Langit Cinta
BAB 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2729

Bacaan






KHADEJA ternampak dua ekor ketam yang sedang mengerumuni umpan pada batang kayu sepanjang dua kaki yang dipacak pada gigi air. Dia tangkas mencapai ketam-ketam itu lalu dimasukkan ke dalam bakul.

“Kak Jah, ni lagi seekor!” Intan muncul lalu mencampakkan seekor ketam di tangannya ke dalam bakul di sisi Khadeja.

Kerana sudah terbiasa, mereka tidak gentar langsung semasa memegang haiwan laut yang mempunyai pengepit yang berbisa itu. Mereka tahu cara-cara untuk mengendalikannya.

Khadeja tersenyum tatkala mendapati perut bakulnya bersaiz sederhana itu semakin penuh.

“Dahlah, Intan. Terima kasih!” Khadeja berkata sebelum bangun bersama bakul tersebut.

“Eh, bakul dah penuh ke Kak Jah?” tanya Fatimah. Dia bersama beberapa wanita termasuk Kak Doyah dan Kak Ani baru lepas mencari siput di kawasan pantai paya bakau tidak jauh dari situ.

“Hmm, bakul Kak Jah lagi sikit nak penuh. Hari ni kita dapat banyak ketam. Siput macam mana?”

Fatimah mengerling bakulnya. “Tak sampai dua kilo pun, Kak Jah!”

“Takpelah. Cukuplah tu. Kita masak apa yang ada. Ikan-ikan yang Abang Man hang bawa tadi pun Kak Jah tak tengok lagi.”

“Ni, Kak Jah dah habis cari ketam ke?”

Khadeja mengangguk. “Rasanya dah cukup untuk hari ni. Lepas ni, Kak Jah nak terus ke warung.”

“Intan nak ikut Kak Jah tau!” Intan tiba-tiba mencelah.

“Hisy, sibuk ajelah budak ni!” Khadeja mengomel.

Intan hanya tersengih.

“Kalau macam tu, Kak Jah pergilah dulu. Nanti Timah datang. Timah nak cari siput lagi sikit. Nak penuhkan bakul.”

Mendengar kata-kata Fatimah, Khadeja sekadar mengangguk. Selepas meminta diri dari semua yang ada di situ, dia berlalu sambil diekori oleh Intan.

Kedengaran suara kanak-kanak lain yang seronok berkejar-kejaran sambil bermain air. Jeritan mereka berlagu-lagu dibawa angin bayu.

“Intan, hang pi lah main dengan kawan-kawan tu. Kenapa nak ikut Kak Jah? Kat gerai tu bukannya ada siapa-siapa.” Khadeja berkata kepada Intan yang masih membuntutinya.

“Tak naklah. Hari ni Intan nak main dengan Manja.” Intan berkata.

“Hmm, suka hati hanglah. Tapi, jangan kacau Kak Jah nak buat kerja. Duduk diam-diam aje dengan Manja tau?”

Intan menganggukkan kepala. Dia melihat Khadeja mengangkat bakul berisi ketam seberat 3 kilogram, lalu diletakkan di belakang basikal yang dibiarkan terparkir di sebatang pokok.

“Jom!” Khadeja mengajak.

“Kak Jah naiklah basikal tu. Biar Intan tolak.”

“Hanglah naik, biar Kak Jah yang tolak!”

“Alaa, Kak Jah dah selalu tolak. Hari ni biar Intan pulak yang tolak!” Intan memberikan cadangan.

Khadeja mengerling ke arah kanak-kanak perempuan yang comel dan petah berbicara itu. Keletah Intan yang ceria sering kali mencuit hatinya.

“Cepatlah!” Intan berkata.

Khadeja tersenyum.

“Okey. Tapi hang jangan tolak laju-laju.” Dia berpesan lantas meletakkan punggungnya di atas tempat duduk.

Intan mula menolak basikal yang dikayuh perlahan oleh Khadeja. Mereka menelusuri jalan kecil yang menghala ke arah gerai makannya yang berada tidak jauh dari kawasan mencari ketam dan siput.

“Kak Jah... Kak Jah!” Intan tiba-tiba memanggil. Suaranya sengaja dijeritkan agar dapat didengari oleh Khadeja.

“Apa dia?”

“Intan rasa kan, Abang Man tu suka kat Kak Jah lah.” Tanpa diduga Intan memuntahkan andaian.

“Hisy, apa yang hang merepek ni?” Khadeja terkejut mendengar ucapan kanak-kanak berusia 7 tahun itu. Benaknya terus terbayangkan raut Budiman.

“Yelah, Abang Man tu tak habis-habis usik Kak Jah. Jadi Intan rasa kan...”

“Dah... dah... hang jangan nak melalut. Mulut murai sungguhlah hang ni, Intan!” Khadeja segera memintas.

“Mana ada melalut? Intan cuma cakap aje...”

“Eh... eh, Intan... janganlah tolak laju sangat!” Khadeja terasa basikal yang sedang bergerak itu semakin meluncur laju.

Selendang yang menutupi rambutnya terus terbuai-buai bila disapa angin. Khadeja pantas menahan selendang di kepalanya yang berwarna biru dan berbunga halus itu agar tidak terlucut dengan menggunakan sebelah tangan, manakala sebelah tangannya lagi sedang mengawal basikal.

“Intan... kan tadi Kak Jah dah kata jangan tolak laju-laju! Dah, berhenti! Berhenti! Jangan tolak lagi!” Khadeja hampir terjerit. Kecut perutnya bila basikal tersebut terus bergerak melebihi kelajuan biasa.

Apakan daya, tayar basikalnya sudah tidak dapat dikawal. Khadeja pantas menurunkan kedua-dua belah kakinya. Dia mahu segera menghentikan basikal itu bila menyedari yang ia sudah mula terhuyung-hayang. Entah kenapa, otaknya seolah-olah terlupa fungsi brek tangan di bahagian pemegang.

Di saat keadaan semakin kelam-kabut, tiba-tiba Khadeja ternampak satu kelibat yang semakin mendekati. Dia tersentak.

“Tepi... tepi!” Dia terus bersuara. Dia tidak mahu merempuh kelibat di hadapannya itu. Tetapi situasi itu berlaku bagaikan sekelip mata sehingga kelibat tersebut tidak berjaya ke mana-mana.

Khadeja sepantas kilat menyerengkan haluan basikalnya dan tahu-tahu saja tubuhnya hampir terjelepok ke tanah. Untuk beberapa detik, dunia Khadeja seakan-akan berhenti dari berputar. Segala-galanya sepi.

“Eh... eh... awak tak apa-apa ke?” Tidak lama selepas itu, ada suara seorang lelaki yang bertanya.

Khadeja tersedar. Lantas dia terkejut bila terasa tangannya dipegang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Dia cepat-cepat menarik tangannya.

Sorry.Saya cuma nak halang awak dari terjatuh,” kata lelaki yang memakai baju t-shirt berwarna putih dan seluar slack berwarna coklat itu kepadanya.

“Yang awak duduk kat tengah-tengah jalan ni, kenapa? Kan saya dah suruh ke tepi!” Khadeja terus melontarkan bebelan. Dia membetulkan selendangnya. Waktu itu dia sudah pun berdiri tegak.

“Saya tengah tengok beruk tu petik buah kelapa. Awak pun muncul tiba-tiba aje. Saya tak sempat nak elak!” Lelaki itu pantas menjawab. Pandangannya dibiarkan terlekap ke raut gadis yang ayu berselendang menutupi rambut itu.

“Bahaya tau awak berdiri tengah-tengah macam tu! Kalau saya tak sempat alihkan handlebasikal tadi, mesti awak dah kena langgar.”

Lelaki itu hanya tersengih.

“Saya tak tahu pulak jalan kat kampung ni bahaya macam kat KL. Masa sampai tadi saya diberitahu yang kampung ni cuma ada kenderaan yang kecil-kecil aje. Tak sangka betul yang rupa-rupanya basikal pun boleh jadi alat pengangkutan yang bahaya!” balas lelaki itu sekadar berseloroh.

Matanya masih tidak dialihkan ke mana-mana. Tak tahu kenapa, sudut hatinya bagai terpesona melihat raut gadis itu buat pertama kali.

Ya, Aliff memang terpesona! Kecantikan gadis kampung yang disolek nipis itu benar-benar menarik pandangannya.

“Oh my god! She’s so gorgoes!” Aliff tidak sedar yang bibirnya menyebut ayat itu dengan tidak semena-mena.

Khadeja berpaling. “Apa dia? Gojah? Nama saya bukan Gojah. Nama saya Khadeja. K. H. A. D. E. J. A,” ujarnya sambil mengeja huruf pada namanya.

Dia baru saja mengangkat bakul berisi ketam yang terlepas dari ikatan pada basikal. Hampir semua ketam berselerakan. Namun segera dikutip.

Dunia Aliff kembali ke titik sebenar. Dia terus tersenyum. Tidak sempat dia bertanya, gadis itu sudah memberitahu sendiri apa yang terlintas di benaknya.

Khadeja! Cantik nama tu! bisik Aliff.

“Apa-apapun, minta maaf ya encik...”

“Aliff! Nama saya Aliff. Aliff Zukarnain.”

“Haaa Encik Aliff Zulkarnain. Saya hampir terlanggar encik tadi. Ada cedera kat mana-mana ke?”

Sambil mengutip ketam, Khadeja sempat meneliti Aliff. Risau juga jika lelaki itu terluka di mana-mana gara-gara kejadian tadi. Apatah lagi dia tahu Aliff merupakan tetamu yang baru tiba di kampung itu. Melihat dari penampilan pakaian pun dia sudah boleh mengagak.

“Eh, takpe. Saya okey. Don’t worry.” Aliff berkata.

“Ni semua Intan punya pasal!” Khadeja seakan-akan mengadu.

“Intan?”

Khadeja tidak mempedulikan kekeliruan yang melanda benak Aliff. Dia terus mencari-cari kelibat Intan yang hilang entah ke mana. Tahu-tahu saja, dia ternampak kanak-kanak perempuan itu yang baru mendekati.

“Intan! Awat hang ni? Kan, Kak Jah kata jangan tolak laju-laju?” Khadeja meleter.

Intan tersengih sambil tergaru-garu kepalanya.

“Dah, mai sini tolong Kak Jah kutip ketam-ketam ni!”

Intan menurut.

Aliff cuba membantu. Tetapi lelaki itu nampak teragak-agak mahu memegang ketam yang bergerak-gerak. Khadeja hendak tergelak.

“Eh, encik tak payahlah tolong! Bahaya kalau terkena sepit. Ketam ni berbisa sampai boleh demam tau.” Dia memberitahu.

Waktu itu, Budiman tiba-tiba muncul. Lelaki itu sedang membawa sebiji buah kelapa. Khadeja baru tersedar yang dia sudah berada di hadapan Warung Perindu. Suasana di situ kelihatan agak meriah.

“Ya ALLAH, Jah! Hang ni tak habis-habis kalut. Kan dah habis berterabur.” Budiman menggeleng.

Selepas itu dia menghulurkan buah kelapa muda yang sudah dikopek hujungnya ke arah Aliff.

“Bukan aku yang kalut. Si Intan ni yang tolak basikal laju sangat. Tak sempat aku nak tekan brek.” Khadeja mengerling Intan yang tersipu-sipu.

Sorrylah Kak Jah. Intan tak sengaja. Tadi tak nampak ada orang kat depan. Kak Jah lindung!” Kanak-kanak perempuan itu bijak memberikan alasan.

Budiman menggelengkan kepala. Dia menoleh ke arah Aliff yang sedang menghirup buah kelapa muda.

“Tuan Aliff betul-betul okey ke ni?” soal Budiman.

It’s alright. I’m fine.” Aliff mengangkat tangan tanda dirinya baik-baik saja. Pandangannya kemudian dihalakan ke arah Khadeja.

“Awak pulak okey ke, Cik Khadeja?” tanya Aliff.

Khadeja mengangguk.

“Saya pun okey. Ketam ni saja tak okey.” Gadis itu spontan membalas.

Aliff tergelak. Melihatkan situasi itu, Khadeja tergelak sama.

Pandai juga dia bergurau! Aliff berbisik.

Budiman memerhati keadaan itu. Entah kenapa, ada rasa kurang enak yang terbit secara tiba-tiba di sudut hatinya.

So,Encik Budiman... kita nak ke mana lepas ni?” Datuk Affendi tiba-tiba muncul di situ lalu bertanya.

“Hah, datuk, kalau dah takde apa-apa... jomlah saya bawak pusing-pusing pulau ni. Kalau sayup nanti, hujan.” Budiman segera berkata. Dia menuju ke arah motor teksi.

“Sayup?” Aliff kurang mengerti maksud perkataan yang digunakan oleh Budiman.

“Sayup tu maksudnya... lewat ataupun lambat.” Khadeja pantas menjelaskan. Dia baru selesai mengutip ketam yang bertaburan sambil dibantu oleh Intan. Dia langsung tidak mempedulikan gerangan lelaki bergelar datuk yang baru muncul itu.

“Oh...” Aliff terangguk-angguk.

“Jom, Tuan Aliff!” celah Budiman.

“Kejap, saya nak habiskan air kelapa ni lagi sikit.” Aliff berkata. Dia bagai sengaja mahu berlama-lama di Warung Perindu.

“Takpelah, Tuan Aliff bawaklah buah kelapa tu sekali. Boleh minum dalam motor teksi ni.” Budiman menyuruh.

“Ubi, hang pun ikut Abang Man. Hang bawak Encik Yus dan Encik Kamil guna motor yang ni.” Dia memberikan arahannya kepada Kelubi.

Aliff mengerling Khadeja. Gadis itu sedang mengangkat bakul yang berisi ketam untuk dibawa ke dalam gerai.

“Saya pergi dulu, ya?” Aliff bersuara.

Khadeja hanya tersenyum sambil mengangguk. Budiman dalam diam menyaksikan situasi itu.

Lambat-lambat Aliff melangkah ke arah motor teksi bila enjin mula dihidupkan. Datuk Affendi, Yus dan Kamil turut mengambil tempat duduk masing-masing.

Di saat motor teksi mula bergerak, Khadeja perlahan-lahan berpaling. Di waktu sama, dia ternampak pandangan Aliff yang terpanah ke arahnya.

Khadeja pantas melarikan wajah lalu berpura-pura sibuk dengan urusannya.

LEBIH kurang sejam kemudian, Khadeja selesai memasak. Seperti biasa, dia dibantu oleh Fatimah di dapur manakala Abu Hanifah sejak tadi leka menguruskan buah kelapa muda bersama Manja di luar gerai.

Semasa Khadeja sedang sibuk menghidangkan lauk-pauk di ruangan khas, tiba-tiba dia terpandang kelibat Kak Ani dan Kak Doyah yang sedang mengayuh basikal. Dua orang wanita itu nampak terkocoh-kocoh melintasi jalan di hadapan gerainya.

“Amboi, Kak Ani... Kak Doyah! Nampak kalut aje. Nak ke mana tu?” tegur Khadeja.

“Haa, Jah! Kami nak ke balai raya. Hang tak pergi ke?” soal Kak Doyah. Dia dan Kak Ani menghentikan basikal seketika.

“Ada apa kat balai raya?”

“Eh, hari ni kan ada perjumpaan dengan orang dari syarikat pemaju. Man takde beritahu hang ke?” Kak Ani bertanya.

Khadeja mengerutkan dahi. Dia mengorek minda. Terfikir-fikir sama ada Budiman ada memberitahu perkara itu ataupun tidak kepadanya.

“Jomlah, kalau hang nak pi sekali! Lambat nanti tak dengar pulak apa yang orang tu nak cakap.” Kak Ani mengajaknya.

Khadeja tersedar. Dia tersenyum sambil mengawal riak wajah.

“Takpelah. Kak Ani dan Kak Doyah pergilah dulu.” Dia akhirnya membuat keputusan.

Dua orang wanita itu mengangguk lalu kembali mengayuh basikal. Dalam beberapa detik, tubuh mereka menghilang ditelan kejauhan.

Khadeja lantas termenung. Terkebil-kebil memikirkan semula pertanyaan Kak Ani.

Memang dia ada mendengar ura-ura tentang kunjungan orang dari syarikat pemaju pada minggu itu. Tapi dia tidak pasti apakah Budiman ada memberitahunya tentang pertemuan dengan pihak tersebut pada hari itu. Sungguh, dia tidak ingat!

“Errr... Abu! Betul ke hari ni orang kampung kita ada perjumpaan dengan orang dari syarikat pemaju?” soal Khadeja tatkala dia terpandangkan kelibat Abu Hanifah.

Anak muda itu kebetulan muncul di situ sambil membawa beberapa biji buah kelapa muda untuk diletakkan di satu sudut gerai.

“Ada tak Abang Man hang beritahu apa-apa pasal perjumpaan tu? Kak Jah tak ingat pulak,” beritahu Khadeja lagi.

Abu Hanifah nampak terpaku selepas kata-kata Khadeja kedengaran.

“Err...” Dia tergagap kerana tiada jawapan untuk diberikan.

Di waktu sama Fatimah datang dari arah dapur untuk menghantar bekas berisi nasi. Fatimah ternampak kerlingan Abu Hanifah terlempar ke arahnya.

“Awat hang pandang-pandang aku?” omel Fatimah tidak senang.

“Kak Jah tanya tentang perjumpaan dengan orang dari syarikat pemaju tu!” Abu Hanifah berkata.

“Hah?” Fatimah terus menoleh ke arah Khadeja.

“Timah, Abang Man hang ada cakap apa-apa tak pasal tu?” Khadeja inginkan kepastian.

Fatimah kelu lidah. Dia mengerling Abu Hanifah semula. Masing-masing memberikan isyarat mata. Tindakan itu menyebabkan Khadeja mengerutkan dahi.

“Hang pa ni memang dah tahu ke?” Dia terus membuang soalan.

“Sebenarnya...” Fatimah ingin berkata sesuatu.

“Ni mesti kerja Abang Man hang, kan? Dia sengaja tak nak beritahu Kak Jah supaya Kak Jah tak pergi perjumpaan tu!” Khadeja terus membebel. Langkahnya mula dihayun untuk menuju ke arah basikalnya.

“Kak Jah!” Fatimah memanggil.

“Hang pa jaga kedai! Kak Jah nak pergi balairaya.” Khadeja spontan berpesan.

Fatimah dan Abu Hanifah berpandangan dengan riak resah.

Namun mereka tidak sempat berkata apa-apa kerana dalam sekelip mata, Khadeja sudah mengayuh basikal meninggalkan mereka di gerai makan itu.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku