

Namun, anak mata Faiq yang memandang tajam ke arah aku seolah-olah menghantar isyarat. Dengan cepat, aku menangkap isyarat itu.

“Alamak, lupa! Shahmi, terima kasih banyak tapi I lupalah, ada janji sikit dengan Faiq. Ada projek baru,” kata aku sambil tersengih.

Menipu sungguh! Aku menjegilkan biji mata ke arah Faiq sewaktu lelaki itu tersenyum.

Are you sure? Projek apa? Ada projek baru ke bos?” soal Shahmi kepada Faiq dengan dahi berkerut.

Giliran aku pula menghantar isyarat mata ke arah lelaki itu. Mujurlah dia faham!

“Ah, ya, ya. Projek kenduri kahwin Ray nanti. Zulaikha jurufoto masa tu dan dia kan merangkap assistant Ray juga. Dia orang berdua dua pupu. Nanti dah settle hal ni, baru aku bincang dengan korang di pejabat.”

Aku menarik nafas lega manakala Rayyan mengangkat keningnya ke arah aku, seolah-olah meminta penjelasan. Mujur jugalah dia tak tanya apa-apa! Aku mengetap bibir lalu membuat isyarat bahawa aku akan beritahunya nanti.

Rayyan membuat muka. Auni pula tersenyum. Aku menahan ketawa. Terima kasihlah Faiq sebab menyelamatkan aku daripada dihantar pulang oleh Shahmi! Bagus juga ada kawan yang simpati dengan nasib aku.

“Nanti awak telefon saya bila dah habis okey? Saya nak keluar sekejap. Ray, abang telefon nanti bila perbincangan kami dah selesai.” Faiq memberitahu sebelum dia berlalu pergi dengan Shahmi setelah menyalami Rayyan.

Aku melihat saja mereka turun ke tingkat bawah dengan menggunakan lif. Rayyan sudah mula mencekak pinggang. Alamak, aku nak cakap apa?

“Okey Airin Zulaikha Shane, baik kau jelaskan apa yang berlaku tadi. Kenapa aku tak tahu sepanjang kau di Malaysia, dah dua orang jejaka kau tambat hati mereka?”

“Hoi! Mana adalah,” tingkah aku dengan cepat.

“Habis tu, apa yang berlaku tadi?” Rayyan berkata sambil menyilangkan tangannya pula.

“Err…”

Auni tergelak tiba-tiba. “Apalah abang ni. Itupun tak boleh tangkap ke? Kak Ju nak larikan diri daripada siapa nama abang tu… Shahmi eh? Hah! Abang Faiq selamatkan dia dengan berpura-pura cakap nak hantar Kak Ju balik. Betul tak?”

Aku memetik jari. “Pandai pun Auni!”

Rayyan menggaru kepalanya. “Kenapa pula?”

“Lembap.” Aku mengusiknya.

Auni menampar lembut lengan Rayyan sebelum memberitahu suaminya. “Adalah tu yang Kak Ju tak suka dengan Abang Shahmi. Tak payahlah abang tahu. Nanti Kak Ju cerita bila dia ada masa. Kan kak?”

Aku tersenyum lebar. Nasib baik bini dua pupu aku ni tak lembap macam laki dia! “Nantilah aku cerita kat kau. Tak payah kau pening kepala. Aku masih solo dan tak jatuh cinta lagi dengan mana-mana lelaki.”

“Okey, okey… Yang pasti aku nampak Shahmi tu macam suka kat kau aje,” usik Rayyan.

Wajah aku mula merona merah. Isk, kalaulah dia tahu Shahmi tu bekas pakwe aku masa sekolah dulu… Itu saja rahsia yang aku simpan daripada Rayyan mahupun Haikal. Yalah, cinta monyet yang tak jadi, buat apa nak diuar-uarkan jadi gosip sensasi, kan?

“Eh, okeylah. Aku nak masuk studio semula.” Aku berkata setelah menyedari agak lama kami berada di luar studio.

“Kami pun dah nak balik. Telefon nanti kalau ada apa-apa. Kirim salam Aunty Ina.” Rayyan berkata.

Aku pura-pura membuat tabik hormat sebelum ketawa dan menyalami Auni. “Baik! Take care both of you.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku