Langit Cinta
BAB 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3698

Bacaan






ALIFF ZULKARNAIN menutup fail nipis di atas meja. Mesyuarat pengurusan bersama pekerja Samudera Holdings baru selesai pada jam 11.00 tengah hari. Dia ingin berlalu ke bilik pejabatnya. Teringat yang dia perlu membuat satu panggilan kerana semasa mesyuarat sedang berlangsung tadi, klien dari Indonesia ada menghubunginya namun tidak diangkat.

Sudah menjadi sifatnya untuk tidak mencampur-adukkan setiap urusan. Dia tidak mahu terlepas dalam perbincangan di bilik mesyuarat, malah dia juga tidak mahu mesyuarat terganggu bila dia terpaksa menjawab panggilan yang diterima.

“Abah tengok Aliff macam tergesa-gesa aje? Nak ke mana? Kalau takde apa-apa, jom keluar lunch dengan abah!” Datuk Affendi tiba-tiba menegur Aliff.

Datuk Affendi adalah pemilik Syarikat Samudera Holdings iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang telah beroperasi di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur selama lebih 20 tahun.

Di dalam industri pembinaan, Samudera Holdings merupakan antara sebuah syarikat yang popular di kalangan pelabur di dalam dan luar negara kerana produk hartanah yang dihasilkan lazimnya laris di pasaran.

Aliff bingkas sambil mengerling jam di pergelangan tangan kirinya.

I’m sorry, abah. Aliff ada kerja sikit. Nak return callklien dari Indonesia. Lepas tu, Aliff nak semak kertas kerja Syarikat Global View tentang projek chalet terapung di Pulau Mabul di Sabah tu.” Aliff berkata sambil mencapai fail di atas meja.

Tidak jauh dari situ, ada Norizan yang bertugas sebagai pembantu peribadi Datuk Affendi. Gadis itu sedang menyusun kertas-kertas perbincangan yang telah digunakan di dalam mesyuarat tadi.

Ruang di dewan yang luas itu mulai sunyi selepas hampir semua pekerja Samudera Holdings berlalu untuk meneruskan tugas masing-masing.

Kini, hanya tinggal Aliff, Datuk Affendi dan Norizan yang masih berada di situ. Ada kalanya mereka akan menjadi orang yang terawal keluar dari dewan mesyuarat dan ada waktunya, mereka adalah orang terakhir yang meninggalkan lokasi itu.

“Oh ya, apa perkembangan tentang projek tu?” Datuk Affendi bertanya. Dia masih menatap anak sulungnya yang masih bujang. Tika itu mereka sudah berjalan keluar dari dewan mesyuarat meninggalkan Norizan melakukan tugas sendirian.

Selain Aliff Zulkarnain, Datuk Affendi mempunyai lagi seorang anak lelaki yang bernama Azrul Zulkifli iaitu adik kepada Aliff namun semenjak kecil, anak bongsunya lebih senang dipanggil sebagai Leroy.

Buat masa ini, hanya Aliff yang bekerja di syarikatnya kerana Leroy baru sebulan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan. Menurut isterinya, Datin Soraya yang berbual-bual dengannya beberapa hari lalu, Leroy masih belum bersedia mahu memulakan tugas di Samudera Holdings.

Semasa mendengarnya, Datuk Affendi hanya diam. Dia langsung tidak mempertikaikan perkara itu. Arif benar dia akan sikap Leroy yang kurang serius berbanding Aliff. Malah sebagai bapa, dia boleh menilai tahap keupayaan kedua-dua orang anaknya.

Mana tidaknya, awal-awal lagi Leroy tidak langsung menunjukkan minat akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. Lain benar dengan sikap Aliff yang begitu bersemangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi sejurus menerima ijazah sarjana muda beberapa tahun dahulu.

Itupun, Aliff pernah berura-ura untuk menyambung pengajian doktor falsafah. Tetapi dek kerana perniagaan Samudera Holdings yang semakin berkembang, Datuk Affendi terpaksa meminta anak sulungnya itu menghentikan niat untuk seketika. Dia mahu Aliff menumpukan perhatian kepada urusan perniagaannya dan jika berkesempatan, anaknya itu boleh meneruskan pengajian setelah Leroy pula mahir menguruskan Samudera Holdings.

“Hmm, buat masa ni Aliff tak berani lagi nak cakap apa-apa. Aliff kena semak dulu kertas kerja tu, abah. Nak tengok sama ada projek chalet tu berpotensi untuk dapat keuntungan atau tak. Kalau okey, bolehlah kita teruskan usahasama dengan Syarikat Global View. Nanti Aliff beritahu abah keputusan Aliff,” ujar lelaki yang berkulit cerah dan berusia awal 30-an itu.

Datuk Affendi yang tersedar, lantas terangguk-angguk.

“Abah harap kertas kerja projek chalet terapung tu takde masalah. Sejak projek Villa Zamrud di Kuantan berjaya, ramai pelabur yang sanggup tawarkan diri untuk berkerjasama dengan syarikat kita. Jadi, kita kena rebut peluang selagi ada pelabur yang menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap Samudera Holdings!” kata Datuk Affendi.

“Aliff tahu, abah! Sebab tu Aliff tak nak sambil lewa untuk buat keputusan. Aliff kena fikir masak-masak. Aliff nak pastikan pelaburan hartanah kita bertahan untuk jangka masa panjang. Ini untuk jaga nama baik Samudera Holdings jugak,” beritahu Aliff penuh karisma.

Mereka menghentikan langkah di hadapan pintu bilik pejabat yang bertulis nama Datuk Affendi sebagai C.E.O Samudera Holdings. Di sebelah kanan bilik itu, terletak bilik pejabat Aliff Zulkarnain yang berjawatan sebagai Pengurus Besar di syarikat itu.

Datuk Affendi menatap wajah anak sulungnya yang hari itu memakai kemeja berwarna putih. Bibirnya tersenyum kecil. Dia berasa senang dengan perwatakan anaknya itu. Aliff selalu bersungguh-sungguh bila melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan.

Jauh di sudut hati, Datuk Affendi berbangga kerana dikurniakan anak yang bersemangat waja seperti Aliff. Dia tahu ramai kenalannya berasa cemburu. Masakan tidak? Bila dia berada di majlis-majlis keraian, masing-masing sering membandingkan kejayaan Aliff dengan anak-anak mereka yang sebaya.

“Maaf datuk, Encik Aliff! Saya cuma nak beritahu datuk yang Encik Yus baru telefon.” Norizan sekonyong-konyong menyampuk.

Entah sejak bila pembantu peribadi Datuk Affendi itu muncul dan kini sudah berada di tempat duduknya.

“Hah, dia nak apa?” Datuk Affendi meletakkan fokus ke arah pembantu peribadinya yang telah bertugas selama tiga tahun itu.

Aliff diam. Memberi kesempatan kepada ayahnya dan Norizan untuk berbicara sejenak.

“Encik Yus nak pengesahan datuk tentang rancangan untuk ke Kampung Pulau Perindu,” beritahu Norizan.

“Kampung Pulau Perindu?”

Norizan mengangguk.

“Encik Yus nak tahu tarikh bila datuk nak ke sana? Dia nak minta wakil penduduk kampung tu bersiap-sedia masa datuk turun ke kampung tu untuk beri taklimat tentang urusan jual-beli tanah.” Norizan bersuara panjang.

Yusman atau lebih mesra dengan panggilan Yus itu adalah Pengurus Projek di Samudera Holdings. Yus telah bertugas sejak lima tahun lalu dan selalu terlibat dalam pengurusan sesuatu projek syarikat dari peringkat awal sehingga fasa akhir. Tugas Yus yang berkait rapat dengan pengurusan dan perancangan projek menyebabkan lelaki itu sering berurusan dengan Datuk Affendi dan Aliff sebelum membuat sebarang keputusan.

“Oh, ini untuk projek Villa Samudera dan resort di Pulau Langkawi tu, kan?” Datuk Affendi yang pada awalnya terpinga-pinga terus dapat menangkap maksud tutur kata yang dibicarakan oleh Norizan.

Gadis berambut separas bahu itu mengangguk lagi.

“Encik Yus dah reccedari wakil di Kampung Pulau Perindu. Dia kata tadi, cuaca kat sana dah tak hujan lebat macam minggu lepas. Jadi, macam mana datuk?”

“Hmm... hujung minggu ni I ada apa-apa urusan penting ke?”

Norizan memeriksa jadual yang tercatat setiap temujanji majikannya.

“Minggu ni datuk cuma ada appointment golf dengan C.E.O Golden Properties Sdn. Bhd,” jawab Norizan.

“Oh, kalau macam tu you tukar tarikh appointmentgolf tu dan suruh Yus proceedrancangan ke Kampung Pulau Perindu hujung minggu ni.

“Baik datuk.”

“Lagi satu Norizan, tolong buat tempahan tiket kapal terbang ke Pulau Langkawi dan bookhotel untuk satu malam di sana. Kalau ada apa-apa, you boleh telefon Yus... tanya dia siapa lagi yang akan ikut I untuk taklimat jual-beli tanah di Kampung Pulau Perindu tu.” Datuk Affendi memberikan arahan yang lebih jelas.

Norizan menurut seperti yang diarahkan.

“Ada apa dengan Kampung Pulau Perindu, abah?” tanya Aliff bila Datuk Affendi dan pembantu peribadinya dilihat tidak lagi berinteraksi.

Aliff tidak tahu menahu tentang perkara itu. Entah kenapa, dia bagaikan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut bila melihat kesungguhan abahnya dalam membuat perancangan yang berkaitan dengan Kampung Pulau Perindu.

“Hmm, abah tak beritahu Aliff lagi pasal tu ke?” Datuk Affendi menyoal.

Aliff mengerutkan dahi sambil menggeleng. Serasanya, itu pertama kali dia mendengar nama Kampung Pulau Perindu meniti ke saluran telinganya.

“Kalau macam tu, apa kata kita keluar lunch? Abah akan beritahu Aliff apa yang ada di Kampung Pulau Perindu.” Datuk Affendi memberikan cadangan.

“Tapi abah...” Aliff mengerling jam tangannya sekali lagi. Dia mahu mengingatkan Datuk Affendi tentang rancangannya selepas ini.

“I know you have work to do. But this is important too, Aliff. In fact, if this project really happen... it will be our project of the year!” Datuk Affendi tersenyum lebar.

“Project of the year?”Aliff terkebil-kebil memikirkan ucapan abahnya.

Datuk Affendi terangguk-angguk.

“Jom, kita pergi makan dulu! Abah tak nak Aliff bekerja sampai tak ingat waktu makan. Walau penting mana pun sesuatu kerja tu, jangan sesekali abaikan kesihatan.”

“Bukan macam tu, abah. Mana pernah Aliff tak ingat waktu makan? Cuma hari ni, Aliff ingat nak siapkan kerja sebelum keluar. Lagipun klien kita...”

“Klien kita boleh tunggu! Don’t worry.Nama Samudera Holdings dah kuat. Klien takkan lari semudah tu. Lepas lunchnanti, Aliff telefonlah klien tu.” Datuk Affendi memberi alasan.

Aliff menatap wajah abahnya yang tampak bersungguh-sungguh. Sebenarnya, dia sendiri tidak sabar mahu mendengar apa yang mahu disampaikan oleh Datuk Affendi berkenaan Kampung Pulau Perindu. Mungkinkah ada sesuatu yang akan membuatkan hatinya sendiri jadi teruja?


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku