Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 27
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1094

Bacaan






FAIQ merenung benang-benang kait yang tersusun di hadapannya. Meriah! Ada banyak warna untuk dipilih tetapi dia keliru kini untuk menyatukan warna-warna bagi menghasilkan produk baby beanie.

Itupun setelah dia mengambil pertimbangan yang agak lama kerana kebanyakan kliennya bertanya soalan yang sama. Bila nak buat produk untuk bayi?

Setakat ini Faiq hanya mengambil tempahan kecil-kecilan. Namun, baru kini dia mahu melancarkan secara rasminya set beanie dan boot. Matching set!

Lelaki itu mengeluh kecil. Kan bagus kalau dia ada kawan untuk sama-sama membantu? Ataupun dengan kata lain, tolong pilih warna yang sesuai dan juga tolong pos. Tak adalah dia berkejaran hampir setiap hari untuk menghantar pos kepada klien.

Ah, tak guna merungut, bisik hati kecilnya. Inilah padah daripada bisnes suka-suka, terus jadi bisnes serius. Faiq semakin keliru untuk memilih warna. Haruskah aku bertanya kepada sesiapa? Shahmi? Isk, buat apa! Dah tu, Eryna? Lagilah tak logik.

Mereka berdua tu satu pejabat. Nanti mesti tanya untuk apa. Takkan aku nak kata untuk projek baru yang mereka sendiri tak tahu? Hmm, Zulaikha? Faiq berfikir sejenak sebelum membuat keputusan.

Yes boss!” Suara Zulaikha kedengaran di hujung talian.

“Assalamua’laikum.”

“Ops! Wa’alaikumsalam Encik Faiq. Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” soal Zulaikha seraya menyambung tawanya.

“Awak tengah sibuk ke?” soal Faiq.

“Tak. Kenapa?”

“Saya nak tanya awak sikit. Yelah, perempuan ni taste dia lain sikit daripada lelaki.”

Zulaikha terdiam sekejap di hujung talian. “Taste apa?”

Faiq tergelak. “Saya nak minta cadangan awak. Emm, ada satu majlis cukur jambul bayi ni. Saya tak biasa handle. Dia orang nak kami proposed, jadi saya nak pilih warna lembut sebagai latar belakang buaian. Selalunya warna macam mana eh yang okey pada awak untuk majlis macam ni?”

“Oh… untuk baby ya?”

“Ha’ah.”

“Emm… Kalau dulu masa saya di Dublin, banyak parents suka warna baby blue atau warna yang lembut-lembut. Mungkin awak boleh cuba gabungkan kain yang berwarna peach, putih dan baby blueatau light green.”

“Hah, ataupun gabungan merah jambu dan turqoise pun cantik. Buaian awak hias dengan warna putih dan bunga-bunga kecil warna ungu lembut yang satu nada dengan merah jambu.”

Baru saja Faiq nak membalas, Zulaikha menyambung lagi, “itu kalau nak warna yang soft. Mungkin awak boleh bagi cadangan untuk warna yang lebih klasik. Contohnya guna kain satin warna maroongelap dan putih. Lepas tu ada sikit-sikit bunga warna kuning keemasan.”

Sambil bercakap di telefon, Faiq mengambil contoh-contoh warna benang kait yang disarankan oleh Zulaikha lalu mengumpulkannya di sudut penjuru katilnya.

Dia tersenyum lebar. “Hmm, okey juga. Pandai betul awak pilih warna.”

Zulaikha ketawa. “Awak ni, saya dulukan handle untuk bahagian fotografi kanak-kanak. Adalah sikit-sikit ilmu.”

Faiq berpuas hati walaupun terpaksa menipu sedikit. “Terima kasih banyak Ju. Hilang terus migrain saya.”

“Tak ada hal. Okey aje. Yang awak ni dah jam sebelas malam fikir pasal kerja lagi buat apa?”

“Emm, klien nak urgent.”

“Isy, lain kali minta tangguh sikitlah. Klien tu memanglah kita kena jaga hati tapi awak pun kenalah fikirkan hal pekerja-pekerja awak yang lain. Nanti kalau dia orang asyik buat overtime, mesti dia orang lari.”

Faiq ketawa. “Awak ni marahkan saya ke atau awak nak marah Mr George yang selalu tak ingat masa untuk berhenti rehat tu?”

“Err… Iya juga,” ujar Zulaikha lalu tergelak.

“Eh, awak tengah buat apa tak tidur lagi ni?” Faiq menyoal seraya membaringkan diri di atas katil.

Tiba-tiba saja malasnya datang bertandang. Rasa seronok pula nak berbual dengan Zulaikha di telefon. Selalunya hanya berbalas mesej menggunakan aplikasi WhatsApp.

**********************************************

AKU memikirkan jawapan yang tepat untuk diberikan kepada Faiq yang bertanya. Nak cakap aku tengah buat apa sekarang eh? Termenung teringat boyfriendlama, boleh tak?

“Layan perasaan.” Aku berkata ringkas seraya menghempaskan diri di atas katil setelah menyepak kotak besar berisi kenangan aku dan Amsyar ke tepi meja tulis.

Tension kerja ke?”

“Tak juga.”

“Habis tu?”

Suara Faiq kedengaran sayup-sayup saja. Keheningan malam ini pula menambahkan rasa syahdu di hati. Ini kalau cerita pada Faiq ni, gerenti boleh leleh air mata.

“Teringat…”

Boyfriend lama?”

Pergh! Terkedu aku mendengarnya. Faiq ni macam tahu-tahu aje. Apa patut aku buat sekarang? Mengaku?

“Awak ni kan…”

“Betullah tu.” Faiq cepat-cepat menjawab.

Aku mengiringkan tubuh ke kanan lalu mendakap bantal kecil ke dada sambil membiarkan telefon bimbit berada di telinga kiri. “Mana awak tahu?”

“Perempuan. Kalau malam aje mesti teringat kisah lama. Alah, saya faham sangat.”

“Ouh, awak mesti ramai kawan perempuan, kan?” Aku mengacahnya.

Faiq ketawa. “Tak juga tapi saya banyak membaca. Awak tak payah fikir pasal perkara yang dah lepas. Bukannya awak boleh bawa sampai bila-bila. Kenangan tu semua hanya akan menyekat laluan awak untuk bergembira atau memulakan hidup baru.”

“Saya tahu tapi…”

“Shahmi tu bukan jodoh awak. Jangan risaulah, awak akan dapat lebih baik. Hilangkan dia dari ingatan.”

Aku melopong apabila mendengar nama Shahmi sebelum ketawa berdekah-dekah. Mesti Faiq ingat aku dah gila.

“Oits! Apa pasal gelak pula? Saya tengah cakap serius, awak boleh ketawa.” Faiq berkata dengan kuat.

“Suka-suka aje awak serkap jarang, kan? Bukannya Shahmi!” tingkah aku lalu menggolekkan badan semula menghadap ke siling.

“Aik? Oh, banyak boyfriend rupanya awak ni,” usik Faiq.

Aku tergelak lagi. Susah betul cakap dengan lelaki ni. Ada aje agendanya nak mengusik aku. Sambil meletakkan tangan kanan di atas dahi, aku mendengar omelannya lagi.

“Okeylah, tak kisahlah ex-boyfriend awak yang mana satu, janji benda tu kenangan lama. Cuma kalau dia datang balik, err tu saya tak boleh nak nasihatlah. Sebab perasaan tu awak saja yang tahu,” ujar Faiq.

Aku mengeluh kecil. Patut ke aku cerita? Mungkin sebagai lelaki, dia lebih tahu. Lagipun, dia bukannya kenal Amsyar. Boleh juga aku tanya pendapatnya daripada sudut seorang lelaki.

“Saya nak tanya awaklah. Kalau seseorang lelaki tu tinggalkan kita begitu saja selepas lama bercinta, lelaki tu memang tak suka kita ke atau saja nak menguji?” Aku menyoal.

Faiq terdiam seketika. “Dah lama ke dia menyepi?”

“Emm… Adalah dalam empat tahun.”

“Lamanya! Lepas break up tu, ada dia cari awak?”

Soalan Faiq membuatkan hati aku jadi sayu. “Tak ada…”

“Jadi…”

“Emm…”

“Ju, awak sendiri tahu jawapannya, kan?”

Aku mengetap bibir. Rasa nak lari daripada terpaksa mengakui hakikat itu. “Entahlah. Masalahnya kami tak ada masalah. Dia minta putus macam tu aje. Lepas tu langsung saya tak dengar cerita. Bila saya cari dia, semua orang tak tahu ke mana dia pergi.”

“Ju, sikap seorang lelaki itu berbeza tapi kebanyakannya lebih suka sembunyikan perasaan mereka atau merahsiakan beberapa perkara yang dirasakannya tidak penting.”

Aku menarik nafas panjang dan cuba mendengar pendapat Faiq. Mungkin ada baiknya aku cuba menuruti nasihatnya.

“Dah lama awak bercinta dengan lelaki tu?”

“Hmm, lama. Dalam enam tahun.”

“Lama tu.”

“Itulah…”

“Awak balik sini, tak nak cari dia semula ke?”

Ayat Faiq membuatkan aku terkedu. Rasanya dah banyak kali aku berjanji pada diri sendiri supaya melupakan Amsyar yang tidak pernah cuba mencari aku lagi.

“Saya rasa tak.”

“Tapi awak masih ingat dia lagi.”

Aku mengeluh berat. “Manalah saya tak ingat Faiq, jam dua belas tengah hari kami masih mesej bersayang-sayang, jam enam petang dia minta putus dan terus menghilangkan diri sampai sekarang. Awak rasa tak apa yang saya rasa?”

“Ju…”

Tanpa sedar, air mata aku deras mengalir. Masih jelas di ingatan, mesej itu membuatkan dunia aku gelap gelita. Puas aku telefon dan mesej Amsyar selepas itu tetapi dia langsung tidak memberikan sebarang jawapan.

“Jangan menangis Ju. Awak kena kuat. Saya pasti dia ada alasannya yang tersendiri. Anggap saja dia berlalu dari hidup awak kerana ALLAH mahu memberikan awak orang yang lebih baik walaupun pada awak, dia sudah hampir sempurna,” nasihat Faiq dengan lembut.

“Sampai sekarang saya tak tahu apa salah saya,” ujar aku sambil menahan tangisan.

“Kadang-kadang tidak mengetahui sesuatu itu lebih baik Ju. Kalau kebenaran itu muncul depan mata, bimbang hati kita tidak dapat menerimanya.” Faiq berkata lagi dengan perlahan.

Ayatnya yang terakhir berulang-ulang di minda. Mungkin benar kata Faiq, kebenaran itu kadang-kala menyakitkan. Aku tidak tahu sama ada kehilangan Amsyar secara tiba-tiba itu memberikan aku kehidupan yang lebih baik atau sebaliknya. Sesungguhnya tiada yang lebih mengetahui daripada DIA Yang Maha Esa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku