Langit Cinta
BAB 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 April 2015
Sebuah novel Damya Hanna yang diinspirasikan dari skrip filem tulisan dan arahan Osman Ali berjudul Langit Cinta. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2015 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penilaian Purata:
(24 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
10835

Bacaan






“TANJONG, Lilo, Kencana... mana hang pa? Tak nak makan ke? Ciko... Jiji... Putera... miow... miow!” Khadeja mengintai di sekeliling kedainya. Dia baru mengeluarkan beberapa ekor ikan yang sudah direbus dari periuk. Selepas mengasingkan tulang, dia menggaulkan isi ikan itu bersama nasi sejuk.

“Indera... Lucky... hang pa semua kat mana?” Khadeja masih memanggil. Dia memuncungkan bibirnya dan mula mengeluarkan bunyi bagi menarik perhatian kucing-kucing yang selalu bersantai-santai di sekitar gerainya.

Beberapa saat memanggil, barulah kelihatan kucing-kucing yang pelbagai warna muncul di situ. Masing-masing mula mengerumuninya dan mengiau meminta makan.

“Hang pa ni... janganlah main jauh-jauh. Kalau ya pun, makanlah dulu. Lepas tu baru pergi main.” Khadeja membebel. Dia meletakkan nasi yang sudah siap digaul bersama ikan di dalam beberapa bekas khas lalu diletakkan di tepi kedainya.

Kucing-kucing itu mula mengunyah makanan di dalam bekas masing-masing. Khadeja sempat membelai bulu ke semua kucing yang ada di hadapannya. Tiba-tiba dia ternampak seekor anjing liar yang sedang melintasi gerainya.

“Bobo! Hang lapar tak? Nah, ambil ni. Aku dah goreng ayam.” Khadeja hampir menjerit. Dia mencampakkan seketul ayam ke arah anjing yang berwarna coklat.

Selepas menggonggong ayam goreng itu, anjing yang dinamakan sebagai Bobo itu terus beredar pergi.

Khadeja membasuh tangan. Hari itu, dia sendirian membuka gerai. Tadi Fatimah cuma singgah sebentar sebelum berlalu ke pinggir laut untuk memeriksa jaring mereka. Mujurlah pagi itu, tidak ramai pelanggan yang singgah untuk makan dan minum di gerainya.

Suasana tiba-tiba menjadi hening. Bunyi beberapa pelanggan asing yang berbual-bual tidak langsung dihiraukan. Sesekali kedengaran bunyi kulit kerang yang berlaga-gala bila ditiup angin. Mana tidaknya, sepanjang laluan di sekitar gerainya itu, terdapat kedai-kedai yang menjual kraftangan beraneka bentuk dan rupa.

Tumpuan Khadeja beralih bila dia terdengar suara Manja terjerit-jerit kecil. Kelihatan beruk yang diikat pada pokok itu sedang bermain-main sendirian. Khadeja pantas mengambil sebiji pisang lalu dihulurkan kepada beruk tersebut.

“Nah, hang makan pisang ni, Manja! Mesti hang dah lapar. Tuan hang tu tak balik dari laut lagi.” Khadeja berkata kepada Manja. Dia memaksudkan Abu Hanifah sebagai tuan kepada beruk tersebut.

Sudah menjadi kebiasaan sebelum Abu Hanifah turun ke laut bersama Budiman, Kelubi dan para nelayan lain... Manja akan ditinggalkan di dalam sangkar di gerai Khadeja lalu dikunci.

Bila Khadeja atau Fatimah datang untuk membuka gerai, Manja akan dikeluarkan dari sangkar itu. Beruk tersebut akan diikat pada pokok yang bersambung dengan gerai Khadeja dan dibiarkan bermain-main. Petang, bila gerai ditutup... Manja akan dibawa pulang oleh Abu Hanifah yang tinggal bersama keluarga Budiman.

“Nak lagi ke?” Khadeja bertanya bila Manja mencium-cium tangannya.

Khadeja mengambil lagi sebiji pisang lalu diberikan kepada beruk itu.

“Eh, makanlah sikit-sikit. Hang ni... gelojohlah Manja!” Khadeja menegur. Cara dia berbicara seakan-akan beruk itu faham dengan setiap kata-katanya.

“Dahlah. Cukuplah dulu! Hang tak boleh makan banyak-banyak. Nanti hang malas nak buat kerja,” bebel Khadeja bila tangannya masih dicium oleh Manja.

“Tapi saya boleh makan banyak-banyak sebab bila perut dah kenyang, saya takkan malas buat kerja!” Tanpa diduga, ada suara yang berbunyi di belakang.

Khadeja tersentak lalu dia berpaling. Tubuh Aliff dilihat sedang terpacak sambil tersengih menatapnya.

“Hai!” Aliff terus menyapa.

“Awak nak apa datang sini?” marah Khadeja. Dahinya berkerut kerana tidak selesa dengan kemunculan Aliff yang tidak disangka.

“Kenapa? Saya tak boleh datang ke? Dari tadi saya tengok ada pelanggan yang makan kat sini... maknanya gerai awak tak tutup, kan?” soal Aliff sambil memerhati ke sekeliling.

Sebenarnya tadi selepas membersihkan dirinya, dia bercadang untuk bersarapan di kafeteria hotel. Namun bila melihat Yus dan Kamil yang belum terjaga dari tidur, dia terus membawa diri ke pekan kecil yang terletak di Kampung Pulau Perindu.

Pada awalnya, dia sekadar bersantai-santai di jeti kerana mahu melihat aktiviti pagi oleh penduduk kampung. Tahu-tahu saja dia ternampak kelibat Khadeja yang berada di gerai dari kejauhan. Selepas beberapa waktu memerhati, kakinya dengan sendiri diayun ke situ.

“Tapi saya tak nak layan pelanggan macam awak!” tukas Khadeja melenyapkan lamunan Aliff.

“Eh, tak baik awak cakap macam tu! Saya datang ni nak breakfast. Sepatutnya awak bersyukur sebab saya bawa rezeki untuk awak pagi ni.”

Khadeja mengetap bibir bila jawapan yang diberikan Aliff mencicit masuk ke lubang telinga. Dia agak tersentap.

“Pisang tu nampak sedaplah. Boleh saya minta satu?” pinta Aliff.

“Tak boleh! Pisang ni cuma untuk Manja. Nama awak Manja ke?”

“Kalau awak nak panggil saya Manja, apa salahnya?” balas Aliff. Selepas itu dia tertawa sendiri dengan ucapan yang dikeluarkannya.

Khadeja jadi geram. Dia merengus tanpa sedar. Sakit rasa hatinya kerana Aliff berani memuntahkan kenyataan yang berbunyi nakal. Ada masalah mental agaknya lelaki ni! gerutunya.

“Abang Aliff ambil sebiji ya, Manja? Nanti Abang Aliff bayar. Thank you.” Aliff terus memetik sebiji pisang di atas meja lalu menceraikan kulit sebelum mengunyahnya tanpa sempat Khadeja menghalang.

“Hisy, apa masalah awak ni, Encik Aliff? Pisang tu bukan untuk awaklah tapi untuk Manja!”

“Alah, saya ambil sebiji aje. Nanti awak cajlah dalam bil saya. Tu ada banyak lagi pisang untuk Manja makan. Betul tak, Manja?” Aliff berkata ke arah beruk di hadapannya. Dia masih mengunyah pisang yang tinggal separuh.

“Awak ni memang dah reti bahasa Melayu, kan?” Khadeja tetap membebel.

Aliff terus merenung gadis yang manis bertudung itu.

“Kenapa? Awak nak cakap bahasa Korea pulak ke dengan saya?” usiknya.

Hati Khadeja semakin berbuku. Sikap loyar buruk Aliff makin menjadi-jadi. Tambah-tambah bila lelaki itu tersengih sambil menjungkitkan kening padanya.

Ya ALLAH Ya Tuhanku! KAU berikanlah aku kesabaran di tahap yang paling tinggi. Sanubari Khadeja mula berbisik.

“Manja apa khabar hari ni? Dah sarapan?” Aliff tidak mempedulikan pandangan tajam Khadeja. Dia terus berinteraksi dengan beruk yang sedang bermain-main sendirian. Pisang yang dikunyah, sudahpun habis ditelan.

“Oh, dah! Dah mandi ke belum? Belum? Oh, patutlah dari tadi Abang Aliff bau lain macam aje. Mama Khadeja tak mandikan Manja ya?” Aliff berbicara sambil melirik ke arah Khadeja.

Naik bengang Khadeja mendengar ucapan Aliff. Dia ni memang nak kena! Pandai-pandai aje gelar aku mama kepada Manja. Tak guna betul!

“Janganlah jeling-jeling macam tu kat saya. Saya kan, tetamu kat kampung awak yang cantik ni? Lagi pun dalam Islam... kita ada adab-adab dalam melayan tetamu. Nabi Muhammad pun pernah suruh kita memuliakan tetamu, kan?” Panjang tutur kata Aliff, seakan-akan mahu menyindir Khadeja.

“Setakat tetamu macam awak yang ada niat nak mencemarkan tanah kat kampung saya, rasanya tak rugi pun kalau saya tak layan.” Khadeja menegaskan. Dia malas untuk terus menghadap lelaki itu. Buat sakit mata dan hatinya saja.

Khadeja mahu berlalu. Dia menghayun langkah. Namun, dia tersilap pencaturan bila kakinya tiba-tiba tersadung sendiri. Hampir-hampir dia terjatuh. Tetapi Aliff berjaya menahan tubuhnya dengan memaut tangannya sepantas kilat.

“Haa... nasib baik tak jatuh!” kata lelaki itu.

Khadeja rasa malu. Wajahnya panas dengan sendiri.

“Apa hal awak pegang-pegang saya ni!” Dia menepis tangan Aliff sebelum menjarakkan dirinya. Perasaan malu yang menguasai dirinya kerana hampir tersembam tadi, segera dikawal.

“Eh, awak marahkan saya pulak? Kan awak nak terjatuh tadi? Kalau saya biarkan, mesti awak dah terjelepok jatuh kat situ,” jawab Aliff membela diri.

“Awak sepatutnya biarkan aje! Yang awak nak sibuk-sibuk pasal saya, kenapa? Kalau saya terjatuh pun saya tak susahkan awak.”

“Kalau awak jatuh, nanti habislah muka awak yang georgeustu!

Khadeja mendengus. Georgeus... georgeus!Tak habis-habis dia ni nak cakap yang bukan-bukan.

“Hmm... okeylah, saya sebenarnya nak order kopi satu cawan dengan...”

Khadeja mengerutkan dahi.

“Awak ni tak faham-faham lagi ke? Saya tak nak layan pelanggan macam awaklah! Maknanya satu apa pun saya tak nak jual kat awak. Jangankan tanah, setitis air kopi pun saya tak nak bancuh untuk awak, faham tak?”

“Cik Khadeja...”

“Awak tolonglah pergi! Pergi dari sini!” Khadeja menempik.

Keadaan itu membuatkan Aliff menatap raut gadis kampung yang tampak beria-ia mahu dia beredar. Keras hati jugak perempuan ni! detiknya.

Tetapi Aliff tidak bercadang untuk mengalah. Dia perlu terus berusaha untuk mencuri perhatian Khadeja dan memastikan ketegangan di antara mereka tidak lagi berterusan. Mungkin bila Khadeja sudah bertenang, dia dapat duduk dan berbincang baik-baik dengan gadis itu.

Khadeja pantas meninggalkan Aliff bila ada pelanggan yang muncul di gerainya untuk membuat pesanan. Khadeja benar-benar berharap lelaki yang berasal dari bandar itu akan beredar selepas dia berlalu. Dia rimas!

Selepas mengambil pesanan dari pelanggan yang baru tiba, Khadeja mendapati kelibat Aliff sudah hilang. Lelaki itu lesap tanpa dikesan.

Khadeja mengerutkan dahi. Eh, kemana dia pergi? Takkan tiba-tiba aje dah hilang?

Walaupun pelik, Khadeja sekadar meneruskan kerjanya. Dia mahu membancuh minuman untuk pelanggan yang baru sampai. Kehilangan Aliff malas mahu dipedulikan.

Tetapi, Khadeja begitu terkejut bila terpandangkan kelibat Aliff yang tiba-tiba muncul dari dapur gerainya. Paling menambahkan kejutan bila Aliff dilihat melangkah sambil membawa dua gelas air kopi yang masih berasap.

Mata mereka bertentangan. Aliff tampak selamba tersenyum sebelum duduk di sebuah kerusi dan meja yang kosong.

Khadeja cepat-cepat menghalakan kakinya ke situ.

“Awak ni dah kenapa? Sesuka hati awak aje masuk dapur gerai saya dan bancuh air kopi segala!” tempik Khadeja tak puas hati.

Aliff sempat menghirup air kopi yang dibancuhnya sebelum mendongak. Dia hanya tenang. Sekadar membiarkan matanya merenung raut Khadeja bersama bibirnya yang masih tersenyum.

“Awak ingat ni gerai keluarga awak ke?” Khadeja tidak menghiraukan renungan dan senyuman Aliff. Dia terus melepaskan kata-katanya dengan nafas yang turun naik. Matanya sempat mengerling dua cawan air kopi yang terdampar di permukaan meja.

“Apa kata awak pergi sediakan dulu pesanan dari pelanggan awak tadi tu. Bila dah selesai, baru awak boleh duduk sini dan marah-marah saya,” nasihat Aliff.

Khadeja tidak bercadang untuk mengambil peduli akan nasihat itu. Dia masih berkeras untuk mendapatkan penjelasan Aliff namun dia terdengar suara pelanggan yang bertanya tentang pesanan yang telah dibuat. Nak tak nak, Khadeja terpaksa berlalu.

Selepas beberapa minit, barulah dia muncul semula di meja yang menempatkan Aliff.

“Sekarang saya nakkan penjelasan awak. Kenapa awak pandai-pandai masuk dapur gerai saya? Kan, saya dah suruh awak pergi!”

“Kot ya pun, duduklah dulu!”

Khadeja membuang nafas deras. Lama berteleku barulah dia menarik kerusi bertentangan Aliff sebelum duduk.

Aliff mengambil kesempatan untuk menatap laman wajah Khadeja. Seperti semalam, raut gadis bertudung itu nampak kemas dan bersih tanpa sebarang kesan mekap kecuali bedak nipis dan pengilat bibir.

“Jawablah! Jangan nak pandang-pandang muka saya pulak!” gertak Khadeja membuatkan lamunan Aliff berlalu.

“Cik Khadeja, pernah tak sesiapa beritahu awak yang muka awak nampak cantik kalau dahi berkerut dan marah-marah macam tu?” tanya Aliff tanpa diduga.

Khadeja mendengus keras. Orang tanya lain, dia jawab lain!

Aliff tersenyum sendiri bila tersedar yang kata-katanya itu terlahir tanpa sedar. Perlahan-lahan dia menolak segelas air kopi di hadapannya yang belum berusik agar menuju ke arah Khadeja.

“Nah, awak cuba rasa air kopi yang saya bancuh ni. Saya buatkan khas untuk awak.” Kedengaran perlahan suara Aliff.

“Kenapa pulak saya nak kena minum air kopi yang awak bancuh? Saya tak naklah!” tolak Khadeja tanpa menunggu.

“Jomlah, minum dulu! Saya nak awak bertenang. Jangan asyik nak marah tak tentu pasal.” Aliff cuba berkompromi.

“Entah-entah awak dah letak sesuatu dalam air tu. Awak ingat saya tak tahu taktik kotor awak? Mesti awak dah bubuh minyak pengasih, kan? Awak buat macam tu supaya saya ikut cakap awak untuk jual tanah keluarga saya kat hujung pantai tu.”

“Eh, tak baik awak tuduh saya bukan-bukan!”

“Saya tahu! Memang itu niat sebenar awak masa masuk dapur gerai saya untuk bancuh air kopi tu tadi?”

“Cik Khadeja, janganlah bersangka buruk! Walaupun saya memang berniat nak pujuk awak supaya jual tanah keluarga awak tu... tapi, saya tak letak apa-apa pun dalam air kopi tu!” Aliff berkata. Dia mempertahankan diri. Sempat dia mencicip air kopinya yang semakin suam.

“Saya tak percayalah!”

“Saya cakap betul. Saya berani bersumpah! Air kopi tu suci. Saya bancuh dengan hati yang ikhlas,” tekan Aliff.

“Ikhlas konon! Tak payahlah nak bercakap tentang ikhlas. Awak masuk dapur gerai saya sesuka hati dan bancuh air tanpa kebenaran saya, ikhlas apanya?”

“Habis tu, siapa suruh awak sendiri yang tak nak bancuhkan air untuk saya? Jadi saya bancuhlah sendiri!” balas Aliff.

Khadeja bengang. Dia bercadang untuk bangun dan meninggalkan meja itu. Berlama-lama melayan Aliff hanya akan membuatkan sanubarinya bertambah sebal.

“Okeylah... okeylah... saya minta maaf!” Aliff segera menghalang Khadeja dari berlalu.

“Saya memang tak patut masuk dapur gerai awak dan pandai-pandai bancuh air sendiri. Saya janji takkan buat macam tu lagi,” tambah Aliff menyebabkan Khadeja tidak jadi bangun.

“Lepas ni, saya akan hormat keputusan awak kalau awak tak nak saya makan atau minum kat sini. Tapi... tolonglah terima air kopi yang saya dah buat. Anggap ini sebagai tanda maaf saya pada awak,” pujuk Aliff.

Khadeja mengetap bibir.

Sesuka hati dia aje nak minta maaf guna cara macam tu. Dahlah bancuh air kopi pun dari gerai aku! bisik Khadeja. Tetapi dia masih diam. Dia belum bersetuju untuk menerima permintaan Aliff yang tak masuk dek akal.

Please, Cik Khadeja. Takkan nak buang air kopi yang dah siap dibancuh? Awak pun tahu tak elok membazir!” Tidak lama kemudian Aliff meneruskan kata-kata.

Perlahan-lahan Khadeja melirik pada wajah berkulit cerah di hadapannya. Nada suara yang digunakan Aliff kedengaran lembut lalu membuatkan hatinya yang keras mula mencair tanpa disedari.

“Sumpah! Saya memang tak letak apa-apa dalam air tu.” Aliff mengangkat tangan kanan.

Khadeja menarik nafas panjang.

“Okey. Baiklah. Saya terima maaf awak tapi lepas saya minum air kopi tu, saya nak awak balik dan jangan kacau saya lagi!” tegas Khadeja.

Aliff hanya senyum. Pantas Khadeja mencapai gelas berisi air kopi di hadapannya lalu dia menghirup sedikit demi sedikit.

“Oh ya tak ya! Terlupa pulak saya. Sebenarnya tadi ada sesuatu yang saya letak kat dalam air tu.” Tiba-tiba Aliff membuat pengakuan.

Khadeja baru saja menelan air kopi di dalam mulutnya. Lantas dia mengerutkan dahi. Kenyataan spontan Aliff membuatkan dia terkedu. “Awak letak apa?” gementar dia bertanya.

Senyuman Aliff tiba-tiba melebar.

“Saya letak... kasih sayang saya!” jawabnya dan kali ini Aliff tersengih manja sebelum tiba-tiba melepaskan tawa.

Khadeja terus menggertap gigi. Berbuku rasa jiwanya. Bunyi tawa Aliff kedengaran memenuhi ruang alam.

Tak guna betul! Berani dia mempermainkan aku? Khadeja geram. Sanubarinya benar-benar terasa bagaikan dipukul. Hampir-hampir jantungnya hendak meluruh tadi.

Ah, kalaulah diukur... pasti tahap sakit hati yang dirasai waktu itu sudah pun setinggi Gunung Kinabalu!


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku