SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2199

Bacaan






BAB 6
Mel tersipu-sipu malu di atas pelamin. Songket jingga keemasan yang membaluti tubuh langsingnya menyerlahkan seri pengantin di wajah polos itu.

“Senyum sikit, Mel! Kitorang nak snap gambar kau ni. Say cheese!” teriak TJ dan Lili yang sudah terkinja-kinja di kaki pelamin. Telefon pintar yang tersemat di tangan masing-masing tidak putus-putus memotretkan seraut wajah bujur sirih milik Mel yang sudah di solek rapi.

Keanggunan dan kejelitaan Mel tidak mampu di sangkal lagi. Ini semua hasil lorekan dan goresan dari sepasang jemari runcing miliknya sendiri. Namun kecantikan itu sekadar berpaksikan pada bantuan alat solek semata-mata. Tanpa sebarang solekan mana mungkin wajahnya akan jadi anggun sebegini. Itulah penyebab utama dia menceburi bidang andam-mengandam secara part-time sungguhpun dia sudah ada kerjaya tetap sebagai kerani polis. Nak baiki wajah sendiri yang tak berapa nak molek sebenarnya!

Yang paling hebat solekannya untuk majlis hari ini adalah hasil dari air tangannya sendiri. Pelik tetapi benar. Mungkin inilah satu-satunya perkahwinan yang melakar sejarah tersendiri di Kampung Delima. Mana tidaknya, buat pertama kalinya pengantin perempuan bertindak selaku mak andam dalam majlis perkahwinannya sendiri!

“Eloklah tu! Pengantin lelaki tak sampai lagi, pengantin perempuan pula terkinja-kinja sorang diri atas pelamin. Nampak sangat gatal benar nak berlaki! Sebijik macam perangai kawan baik kamu si Effa tu!” kutuk Mak Cik Pah dengan bibir terjuih-juih ala-ala muncung Donald Duck.

Menyirap darah Mel di buatnya. “Amboi! Sedap mulut aje mengutuk orang, yer? Kalau setakat datang sini semata-mata nak kutuk saya, baik Mak Cik tak payah datang majlis saya ni!”

Mak Cik Pah tersenyum sinis. “Hei, kau ingat aku hadap sangat ke nak datang majlis kau yang ala-ala sendu ni? Aku datang ni pun pasal aku dapat jemputan khas dari mak kau. Kalau aku tak kenangkan hubungan baik aku dengan mak kau, tak inginnya aku jejakkan kaki kat sini, tau?”

“Eleh! Iyalah tu. Mak Cik Pah jangan nak macam-macam yer. Nampak ni? Karang tak pasal-pasal, lebam biji mata tu karang!” sampuk Lili sambil mula mengepal-ngepal buku limanya.

Terkocoh-kocoh Mak Cik Sara datang dari dapur. Keadaan yang semakin tegang segera di suraikan. “Mel! Sudahlah tu. Kenapa kamu nak marah-marah dengan Mak Cik Pah pula ni? Hari ni kan hari bahagia buat kamu? Udah-udahlah tu. Jaga perangai kamu tu sikit. Ingat kamu tu pengantin baru. Jangan nak buat perangai tak semenggah pula di hari perkahwinan kamu.”

Segaris senyuman lebar terukir di bibir Mak Cik Pah. Puas hatinya melihat Mel di tarbiah oleh ibunya sendiri di hadapan semua orang.

“Hah, pasang telinga tu lebar-lebar. Dengar sikit cakap mak kamu tu. Jangan sampai pisang berbuah tiga kali pulak! Nanti takde sesiapa yang sudi memperisterikan kamu!” cebik Mak Cik Pah dengan nada menghina.

Tahap kesabaran Mel sudah sampai ke paras hidung. Dia bingkas bangkit dan menerkam ke arah Mak Cik Pah.

“Mulut Mak Cik ni memang macam mulut longkanglah! Meh sini saya tutup mulut puaka Mak Cik tu!”

Mak Cik Pah segera berlindung di belakang Mak Cik Sara. Tangan Mel sudah memanjang dan mencari sasaran namun Mak Cik Pah tangkas menepis di sebalik tubuh kecil molek milik Mak Cik Sara.

“Mak Cik Sara! Mak Cik Sara! Ada berita gempar!”

Termengah-mengah Azlan berlari-lari anak ke arah Mak Cik Sara dengan wajah yang cuak. Pertempuran hebat di antara Mel dan Mak Cik Pah serta-merta terhenti.

“Kenapa dengan kamu ni, Azlan? Kelam-kabut semacam aje. Dah macam kena kejar hantu aje Mak Cik tengok,” tukas Mak Cik Sara dengan dahi kedut seribu.

“Mak Cik! Kalau saya cakap, Mak Cik bertenang, yer? Rizal, Mak Cik. Rizal!”

Pantas Mel mencelah. “Apa kena dengan bakal suami aku tu? Cuba kau cerita sekarang. Kau jangan nak buat suspen pulak kat sini, Azlan!” terjah Mel dengan nada yang semakin menipis kesabarannya.

Azlan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Err...macam ni...sebenarnya...sebenarnya...”

“Cepatlah cakap! Aku cepuk jugak budak ni karang!” herdik Mel dengan wajah berang.

Mak Cik Sara mengusap-usap bahu Mel dengan lembut. “Sabar, nak. Janganlah marah-marah macam ni. Azlan, cuba cerita dengan Mak Cik apa sebenarnya yang dah jadi ni?”

Azlan menunduk. Riak serba-salah semakin tertebar di wajahnya. “Sebenarnya...tadi mak Rizal telefon. Dia cakap...dia cakap...Rizal tak nak datang sini. Rizal tak mahu kahwin dengan Mel!”

“Hah? Biar betul? Tipu! Aku tak percaya! Kau tipu! Tipu!!!” pekik Mel sekuat hati. Mak Cik Sara sudah terjelepuk duduk. Ya Allah! Bertimpa-timpa dugaan yang melanda keluarga mereka.

Masuk yang ini sudah tiga kali perkahwinan Mel di batalkan. Kali pertama pengantin lelaki di serang angin ahmar dan meninggal dunia seminggu sebelum sempat di ijabkabulkan. Pengantin lelaki yang kedua pula kena tangkap basah dengan bosnya sendiri tiga hari menjelangnya hari pernikahan. Yang ini lagi tragis! Tanpa sebarang alasan mudah sahaja sang pengantin lelaki membatalkan perkahwinan. Itupun di hari perkahwinan mereka! Oh, ini memang melampau!

“Lili, TJ, kau ikut aku sekarang! Jom kita cari jantan tak guna tu!” pekik Mel. Dia berlari ke dalam bilik. Dompet dan telefon bimbit di atas meja solek segera di sambar sebelum di sumbat ke dalam beg sandang yang tergantung di bucu katil. Sesudah itu kakinya ligat melangkah ke muka pintu hadapan.

Mak Cik Sara bingkas bangun dan menerpa ke arah Mel. “Mel, sudahlah tu. Janganlah buat perangai lagi. Dah cukuplah keluarga kita menanggung malu. Janganlah kamu tambahkan lagi,” rintih Mak Cik Sara dengan hiba. Lengan Mel di paut dengan kemas.

Terus sahaja Mel merentap pautan itu dengan kasar. “Mak! Biar Mel ajar diorang semua yang biadap sangat dengan keluarga kita ni. Mentang-mentanglah Mel ni takde ayah, suka-suki aje diorang nak buat keluarga kita macam ni! Mak jangan risau, Mel akan pastikan Rizal menyesal dengan perbuatan dia ni. Jom TJ, Lili.”

Mel, TJ dan Lili semakin pantas mengatur langkah. “Mel! Balik sini, Mel! Sudahlah tu! Mel!”

Teriakan Mak Cik Sara itu sekadar hembusan bayu yang bertiup lalu di gegendang telinga Mel. Derap kakinya semakin jauh melangkah meninggalkan rumah tersebut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku