Langit Cinta
BAB 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2577

Bacaan






WHAT do you think, Aliff?”Suara pertanyaan Datuk Affendi kedengaran kuat. Ia seolah-olah cuba menyaingi bunyi enjin bot mewah miliknya yang sedang dipandu oleh Jasni untuk mengelilingi Pulau Perindu.

Jasni adalah lelaki yang diupah oleh Datuk Affendi untuk menjaga dan menguruskan bot peribadinya di Pulau Langkawi sejak dia membeli bot itu hampir setahun lalu.

“Perfect! Very nice spot, abah.”Aliff menjawab bersama suaranya yang teruja.

Anak matanya terus meneropong kawasan di sekitar. Sejujurnya, dia benar-benar tertarik dengan keindahan pulau kecil yang baru pertama kali dikunjunginya itu. Dengan sekali pandang, entah kenapa jiwanya merasa sesuatu yang sukar dinyatakan.

Justeru, sejak dia menaiki bot peribadi milik abahnya... anak matanya ligat meliar ke sekeliling kawasan yang terdapat di Pulau Perindu melalui teropong Binokular jenis Prisma Porro.

Teropong berwarna hitam tersebut mempunyai teknologi yang boleh memperlihatkan sesuatu benda agar kelihatan lebih jelas dan besar dari jarak jauh yang mencecah lebih satu kilometer.

Sebenarnya sebelum dia ditegur oleh Datuk Affendi, dia ada terpandang seorang gadis kampung yang sedang berdiri sendirian di sebuah batu besar yang terdapat di hujung Pulau Perindu. Gadis bertudung biru itu tampak leka mendongak ke langit. Tidak tahu apa yang sedang difikirkan.

Kamil, Yus... come over here!”Suara Datuk Affendi yang berbunyi tiba-tiba menyebabkan minda Aliff kembali ke titik nyata.

Fokus teropongnya masih dibiarkan terhala ke batu hampar. Dia tercari-cari gadis yang mencuri perhatiannya tadi. Entah kemana agaknya menghilangnya gadis itu!

“Awak berdua nampak tak pantai di kawasan batu besar sana tu?” Kali ini Datuk Affendi menyoal kepada dua orang pekerja Samudera Holdings yang terlibat dalam taklimat jual-beli tanah dengan penduduk Kampung Pulau Perindu pada hari itu.

“Nampak, datuk!” jawab Yus dan Kamil serentak.

Mereka sedang berdiri di hujung bot berwarna putih.

“Kat sana, kita akan bina deretan Villa Samudera mewah. Di pantai sebelahnya pulak, kita akan buat sebuah resort yang berkonsepkan tradisional.” Datuk Affendi memberitahu perancangannya.

“Cantik, datuk! Pantainya panjang dan landai. Senang kita nak buat pembinaan. Kalau macam ni lah, memang takde masalah dari segi proses kelulusan dengan pihak berkuasa.” Yus berkata bagi memberi respons terhadap penerangan majikannya.

“Merujuk pada pelan tanah seluruh pulau ni, sekarang kita berada di sebelah timur laut. Di sebelah sana tu ada banyak rumah kampung. Datuk kata tadi nak buat resort berkonsepkan tradisional kat situ. Macam mana ya, datuk?” Kamil yang sejak tadi hanya diam memerhati di satu sudut pulau, mula mengeluarkan komennya sambil menunjukkan lembaran pelan ke arah Datuk Affendi.

Semua pasang mata terus melemparkan pandangan ke tempat yang dimaksudkan oleh Kamil. Aliff juga begitu. Dia mengamati sekeliling kawasan yang dipenuhi rumah-rumah papan bersama teropong di tangannya.

“Itulah, abah! I was thinking the same thing as Kamil. Kawasan tanah yang ada rumah-rumah kampung tu rasa macam susah sikit kita nak handle. Harap-harap, tuan tanahnya sanggup nak jual tanah kat kita.” Aliff berkata. Dia menoleh ke arah Datuk Affendi yang kelihatan tersenyum melebar.

“Memandangkan Aliff ada kat sini... that’s your role! Masa taklimat jual beli tanah nanti, gunakan kepakaran Aliff untuk pastikan orang-orang kampung tu jual tanah mereka dan berpindah dari kawasan tu!”

“What?” Aliff terkejut.

“Sebenarnya, semalam abah dah berbincang dengan Yus dan abah dah buat keputusan. Memandangkan ini adalah projek terbesar syarikat kita untuk tahun ni, abah nak Aliff terlibat sama dalam projek ni!” beritahu Datuk Affendi.

Aliff yang masih terpaku, terus mengerling ke arah Yus yang terangguk-angguk. Kamil yang berdiri di sisi Yus hanya tersenyum tanpa suara.

“Tapi, abah... sekarang ni kan, Aliff tengah handleprojek hotel di Cameron Highland? Kalau proposal chalet terapung di Pulau Mabul tu okey, Aliff kena uruskan projek yang tu pulak. Macam mana Aliff nak concentrate dengan projek kat sini sedangkan abah tahu ada banyak lagi projek lain yang Aliff kena uruskan?” Aliff memberikan alasan.

Dia bukannya tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Affendi, tetapi dia tidak mahu memikul terlalu banyak tanggungjawab sehingga kerja-kerja yang dilakukan menjadi tidak sempurna. Tak pasal-pasal nanti hasilnya tidak memuaskan hati. Bukankah reputasi Samudera Holdings juga yang akan tercemar jika perkara itu berlaku?

“Lepas ni, projek hotel di Cameron Highland tu serahkan pada Yus. Biar dia yang sambung dan uruskan semuanya,” ujar Datuk Affendi.

“Betul tu, Aliff. Biar aku yang sambung. Lagi pun, projek hotel tu dah sampai ke fasa akhir pembinaan kan? Proposal chalet terapung tu pulak masih dalam perbincangan dengan pihak klien. Aku rasa, mahu sebulan dua jugak kita akan dapat jawapan. Tambah-tambah kawasan di perairan Sabah sekarang ni ketat sikit untuk dapatkan kelulusan!” Yus bersetuju.

“Haa, cantik sangatlah tu! Sementara tunggu jawapan dari syarikat klien untuk projek chalet terapung tu, Encik Aliff bantulah kami dulu. Kita uruskan orang-orang kat kampung ni. Kalau Encik Aliff ada, kami confident sikit!” Kamil pula mencelah.

Kali ini, Aliff membatu. Membiarkan mindanya memikirkan kata-kata Datuk Affendi, Yus dan Kamil tanpa henti. Tahu-tahu saja, dia terasa bahunya ditepuk beberapa kali.

“Aliff, kalau projek ni berjaya... kita akan dapat keuntungan yang berjuta-juta terutamanya hasil dari jualan Villa Samudera di tanah pantai batu hampar di hujung sana tu.” Datuk Affendi bijak mengalunkan kata-kata.

“Abah yakin masa tu Samudera Holdings akan jadi syarikat pemaju yang dikenali di seluruh dunia. Ramai pelabur di luar negara yang akan berebut-rebut nak jadi rakan kongsi syarikat kita dalam projek-projek yang akan datang.” Datuk Affendi kelihatan bersemangat.

Aliff sempat menatap raut lelaki yang berusia lebih separuh abad yang berdiri di sebelahnya itu sebelum dia membawa pandangannya ke kawasan rumah-rumah kampung yang menjadi sasaran dalam projek bernilai jutaan ringgit tersebut.

“Tapi, mana orang-orang kampung tu nak pergi kalau kita beli tanah-tanah mereka, abah? Ini bukan calang-calang tanah! Silap-silap, semua ni tanah pusaka mereka. Abah tahu kan, orang Melayu dengan tanah pusaka ibarat darah dan daging?!”

“Ah, itu cuma pemikiran orang-orang zaman dulu!” Datuk Affendi berkata laju.

“What did I always tell you? Everyone has a price! You don’t survive by being soft. This is all part of the game we have to play.” Kemudian, Datuk Affendi berkata lagi.

Aliff sekadar membatu. Membiarkan kata-kata abahnya melarut di sudut mindanya.

“Dalam zaman sekarang ni, semuanya pasal duit. Duit, Aliff! Duit! Dengan Duit... semuanya boleh dibeli. Don’t worry about it!Buat masa ni, apa yang penting kita kena pastikan orang-orang kampung tu jual tanah mereka. Barulah projek ni boleh berjalan!” Begitu mudah alasan yang diluahkan Datuk Affendi.

Aliff mengetap bibir. Dia tidak lagi bercadang untuk berkata apa-apa. Tambah-tambah bila dia melihat riak ceria yang terpancar di laman wajah Datuk Affendi. Lelaki itu tampak begitu yakin dengan kejayaan projek tersebut walaupun belum dimulakan.

‘Hmm, betul juga kata abah! Kalau projek ni betul-betul berjaya... nama Samudera Holdings akan dikenali di seluruh dunia!’ desis Aliff di dalam diam.

Bunyi enjin bot kedengaran berselang-seli dengan desiran angin pantai yang rakus menampar kulit wajahnya.

Yus dan Kamil terus menyertai Datuk Affendi. Mereka berbual-bual sambil sesekali memerhati ke arah Kampung Pulau Perindu.

Aliff kembali meneropong ke arah batu hampar. Entah kenapa, dia tercari-cari gadis bertudung biru yang sedang bersendirian di situ tadi. Namun, gadis itu nampaknya benar-benar sudah tiada!


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku