Jual Beli Cinta (Saat Kau Pilih Aku)
BAB 35
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 05 Mac 2015
Karya ini sudahpun diterbitkan dam bentuk cetakan dan digital. Dapatkan naskhah anda hari ini.
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5314

Bacaan






AKU menghadap komputer riba yang terbuka sejak tadi. Mama sudah memberikan kata dua. Dia mahu aku ikut ke Singapura walaupun aku memberikan alasan aku sudah selesa tinggal di Malaysia.

Rayyan pula kata, dia akan cuba membantu mana yang patut. Namun aku tahu, sejauh mana sangatlah Rayyan boleh tolong aku dalam soal ini. Aku meraup wajah dan mengambil pengikat rambut yang terdampar di tepi komputer.

Sambil mengikat rambut yang sudah panjang hampir ke paras pinggang, aku membaca emel terbaru daripada Helmi. Seperti biasa, aku pasti tersenyum melihat tulisannya. Sama seperti Faiq, mereka berdua banyak menasihati aku.

Assalamua’laikum Ju,

Lambat betul kau reply emel aku kali ni! Musykil siapa yang lebih busy. Aku ke kau? Apapun, terima kasihlah sebab balas walaupun aku ingat kau dah lupa kat aku bila ada kawan baru kat sana. Sobs!

Yeah, macam kau cakap… Eryna masih berusaha tanya aku tentang kau. Entahlah, aku tak fahamlah dengan dia! Apa yang dia nak daripada kau sebenarnya? Dia dah dapat Shahmi tu sudahlah, kan? Isy, tak faham betul aku perempuan ni!

Mujurlah kat sana ada Faiq. Lega sikit aku rasa bila kau dapat sahabat yang sudi dengar keluhan. Maklumlah, aku ni jauh di mata walaupun dekat di hati kau, kan?! Hahaha~ Cuma, kau kawan aje tau dengan Faiq! Jangan lebih-lebih. Nanti aku jealous. Bluwek!

Till then, jangan lupa makan dan jaga diri baik-baik. Aku belum tahu bila nak ke KL. Jangan tunggu aku Ju. (sure aku kena penampar kalau cakap macam ni depan-depan kau, kan? Haha) Ingatlah, setiap perkara yang berlaku tu ada kebaikannya. Pandang dari sudut positif. InsyaALLAH segalanya pasti akan berakhir dengan kebahagiaan. Kuatkan diri kau!

Aku, Helmi.

Terima kasih Helmi. Aku tahu, kau memang selalu perasan aku suka kau tapi percayalah, aku tak ada hati dengan kau! Aku masih mengukirkan senyuman tatkala membalas emelnya.

Setelah itu, aku kembali menutup suis komputer dan mencapai majalah Fashion Queen keluaran terbaru di tepi katil. Sambil membaringkan diri, aku membelek majalah tersebut dan teringat mesyuarat yang dijalankan petang tadi.

“MULAI bulan hadapan, kita akan rombak konsep majalah Fashion Queen. Selepas ini kita bukan saja ada ruangan fesyen, tapi kita akan mula mengetengahkan bakat-bakat jurufoto yang kita ada. Mr George akan pilih seorang daripada jurufoto setiap bulan untuk diberikan assignment dan akan diletakkan di ruangan tersebut. Temanya bebas tapi mestilah ada cerita tentang kemasyarakatan,” ujar Mrs Jazzy dengan panjang lebar.

Wanita bekerjaya yang sentiasa nampak anggun itu menyarungkan sut pakaian warna emas putih yang pastinya direka sendiri. Secara peribadi, aku kagum dengan personalitinya yang nampak elegan, tegas tetapi tidak pernah memijak orang-orang bawahannya.

Dia sentiasa boleh dibawa berbincang dan segala yang dilakukannya nampak seperti magik. Semuanya menjadi dan tidak hairanlah, kejayaan Fashion Queen naik secara mendadak.

“Zulaikha, jumpa saya sekejap.” Mr George menggamit aku semasa kami semua mahu keluar dari bilik mesyuarat.

You tooKhairul,” panggilnya.

Kami berdua duduk di sebelah kanan Mr George. Lelaki yang berbangsa British dan fasih berbahasa Melayu itu berdehem perlahan.

“Khairul, I nak minta you tolong I untuk ruangan majalah Fashion Queen. Buatkan senarai dan topik untuk setiap jurufoto kita pilih. Untuk permulaan, I nak Zulaikha buat assignment ni.”

Aku terkejut. Mr George percaya dengan kerja aku selama ini ke? Rasa macam tidak percaya apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi orang yang pertama dari bahagian fotografi yang akan muncul di majalah.

“Terima kasih Mr George. Cuma I nak tanya, maksud Mrs Jazzy pasal kemasyarakatan tadi macam mana?” soal aku.

Anything. You boleh ambil gambar kehidupan masyarakat di Kuala Lumpur ni atau apa saja yang menarik perhatian you untuk bercerita. You have to do an article also Zulaikha. Tak perlu banyak seperti wartawan. Gambar-gambar akan menceritakan perkara itu sendiri,” ujar Mr George sambil memusingkan pennya.

Aku mengangguk perlahan. Khairul memandang ke arah aku dan menyoal, “any ideas?

“I ada terfikir… Contohnya kalau I ambil gambar di rumah anak-anak yatim ataupun orang-orang tua dan letak dalam majalah tu, sekali dengan artikel untuk membolehkan orang menderma, you rasa okey ke?” Aku menyoal Khairul.

That’s good! I think you can select that one!” celah Mr George sambil menepuk kedua belah tangannya.

Khairul tersenyum lalu mengangguk. “Ya, dengan cara itu kita boleh menarik perhatian orang di luar sana. You ambil gambar yang penuh dengan emosi, Zulaikha.”

“Benar kata Khairul. You boleh capture wajah anak-anak tu punya expression. Make it looks meaningful. Kita diberikan 6 helai halaman. Jadi, you boleh fikirkan apa yang you nak letak. Mungkin sedikit interbiu dengan mereka ke?”

“Aik, tadi kata tak mahu kita jadi macam wartawan?” usik Khairul kepada Mr George.

Lelaki yang hampir separuh abad itu ketawa. “Bukanlah banyak. Sikit aje. Cukup untuk membuatkan orang lain dapat informasi dan faham bila baca.”

“Kalau macam tu, bila dateline?” Aku menyoal.

“Kalau dalam masa seminggu ni macam mana? Sempat tak? Ambil gambar aje, kan?”

Aku menjeling tajam ke arah Khairul. “Orang nak ambil gambar pun kena ada feeling, baru jadi cantik.”

Kedua-dua lelaki itu ketawa. “Satu atau dua minggu cukup. Sebab nanti bahagian grafik kejar kita.”

Aku tersenyum. Selesai masalah mereka tetapi bermulanya masalah untuk aku. Di mana pula aku nak cari rumah anak-anak yatim atau yang seangkatan dengannya?

**************************************************

“AIK? Awalnya bangun?” Mama menyoal semasa dia menuruni tangga rumah.

“Nak buat research sikit di pejabat,” ujar aku sambil menyuap roti bakar yang dilapisi mentega kacang dan cokelat.

Mama meletakkan beg tangan dan fail serta majalah Wanita yang selalu dibacanya itu di atas meja. Kemudian dia berlalu ke dapur.

Aku pula secara spontan menatap majalah Wanita yang diletakkan oleh mama sebentar tadi. Keluaran terbaru agaknya sebab tak pernah nampak sebelum ni.

Lantas, aku mencapainya. Mesti nanti mama kata aku buat tabiat, tak pernah nak baca majalah tapi tiba-tiba aje sibuk nak membelek.

“Ada artikel Datin Rosie yang kawan mama dalam tu,” ujar mama semasa dia muncul dan menatang mug berisi oat cokelat segera yang memang selalu dibancuhnya.

“Oh, iya ke? Pasal apa?” Aku menyoal seraya membelek halaman demi halaman.

Kebanyakannya menceritakan hal rumahtangga yang pada aku sangat berguna untuk kaum wanita. Selain itu ada juga informasi tentang dunia kerjaya dan masakan.

“Pasal rumah kebajikan yang ditubuhkannya.”

Serentak dengan itu, mata aku tertancap ke arah ruangan yang mempamerkan cerita tentang rumah anak-anak yatim piatu di Sungai Buloh.

“Ini ke?” soal aku.

Mama yang duduk di hadapan aku menjeling sedikit ke arah majalah sebelum mengangguk. Mata aku terus bercahaya. Yeah! Satu lagi masalah akan diselesaikan!

“Mama! Boleh tak kalau mama bawa Ju pergi jumpa Datin Rosie? Sebenarnya Ju ada assignment untuk majalah syarikat. Nak cari rumah kebajikan untuk ambil gambar dan buat artikel.”

“Lah, ye ke? InsyaALLAH nanti mama bagitahu dia. Kebetulan pula,” ujar mama.

“Itulah. Alhamdulillah. ALLAH permudahkan jalan. Tak tidur Ju malam tadi fikir macam mana nak buat dalam masa yang singkat ni…”

Aku tersenyum panjang sambil membaca artikel tersebut dan melihat gambar-gambar yang diambil oleh wartawan mereka. Senyuman aku mati ketika melihat seraut wajah yang amat aku kenali di situ!

“Mama, ni siapa?” Aku menunjukkan wajah lelaki itu kepadanya.

“Oh, ini Razif. Anaknya yang tolong dia jaga rumah tu.”

Aku melopong. Razif kawan Faiq tu, anak Datin Rosie? Kenapalah dunia ni sempit sangat. Balik-balik, dia juga yang aku jumpa!

“Kenapa Ju? Ju kenal ke?”

Tanpa sedar, aku mengangguk. “Dialah Mr Chipsmore yang Ju cerita pada mama selama ni!”

“Dia? Razif?” Mama menyoal dengan rasa tidak percaya.

Aku mengangguk pantas. “Ya ALLAH, kau lagi…”

Aku menenyeh wajahnya di situ. Rasa nak ketawa pun ada bila memikirkan takdir kami. Kali ni aku akan tanya kau, siapa kau sebenarnya! Kenapa kita selalu sangat bertemu walaupun untuk seketika dan paling penting, kenapa kau selalu senyum kat aku macam kita dah kenal lama!

“Mama rasakan…”

“Apa dia mama?” Aku menutup majalah lalu diletakkan di tepi piring yang sudah kosong.

Mama tersenyum penuh makna. “Entah-entah Razif tu jodoh Ju?”

“Hisy! Tak adalah!” Aku mendengus kuat sebelum diikuti dengan tawa mama. Ada-ada aje mama ni tau!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku