SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 13
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2243

Bacaan






BAB 13

Mak Cik Sara terduduk. Perkhabaran yang di bawa oleh TJ dan Lili sebentar tadi hampir sahaja menyentak degup jantungnya.

“Kenapa kamu galakkan dia buat macam tu, Lili? Kamu tak kesian kat makcik ke?”

Lili tertunduk menekur ke lantai. Sejujurnya dia dalam dilema. Di telan mati emak, di luah mati bapak. Kalau tak di tolong, pasti Mel melabelnya sebagai kawan yang tak boleh di harap. Tapi bila sudah di tolong, tak pasal-pasal pula dia kena menjawab dengan Mak Cik Sara. Hai, nasib...nasib...

“Saya...saya minta maaf, makcik. Saya bukan tak kesian dengan makcik. Tapi...saya...saya lebih kesiankan Mel. Dia kan kawan saya. Mestilah saya kena tolong dia,” gugup Lili menjawab.

Mak Cik Sara mengeluh. “Kamu ni tolong orang tak bertempat! Patutnya kamu nasihatkan si Mel tu supaya jangan ikut kata hati sangat. Ini kamu pula yang tolong dia. Kamu rasa dengan tolong dia buat benda mengarut macam ni, kamu ni kawan yang baiklah? Kalau kat tengah jalan nanti jadi apa-apa kat dia, siapa yang nak bertanggungjawab? Kamu nak bertanggungjawab?”

Lili terdiam. Peluh renik sudah mula berjuraian di pelipis dahi. Macam mana dia boleh tak terfikir tadi? “Ya Allah, Kau selamatkanlah dan permudahkanlah urusan sahabatku Mel. Moga dia pergi dan pulang dengan selamat”, titip Lili jauh di sudut hati.

Mel terkulat-kulat sendiri. Seumur hidup belum pernah lagi dia menjejakkan kaki ke mari. Selama ini hanya Bas Rapid KL sahaja yang menjadi pengangkutan utamanya untuk pergi dan balik kerja. Mujurlah Lili sudi menghantarnya ke mari dengan motosikal cabuknya. Kalau jalan kaki memang sampai hujung tahun depan belum tentu sampai lagi.

Mel tiada pilihan sebenarnya. Dia terpaksa menaiki STAR LRT kerana hanya inilah satu-satunya pengangkutan awam yang akan membawanya terus ke Terminal Bandar Selatan. Ya, terminal penyelamat yang akan membawanya terus-menerus ke Johor Bharu. Semoga kemunculannya di situ nanti bakal memberikan sinar baru buatnya. Segala janji-janji manis Rizal akan di tuntut dan di tagihnya kelak.

Kerlingan tajam yang datang dari deretan manusia yang berbaris panjang di mesin layan diri tiket STAR LRT langsung tidak di peduli. Jakun ke apa diorang ni. Tak pernah tengok orang pakai baju pengantin gamaknya, gerutu Mel dalam hati.

Kakinya melangkah penuh yakin ke lorong masuk menghala ke stesen Chan Sow Lin. Kad Touch ‘n’ Go miliknya segera di imbas pada mesin pengimbas. Sebaik sahaja penghadang terbuka Mel melangkah ke arah lautan orang ramai yang sedang gigih berdiri di sepanjang landasan. Mak aih! Ramainya!

Sempat lagi Mel mengerling ke arah jam besar yang tergantung di salah satu tiang besar di situ. Pukul 7.00 malam. Bukannya waktu puncak pun. Tambahan hari ni hari ahad. Hari cuti bagi Kuala Lumpur dan negeri-negeri seangkatan dengannya. Ah, gasaklah! Ramai pun ramailah. Janji dia cepat sampai ke destinasi yang di tuju.

Sebuah tren yang sarat dengan penumpang tiba. “Sri Petaling. Hmm...aku nak pergi TBS. Bukan tren ni rasanya,” bebel Mel seorang diri.

Baru sahaja dia mahu berundur ke belakang apabila segerombolan manusia mula menerpa dan menghimpit ke arahnya. Oh, tidak! Rupa-rupanya dia berdiri betul-betul di hadapan pintu tren yang ketiga. Dia tidak sempat mengelak. Badannya semakin terdorong ke dalam tren tersebut.

“Wei! Jangan tolak-tolaklah! Saya tak nak naik tren ni. Saya bukan nak pergi Sri Petaling. Saya nak pergi TBS!”

Suaranya tenggelam dalam hiruk-pikuk manusia yang bersesak-sesak masuk. Tubuhnya sudah jauh terdorong ke dalam tren. Tanpa sempat dia berbuat apa-apa, bunyi siren nyaring mula bergema. Mel cuba bergerak semula ke arah pintu tren tapi semuanya sudah terlambat. Pintu tren sudah tertutup dan tren mula bergerak perlahan-lahan.

Mel tergamam. Fikirannya buntu. Berpasang-pasang mata yang memandang langsung tidak di peduli. Air mata mula merembes keluar dan menuruni pipi gebunya.

“Tren ni memang pergi TBS. Tak payahlah nak emo sangat. Kot iya pun duduklah dulu.”

Lengannya di regut dengan kasar dari sebelah kanan sehinggakan dia terduduk. Nada sedih dalam hati dah bertukar ke nada marah. Memang nak kena betul orang sebelah ni! Pantas Mel berpaling. Erk?! Dia kat sini? Biar betul?!

Riak ala-ala terkena renjatan elektrik di wajah Mel terus mengundang tawa di bibir jejaka itu. “Kenapa, tak percaya? Tak payahlah nak respon lebih-lebih pula. Patutnya saya yang terkejut tengok awak kat sini. Eh, bukan ke hari ni majlis pernikahan awak?”

Mel terus tarik muncung sedepa. Perkataan kahwin, nikah dan sewaktu dengannya sudah jadi racun bagi halwa telinganya. “Boleh tak tuan jangan sebut pasal tu? Saya saja aje jalan-jalan naik tren ni. Nak release tension.”

Segaris senyuman sinis terukir di bibir Arish. “Yeke saja jalan-jalan? Takkanlah awak jalan-jalan pakai baju pengantin kot? Nanti dulu. Jangan-jangan awak ni lari dari majlis perkahwinan awak sendiri tak?”

Mel tersentak. Bidikan yang kurang tepat namun masih berupaya mencalar sekeping hatinya yang rawan.

Lirih Mel membalas. “Aha memang lari pun tapi yang lari bukannya saya tapi pengantin lelaki.”

Terjongket kening Arish. “Apa awak cakap? Pengantin lelaki lari? Biar betul awak ni. Sikit punya comel macam ni takkanlah kena tinggal dengan pengantin lelaki kot. Saya tak percayalah.”

Mel senyum sumbing. Tak percaya sudah! Lagi bagus. Tak payahlah panjang lebar dia bercerita pasal peristiwa pahit yang baru sahaja melanda hidupnya pada mamat cengcong ni. Segera dia melarikan topik perbualan mereka.

“Tuan pula buat apa kat dalam tren ni? Jangan cakap Tuan merajuk pula dengan Cik Vios yang comel lote tu. Kalau tak nak, pass aje kat saya. Pandailah saya menjaganya,” seloroh Mel sambil tersengih.

Arish terkedu. Takkanlah nak bagitahu minah ni keretanya sudah kena kebas dengan member serumah pula? Tak pasal-pasal berbakul kutukan dia dapat nanti. Sampai tujuh keturunan pun tak tertanggung malu rasanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku