SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 8
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2154

Bacaan






BAB 8
“Hello…ya…nantilah…sekarang ni tak bolehlah. Hmm…saya tak janji…”

Robo menjeling Togo yang berada di atas motosikal Honda CBR250R. Isyarat mata di berikan. Sepantas kilat Togo menghayunkan tangannya sekuat hati. Steering lock di tala tepat ke tingkap kereta tersebut sehingga pecah berderai. Pantas Togo melorongkan tangan ke dalam. Pemegang pintu kereta di pulas dari dalam. Pintu kereta yang terbuka luas memudahkan dia merentap leher kemeja Robo. Arish tergamam. Namun dia tidak panik. Tangan kanannya yang berangkai dengan tangan kiri Robo segera di angkat tinggi-tinggi. Jangan harap kau nak lepas macam tu aje. Never!

“Bodoh bertengkek-tengkek betullah kau ni! Kau tak nampak ke tangan kitorang bergari ni? Kalau kau nak bawa lari dia, kau kena berdepan dengan aku dulu, ngok!”

Arish dah pamer senyum sinis. Tapi tak sampai tiga saat sebab penerajang Togo dah hinggap dulu ke pipi licinnya. Senyum sinis dah tukar jadi senyum senget. Tidak sempat Arish membalas sebilah parang dah tersua di hadapan wajahnya. Togo mengacum-acum parang tersebut sambil tersengih-sengih. Tersembul gigi gerahamnya yang kehitaman. Kalau comel macam Kapten Jack Sparrow tak apa juga. Ini dah macam bertih jagung hangit, kutuk Arish dalam hati.

“Ucap selamat tinggal pada tangan sasa kau tu!” seru Togo sambil terus melibas parang tersebut ke arah tangan Arish dan Robo yang masih bergari. Arghh!! Matanya di katup rapat-rapat. Tiada apa lagi yang mampu di buat Arish. Sah-sah lepas ni statusnya bertukar jadi warga OKU.

“Prakk!!!”

Pelik. Langsung tak sakit. Kebal ke apa ni? Perlahan-lahan Arish membuka mata. Fuhh!! Gari rupanya yang jadi mangsa tetak, bukan tangannya. Syukur padaMu, Ya Allah!!

Matanya mencerlung ke sebelah. Robo sudah membonceng di belakang Togo. Arish melangkah keluar dari kereta. Tangannya cuba mencekak lengan Robo namun Togo lebih pantas. Berdesap-desup motosikal berkuasa tinggi itu meninggalkannya terkapai-kapai. Siap Robo melambai-lambai ke arahnya ala-ala Mis Universe lagi. Cis!

Arish melompat masuk ke dalam kereta di sebelah hadapan. “Amat! Kejar motor tu sekarang! Kita tak boleh kehilangan jejak dia!”

Amat terkedu. Semangatnya bagaikan menghilang kerana menyaksikan secara live adegan tetak-tangan-tapi-gari-yang-kena tadi. Meremang bulu tengkuknya. Langsung terkujat tak bernafas jadinya.

Arish kehairanan melihat Amat terus-terusan membatu. “Kau ni dah kenapa? Cepatlah kejar si Robo tu! Masak kita kalau dia terlepas. Jatuhlah reputasi kita!”

Amat bagaikan tersedar dari mimpi. Sepantas kilat pedal minyak di tekan sekuat hati. Mereka membontoti motosikal itu dari belakang. Semakin lama semakin rapat. Kini mereka sudah berada bersebelahan.

Arish membuka tingkap kereta dan memekik sekuat hati. “Berhenti aku cakap! Jangan sampai aku tembak kau nanti. Sia-sia aje karang!”

“Kejarlah kitorang! Kata pegawai paling cemerlang. Memang cemerlang tapi cemerlang makan asaplah ajelah jawabnya!” acum Togo dengan nada mengejek.

Seraya itu tahap kelajuan motosikal tersebut di tingkatkan. Asap berkepul-kepul yang di muntahkan dari ekzos motorsikal tersebut terus menyerbu masuk ke halkum Arish. Terbatuk-batuk dia di buatnya. Berangnya kian menjadi-jadi. Kurang asam keping punya perompak tarbus!

“Amat! Laju lagi, Amat! Laju lagi!”

Pedal minyak di tekan sekuat hati. Kereta peronda polis itu menyusup laju ala-ala Nissan Skyline GT-R34 kepunyaan Brian O’Connor dalam 2 Fast 2 Furiuos. Motosikal tersebut membelok ke kiri lalu menyusup di antara celahan lorong bangunan yang sempit. Amat tekad kali ini. Dia turut menyusup ke celah laluan sempit tersebut.

“SPLASH!!!”

Basah kuyup Arish di buatnya. Segera dia berpaling ke arah pintu belakang restoran yang ternganga luas. Seorang lelaki berkulit gelap dan berambut afro ala-ala Alleycat tercegat di situ sambil memegang baldi kosong. Grrr!!! Tak lain tak bukan mesti kerja mamat ni. Untuk kereta tersebut berhenti serta-merta di situ tidak mungkin terjadi dengan kelajuan pemanduan Amat yang setaraf dengan perlumbaan F1. Arish hanya mampu ketap bibir. Geram.

Akhirnya sampai di hujung lorong motosikal tersebut terus membelok ke kanan. Amat mempercepatkan pemanduan. Kereta tersebut kian menghampiri motorsikal yang di tunggangi Togo dan Robo. Tinggal beberapa inci lagi. Keyakinan Amat kian menggunung. Dia sudah berhasrat untuk menyondol belakang motorsikal tersebut. Tanpa di sedari lampu isyarat berwarna merah sudah menanti di hadapan. Sebuah lori kontena dari arah kanan terus sahaja meluncur laju melintasi mereka. Selamba motorsikal Togo memintas. Namun sudah agak terlambat bagi Amat. Mereka sudah terlalu hampir dengan lori kontena itu. Pedal brek di tekan sekuat hati. Pucat lesi muka Arish.

“Triitt…triit…”

Interkom yang bertalu-talu menjengah gegendang telinga Arish menyentak lamunannya. Pantas gagang telefon di angkat. Suara manja Rika terus sahaja menyapa pendengarannya.

“Tuan, Tuan Komisioner panggil tuan ke biliknya.”

Aduh!!! Arish mengeluh. Masaklah dia kali ini. Pasti dia akan menerima bahana akibat dari kecuaiannya.

“Ok Rika. Saya datang sekarang.”

Gagang telefon di hempas kuat. Sebal hatinya nak mengadap Tuan Komisioner di kala ini. Pasti beribu lontaran cercaan akan menujah ke arahnya nanti. Kakinya di tala lemah menuju ke bilik Tuan Komisioner. Nak kena pasang perisai pelindung telinga ni gamaknya!

Pintu bilik Tuan Komisioner di ketuk bertalu-talu. Degupan jantung turut sama bertalu-talu bagai kena palu sebaik sahaja terdengar sayup-sayup suara Tuan Komisioner dari dalam. Sebaik tombol pintu di pulas, kelibat Amat yang tegak terpaku terus menjamah di ruangan mata. Sah, ini mesti pasal hal tadi. Kelat yang melatari wajah Tuan Komisioner bagaikan sudah menceritakan segala-galanya. Arish menelan air liurnya. Perit di dada hanya Allah yang tahu.

Tuan Komisioner menghela nafas kasar. “Saya tak nak buat macam ni tapi…awak yang tak bagi saya pilihan, Arish. Awak pun tahu pencapaian cemerlang tak boleh di jadikan kayu pengukur untuk prestasi semasa kita sebagai seorang anggota polis.”

Mukadimah yang menyakitkan. Arish memujuk jiwanya yang kian bergelora. Kata-kata Tuan Komisioner seterusnya di nanti dengan seribu kerutan yang menjalar di dahi.

“Sekarang ni awak cakap dengan saya, Arish. Apa harus saya buat? Nak pertahankan awak? Cuba bagi sepuluh sebab kenapa saya harus pertahankan awak.”

Arish terjeda. Akalnya buntu. Dia mati kata-kata. Memang ini semua berpunca dari kecuaiannya. Kalau buah kelapa jatuh, naik balik sekalipun belum tentu dia mampu bela diri. Sah-sah memang dia salah.

“Hah! Yang awak pula Amat, apa awak nak cakap? Kenapa awak tak backup Arish masa si Robo tu larikan diri?”

Terkebil-kebil biji mata Amat. Dia merenung Arish penuh pengharapan. Tolong keluarkan ayat power dari mulut macho tu, rayu Amat dalam hati.

Namun Arish sekadar berjeda. Nak bela diri pun tak mampu, apatah lagi nak bela orang lain. Kirim salamlah jawabnya!

“Ok. Saya dah bagi peluang tapi awak berdua terus-menerus membisu. Kalau macam tu takde apa lagi yang saya nak cakaplah. Serahkan lencana dan pistol awak berdua sebelum keluar dari bilik saya ni. Awak berdua di gantung kerja sehingga siasatan kes ini selesai.”

Arish dan Amat saling berpandangan. Masih mengharap tuah akan datang menjelma di hadapan namun harapan tinggal harapan. Dengan berat pistol Walther P99C dan lencana polis di letakkan ke atas meja.

“Hah! Tunggu apa lagi? Keluarlah sekarang!”

Arish dan Amat mengatur langkah keluar dengan hati sebal. Namun teriakan Tuan Komisioner dari belakang merantai seketika langkah kaki mereka.

“Ingat! Sepanjang ‘percutian istimewa’ kalian, jangan sesekali cuba masuk campur dalam urusan siasatan kes ni. Kalau tidak, saya tak teragak-agak mengenakan tindakan keras terhadap kamu berdua. Faham?”

Serentak Arish dan Amat membalas. “Faham, Tuan!” Kemudian pantas mereka menala langkah kaki dengan wajah kelat.

“Apa kita nak buat ni, bang? Esok mesti berita ni keluar kat dada-dada akhbar. Malulah kita macam ni,” keluh Amat.

“Buat bodoh ajelah, apa lagi? Aku sendiri pun tak tahu apa aku nak buat sekarang. Aku cadangkan kau balik kampung ajelah. Mesti kau dah lama tak melawat mak dan ayah kau, kan? Inilah masa yang sesuai.”

Bunyi nyaring yang terhasil dari telefon bimbit Arish mematikan perbualan mereka serta-merta. Suara becok Rahman terperlus di hujung talian.

“Hello, Arish. Kau balik rumah sekarang. Ada masalah besar ni!”

Arghh?! Bala apa pula ni? Tak habis satu, dah menjelma pula bala yang lain. Arish kusut.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku