Langit Cinta
BAB 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
5435

Bacaan






SUZANA baru lepas membersihkan dirinya dan menukar pakaian. Tubuhnya kepenatan kerana seharian dia melayani tetamu yang hadir di rumah banglo mewah milik keluarganya.

Alhamdulillah, majlis kenduri kesyukuran dan doa selamat selesai diadakan bagi mendoakan keselamatan dirinya yang bakal pulang ke London dua minggu lagi.

Kini, jam hampir menuju ke angka 12.00 tengah malam. Suzana sudah bersiap-siap untuk masuk tidur. Dia perlu berehat kerana esok, dia perlu menguruskan beberapa dokumen berkaitan dengan visa pekerjaannya. Sebentar tadi, mummynya Puan Sri Selinna ada singgah sejenak di biliknya. Mereka berbual seketika sebelum wanita itu berlalu untuk berehat.

Ketika mahu melangkah ke arah katil, Suzana terpandang telefon bimbitnya di atas meja solek. Dia terus mencapai. Punat ‘home’ditekan. Lalu dia mendapati tiada sebarang pesanan mahupun panggilan dari orang yang ditunggu-tunggu. Suzana spontan melepaskan keluhan.

“Sampai hati Aliff! Seharian dia tak contactaku.” Suzana mengomel. Geram bila memikirkan yang Aliff seakan-akan tidak ambil peduli akan perasaannya.

Suzana mula mengerling jam.

“Apa agaknya yang Aliff tengah buat sekarang ni?” getusnya dan berkira-kira untuk menghubungi lelaki itu. Tetapi dia mematikan niat.

“Entah-entah, Aliff dah masuk tidur dan berehat. Takpelah, telefon esok aje!” Suzana berbisik semula.

Dia berjalan ke arah katilnya yang bersaiz queen. Selepas meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja kecil, dia menjatuhkan punggungnya di birai katil. Berkira-kira untuk merebahkan tubuh. Tetapi, sekali lagi niatnya terhenti.

Anak matanya tertembak ke arah bingkai gambar yang menghiasi meja kecil di sisi katil. Terdapat fotonya bersama keluarga dan foto kenangannya bersama Aliff ketika menuntut di luar negara dahulu.

Suzana pantas mencapai bingkai gambar tersebut. Jarinya meraba-raba permukaan foto kenangannya bersama Aliff. Tanpa sedar dia tersenyum.

Entah kenapa, rindu pula dia kepada lelaki itu. Kali terakhir mereka berjumpa adalah pada tiga minggu yang lalu. Itupun dia sendiri yang singgah di Samudera Hodings semata-mata untuk bertemu. Dia terpaksa buat begitu kerana Aliff nampaknya begitu sibuk dengan urusan kerja.

Baru-baru ini Aliff ada menghubunginya. Lelaki itu meminta maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis kenduri yang diadakan di rumahnya. Semua itu kerana lelaki itu mempunyai urusan kerja di luar negeri.

Walaupun berasa agak kecewa, Suzana terpaksa akur. Dia sedar akan kesibukan Aliff. Apatah lagi lelaki itu bakal mewarisi perniagaan keluarga tidak lama lagi.

Suzana membuang nafas perlahan. Terasa cepatnya masa berlalu. Seakan-akan baru semalam dia dan Aliff masih bergelar kanak-kanak. Mereka seronok bermain dan berkejaran di sekitar laman rumahnya. Mereka bergelak-ketawa dan berbual-bual sambil membuat kerja sekolah bersama-sama.

Kalaulah dia mampu memutarkan waktu, pasti dia akan kembali ke zaman itu. Zaman di mana dia dan Aliff selalu menghabiskan masa bersama. Dia pasti bahagia kerana waktu itu arwah daddynya masih ada.


“ZANA, kenapa tak tidur lagi?”

Minda Suzana kembali terkenangkan peristiwa lalu. Suara pertanyaan Tan Sri Mustafa kedengaran di celah-celah pintu biliknya. Dia yang sedang berbaring sambil memberi tumpuan kepada novel, terus berpaling ke situ.

“Kan, dah lewat ni! Zana tak mengantuk lagi ke?” soal Tan Sri Mustafa sambil menapak ke dalam kamarnya. Tika itu jarum jam semakin menghala ke jam 1.00 pagi.

“Zana belum mengantuk lagi, daddy. Tengah cari mood nak tidur. Sambil tu Zana baca novel dulu. Kenapa daddy pun tak tidur lagi?” Suzana menyoal kembali. Dia bangun dari baringan. Novel di tangannya diletakkan ke tepi.

Esok, genap seminggu Suzana menamatkan kursus persediaan ke luar negara yang dihadiri selama setahun setengah. Tak lama lagi, dia bakal menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.

“Tadi daddy ada kerja sikit. Tapi dah settle. Sekarang dah nak masuk tidur.” Tan Sri Mustafa menjawab soalannya.

“Kalau macam tu pergilah masuk tidur. Mesti mummy tengah cari daddy tu,” usik Suzana menyebabkan Tan Sri Mustafa tertawa.

“Amboi, pandai betul anak daddy ni bercakap sekarang!”

Suzana pula ketawa. Dia rasa geli hati dengan kata-katanya sendiri.

Hubungannya dengan Tan Sri Mustafa memang agak rapat sejak dia masih kecil. Mungkin kerana di dalam keluarga itu, dia adalah anak tunggal. Justeru, dia sering bergurau-senda dengan lelaki itu. Namun sebagai anak, dia masih tahu menjaga batas-batas dalam kata-katanya. Apa-apapun dia wajib menghormati lelaki itu sebagai ayahnya dan sedar akan hadnya dalam bergurau.

Suzana tersedar bila dia terdengar bunyi Tan Sri Mustafa terbatuk-batuk. Kelihatan lelaki itu sedang mengusap ruangan dada. Suzana cepat-cepat mendekati daddynya.

“Kenapa daddy? Tiba-tiba aje batuk ni. Daddy tak sihat ke?” tanya Suzana sambil memangku lelaki itu supaya duduk di birai katil.

Tan Sri Mustafa yang masih terbatuk-batuk sekadar menurut. Beberapa detik berlalu, barulah lelaki itu berjaya mengawal keadaan apabila batuknya yang berterusan tadi mula berkurangan.

“Taklah, daddy okey.” Tan Sri Mustafa berkata. Lelaki itu menarik nafas yang tercungap-cungap.

“Akhir-akhir ni Zana perasan yang daddy kerap sangat batuk. Kalau sikit-sikit takpe. Ni lain macam bunyinya.”

“Biasalah. Bila usia dah makin tua, ada aje yang tak kena. Tambah-tambah kalau tersalah makan dan minum. Zana pun tahu tak ada manusia yang sentiasa sihat dalam dunia ni?” Panjang alasan yang diberikan oleh Tan Sri Mustafa.

Suzana menatap wajah Tan Sri Mustafa. Lelaki itu dilihat masih mengusap-usap permukaan dada. Sebenarnya dia memang perasan kebelakangan ini raut daddynya itu tampak pucat dan tidak cergas seperti selalu.

Tatkala menyedari suasana bisu yang menghiasi kamar yang bercat warna merah jambu itu, Tan Sri Mustafa mendongak ke arahnya.

“Kenapa pandang daddy macam tu?” Lelaki itu bertanya.

“Kalau selalu sangat batuk, daddy kena pergi hospital. Jangan buat sambil lewa dengan kesihatan daddy tu. Biar doktor periksa paru-paru daddy. Mana tahu ada apa-apa masalah, boleh dirawat dengan cepat.” Suzana memberikan arahan. Dia berasa risau. Dia sudah dewasa untuk mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena pada ayahnya.

“Amboi... anak daddy ni! Baru seminggu habis kursus, dah bercakap mengalahkan doktor,” usik Tan Sri Mustafa.

“Daddy ni, main-main aje! Zana risaukan daddy, tahu tak?” Suzana memuncung.

Apa yang diucapkan kepada Tan Sri Mustafa tadi bukan semata-mata kerana dia bakal mendalami ilmu kedoktoran sebaliknya kerana dia mengambil berat akan kesihatan lelaki itu.

“Yelah, daddy tahu. Zana janganlah risau. Kalau batuk daddy makin teruk, mestilah daddy ke klinik. Tadi daddy tersedak sikit aje!”

Kali ini Suzana diam. Menyedari yang Tan Sri Mustafa tidak lagi batuk segalak tadi, dia sedikit lega.

Bunyi telefon bimbit tiba-tiba kedengaran. Perbualan di kamar itu terhenti seketika. Suzana mendapati ada mesej yang masuk ke taliannya.

“Daddy nak pergi tidur ni. Zana pulak jangan tidur lambat-lambat. Nanti esok, susah pulak nak bangun Subuh.”

“Okey. Daddy pun, jangan lupa apa yang Zana pesan tadi! Kalau batuk masih tak kurang, daddy kena pergi klinik.” Suzana membalas.

Tan Sri Mustafa sekadar tersenyum. Lelaki itu bingkas dan menghayun langkah ke muka pintu.

Suzana mencapai telefon bimbitnya. Rupa-rupanya Aliff yang menghantar pesanan ringkas kepadanya.

“Err... daddy! Esok, kalau Zana nak keluar dengan Aliff boleh tak? Aliff ajak Zana pergi tengok wayang.” Suzana pantas bertanya sebelum tubuh daddynya menghilang di sebalik daun pintu. Dia agak teruja. Aliff baru saja mempelawanya untuk keluar menonton filem bersama-sama.

Tan Sri Mustafa yang baru menghentikan langkah, terus mengerutkan dahi.

“Eh, sejak bila Zana pandai minta izin dari daddy kalau nak keluar dengan Aliff ni? Bukan ke selama ni Zana selalu tanya kat mummy?”

“Isk, daddy ni! Tanya-tanya pulak. Selama ni, daddy kan sibuk dengan kerja? Macam mana Zana nak minta izin? Terpaksalah Zana tanya kat mummy aje.”

Tan Sri Mustafa tertawa. Bunyinya seakan-akan mahu mengusiknya.

“Boleh tak, daddy?”

“Kalau daddy tak bagi izin, macam mana?”

“Alaaa... daddy ni! Bukannya Zana nak keluar tak tentu hala. Zana nak pergi tengok wayang aje. Dengan Aliff pulak tu. Macamlah daddy tak kenal Aliff.”

“Yelah... yelah. Pergilah! Anak daddy ni dah besar. Dah pandai jaga diri. Tapi dengan syarat, jangan balik lewat!”

Suzana hampir melonjak.

“Thank you, daddy!”Tanpa menunggu, dia menerpa ke arah Tan Sri Mustafa lalu mencium pipi lelaki itu tanda gembira. Selepas itu dia membuka pintu almari pakaiannya untuk memilih baju yang hendak dipakai pada hari esok.

“Amboi, Zana nak terus pilih baju ke malam-malam ni?” Tan Sri Mustafa kehairanan.

“Hmm! Nak pilih awal supaya esok taklah kelam-kabut.”

“Ni macam tak sabar-sabar aje nak jumpa Aliff?” Tan Sri Mustafa bertanya lagi dalam nada musykil.

“Tak sabar? Mana ada?” Suzana berkata sambil terus menyibukkan diri menyelak setiap helaian pakaian yang tergantung di dalam geroboknya.

“Daddy dah makan garam lebih awal dari Zana tau!”

“Apa maksud daddy?”

“Do you like Aliff?”

Suzana terkejut apabila pertanyaan drastik itu menggigit cuping telinganya. Perlahan-lahan, dia berpaling. Dia menatap wajah daddynya yang masih berdiri di muka pintu. Wajah itu tampak ingin tahu.

“Kenapa daddy tiba-tiba tanya macam tu?” Suzana keresahan. Tak tahu kenapa dia terasa jantungnya berdebar-debar.

“Daddy tanya sebab daddy nak tahulah. Zana suka Aliff ke?”

“Taklah. Bila masa Zana suka Aliff? Daddy sendiri tahu yang selama ni kita orang rapat sebagai kawan aje.”

“Kawan pun, apa salahnya kalau jatuh cinta?”

“Mengarut ajelah daddy ni! Dahlah, tak nak cakap pasal ni lagi. Tadi daddy kata nak pergi tidur?” Suzana cuba mengawal keadaan kerana tiba-tiba dia terasa wajahnya panas disebabkan malu.

Tan Sri Mustafa tersenyum-senyum. Kelihatan lelaki itu sudah mengatur langkah untuk keluar, namun tanpa diduga lelaki itu kembali mengintai di sebalik pintu biliknya.

“Kalau Zana betul-betul sukakan Aliff, jangan simpan perasaan lama-lama. Dalam zaman teknologi macam sekarang ni, dah takde istilah perigi cari timba.” Tan Sri Mustafa memberitahu.

“Daddy!”

Actually, daddy pun suka kalau Aliff jadi menantu daddy.” Dengan sendiri Tan Sri Mustafa mengeluarkan kenyataan yang tidak disangkakan. Ada senyuman penuh makna terukir di bibir itu.

Suzana terpaku. Saat itu dia tidak mampu bersuara. Sekadar membiarkan ucapan daddynya itu menyapa telinga.


SUZANA terasa dunia lamunannya terhenti. Bayang-bayang peristiwa lalu terus melenyap dibawa angin malam. Keadaan itu turut mengheret kenangan perbualannya bersama arwah daddynya bertahun-tahun dulu.

Tak disangka, rupa-rupanya itu adalah perbualan mesra terakhir yang terjadi antara dirinya dan Tan Sri Mustafa.

Suzana masih ingat keesokan harinya, lelaki itu mengalami batuk yang makin teruk sebelum jatuh sakit akibat jangkitan pada paru-paru. Seminggu daddynya dimasukkan ke wad ICU. Kemudian hampir sebulan ditahan di wad biasa. Akhirnya, lelaki itu pergi jua menghadap ILLAHI pada suatu hari setelah paru-parunya tidak dapat berfungsi lagi.

Suzana mengeluh perlahan. Diam tak diam, kini sudah hampir 10 tahun Tan Sri Mustafa pulang ke rahmatullah, meninggalkan dia dan mummynya menjalani kehidupan sendiri.

Sejak pemergian lelaki itu, Puan Sri Selinnalah yang bersusah-payah menguruskan perniagaan Tan Sri Mustafa. Mujur mummynya mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan.

Waktu itu, Suzana perlu menyambung pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Namun, dia pernah bercadang untuk menukar pengajian ke jurusan pengurusan perniagaan. Alasannya, dia mahu membantu Puan Sri Selinna meneruskan legasi perniagaan yang ditinggalkan oleh daddynya.

Apakan daya, cadangannya itu dihalang keras. Mungkin Puan Sri Selinna sedia maklum yang dia sudah lama bercita-cita untuk bergelar doktor. Justeru wanita itu mahu dia mencapai kerjaya yang diimpikannya.

Suzana kembali menatap bingkai yang berisi gambar keluarganya. Raut daddynya yang ceria dipandang lama.

“Kalau Zana betul-betul sukakan Aliff, jangan simpan perasaan lama-lama. Dalam zaman teknologi macam sekarang ni, dah takde istilah perigi cari timba. Actually, daddy pun suka kalau Aliff jadi menantu daddy.” Bait-bait ayat terakhir yang diucapkan oleh Tan Sri Mustafa kembali menjengah minda.

Hati kecil Suzana tiba-tiba menjadi sayu. Kalaulah dia tahu itu adalah malam terakhir dia akan berbual-bual mesra dengan daddynya, pasti dia akan mengajak lelaki itu bercakap perkara-perkara yang menggembirakan dan bersembang sambil bergelak ketawa hingga ke pagi.

Hati Suzana terasa semakin sebak. Tangannya mengusap permukaan gambar.

“Daddy apa khabar? Lama kita tak jumpa. Zana harap daddy baik-baik kat sana.” Suzana berkata. Dia masih membiarkan pandangannya terhala ke raut Tan Sri Mustafa di dalam gambar. Entah kenapa, juring matanya berkaca dengan tiba-tiba.

“Semoga roh daddy dicucuri rahmat. I really miss you, daddy. I miss you so much.” Suzana berbisik dan saat itu air matanya mula mengalir tanpa henti.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku