SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 22
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1887

Bacaan






BAB 22
Bengal. Berpinar-pinar. Sakit kepalanya tidak terperi. Mata yang terkatuk rapat cuba di kuak. Pandangan di tebarkan ke sekeliling. Dua kelibat tubuh di kerusi hadapan yang sedang tergedik-gedik menari mengikut alunan lagu dangdut dendangan penyanyi Amalina terus sahaja menyesakkan nafas. Kat mana pula ni? Takkan kelab dangdut kot? Aish, bila masa pula dia jadi mat dangdut ni? Ini Inspektor Arish Aqlanlah, peminat tegar genre nu metal, rapcore dan rock alternatif ala-ala Linkin Park.

Tiba-tiba matanya tertancap pada keychain Ka’abah yang tergantung pada side mirror depan. Eh? Macam kenal. Sah! Dia berada dalam perut Cik Vios kesayangannya. Perit mula menyengat. Arghh!! Kedua-dua belah tangannya terikat pula. Desir nafas seseorang tunak ke gegendang telinga. Pulak! Terkejutnya Arish bukan kepalang. Macam mana minah ni pun boleh ada kat sini? Siap baring atas pehanya lagi!

“Mel! Bangun, Mel! Macam mana awak boleh ada kat sini ni? Bangunlah Mel!”

Serta-merta brek kereta di tekan secara mengejut. Hampir sahaja Arish terdorong ke hadapan.

Robo yang duduk di kerusi hadapan berpaling ke belakang dengan wajah geram. “Wei! Kalau nak cakap tu tak payahlah terjerit-jerit malam buta macam ni. Buat terperanjat orang aje!”

Arish tersentak. “Cis! Kau rupanya! Tak guna betul. Baik kau lepaskan aku sekarang! Kalau tidak kau tahulah nasib kau nanti!”

Robo senyum mengejek. “Jangan haraplah! Rasanya kau dah boleh start berdoa dari sekarang sebab nasib kau sekarang berada dalam tangan aku. Kalau perangai kau baik, mungkin aku takkan tamatkan riwayat kau sekarang. Tapi kalau kau cuba melawan, aku tak boleh jamin kalau pistol ni tembus kat kepala kau!” ugut Robo sambil mengacum-ngacum pistol ke wajah Arish.

“Aku tak takut dengan kaulah, malaun! Aku hanya takut dengan Allah! Tembaklah aku kalau berani. Tembaklah!” cabar Arish.

“Eei ada juga aku tembak betul-betul karang ni! Kau jangan cabar aku! Ingat aku tak berani ke?”

“Sekali tengok pun aku tahu. Memang kau tak berani punyalah! Harap badan aje besar macam dinasour tapi hati kecik macam tikus!” selar Arish sinis.

Sentap. Pedih hati Robo. “Kau jangan main-main dengan aku, budak! Berderai kepala kau nanti karang!”

“Bos, buat apa tembak dia? Tembak aje awek dia kat sebelah tu. Gerenti mulut longkang dia terkatup rapat,” celah Togo pula.

“Dia bukan awek akulah, sengal!” dalih Arish. Gusar mula bertandang di hati.

“Bukan awek kau? Oklah kalau macam tu biar aku test power pistol ni dulu. Mula-mula biar aku pecahkan kepala perempuan ni.”

Robo menarik picu pistol. Muncung pistol di tala tepat ke dahi Mel. Arish mula cuak. “Ok...ok...aku ikut semua cakap kau. Tolong jangan apa-apakan dia. Aku rayu kat kau. Tolonglah.”

Robo dan Togo ketawa berdekah-dekah. “Kau ni memang kelakarlah! Tak nak mengaku, konon. Dahlah bodoh sombong, bebal pulak tu,” kutuk Togo.

“Ahalah. Dia nilah polis yang paling bodoh yang pernah aku jumpa. Kebodohan melampau dia memang rare lah. Kalah kebodohan kau!”

Tawa yang masih bersisa di bibir Togo terus mati. Kurang asam punya bos. Selamba aje kutuk aku depan polis bodoh ni, gerutu Togo dalam hati.

Arish menggetap bibir. Geram. Namun amarahnya harus di cempung erat-erat dalam dada demi keselamatan Mel. Hmm...bila masa pula keselamatan Mel menjadi keutamaannya ni?

“Tunggu apa lagi ni? Geraklah sekarang! Takkan nak tunggu esok pagi baru nak gerak kot?”

Terkial-kial Togo memutar kunci kereta. Dia maklum benar. Kata-kata yang berunsur arahan dari Robo tidak patut di ingkari. Jika tidak padah bakal menanti. Enjin kereta di hidupkan. Sejurus selepas itu Cik Vios sudah meluncur laju membelah keheningan malam.

Ligat otak Arish berputar. Bait demi bait ayat di rangka berhati-hati. Apa tujuan dan ke mana mereka menghala harus di selidiki segera.

Arish menuturkan kata-kata sehabis baik yang boleh. “Kita nak ke mana sebenarnya ni?”

Sepi. Baik Robo mahupun Togo langsung tidak berkutik walaupun sepicing. Arish nanar. Namun misinya tidak memudar. Soalan cepumas seterusnya di lontarkan.

“Mana kereta korang? Takkan tinggal kat tepi jalan, kot?”

“Kereta kitorang rosaklah. Tu yang kitorang bedal kereta kau! Eh, kau ni jangan banyak cekadak, boleh tak? Memekak aje dari tadi. Lagi sekali aku dengar soalan tak bertamadun lagi dari kau, aku letupkan kepala korang berdua, faham?” bentak Robo keras. Ugutan Robo sedikit sebanyak menggentarkan Arish. Sudahnya dia terdiam.

Malam semakin panjang. Namun tiada tanda-tanda Togo akan memperlahankan kelajuan kereta atau singgah ke mana-mana. Arish kian cuak. Apakah agenda mereka sebenarnya?

“Err...maaf. Aku bukan nak tanya soalan bodoh atau yang sewaktu dengannya. Aku tau kau berdendam dengan aku. Kalau kau nak buat apa-apa kat aku, buatlah, sikit pun aku tak kisah. Cuma aku harap kau boleh lepaskan perempuan ni sebab dia takde kaitan langsung dalam hal ni.”

Robo senyum sinis. “Sayang betul kau kat perempuan ni, kan? Mestilah sayang. Awek kau, kan? Tapi malangnya aku takkan lepaskan dia. Jangan risau, bila dah selesai semua tugasan aku nanti, dengan senang hati aku akan hantar kalian berdua ke syurga.”

“Berapa kali aku nak cakap, perempuan ni bukan awek aku. Tolonglah! Aku rayu pada kau. Lepaskan perempuan ni. Dia langsung tak bersalah. Kau cuma nak balas dendam kat aku, kan? Tak payahlah babitkan perempuan ni pula,” bersungguh-sungguh Arish merayu.

Robo ketawa terbahak-bahak. “Kau ingat aku ni bodoh macam kau ke? Kalau betul perempuan ni bukan awek kau, afsal kau beria-ria nak selamatkan dia?”

Spontan Arish menjawab. “Sebab buat masa ni dia yang paling penting dalam hidup aku!”

Kata-kata itu menampar tepat ke gegendang telinga Mel. Benarkah apa yang di dengarinya ini? Kelopak matanya mula terkuak sedikit demi sedikit. Baru dia perasan posisinya di kala ini. Kepalanya terlentok baik di atas peha Arish! Arghh! Malunya!!

Serta-merta Mel bangkit sambil tersipu-sipu malu. “Betul ke apa yang tuan cakapkan ni? Saya ni orang yang paling penting dalam hidup tuan?”

Alamak! Arish terjeda. Kenapalah mulutnya cabul sangat? Perasanlah pulak minah ni. “Err...macam ni. Sebenarnya...sebenarnya...”

Mel senyum sumbing. Keruh di wajah Arish sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya. “Takpe, tuan. Saya faham. Tak perlu cakap apa-apa lagi. Cuma saya nak ucapkan terima kasih sebab sudi pinjamkan peha tuan tadi. Jangan risau, saya sedar siapa saya pada tuan.”

Robo mencebik. Bengkek hatinya mendengar skrip terlebih gula mereka. Siap boleh berdrama pula kat sini.

“Hei, korang ingat ini pentas sandiwara bangsawan ke apa? Loya tekak aku ni, tau tak? Baik korang berdua diam sebelum dua-dua ekor sekali aku humban dalam gaung kat depan tu!”

Terkesan. Terus bibir Arish dan Mel terkatup rapat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku