Langit Cinta
BAB 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3073

Bacaan






“ABU... Ubi... ni Kak Jah dah buatkan air.” Khadeja memberitahu. Dia meletakkan dua cawan gelas minuman sejuk di atas meja sambil bibirnya terselit ketawa. Dia berasa geli hati dengan gelagat Fatimah dan Abu Hanifah sejenak tadi.

“Okey. Terima kasih Kak Jah.” Kelubi bersuara. Dia menghampiri meja yang ditinggalkan tadi untuk menghirup air sejuk yang dibancuh oleh Khadeja.

“Kak Jah ni memang bestlah. Orang kata macam pari-pari. Tak payah cakap apa-apa pun, Kak Jah boleh baca hati kami. Memang dari tadi kami kehausan sebenarnya.” Abu Hanifah melabuhkan punggung bertentangan dengan Budiman. Selepas itu, dia turut menghirup minuman sejuk tersebut.

“Yelah tu!” Khadeja menyahut acuh tak acuh.

“Eh, betullah apa Abu cakap ni. Kan, Ubi?”

Kelubi terangguk-angguk tanda bersetuju.

“Jah, kenapa dengan Timah tu? Tiba-tiba aje muncung panjang sedepa? Dah tu, dia balik nak tukar baju, kenapa? Awat dengan baju dia?” Budiman menyoal hairan.

Kelubi dan Abu Hanifah pantas berpandangan sebelum mengerling ke arah Khadeja. Mereka baru saja hendak menyuruh Khadeja menutup mulut namun tidak sempat.

“Budak-budak dua orang ni lah yang dok menyakat Timah. Habis baju dia basah sebab kena kacau masa tengah sibuk kutip ikan kat jaring tepi laut tu. Hang tak perasan ke Timah membebel-bebel dari tadi?” Khadeja terus menjawab.

“Tak perasan pulak!” Budiman spontan melemparkan pandangannya ke arah Abu Hanifah dan Kelubi. Dua orang anak muda itu lantas tersengih-sengih.

“Bukan Ubi yang sakat dia, Abang Man. Tu... Abu yang kacau Timah dulu.” Kelubi membela diri.

“Eh, pandainya hang nak lepaskan diri! Padahal hang pun sama aje tadi!” Abu Hanifah mengerling ke arah rakan di sebelahnya.

Kelubi tersengih simpul. Selepas menghirup air sejuk sehingga habis, dia terus membawa dirinya semula ke arah ruang di mana Manja sedang diikat.

“Hang ni, Abu... kenapalah suka sangat mengacau Timah? Hang tahu kan, hati Timah tu sensitif. Kalau dia dah merajuk, bukannya senang nak pujuk!” Budiman manegur perilaku adik sepupunya.

“Lepas tu... bila balik rumah nanti, mak long hang tu bukannya bising kat hang tapi kat abang. Telinga abang ni yang jadi mangsa.” Budiman teringatkan emaknya yang dipanggil sebagai mak long oleh Abu Hanifah.

“Alah... Abu gurau-gurau aje, Abang Man. Saja nak usik-usik. Bukannya buat apa pun. Timah yang cepat sentap. Perangai macam budak-budak sebab manja sangat. Si Manja pun tak manja macam Timah!”

“Hah, hang jangan nak samakan Timah dengan Manja pulak.” Budiman membantah.

Khadeja ketawa mendengar teguran Budiman.

“Itulah... lain kali hang kacaulah Timah lagi. Padan muka!” Terus dia berbicara seakan-akan mengejek Abu Hanifah. Kemudian dia berlalu ke meja terletaknya bekas dan baldi berisi udang dan ikan-ikan hasil dari tangkapan bot nelayan Budiman pada hari itu.

Sebentar lagi Khadeja akan memulakan kerja-kerja menyiang sebelum memasak.

Abu Hanifah mengetap bibir. Dia melepaskan nafas berat.

“Yalah, lepas ni Abu takkan kacau Timah lagi,” ujarnya acuh tak acuh. Minuman sejuknya kembali diteguk.

“Hang tu... dah banyak kali berjanji tak nak kacau aku, tapi hang buat jugak. Ketegak!” Entah bila masa Fatimah muncul kembali di gerai makan Khadeja dan mencelah perbualan Budiman dan Abu Hanifah dengan loghat utara yang pekat. Pakaiannya sudah berganti.

“Abang Man marah Abu tu cukup-cukup tau. Biar padan muka dia! Timah memang dah lama geram dengan perangai dia tu.” Fatimah memberitahu ke arah Budiman.

“Amboi, seronoknya hang mengadu kat abang hang! Mentang-mentanglah aku ni dah takde sesiapa, sampai hati hang buli-bulikan aku.” Abu Hanifah sengaja bersuara sayu.

Fatimah mencemikkan bibir. Sajalah tu guna ayat phsyco untuk minta simpati. Meluat! Fatimah berbisik sendiri. Dia sudah lali.

“Aku tengok hang pa berdua ni kan, dah macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa asyik nak bergaduh aje. Jangan sampai aku geram... satu hari nanti aku nikahkah hang pa, baru tahu!” Tiba-tiba Budiman melepaskan apa yang baru terlintas di benaknya.

Abu Hanifah serta-merta melontarkan pandangannya ke arah Budiman.

“Abang Man nak kahwinkan kami? Betul ke?” Dia bertanya bersama suara antara terkejut dan tidak percaya.

“Aikk, bila sebut pasal kahwin... laju aje hang?” Budiman membalas pandangan adik sepupunya.

“Eh, mestilah laju! Dalam dunia ni, semua orang nak kahwin. Takde siapa yang tak nak kahwin, betul tak Timah?”

“Abu... kalau hang adalah lelaki terakhir yang tinggal kat dalam dunia ni, aku lebih rela tak kahwin sampai bila-bila, hang tahu tak?” Fatimah membuat penegasan.

“Okey, kita tengok nanti! Jangan sampai hang pulak merayu-rayu nak kahwin dengan aku sebab dah takde lelaki lain yang nakkan hang,” ejek Abu Hanifah.

Fatimah membuat muka.

Kelubi yang sedang melayan karenah Manja berhampiran dengan lokasi Khadeja, terus memuntahkan tawa geli hati.

“Macam-macamlah budak dua orang tu kan, Kak Jah! Betul-betul kena kahwin nanti... tak tahulah apa yang akan jadi.” Kelubi berbicara.

Khadeja mengangguk setuju. Bibirnya masih tersenyum.

Budiman mengerlingkan anak mata ke arah Khadeja yang baru selesai memilih ikan-ikan untuk dimasak sebentar lagi. Tumpuan Khadeja yang melekat pada gelagat Fatimah dan Abu Hanifah agak mencuri perhatiannya.

“Abang Man ni pun satu! Dah buang tabiat ke tiba-tiba nak nikahkan Timah dengan Abu pulak? Kalau bercakap pasal hal nikah kahwin ni, patutnya Abang Man tu yang kena bernikah dulu, okey?” Fatimah menatap geram ke arah Budiman.

“Abang Man ni lelaki. Takpe kalau kahwin lambat!” jawab Budiman.

“Siapa cakap? Dalam zaman sekarang ni lelaki ke perempuan, sama aje. Tu Kak Jah tu... Timah tengok rileks aje. Tak sibuk pun nak fikir pasal kahwin. Hidup dia pun happyaje.” Fatimah berkata.

“Kak Jah hang tu jual mahal. Bukannya takde orang nak kat dia.” Budiman bersuara. Matanya kemudian dihalakan ke arah Khadeja.

“Hang jangan nak memperlekehkan aku pulak, Man!” Khadeja yang kebetulan terdengar kata-kata itu pantas menegur.

“Eh, mana ada? Memang kenyataannya hang tu jual mahal. Dah elok-elok ada orang masuk meminang, hang tak nak terima!” kata Budiman.

Dia tiba-tiba teringat cerita emaknya beberapa hari lalu tentang tetamu dari kampung sebelah yang membawa rombongan meminang untuk Khadeja. Tetapi Khadeja berkeras tidak menerima pinangan itu atas alasan ingin memberi tumpuan kepada urusan menjaga dan menguruskan Mak Piah.

“Abang Man... Kak Jah tu belum bersedia nak kahwin. Biarlah dia tak nak terima pinangan sesiapa pun. Yang Abang Man sibuk-sibuk tu, kenapa?”

“Abang Man cuma risau. Nanti sampai dia tua kerepot dah takde orang nak masuk meminang, macam mana?”

“Alah, yang tua kerepot tu aku bukannya hang!” Khadeja menjawab dengan riak selamba.

Masing-masing yang ada di situ tertawa mendengarnya.

“Entahnya. Orang lain yang tua kerepot, dia pulak yang risau. Sekarang ni elok Abang Man fikir tentang diri sendiri. Mak pun dah bising-bising sebab Abang Man tak fikir pasal kahwin!” Fatimah mengiakan tutur kata Khadeja.

“Abu pun setuju 100% apa yang Timah cakapkan. Patutnya sekarang ni, Abang Man yang kena kahwin dulu. Kan, Timah? Kalau kita kahwin kemudian pun takpe sebab kita muda lagi.” Abu Hanifah yang sejak tadi membatukan diri, mula mencelah sambil melirik ke arah Fatimah.

“Eeeii... aku tak nak kahwin dengan hang lah. Berapa kali aku nak cakap?” Fatimah bertegas. Dahinya berkerut-kerut.

“Kan aku cakap ‘kalau’!” Abu Hanifah meloyar buruk.

Fatimah memuncung. Berbuku perasaannya. Apatah lagi bila memandang ke arah raut abang sepupunya yang tersenyum-senyum itu.

“Haaa, dah... dah! Hang pa jangan nak panjang-panjangkan lagi. Timah, jom ikut Kak Jah ke dapur. Kita siang ikan dengan udang ni. Kak Jah nak masak.” Khadeja segera bertindak menoktahkan perbalahan tersebut.

Jika terus dibiarkan, entah bila agaknya anak-anak muda itu akan berhenti asak-mengasak sesama sendiri. Lagi pun Khadeja sendiri rasa tidak selesa kerana dirinya turut dijadikan subjek di dalam topik tersebut.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku