GILA TAK RINDU
Bab 10
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 April 2015
Penilaian Purata:
(25 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3093

Bacaan






KE hulu ke hilir Kisya berjalan dengan wajah gelisah. Telefon bimbit di tangan tak lepas-lepas. Dibawa ke sana ke mari. Sesekali dia cuba membuat panggilan, namun panggilannya tak bersambut. Dia berdecit geram.

“Herghh! Mana dia pergi ni? Telefon tak angkat!” Kisya menderam.

Dia menghempas duduk di sofa. Wajahnya mencuka. Seketika kemudian dia menatap telefon bimbitnya semula. Sekali lagi dia mendail nombor telefon Risham. Masih tak berjawab.

“Mana dia pergi ni?!” Kisya menghempas telefon bimbitnya di atas sofa. “You pergi mana ni, Sham? I call you tak angkat. I mesej you tak balas!” Dia betul-betul marah.

“Kata tak keluar pergi mana-mana. Kalau tak keluar, habis tu kenapa tak angkat phone? Dah banyak kali call. Takkan tak dengar?” Dia masih merungut-rungut.

“Jangan-jangan... dia keluar dengan perempuan lain!” Bibir digigit menahan rasa. “Tak mungkin!” Dia cuba positifkan pemikiran.

Dia mengambil semula telefon bimbitnya. Dia tahu apa nak buat. Nombor telefon rumah Risham dihubungi. Tak menunggu lama, panggilannya berjawab.

“Helo. Assalamualaikum...” Kisya bersopan.

“Waalaikumusalam. Siapa tu? Nak cakap dengan siapa?” Kedengaran suara perempuan yang menjawab panggilan.

“Ni Kisya, kawan Sham. Dia ada ke?”

“Sham keluar. Ada apa ya?”

Keluar? Perasaan cemburu mula meruap dalam diri. Terasa panas. Namun, dia cuba menyabarkan hati. Relaks, Kisya. Sabar, sabar...

“Sham keluar dengan siapa? Err... I mean... dia ada cakap dia tak keluar pergi mana-mana malam ni. So... I nak cakap dengan dia. Ada hal sikit.” Suaranya sedikit bergetar menahan perasaan cemburu yang meluap dalam diri.

“Ni mummy Sham, Kisya. Sham dah keluar. Kenapa Kisya tak call handphone dia?”

“Oh... Auntie Zaharah.” Kisya melunakkan suara agar kedengaran sungguh bersopan. Selama ini, dia cuma tahu nama mummy Risham. Belum pernah berjumpa. “Sorry, auntie. Kisya dah call, tapi tak dapat. Sebab tu Kisya call nombor telefon rumah. Anyway, auntie tahu dia keluar dengan siapa?”

Berkerut muka Zaharah. “Dia cakap nak keluar jumpa kawan. Tak tahulah pulak auntie dia keluar dengan siapa.”

“Tak apalah kalau macam tu, auntie.” Kisya terus memutuskan talian. Serta-merta riak wajahnya berubah muram.

“You pergi mana, bodoh?! You keluar dengan perempuan lain ke? Eii... bodoh betullah!” jeritnya geram.

“Bahalol punya jantan!” Dan banyak lagi caci-maki yang dihamburkan. Terjerit-jerit dia kerana sangat marah.

Apabila dia membayangkan Risham sedang bergembira bersama gadis lain, mulutnya memaki semahu-mahunya. Dia memaki sambil menangis.



TERSANDAR Adib kini. Dipandang wajah Risham tak berkelip. Lama kemudian dia menghempas nafas sambil menekur ke lantai pula. Masalah betul ni.

“Aku tak main-main, Dib. Aku serius!” Risham tunjuk riak bersungguh-sungguh.

Adib memandang Risham semula. “Hutang aku kat kau yang tiga ribu tu kira lebur macam tu je?”

Risham mengangguk.

“Maknanya kau halalkan semua hutang aku tu?”

Risham masih mengangguk.

Ada perasaan lega di hati Adib. Namun tak lama. Dadanya berdebar pula. Kalau nilai RM3000 Risham boleh pejam mata dan lupakan, maknanya perkara yang aku kena buat ni besar nilainya.

Bagi Risham yang memang anak orang berada ni mungkin RM3000 setakat celah gigi saja. Tapi takkanlah senang sangat Risham nak leburkan jumlah sebegitu untuk kerja yang remeh-temeh. Betul tak? Habis tu, apa yang Risham nak aku buat? Aduhhh...

“Aku rasa, kau je yang boleh buat.” Risham menekan perkataan ‘kau’ itu supaya Adib tahu yang dia tak ada pilihan yang lain.

Adib mengemam bibir. Dadanya makin berdebar. Lain macam betul si Risham ni. Dari tadi lagi Risham tak memberitahu apa yang dia kena buat.

Risham mengeluarkan telefon bimbit. Di skrinnya terpapar 18 panggilan tak berjawab daripada Kisya. Sengaja dia tak mahu menjawab panggilan itu. Lagipun, telefonnya itu dalam mode senyap. Dikerling Adib yang sedang memerhati perlakuannya.

“Aku nak tanya betul-betul dulu. Bila kau buat apa yang aku suruh ni, semua hutang kau kat aku, aku anggap selesai. Settle! Tapi kau kena buat apa yang aku suruh. Kau sanggup?”

Adib meresah. “Kau kena cakap dulu apa yang aku kena buat. Barulah aku boleh bagi keputusan sama ada aku setuju atau tak.”

“Kau jangan risau, beb. Ni tak ada kaitan dengan jenayah, atau apa-apa yang melibatkan kerja gila. Aku jamin! Sekarang, aku nak kaubagitahu aku. Setuju atau tak?” soal Risham. Gayanya benar-benar mendesak.

Diam Adib berfikir. RM3000 bukannya sikit. Banyak! Kalau ikutkan, ada lima bulan lagi dia kena bayar pada Shamsul. Kalau hutangnya itu selesai, maka berakhirlah beban yang ditanggung selama dua tahun itu. Bolehlah dia menyimpan duit lebih sikit untuk diri sendiri. Bolehlah dia fokus nak beli kereta, rumah... dan macam-macam lagi.

“Setuju ke tak?” Risham masih mendesak. Jadi tak sabar pula dia melihat Adib diam seribu bahasa begitu.

“Okey!” Akhirnya, Adib membulatkan tekad membuat keputusan.

Risham senyum. “Bagus...” Lantas dia meletak telefon bimbitnya di atas meja. Aplikasi Wechat terpapar di skrin.

Adib hanya memerhati.

“Ni WeChat aku. Nama aku dalam ni... Mr. Krab. Masalah aku sekarang, aku dah janji nak jumpa dengan seorang perempuan ni esok. Ni perempuan ni...” Risham membuka profil salah seorang senarai kawannya. “Nama dia Nomi.”

Adib mendekatkan muka melihat gambar profil gadis itu.Hanya gambar lakaran lukisan seorang gadis. Dipandang Risham. “So?

Risham melepaskan nafas panjang. “Aku nak kau menyamar jadi aku, Adib. Esok kau jumpa Nomi!”

Bukan kepalang Adib terkejut. Spontan dia terduduk tegak. “Hisy... apa ni, Sham?” Dia berdecit. Resah.

“Kau menyamar je, bukan buat apa pun. Takkan tu pun kau tak boleh buat?” Risham mula rasa baran.

“Kalau dia syok kat aku macam mana? Aku dah ada Hazza. Aku nak kat dia je. Ni kau suruh aku jumpa perempuan lain. Hisy...” Adib menggeleng-geleng. Ni yang aku lemah ni. Kalau Hazza tahu aku jumpa perempuan lain, mesti tak ada peluang aku nak pikat dia.

“Kenapa kau nak aku buat kerja gila ni? Aduhh... kau ni pun...” Adib berdecit lagi.

Risham naik angin. “Janganlah bodoh sangat! Kau jumpa dia sekali je. Cuma nak puaskan hati dia. Lepas tu pandai-pandai kau nak buat apa. Kalau kau tak suka dia, kau blah jelah! Nak tunggu buat apa? Bukan aku suruh kau bercinta dengan dia pun.”

“Kalau macam tu, kenapa kau sendiri yang tak jumpa dia? Lepas jumpa dia, kau blahlah! Apa yang susah sangat? Kenapa sampai kau nak aku pulak yang menyamar jadi kau?” Adib pula rasa nak marah. Pelik dia dengan Risham ni.

“Sebab aku sekarang dah dengan Kisya! Kau tak tahu Kisya tu macam mana. Dia tu cemburu sikit. Aku tak nak dia tahu pasal ni. Aku takut kantoi dengan dia. Aku sayangkan dia, beb.”

“Kau fikir pasal kau dengan Kisya je. Pasal aku dengan Hazza, kau tak fikir?” Adib geram.

“Sebab kau dengan Hazza tak ada apa-apa! Cuma kau je yang terhegeh-hegeh nak kat dia... syok sendiri,” perli Risham dengan senyuman sinis.

Terbakar hati Adib mendengar kata-kata Risham. “Sebab aku belum bersedia nak luah perasaan kat dia! Kalau aku nak, bila-bila masa je aku couple dengan dialah!” katanya yakin.

“Okey, okey...” Risham beralah. “Point aku kat sini, kau dengan Hazza masih tak ada apa-apa hubungan. Tapi, aku lain. Aku dah declare yang Kisya tu girlfriend aku. Bulan depan aku nakbertunang dengan dia.”

Terdiam Adib, menahan rasa. Begitu juga dengan Risham. Suasana agak tegang ketika ini.

“Macam ni kisahnya, Dib...” Risham cuba bertenang. “Aku kenal dia dalam WeChat masa aku pergi Korea tahun lepas. Kau ingat kan? Masa tu aku tak kenal Kisya lagi. Tapi sekarang hati aku dah sepenuh jiwa kat Kisya. Aku rasa memang aku takkan pandang perempuan lain lagi dah. Dia bagi aku... perfect!

Serius wajah Adib mendengar cerita Risham.

“Pasal Nomi ni, aku dah janji nak jumpa dia lepas setahun kita orang kenal. Aku tak tahu dia macam mana sebab dia tak pernah tunjuk gambar dia. Tapi dalam WeChat ada gambar kita satu geng masa kat UNISEL dulu. Tu sebab aku nak kau menyamar jadi aku. Sebab dalam gambar tu ada gambar kau sekali.”

Adib tetap diam. Ligat otaknya menimbang perkara itu. Menimbang buruk dan baiknya.

Risham menyambung bicara. “Sekarang, akunak delete WeChat aku. Aku nak kau ambil alih pulak. Kau tukar nama jadi Mr. Krab, ganti aku. Aku nak kau add dia dan bagitahu yang ni akaun baru. Akaun lama dah tak ada sebab telefon kau konon-kononnya dah hilang.”

Adib fokus mendengar arahan Risham dengan separuh rela.

“Kau mesej dia... cakap kat dia yang kau nak jumpa dia esok. Pandai-pandai kaulah nak jumpa dia kat mana. Lepas jumpa, suka hati kaulah nak buat apa. Nak tinggalkan dia ke, nak apa ke... aku tak nak ambil tahu.”

Amboi! Sedap betul Risham bagi arahan. Dia ingat aku ni tak ada perasaan? Dahlah aku tak pernah jumpa perempuan tu. Dah jumpa, lepas tu nak suruh aku buat kejam pulak kat dia. Aduhh... kerja gilalah ni semua! Adib menggaru-garu kepalanya. Rasa rimas.

“Macam mana kalau dia syak yang aku ni bukan kau? Aku kena berlakon ke yang aku ni anak orang kaya, kerja engineer, ada kereta...” Adib ragu-ragu.

“Tak payah! Memang aku ada cakap kat dia pasal aku sikit-sikit. Tapi sekarang, kau jadi diri kau sendiri. Kau cakap kat dia, semua yang aku cerita dulu tu... semuanya bohong! Habis cerita!”

Muka Adib masih tak yakin.

“Kau bagitahu lagi, yang kau pergi Korea tu dulu sebab ada orang sponsor. Dah! Settle!

“Habis tu, pasal dia?”

“Yang aku tahu, dia kerja kat butik Shah Alam, anak tunggal, err... err...” Risham langsung tak ingat apa-apa pasal Nomi ni. “Ah! Senang cerita, kau cakap je yang kau lupa apa-apa pasal dia sebab ramai lagi awek yang kau selalu chatting. Simple as that. Tak payah susah-susah peningkan kepala. Dah terang-terang kalau kau cakap macam tu, dia dulu yang tinggalkan kau. Tak susah kerja kau nak kena buat.”

Heh! Cakap je senanglah. Adib merungut dalam hati.

“Dan lepas kau buat semua tu, hutang kau kat aku... settle!” peringat Risham semula.

Terlepas nafas berat Adib. Apabila mengenangkan hal hutang, hatinya berbolak-balik. Siapa yang tak nak hutang sebanyak itu langsai macam tu je? Tapi mengenangkan Hazza, gundahnya menjelma. Dia memandang Risham tajam.

“Apasal kau tak biarkan je benda ni? Buat bodoh je. Tak payah jumpa perempuan tu. Senyap je. Tak boleh ke?”

Risham menggeleng. “Dia dah tengok gambar aku tu. Dia dah tahu aku pernah belajar kat UNISEL. Aku risau dia cari aku sampai dapat. Aku tak nak benda ni melarat. Aku rasa baik settle benda ni macam ni.”

Adib dah tak tahu nak cakap apa lagi.

“Okey, bak sini handphone kau.” Risham menghulurkan tangan.

Terkejut Adib. “Nak buat apa?” Dahinya berkerut.

Add Nomi.”

“Sekarang?”

“Cepatlah!” dengus Risham.

Bingung seketika Adib, namun dikeluarkan jua telefon bimbit dari dalam beg sandang dan menyerahkannya pada Risham.

“Tapi sebelum tu aku nak delete semua moments kau. Semua sekali.”

Adib tersandar lemah. Dibiarkan saja Risham buat apa pada telefon bimbitnya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku