Langit Cinta
BAB 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2611

Bacaan






“ANGKAT! Tarik! Tolak! Haaa... kuat lagi!” Pak Tam berkata. Kecoh suaranya memenuhi suasana di persisiran pantai Pulau Perindu.

Sejak tadi, Abu Hanifah, Kelubi dan beberapa orang pemuda kampung bersungguh-sungguh menarik dan menolak bot nelayan milik Budiman untuk diletakkan di belakang rumah lelaki itu. Budiman juga sama-sama berusaha.

Hari itu mereka pulang dari laut lebih awal kerana tong-tong yang dibawa oleh mereka awal-awal sudah dipenuhi hasil tangkapan. Alhamdulillah, semua itu rezeki dari ALLAH kerana cuaca yang cerah.

“Satu... dua... tiga... tolak lagi!” Pak Tam masih memberi arahan.

Beberapa orang kanak-kanak kecil berlari-larian dan berkejaran sesama sendiri. Intan turut tergolong dalam kumpulan kanak-kanak itu. Mereka begitu seronok mengelilingi bot yang ditarik. Bila tiba cuti sekolah, kanak-kanak memang sering memenuhi ruangan di sekitar pantai tidak kira pagi atau petang.

“Hisy, budak-budak ni memang nak kena! Pergilah main jauh-jauh. Aku tangkap seekor-seekor nanti, baru tau!” Pak Tam tiba-tiba membebel.

Semua kanak-kanak itu ketawa. Gelagat Pak Tam ada kalanya serius dan ada kalanya gemar bergurau senda. Namun, apa yang pasti... sifat Pak Tam mudah mesra dengan sesiapa saja. Justeru ia amat disenangi oleh semua golongan sama ada yang tua mahupun muda.

Pak Tam menoleh semula ke arah bot nelayan Budiman.

“Laaa, awat hang pa semua berhenti? Cepatlah tolak bot tu! Takkan tak reti-reti? Hang pa ni lembik sungguhlah!” Pak Tam terus berkata. Beria-ia wajahnya memberikan arahan.

Abu Hanifah yang mendengar, terus merengus.

“Pak Tam ni cakap macam senang aje! Cuba kalau dia tarik sampan ni sama-sama dengan kita.” Dia bersuara tak puas hati.

“Betui jugak tu!” Kelubi mengangguk. Dahinya sudah berpeluh-peluh kerana kepenatan.

Namun, Pak Tam tidak memberikan sebarang respons. Mungkin kerana sejak dulu lelaki itu sudah mempunyai masalah pendengaran.

“Dah.. dah, sekarang biar Abang Man pulak yang tarik. Hang pa pergi tolak sampan dari belakang dengan depa tu. Hisy, dengan Pak Tam pun hang pa nak berkira!” Budiman meleter ke arah Abu Hanifah dan Kelubi.

Mereka mula bertukar posisi.

“Satu, dua, tiga!” Budiman memberikan arahan dan akhirnya bot nelayan itu terparkir di kawasan yang sepatutnya.

“Hah, macam tu lah. Bagus... bagus!” Pak Tam terangguk-angguk.

Budiman mengikat bot nelayannya pada sebatang kayu berhampiran jeti kecil yang menghubungkan laluan menuju ke rumahnya.

Waktu itu, Abu Hanifah, Kelubi dan beberapa orang pemuda lain sibuk mengangkat keluar tong yang berisi ikan dari bot tersebut. Mereka akan membawanya ke bangsal tempat pemunggahan.

Tadi, sebilangan tong yang penuh berisi ikan sudah pun dihantar ke pusat penyimpanan dan pemprosesan ikan yang terdapat di Pulau Perindu. Pusat itu merupakan lokasi tumpuan para nelayan untuk menjual hasil-hasil ikan dan di situlah pemborong akan membeli ikan secara pukal untuk dijual di pasar-pasar terpilih.

“Abu, Abang Man nak ke jeti penambang ni. Hang uruskan tong-tong ikan tu tau. Basuh sampai bersih.” Budiman berkata. Dia teringat pesanan ketua kampung semalam. Hari itu dia perlu menjemput beberapa orang tetamu dari Kuala Lumpur yang akan datang ke Pulau Perindu atas tujuan perniagaan.

“Yalah.” Abu Hanifah mengangguk.

“Ubi, hang pun tolong Abu tu sekali! Jangan nak mengelat pulak!” pesan Budiman.

“Baik bos!”

Budiman ingin melangkah pergi. Namun pandangannya tak semena-mena tertembak pada kelibat Khadeja dan Fatimah bersama beberapa wanita lain di persisiran pantai.

Masing-masing kelihatan ralit menghadap kawasan berlumpur untuk mencari kerang dan siput. Ada yang sedang mengutip ketam dan ada sebahagian yang sedang menarik jaring yang disangkut pada kayu untuk mencari ikan. Sesekali mereka berbual-bual sambil tertawa.

“Jah!” Budiman melaung.

Khadeja berpaling ke arah bunyi suara itu. Lalu dia ternampak kelibat Budiman.

“Hari ni hang masak apa?” soal lelaki itu dari jauh.

“Kenapa?” Khadeja berasa hairan dengan pertanyaan lelaki itu. Beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka.

“Masak sedap-sedap tau. Nanti abang balik nak makan.” Wajah Budiman nampak selamba semasa mengucapkan kata-kata itu.

“Abang? Eeeiii, bila masa aku panggil hang macam tu? Kalau nak makan, masak sendirilah! Hisy...” Khadeja menyelar.

“Amboi, kedekut bini abang ni!”

“Siapa pulak bini hang? Perasan! Nah, ambil ni masak sendiri!” Khadeja membaling sebiji siput ke arah Budiman. Apakan daya tidak mengena kerana lelaki itu berjaya mengelak.

“Dia ni memang nak kena!” Khadeja kemudian membebel-bebel. Tetapi bibirnya sempat tergelak.

Abu Hanifah dan Kelubi ketawa. Fatimah dan wanita-wanita lain yang berada di situ juga turut tertawa kerana lucu dengan tingkah Budiman dan Khadeja yang sering bergurau.

“Padan muka Abang Man. Gatal sangat!” Fatimah berkata selepas itu.

“Haa, Abang Man nak ngorat Kak Jah ya? Eeeiii... Abang Man tak malu! Yea... yea... Abang Man nak ngorat Kak Jah. Abang Man nak kahwin dengan Kak Jah!” Intan yang menangkap perbualan itu terus bersuara sambil menari kegembiraan. Dia mengajak kanak-kanak lain bersorakan bersamanya.

Budiman tersenyum meleret saat dia mendengar kata-kata ejekan dari bibir Intan yang ibarat bertih jagung itu. Tanpa menunggu, dia memercikkan air laut ke arah sekumpulan kanak-kanak tersebut. Mereka bertempiaran lari dan ketawa.

“Amboi, Man! Bukan main galak hang na? Ada hati ke nak mengorat Jah?” Pak Tam yang turut melihat situasi itu segera memberikan reaksinya.

“Awat? Pak Tam cemburu ke?”

“Berbulu buat apa? Muka macam hang tu Kak Doyah pun tak mahu. Berlemuih!”

Bunyi ketawa kedengaran lagi di sekitar pantai. Masing-masing geli hati dengan jawapan balas Pak Tam. Apatah lagi lelaki tua itu sering benar tersalah mengeluarkan ayat kerana masalah pendengaran.

“Eh, Pak Tam jangan nak perlekehkan saya! Mana tahu satu hari nanti saya kahwin jugak dengan Khadeja? Haaa... masa tu Pak Tam dan hang pa yang lain jangan nak pakat cemburukan saya pulak.” Budiman memasang impian.

Khadeja menjuihkan bibir ke arah Budiman.

“Siapa entah yang nak kahwin dengan dia?” Terkumat-kamit bibirnya mengomel.

“Abang Man ni slow sangat. Dah basi kami dengar cerita pasal Abang Man nak kahwin dengan Kak Jah. Entah-entah, Abu yang naik pelamin dulu dengan Timah. Silap hari bulan, masa tu pun Abang Man tak kahwin lagi.” Tanpa diduga Abu Hanifah mencelah dengan suara yang kuat. Dia sedang menguruskan tong-tong ikan bersama Kelubi dan beberapa pemuda kampung.

“Eh, Abu! Hang pun jangan nak berangan! Kan aku dah kata aku tak nak kahwin dengan hang?!” Fatimah yang terdengar kata-kata Abu Hanifah itu segera memberikan tindak balas.

“Aik, Abu... hang pun ada hati kat Timah jugak? Sakan betul hang pa na? Dah pakat pilih seorang satu. Kalau macam ni, Pak Tam pun nak kena cari jugaklah.”

“Elok sangatlah tu, Pak Tam! Kak Doyah tu dah lama tunggu Pak Tam. Bolehlah Pak Tam tryisi borang.” Kelubi yang sejak tadi memasang telinga mula berkata.

“Kak Doyah?” Pak Tam bertanya semula.

“Pak Tam ni kalau bercakap parthati dan perasan... telinga dia tu elok pulak boleh dengar!” Kelubi mengejek.

Masing-masing ketawa mengeyakan ucapan Kelubi.

Pak Tam mencari kelibat Kak Doyah. Masing-masing melakukan perkara yang sama. Dari jauh, kelihatan seorang wanita yang terkial-kial menarik jaring. Entah di mana silapnya, jaring itu terlepas dari pegangan. Kak Doyah tergelincir jatuh ke tepian pantai. Terkial-kial wanita itu bangun dengan pakaian yang basah lencun.

“Kalau macam tu, tak jadilah! Biarlah Pak Tam hidup menduda aje,” ujar Pak Tam.

Spontan, ketawa mereka di situ pecah berderai.

“Eh, Abang Man kata tadi nak ke jeti penambang! Cepatlah pergi. Nanti tetamu dah tunggu, Abang Man tak sampai-sampai.” Abu Hanifah menegur selepas tawanya berhenti.

“Ya tak ya lah! Tiba-tiba pulak terlupa.”

“Manalah tak terlupa bila mata tu asyik merayap kat Kak Jah aje dari tadi!” Abu Hanifah mengejek.

Budiman sempat mengibas tuala kecilnya ke arah Abu Hanifah. Dia sekadar memprotes ucapan adik sepupunya.

Selepas itu, dia bergegas memulakan langkah. Tetapi matanya sempat memandang ke arah Khadeja. Gadis itu yang ternampak pandangannya, berpura-pura tidak ambil peduli. Khadeja meneruskan kerja sambil sesekali berbual-bual dengan Fatimah.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku