Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 29
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1607

Bacaan






Disember 2006 : Seksyen 7, Shah Alam

BERDEKAH-dekah ketawa aku apabila mendengar omelan Amsyar tentang seorang lelaki lembut yang mengejarnya di hostel kebelakangan ini. Tak sangka, ada juga kaum sejenis yang minat dengannya!

“Ju, saya serius ni,” ujar Amsyar sambil mengerutkan dahi.

Aku tergelak lagi. Rasa tak tahan nak ketawa sebab boleh bayangkan lelaki itu sentiasa menunggunya berhampiran bilik hostel.

“Habis tu, awak nak buat apa? Report kat warden?” Aku menyoal sambil menyedut air kopi susu ais.

Suasana petang ini terasa sangat nyaman dengan cuaca yang mendung. Cuti semester baru saja bermula dan kebanyakan pelajar telahpun pulang ke kampung halaman. Aku dan Amsyar berjanji untuk menghabiskan masa dua tiga hari ini bersama sebelum kami pulang ke rumah keluarga.

“Tak adalah. Saya biar aje. Lagipun dah cuti sekarang. Moga-moga dia lupalah bila datang semester depan,” ujar Amsyar lalu tergelak.

Aku tersenyum sambil melihat wajahnya yang sangat tenang itu dengan penuh kasih. Hubungan kami sudah menjangkau tiga tahun. Tidak sangka, pertemuan singkat semasa minggu orientasi membuatkan kami menjadi lebih rapat.

“Ju, lepas habis belajar kita kahwin nak?”

“Hah?”

Amsyar senyum. “Saya sayang awak.”

Tersengih aku apabila lelaki itu meluahkan perasaan. “Awak ni kan, dekat kedai makan pun boleh nak feeling.”

“Bila orang tu dah sayang, kat mana-mana pun dia akan nampak bayangan orang yang dia sayang aje,” usik Amsyar seraya membuatkan wajah aku merona merah.

“InsyaALLAH. Ada jodoh tak ke mana. Tapi macam mana awak pasti orang tu adalah saya?”

Amsyar tersenyum. “Sebab orang tu sentiasa dalam doa saya.”

Lelaki itu benar-benar boleh buatkan aku nanar. Setiap senyumannya, perilakunya dan kata-katanya sentiasa nampak ikhlas dan penuh berisi. Dia tidak pernah marah mahupun cemburu buta.

Amsyar adalah seorang lelaki yang sangat baik pada aku. Malah dia juga tidak pernah cuba mengambil kesempatan untuk mengbuat perkara-perkara yang mungkar sebelum kami berkahwin. Kadang-kala aku hairan juga, macam manalah dia menahan perasaannya?

“Assalamu’alaikum. Zulaikha?”

Aku mengangkat wajah sambil menjawab salam seorang lelaki. Shahmi! Terbuntang biji mata aku melihat dia muncul di sini. Amsyar pula nampak terpinga-pinga.

“Shahmi! Apa awak buat kat sini?”

“Saya sambung belajar kat sini. Awak sihat ke Zulaikha?” soalnya sambil menarik kerusi untuk duduk bersebelahan dengan aku.

Oits! Kurang asam betul. Dia tak nampak ke pakwe aku tengah pandang tu? Ke pura-pura tak perasan? Amsyar mengangkat keningnya.

“Am, ini Shahmi, kawan saya. Shahmi, ni Amsyar. My future husband,” usik aku untuk menutup rasa gugup.

Really? Are you sure?”

Soalan Shahmi membuatkan aku terasa seperti ingin menampar mulutnya. Amboi! Suka hati saja cakap macam tu. Dah lah tak malu terus duduk sini!

“InsyaALLAH.” Aku menjawab ringkas sambil membuat muka menyampah.

Shahmi tersenyum lalu memandang ke arah Amsyar. Mereka saling bersalam di antara satu sama lain dan membuatkan aku rasa seperti ada benda yang tidak kena.

“Kawan sekolah ke?” tanya Amsyar.

Shahmi mengangguk. “My ex-girlfriend.”

Hah?! Terbeliak terus mata aku apabila Shahmi memberitahu Amsyar. Lelaki itu buat muka selamba sedangkan Amsyar pula aku pasti rasa tidak selesa.

“Weh!”

“Rilekslah Ika. Betul apa?”

Tergamam aku nak menjawabnya. “Mana Eryna awek kesayangan awak tu?”

Sengaja aku nak kuatkan sedikit suara supaya Shahmi sedar dan Amsyar juga tidak salah sangka. Namun, Shahmi hanya tergelak sinis.

“Entah. Kami dah putus tahun awal tahun ni. Tak serasi macam kita dulu.”

Aku terdiam. Baguslah dah putus. Tapi kenapa dia perlu cerita pasal ‘kita’ di depan mata Amsyar? Ah, sudah! Shahmi sengaja nak cari pasal!

“Hmm, jomlah kita balik Am. Tadi awak kata nak singgah Tesco beli barang, kan?” Dengan cepat, aku mengajak Amsyar yang sedang meneguk air tehnya.

“Awak duduk dulu. Saya pergi bayar sekejap,” ujar Amsyar sambil tersenyum.

“Dah lama couple?” soal Shahmi, tepat menembusi anak mata.

Aku mengangguk dengan pantas.

“Okey ke?”

“Apa maksud awak?”

“Ika, I want you back.”

What? Gila ke?”

Shahmi menggelengkan kepala. “Eryna bukanlah gadis yang terbaik. Saya dah fikir masak-masak. Sebab tu saya sanggup datang belajar sini untuk dekat dengan awak.”

Tiba-tiba saja aku rasa dunia aku gelap gelita. Shahmi ni tak betul agaknya. “Shahmi, cerita kita dah tamat tiga tahun lepas. Stop dreaming about it!

No. I will wait for you,” bisik Shahmi sehingga membuatkan aku dengan spontan berdiri tegak.

Amsyar muncul di sisi sambil tersenyum. “InsyaALLAH kalau ada rezeki, kita jumpa lagi Shahmi.”

Mereka berdua bersalam sekali lagi sebelum kami mengundurkan diri. Shahmi memberikan pandangan penuh makna kepada aku sehingga aku rasa nak baling saja gelas ni kepadanya!

“Kenapa awak nampak pucat?” soal Amsyar semasa kami masuk ke dalam kereta Kancilnya.

“Oh? Sakit kepala pula.”

“Hmm, tulah… Saya cakap tadi jangan minum kopi. Awak tu kan ada migrain. Jom saya hantar awak balik rumah. Rehat dulu, esok pagi baru kita pergi Tesco ya?” Amsyar berkata dengan lembut.

Aku mengetap bibir. Dia langsung tidak bertanya tentang Shahmi dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Aku menjadi sedikit lega dengan adanya teman yang memahami.

Namun, sejak itu Shahmi mula menghambat diri aku. Pantang aku bersama Amsyar, dia pasti datang mencelah. Sakitnya hati!

****************************************************

“ZULAIKHA.” Faiq bersuara.

“Hah?” Aku terus kembali ke alam realiti.

Inilah padahnya bila lama sangat menunggu menu tiba. Akhirnya aku terus terbuai perasaan lama. Mujurlah setelah hampir setahun Shahmi cuba menarik perhatian aku, akhirnya dia mengalah.

Kata Helmi yang sememangnya sejak dulu menjadi spytidak bertauliah aku itu, Shahmi sudah kembali bersama Eryna. Itupun sebab dia tahu daripada orang lain. Ha, baguslah tu. Lega betul aku lepas tu sebab tak perlu menghadap Shahmi lagi.

“Awak teringat lagi,” usik Faiq.

“Eh, tak! Saya terfikir kenapa lambat sangat menu ni sampai. Tak ada chef ke atau dia orang tengah beli bahan kat pasaraya ke atau…”

Faiq terus tergelak. “Jangan buat lawak Ju.”

Tersenyum aku melihat wajah Faiq yang tak ada rupa Melayu itu ketawa. Kedua-dua belah lesung pipitnya betul-betul nampak comel.

“Mana Ray ni? Kata jam dua nak jumpa?” soal aku seraya menyedut air mangga yang sudah tinggal hampir separuh.

“Dia mesej saya tadi. Lambat sikit sebab baru lepas shooting drama.”

“Hmm, macam tulah artis.”

“Dua pupu awak juga.”

“Faiq, saya nak tanya awaklah.” Aku terus berkata tanpa membalas usikannya.

“Satu soalan berharga sepuluh ringgit,” ujar Faiq dengan selamba.

“Ah, masuk aje buku 555. Tahun depan baru saya bayar,” seloroh aku.

“Dulu masa awak buat syarikat ni, Shahmi dan Eryna masuk sekali ke?”

Faiq mengangguk. “Lima tahun lepas ketika saya mula-mula buka syarikat.”

“Dia orang okey?”

“Alhamdulillah, dia orang banyak bantu saya. Both of them are truly workaholic people,” puji Faiq.

Aku mengeluh tiba-tiba.

“Kenapa?”

Tisu putih yang berada di atas meja itu aku pintal. Sekejap lagi ada yang makan tisu cicah air mangga ni! Lapar sungguh rasa, manalah Nasi Kari Hijau Ayam aku ni?!

“Awak mesti sayang dia orang kan? Nanti kalau saya kutuk dia orang, awak pergi mengadu pula,” kata aku.

Faiq ketawa tiba-tiba. “Awak ni, dia orang tu pekerja saya. Hal peribadi mereka saya tak campur. Awak pula kawan saya. Hah, kan beza tu?”

“Aik? Takkanlah awak tak kawan dengan dia orang? Awak anggap dia orang pekerja awak aje ke?”

“Bukan… Saya bukan jenis kawan makan kawan. Lagipun hal kau orang semua tu hal lama. Macam saya cakap, buat tak tahu aje. Anggap mereka tu semua kawan baru awak,” nasihat Faiq.

Aku mengangguk. “Senangnya kalau saya boleh berfikiran begitu.”

“Awak boleh. Awak kena kuat. Lawan Shahmi, lawan Eryna. Bukanlah bergusti, tapi lawan daripada segi mental. Jangan jadi Zulaikha yang lembik macam dulu.”

“Isy! Mana awak tahu saya lembik dulu?!” Aku menjegilkan mata lalu berpura-pura mahu menumbuknya. Faiq ni memang suka betul cari pasal!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku