Langit Cinta
BAB 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2872

Bacaan






PAGI Sabtu, Khadeja keluar dari rumahnya selepas menyiapkan sarapan untuk Mak Piah. Sudah menjadi kebiasaan, dia akan membuka gerainya lebih awal pada hujung minggu kerana jumlah pelanggan yang lebih ramai berbanding hari biasa.

Namun, sebelum menuju ke gerai semestinya dia akan membawa haluan basikalnya ke lokasi wajib iaitu di tanjung batu. Boleh dikatakan saban hari lokasi itu akan dikunjunginya tanpa jemu.

Entah kenapa, Khadeja terasa jiwanya begitu dekat dengan tanjung batu yang pernah mengukir pelbagai memori manis dan pahit dalam kehidupannya semenjak dulu.

Khadeja menghentikan kayuhan basikal selepas menelusuri jalan kecil yang menghubungkan laluan ke tanjung batu yang terletak betul-betul di hujung Kampung Pulau Perindu.

Kawasan tidak rata dan berbatu-batu kecil itu menyebabkan dia terpaksa mengheret basikal tuanya hampir 50 meter sebelum menongkat basikal berwarna hitam itu di tepi sebuah pondok lama.

Nampaknya, pondok yang dibina oleh arwah ayahnya itu masih kukuh berdiri di atas batu besar yang landai padahal usia pondok usang itu kian mencecah 25 tahun hampir sebaya usianya.

Khadeja membawa langkahnya ke tebing yang memisahkan batu hampar yang besar itu dengan laut Pulau Perindu.

Jika dipandang dari kejauhan, batu besar yang landai itu kelihatan seakan-akan hamparan permaidani yang berwarna kelabu. Sesiapa yang melihat ke situ, pasti akan mengagumi keindahan dan keunikannya. Dek kerana itulah, banyak syarikat pemaju begitu berminat untuk membeli tanah pusaka arwah ayahnya itu.

Khadeja membuang renungan ke tengah lautan. Bayu pagi yang bertiup lembut terasa menyamankan. Cuaca tampak begitu redup biarpun sinar matahari sudah tersebar sejak jam 7.00 pagi lagi. Kelihatan bot-bot nelayan yang memenuhi sekeliling laut Pulau Perindu.

Tanpa sedar, dia tersenyum tatkala bunyi ombak menyapa cuping telinganya tanpa henti. Mindanya terasa tenang. Bila diamati lama, bunyi ombak yang datang dan pergi itu ibarat irama yang mengalunkan sebuah lagu indah dalam fikirannya.

Betapa deru ombak laut Pulau Perindu sudah sebati dalam dirinya sehingga dia tidak pernah jemu menghayati bunyi-bunyian alam tersebut.

“Jah mesti jaga pulau kita ni elok-elok. Kalau sampai waktu ayah pergi dulu, Jah mesti pastikan pulau ni terpelihara. Jangan sampai keindahan pulau ni tercemar dengan orang-orang yang tak bertanggungjawab. Ingat pesan ayah ni tau!” Pak Amin pernah berkata padanya satu ketika dulu.

Sehingga kini, Khadeja tak mungkin lupa pesanan itu kerana menurut ayahnya lagi, pulau itu telah menjadi saksi kepada seluruh kehidupan mereka.

Di pulau itu, telah bersemadi para pencinta sejati. Di pulau itu juga, kasih ayah dan ibunya bertaut sehingga dia dan abangnya dilahirkan. Malah, di pulau itulah dia membesar dan dia yakin satu hari nanti di pulau itu dia akan mengenali cinta sejatinya.

“ELOK-ELOK berdiri kat situ, Jah. Jangan dekat sampai ke tebing, nanti jatuh!” Tak semena-mena minda Khadeja mengimbau kenangan lalu. Dia bagai terdengar-dengar bunyi suara ayahnya yang berbicara dari arah pondok.

“Jah nak berdiri kat sini aje, ayah. Nak tengok betapa luasnya lautan yang ALLAH ciptakan untuk kita. Rasa kagum sangat!” Khadeja berkata.

Pada masa itu, dia baru berumur 15 tahun. Ya! Khadeja masih ingat angka usianya kerana memori itu tercipta beberapa bulan sebelum ayahnya dijemput pulang ke rahmat ILLAHI.

“Lautan memang luas, Jah! Tapi... seluas manapun sesebuah lautan, takkan mampu menandingi keluasan langit dan bumi yang ALLAH ciptakan,” ujar Pak Amin.

Khadeja terus menoleh ke arah ayahnya. Lelaki yang sedang duduk di atas pangkin sambil menjahit pukat itu dilihat sedang membalas pandangannya sambil tersenyum.

“Kita memang patut rasa kagum dengan setiap penciptaan ALLAH s.w.t sebab DIA Yang Maha Berkuasa menciptakan segala benda yang kecil mahupun yang besar di dunia ni. Ayah selalu pesan kat Jah, bila kita rasa kagum dengan apa yang kita pandang, jangan lupa sebut...”

“Subhanallah.”

Pak Amin mengangguk.

“Tahu tak apa maksud subhanallah?” soal lelaki itu kemudian.

“Maha Suci ALLAH,” jawab Khajeda laju.

Kelihatan Pak Amin yang masih tersenyum.

“Pandai anak ayah! Kita kena sebut subhanallah bila ternampak sesuatu yang buat kita rasa kagum sebab kita kena sentiasa ingat bahawa sebesar manapun kehebatan yang ada di dalam dunia ni... sebenarnya, ALLAH adalah satu-satunya yang lebih layak untuk kita kagumi,” ujar Pak Amin.

Khadeja terangguk-angguk kerana setelah berfikir, dia turut bersetuju dengan ucapan yang baru didengari dari mulut ayahnya.

Perlahan-lahan langkahnya diatur mendekati pondok, lalu dia duduk bersebelahan dengan Pak Amin. Lelaki itu dilihat sedang menarik nafas panjang sambil mengurut dada.

Sejak Pak Amin mengalami masalah kesihatan, lelaki itu tidak lagi turun ke laut. Selain dilarang keras oleh Mak Piah, rakan-rakan nelayan yang lain juga turut melakukan perkara yang sama.

Semua itu gara-gara Pak Amin tiba-tiba diserang sakit jantung ketika sedang menangkap ikan di laut. Mujurlah serangan itu tidak serius dan lelaki itu cepat-cepat dikejarkan ke hospital.

Justeru sejak kejadian malang itu menimpa, Pak Amin hanya melakukan kerja-kerja kampung selain mengambil upah menyirat jala dan membaiki pukat para nelayan untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Tak salah kita nak rasa kagum bila tengok laut asalkan kita tak lupa yang laut tu dicipta oleh ALLAH. Tapi, ayah nak Jah tahu... sebelum kagum dengan laut, Jah kena fikir yang laut takkan wujud kalau takde bumi. Bumi pulak takkan sempurna kalau takde langit. Pendek kata, semua yang tercipta di dunia ni ada fungsi-fungsi yang tersendiri. Jadi, kita tak sepatutnya rasa kagum dengan satu benda aje. Kita kena adil macam mana ALLAH adil pada kita.” Kata-kata yang dilontarkan oleh Pak Amin kali ini lebih panjang.

Khadeja sekadar diam memasang telinga.

“ALLAH sayangkan kita, Jah. DIA cipta semua benda di dunia ni untuk kegunaan kita. Nak tahu kenapa? Sebab cinta-NYA yang tak pernah padam kepada hamba-hamba-NYA,” tambah Pak Amin lagi.

Lelaki itu kemudian mendongak ke arah langit. Tindakan lelaki itu turut diekori oleh Khadeja.

“Kalau kita pandang ke langit, kita akan sedar betapa kerdilnya diri kita di sisi ALLAH Yang Maha Besar. Di mata-NYA, kita ni cuma manusia yang hina kalau kita tak mensyukuri segala nikmat yang DIA dah kurniakan kepada kita.” Tak semena-mena, Pak Amin melepaskan kata-kata itu dengan nada yang perlahan.

DUNIA ingatan Khadeja terhenti bila dia terasa pipinya tiba-tiba basah. Rupa-rupanya, air matanya sudah menitis ke pipi.

Lantas dia menyeka air hangat itu supaya kering, menyebabkan bayangan perbualannya bersama Pak Amin menjadi samar-samar sebelum lenyap dengan sendiri.

Ya ALLAH, rindunya aku pada ayah! Khadeja berbisik.

Bila dicongak-congak, sudah 10 tahun lamanya lelaki itu pergi. Namun, kewujudannya bagai masih dirasai terutamanya bila Khadeja bersendirian duduk di tanjung batu.

Khadeja menarik nafas panjang. Lontaran matanya terhala ke tengah lautan. Air yang membiru terus beralun-alun dan bergelombang bila ditiup angin.

Dari tempatnya berdiri, sebuah pulau terpencil yang digelar Pulau Puncak Kasih oleh arwah ayahnya tampak megah terdampar di tengah lautan dengan pohon-pohon yang menghijau. Pulau Puncak Kasih itu mempunyai cerita dan sejarah tersendiri.

Tiba-tiba Khadeja terlihat sebuah bot mewah yang melintasi lautan di hadapannya. Namun kehadiran bot yang masih jauh itu tidak langsung dihiraukan. Dia sudah biasa melihat bot-bot pelancong yang berkeliaran di sekitar laut Pulau Perindu.

Apatah lagi terdapat sebuah chalet yang popular di kalangan pelancong serta hotel kecil yang terbina di tanah yang terletak bersebelahan dengan Kampung Pulau Perindu. Jadi, tiada apa yang hendak dihairankan.

Penglihatan Khadeja terganggu bila terpandang sekawan burung yang berterbangan. Perlahan-lahan, anak matanya dilebarkan ke langit tinggi. Awan pagi yang memutih dan berkepul-kepul kelihatan begitu indah dan mempesonakan. Cantik ukirannya seakan-akan mengalirkan satu semangat di dalam dirinya.

“Subhanallah.” Khadeja berbisik. Dia ralit mengamati hamparan langit biru ciptaan ILLAHI.

“Ya ALLAH, setiap kali ku pandang langit terasa betapa kerdilnya diriku berada di bawah langit cinta-MU.” Tak semena-mena, bait-bait kata itu terlintas di benaknya.

Untuk beberapa detik, Khadeja berteleku. Kemudian, dia menegakkan semula kepalanya ke tengah lautan.

“Jah akan selalu ingat pesanan ayah. Jah akan jaga pulau ni sehabis daya. Walaupun takde orang yang akan berdiri bersama Jah nanti, Jah tetap akan berjuang memelihara khazanah pulau ni sampai bila-bila!” Khadeja berkata di dalam hatinya.

Tidak lama selepas itu, dia memulakan langkah untuk berlalu dari kawasan tanjung batu.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku