SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 15
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3237

Bacaan






BAB 15

Arish membelek-belek sudu dan garpu itu berkali-kali. Berkilat tapi belum tentu lagi bersih, omongnya dalam hati. Kali ini dah masuk tiga kali sudu dan garpu itu di sentalnya dengan tisu. Sampai naik jelak Mel memandangnya.

“Tak nak cuci sekali meja dengan kerusi ni ke?” sindir Mel.

Arish tarik muka. “Amboi, tak sayang mulut ke apa ni? Saya cuma nak pastikan segala kuman dan bakteria tak melekat kat sudu ni. Kalau saya sakit perut nanti, siapa nak bertanggungjawab? Awak?”

Mel senyum sinis. “Apa susahnya. Sebelum makan, bacalah doa makan dulu. Pasti kita akan terhindar dari bahana yang boleh memudaratkan. Jangan sesekali lupa, Allah kan ada.”

Arish terkesima. Pedih hingga ke dasar hati. Tahu perbualan ini kian tidak memihak padanya, terus sahaja Arish menyumbat Yee Mee Sizzling yang masih berasap-asap ke dalam mulutnya. Kebetulan dia juga memang tidak makan apa-apa sejak dari pagi tadi.

Sengaja dia tidak mempelawa Mel. Arish yakin dan pasti, Mel pasti belum makan sejak dari tadi memandangkan berkali-kali gadis itu meneguk air liurnya.

“Sabar jelah! Boleh tahan juga pelahapnya dia ni. Dahlah langsung tak pelawa aku makan. Malanglah siapa yang jadi awek kau!” kutuk Mel dalam hati.

“Eh, kenapa awak tak makan sama? Pergilah beli makanan. Tak seronoklah saya makan sorang-sorang. Nah, ambik kad ni.”

Huluran di sambut dengan tangan yang longlai. Nak beli apanya? Harga Yee Mee Sizzling tu pun dah RM 5.60. Takkanlah dia nak canangkan pada mamat ni bahawasanya baki kad ni tinggal sepuluh sen sahaja? Mahu seminggu dia kena bahan nanti.

Mel berdalih. “Err...takpelah kot. Tuan makan ajelah. Saya dah kenyang. Tadi saya dah makan.”

Arish menahan tawa dalam hati. Riak ala-ala sendu di wajah Mel cepat sahaja tertangkap di matanya. Nampak sangat minah ni tak ada duit. Dah terdesak macam ni pun ada hati nak menipu lagi. Sengaja dia menambah gusar di hati Mel.

“Oh, yeke. Kalau macam tu tolong belikan milo ais untuk saya. Kering pulak tekak ni.”

Sudah! Macam mana dia nak beli milo ais untuk mamat cencong ni? Jangan cakap milo ais, air suam pun belum tentu lagi boleh dapat dengan baki sepuluh sen dalam kad itu.

Pucat yang terlarik di wajah Mel kian menggeletek jiwa Arish. “Cepatlah! Saya dah dahaga ni. Takkanlah baki dalam kad tu dah habis pula, kot? Tadi cakap kat budak tu macam banyak sangat duit. Hah, dalam dompet ni takkan langsung takde duit?”

Selamba Arish menyambar dompet Mel yang memang terletak di atas meja. Kosong. Kempis tak berisi. “Lah, betullah kosong! Kelmarin kan baru gaji. Takkanlah hari ni dah licin semuanya?”

“Macam tak biasa pulak tuan ni. Biasalah, duit gaji tu parking dalam dompet saya ni sehari aje lepas tu duit-duit tu semua pindah kat bank, takaful insuran, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan lain-lain yang seangkatan dengannya,” gumam Mel dengan nada mendatar.

Tergeleng-geleng kepala Arish. Dompet Mel di selongkarnya sekali lagi. “Biar betul! Takkanlah sampai licin semuanya?”

Dengan tidak semena-mena sekeping gambar berukuran pasport jatuh berguguran ke atas meja. Pantas Arish menyambar gambar tersebut.

“Wow! Siapa ni? Boleh tahan juga hensemnya. Suami awak, ya? Hmm...Patutlah dia cabut lari. Korang memang tak sepadan. Macam pinang di belah lapan.”

Sadis lagi sinis. Eei...geramnya! Serasanya api kemarahan Mel sudah meningkat lebih dari 100 darjah celcius. Tunggu masa aje nak membuak-buak keluar macam larva kat Gunung Berapi Krakatao tu. Namun tiada gunanya dia cari pasal dengan mamat cengcong ni. Karang tak pasal-pasal dia tidur dalam lokap pula. Habislah segala rancangannya!

Mel bingkas bangun. Dia merampas semula dompet dan gambar itu dari Arish. Tidak kuasa dia berlama-lama di situ. Hanya menambahkan seribu kepedihan dan sejuta keperitan di jiwa. Mel bingkas bangun. Tanpa menoleh ke belakang terus sahaja dia melangkah pergi.

Terkocoh-kocoh Arish menghabiskan sisa-sisa Yee Mee yang masih berbaki dalam mangkuk. Kemudian dia mampir ke kaunter kupon. Niatnya ingin mengambil semula baki yang masih tinggal dalam kad kupon tersebut. Tapi buntang biji matanya tatkala menerima baki duit. Biar betul? Banyak ni aje?!

Sengaja Arish bertempik kuat-kuat. “Mel! Tak nak ambil duit baki ke? Ni hah ada sepuluh sen lagi!!!”

Erk?! Sebuah teriakan yang terperlus di telinga terus sahaja menyentak kaki Mel. Rona merah sudah mula melatari wajah. Malunya dia bukan kepalang. Kakinya terus di hayun laju-laju dari situ. Kurang asam punya mamat cengcong!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku