Cinta: Demam 38°C
Genre: Cinta
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 20 Mac 2015
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)
2119

Bacaan






    Kedengaran bunyi lagu Kuch Kuch Hota Hai bergema. Sophia tersenyum dan dia tidak perlu membaca nama yang tertera di skrin. Telefon bimbit yang terletak di atas meja dicapai dengan kasar.

    “Pukul 12.30 nanti, Munir datang jemput.” Habis saja ayat itu diucapkan, panggilan telefon pun tamat. Sophia terkedu dan matanya membulat. Dia mengomel di dalam hati. Rasa sebal dengan arahan yang diberikan. Dia tidak dibenarkan pun untuk membuat pilihan menerima atau menolak undangan daripada lelaki itu.

    Rasa tidak puas hati berterusan menyerang fikiran Sophia. Inilah kali pertama dia dijemput dan dihantar oleh pemandu syarikat tempat dia bekerja. Senyuman Sophia melebar hingga ke telinga. Hanya satu perkara yang terlintas di kotak fikiran.

    Sophia tersenyum lagi. Pipinya merona merah.

    Jika benar yang diharapkan itu terjadi, dialah insan paling gembira di bumi ini.

    Sophia menyambung nyanyian, walaupun ada perkataan yang dia sendiri tidak tahu. Janji sedap di dengar. Sophia meletakkan tangan di dada lalu berkata, “Ada sesuatu terjadi di dalam hatiku.” Nada dering lagu itu juga dipilih khas untuk si dia kerana telah membuatkan hatinya tidak keruan.

    Habis lagu menyanyikan lagu Hindustan dengan senikata sesuka hati, Sophia menyanyi lagu Bunga-bunga Cinta yang didendangkan oleh Misha Omar. Lagu yang menjadi pilihan sebagai tanda rasa hati yang kala ini sedang berwarna-warni. Pen diambil dijadikan sebagai mikrofon. Kepala dialunkan ke kanan dan ke kiri sambil mata dipejam seakan-akan penyanyi hebat. Sophia bangun dari kerusi lalu mengangkat kaki seperti kebiasaan dilakukan oleh Misha Omar ketika menyanyi.

    “Selamilah diri ini... belailah jiwa nan sepi. Kelayuan... dedaun keguguran. Dahan... dahan kerapuhan. Bunga-bunga cinta... layu di pusara. Hmm... hmm....”

    “Cik Sophia....” Kedengaran suara memanggil.

    Sophia yang dibuai-buai perasaan tidak mendengar panggilan itu. Sekali lagi namanya dipanggil dan barulah dia tersedar daripada perilaku di luar jangkaannya.

    Dia memasamkan muka dan bersuara dengan nada marah, “Berapa kali sudah saya beritahu, sebelum masuk ketuk dulu.”

   Ika merenung lantai. Bukan salah dia serbu masuk tanpa kebenaran ketuanya itu. Sudah berkali-kali dia mengetuk pintu tapi tiada respon. Ika meletakkan fail yang diminta dengan rasa bersalah.

   Sophia merenung tajam wanita itu lalu bertanya, “Kuat sangatkah saya menyanyi?” Dia risau sekiranya ada yang mengadu kepada pihak atasan kerana telah melakukan pencemaran bunyi.

   Ika angkat-angkat kening, sengaja hendak menyakat sebelum menjawab, “Kalau berdiri dekat-dekat pintu dengarlah sangat suara Cik Sophia yang sumbang tu. Mahu meraung Misha Omar melihat gaya Cik Sophia masa menyanyikan lagu dia tadi.” Ika menutup mulut, menahan tawanya keluar.

   Sophia menjeling. Guraun kasar Ika sedikit pun tidak berkesan di hatinya.

   “Cik Sophia diminta untuk mengeluarkan surat kontrak kepada penama yang terpilih temuduga minggu lepas dengan kadar segera. Memo arahan daripada Pengurus Besar ada di dalam fail.”

   Sophia mengangguk. Horizon Sdn Bhd perlukan pegawai pemasaran dengan segera. Puan Zubaidah yang merupakan pegawai pemasaran sebelum ini sudah meletak jawatan kerana mengikut suaminya bekerja di luar negara.

   “Baiklah Puan Ika...” Balas Sophia. Raut wajah Ika sentiasa nampak manis dan ceria itu tidak menampakkan berusia dua puluh lapan tahun. Ibu muda yang mempunyai seorang anak lelaki dan sedang mengandung anak kedua. Dia dan Ika memang serasi dan ada kalanya mereka berdua selesa berbual bersama. Memandangkan Ika tua dua tahun, di luar pejabat dia akan memanggil Ika dengan panggilan ‘kakak’.

   “Buat kerja cepat sikit jangan hendak berangan saja.” Ika mengusik lagi. Dia pun pernah mengalami rasa indah di jiwa, saat kali pertama hati diusik dengan keindahan warna-warni memang berada di awangan melayan angan-angan. Awas! Jangan Sampai sasau jadinya.

   Sophia menaikkan ibu jarinya sebelum Ika beredar dari bilik.

   Sophia memuji wajah jelita pegawai pemasaran yang bakal dilantik. Membaca butiran diri Khayla Rania membuatkan dia kagum dengan pengalaman kerjaya di luar negara wanita tersebut. Semasa sesi temuduga nampak keyakinan terserlah dan hebat dalam berkata-kata. Memang sungguh menyakinkan.

    Dia mengerling jam di tangan yang menunjukkan pukul 12.40 tengahari. Sophia menepuk dahi. Pantas tangan Sophia menutup fail di hadapan dan mencapai beg tangan. Dia berlalu sambil mengukir senyuman manis.

-------------

    Sophia melangkah ke dalam restoran mewah itu. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke restoran itu. Ruang dalam kedai dihias konsep English yang membuatkan dia teruja. Dia meliarkan pandangan mata ke kiri dan ke kanan mencari kelibat si dia yang mengajak dia makan tengahari.

    Pelayan restoran menghampiri dan menunjuk ke arah seorang lelaki yang kelihatan duduk santai. Sebaik saja melihat orang yang dinanti sudah tiba si dia menarik kerusi dan mempersilakan Sophia duduk.

   Hati Sophia bergetar apabila dilayan bak puteri raja. Alunan muzik romantis menambahkan lagi rasa gundah di hati.

   Melihatkan gadis itu tidak senang duduk Yusuf membuka bicara, “Sophia suka dengan muzik ni?”

   “Canon In D, Brian Crain. Biasa saja pun bunyinya,” balas Sophia selamba. Sebenarnya dia bukan tahu sangat dengan pemain muzik di dunia ini tapi dia rajin singgah Youtube untuk menikmati alunan muzik ketika membaca novel.

   Yusuf terkejut mendengar jawapan diberi. Dia sangat berharap gadis itu suka dengan muzik yang dipilihnya namun tekaan meleset. Dia datang awal ke restoran untuk memastikan semuanya dalam keadaan sempurna. Dia menempah tiga kuntum mawar merah untuk diletakkan atas meja tetapi Sophia sedikit pun tidak teruja. Sungguh gadis itu tidak sensitif dengan keadaan persekitaran. Hanya meja mereka ada tiga kuntum mawah merah. Dia mengeluh. Kecewa!

   Pelayan datang meletakkan hidangan di meja. Bulat mata Sophia memandang Yusuf. Sophia protes di dalam hati kerana makanan awal ditempah tanpa bertanya seleranya terlebih dahulu.

   Sophia bertanya sambil menunjuk makanan terhidang, “Encik Yusuf... apa ni?” Dia lebih berselera jika waktu tengahari makan nasi berlaukkan ikan goreng, ulam dan sambal belacan.

   “Roast Lamb With Spring Herb Crumbs.” Jawab Yusuf senyum. Menu kegemaran setiap kali dia berkunjung ke restoran tersebut.

   Memang tekaan Sophia betul. Hidangan yang dipilih oleh Yusuf itu adalah kambing. Dia tidak makan kambing. Sewaktu kecil dia pernah melihat kambing disembelih dan atas alasan kesian kepada kambing Sophia berjanji tidak akan memakan binatang itu. Lagipun bau kambing tidak serasi dengan hidungnya.

   “Saya tidak makan kambing....” kata Sophia perlahan. Dia tidak mahu membuatkan Yusuf berkecil hati tapi dia tidak boleh berlapar. Berlapar mengundang gastik dan akhirnya dia yang akan sengsara sendiri. Dia tidak mahu bermalam di hospital lagi.

   “Oh....”

   Oh! Hanya itu yang keluar daripada mulut lelaki itu? Sophia sebal dengan jawapan yang diberikan lalu memberitahu, “Saya mahumakanan lain.” Dia terkilan sebab si dia telah membuat tempahan tanpa bertanya kepadanya. Namun dia boleh bersabar jika permintaan ditunaikan.

   “Baiklah....” Balas Yusuf sepatah. Sekali lagi dia berkecil hati. Menganalisa gadis di hadapan yang langsung tidak sensitif dan terlalu berterus-terang.

   Hidangan dipesan sampai, dengan laju Sophia menyuakan ke dalam mulut tanpa mempelawa Yusuf. Hanya Club Sandwicmenu yang dirasakan sesuai dengan seleranya.

   Makan tengahari yang hambar dirasakan oleh Sophia. Dia sedar telah memusnahkan suasana sepatutnya seindah daripada biasa. Dia tidak perlu berpura-pura untuk mengambil hati Yusuf. Biarlah lelaki itu menerima dan kekurangan dirinya.

-------------

   Rasa hati yang sangat luka begitu dalam sekali. Sophia melap butiran jernih masih berbekas di pipi. Selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Patutlah Yusuf menyuruh membuat kontrak Khayla Rania dengan segera. Semasa hendak pulang tadi dia melihat kemesraan di antara mereka berdua. Dia memerhatikan wanita itu memeluk mesra lengan Yusuf. Rupanya mereka berdua pasangan kekasih. Saat mata mereka berpandangan, Sophia menunjukkan ibu kanan kepada Yusuf.

   Sophia memicit-micit kepalanya. Mata dikelip-kelipkan. Dia tidak menyenangi rasa yang menimpanya saat itu. Mengingatkan kejadian tadi, hati Sophia cedera dan luka. Rasa berdenyut-denyut semakin kerap. Dia boleh menjangka apa yang akan terjadi kepada dirinya. Setelah menelan ubat Sophia pun tidur dengan rasa luka.

   Seperti ada orang menyentuh bahunya, Sophia pun tersedar daripada lenanya. Dalam kesamaran dia melihat wajah ibunya. Dia mengosok mata supaya pandangannya menjadi jelas.

   “Sophia demam ni?” Ucap Puan Shasha sebaik saja meletakkan tangan di dahi. Sophia terkebil-kebil memandang wajah kesayangannya itu. Puan Shasha tersenyum mengambil termometerlalu meletakkan ke mulut Sophia.

   Puan Shasha tersenyum lagi lalu mengusik anak daranya, “38 darjah celcius, tinggi demam Sophia ni.” Itulah Sophia yang sedari kecil akan demam jika ada sesuatu yang mengusutkan fikirannya. Sophia mengelap hidungnya yang berair. Rambut lurus lepas itu diikatnya. Sakit kepala yang dialaminya sudah beransur pulih selepas dia makan ubat sebentar tadi.

   Usik Puan Shasha kepada anaknya, “Esok kalau masih demam lagi kita jumpa doctor. Demam Sophia ni tinggi 38 darjah, tidak boleh dibiarkan.” Puan Shasha ketawa kecil kerana berjaya mengenakan. Sebenarnya demam Sophia tidaklah tinggi sangat. Hanya demam biasa sahaja.

   “Ibu, esok Sophia hendak hantar surat berhenti kerja. Notis berhenti 24 jam.” Dia mengetap bibir. Masih bersisa rasa geram apabila mengenangkan apa yang telah dilihatnya. Berhenti kerja bukan tindakan yang bijak tapi dia tidak mahu sakit hati melihat Yusuf bersama Khayla Rania.

   Puan Shasha geleng. Dia tidak bersetuju dengan keputusan mengejut Sophia. Sekarang ni zaman susah untuk mendapatkan pekerjaan. Kata Puan Shasha kepada Sophia, “Betul ni, tidak ada sebarang penyesalan di kemudian hari?”

   Sophia memandang ibunya. Betulkah tiada penyesalan nanti? Mungkin dia perlu mendapatkan penjelasan daripada Yusuf. Namun siapakah dia yang perlu menagih penjelasan jejaka itu? Tapi, apa makna tiga kuntum bunga mawar merah yang diletakkan di atas meja semasa makan tengahari yang hambar itu? Tiga kuntum bunga mawar merah bermaksud ‘Aku Cinta Padamu’. Benarkah Yusuf cintakannya? Hatinya berperang dengan persoalan. Sophia rasa serabut. Kusut!

   “Dalam sepuluh minit ibu dan ayah tunggu di meja makan. Sophia segarkan diri dan jangan lupa pakai baju kurung,” arah Puan Shasha. Sophia yang mendengarkan permintaan luar biasa ibunya cuma kerut dahi. Makan dengan ibu dan ayah saja pun. Kenapa mesti pakai baju kurung malam ni?

-------------

   Menapak ke ruang tamu Sophia mendengar gelak tawa ayahnya. Berselang-seli dengan suara lain. Sophia semakin mendekat dan suara asing yang didengari seperti pernah di dengarnya. Rasa terkeluar biji mata melihat Yusuf duduk di hadapan ketua rumah ini. Sophia merenung tajam.

   Melihat wajah Sophia yang keruh itu Encik Nazri berkata dengan lembut,“Ayah temankan ibu di dapur siapkan makanan. Sophia bincang elok-elok dengan Yusuf.” Encik Nazri memandang Yusuf dan Sophia silih berganti sebelum beredar.

   Sophia hanya mendiamkan diri.

   Sunyi seketika.

   “Ehem....”

   Sophia tetap tidak memberikan respon.

   “Saya dengan Rania tidak ada hubungan. Kami cuma kawan biasa saja.”

   Berbulu telinga dengan penjelasan yang diberi lalu Sophia member kata balas, “Jadi biasa sajalah kalau perempuan peluk lengan.” Patutlah ibunya menyuruh dia memakai baju kurung malam ni. Rupanya ada tetamu yang tidak diundang.

   “Dia tidak sengaja dan Rania sudah pun minta maaf.” Kacau hati Yusuf sekiranya misi memujuk malam ini tidak menjadi. Dia tidak boleh lambat bertindak.

   'Ke mana dia pergi?' Soal Sophia di dalam hati apabila melihat Yusuf menghampiri meja di sudut rumah. Yusuf tunduk seperti hendak mengambil sesuatu. Melihat sesuatu di tangan lelaki itu, Sophia tersenyum mekar.

   “Nah... lima puluh enam kuntum mawar merah.” Yusuf menyerahkan kepada Sophia.

  Wah, lima puluh enam kuntum mawar merah! Sophia menyambut lalu berkata, “Hal dengan Rania belum habis lagi. Bunga ni diterima sebab tidak mahu menghampakan hati Encik Yusuf.”

   Tambah Sophia lagi, “Siap! Kalau Rania peluk-peluk Encik Yusuf macam tu lagi.” Dia memberi amaran. Akhirnya Sophia yakin dengan kehadiran Yusuf ke dalam hatinya yang paling dalam.

   Pantas Yusuf menjawab, “Lepas tu saya bawa seratus lapan kuntum bunga mawar merah untuk Sophia.” Mendengarkan kata-kata Yusuf pipi Sophia memerah.

   Malu!

   Sophia perlu mengenali Yusuf lebih dekat lagi. Lagipun hubungan mereka baru saja bermula. Mereka perlu belajar menerima kekurangan dan kelebihan pasangan masing-masing. Bahagia rasanya sekiranya jodoh mereka bersatu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku