SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 28
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2380

Bacaan






BAB 28
1523. Linggi, Negeri Sembilan.

“Tahniah, Dato’. Akhirnya tewas juga Portugis. Melaka dapat kita tawan semula.”

“Ini semua atas jasa-jasa kalian semua juga. Cuma hamba terkilan sikit. Amanat baginda sultan gagal hamba junjung,” balas Dato’ Laut Dalam dengan wajah kusam.

“Amanat baginda sultan?” soal Denan kehairanan.

Dato’ Laut Dalam mengeluarkan sekeping syiling emas dari koceknya lalu di suakannya pada mereka bertiga. “Syiling pemberian baginda sultan ini kunci untuk ke laluan sutera. Sebenarnya ada dua keping. Tanpa sekeping lagi syiling emas ini laluan sutera pasti tidak dapat hamba jejaki.”

Serentak Mastor, Denan dan Rashid menebak. “Ke mana menghilangnya sekeping lagi syiling emas itu? Laluan sutera? Apa gerangannya itu?”

Dato’ Laut Dalam senyum pahit. “Maafkan hamba. Syiling itu sudah bersemadi nun jauh di sana, bersama-sama dengan hati hamba yang pedih merindu. Hamba sendiri kurang pasti tentang laluan sutera tu. Menurut sultan, hamba hanya perlu tanamkan keinginan dalam hati ingin menjejakkan kaki ke laluan sutera. Pasti Cakera Alam akan membantu.”

“Amboi, kiranya ini kisah cinta yang tak kesampaianlah, ya? Siapa gerangan wanita yang bertuah tu Dato’? Kongsilah dengan kami kalau Dato’ tak keberatan. Mana tahu kita boleh usahakan untuk menjejaki wanita itu agar amanat baginda sultan dapat kita penuhi,” pojok Rashid. Tamak haloba sudah mula menguasai jiwanya.

“Biarlah cinta itu terus bersemadi. Tak perlulah di ungkapkan lagi,” lirih Dato’ Laut Dalam bersuara. Terpancar kekecewaan di wajah Rashid.

Sejurus selepas itu Tun Gayah muncul dengan sedulang teko dan beberapa biji cawan di dalamnya. “Jemputlah minum, tuan-tuan sekalian. Air bujang sahaja,” pelawa Tun Gayah ramah. Teko yang berisi kopi di curahkan ke dalam cawan. Asap yang berkepul-kepul keluar menghasilkan aroma yang sungguh memikat selera.

“Jemput minum sekali, Tun,” balas Mastor sambil melirik ke arah Tun Gayah. Tidak dapat di nafikan, kecantikan isteri kepada Dato’ Laut Dalam ini sememangnya memukau setiap mata yang memandang. Namun hanya yang terhebat akan memiliki yang terbaik. Ketokohan Dato’ Laut Dalam selaku perancang utama sehingga tertewasnya Portugis tidak dapat di sangkal lagi dan memang layaklah dia beristerikan Tun Gayah, wanita paling jelita di Linggi.

Hari yang kian gelap bagaikan memanggil-manggil Mastor, Denan dan Rashid untuk pulang ke rumah masing-masing. Setelah meminta diri mereka terus berlalu dari situ. Sepanjang jalan persoalan yang masih berlegar-legar dalam minda mula bertubi-tubi pecah di bibir masing-masing.

“Hamba rasa Dato’ tu sengaja nak sembunyikan sesuatu dari kita, kan?” kilas Rashid penuh curiga.

“Tak baiklah tuan hamba cakap begitu. Pasti ada sebab tertentu dia tidak mahu berbicara tentang wanita itu,” bela Mastor.

“Ah! Tuan hamba ni memang tolol! Takkan tuan hamba tak nampak permainan dia? Mesti baginda sultan ada sembunyikan sesuatu yang berharga kat laluan sutera tu. Sengaja dato’ nak bolot harta tu sorang-sorang. Tu yang dia tak nak maklumkan kat kita,” acum Rashid bersungguh-sungguh.

Sedikit demi sedikit Denan termakan juga hasutan itu. “Betul juga kata tuan hamba tu. Tapi apa yang boleh kita buat? Dato’ tu hebat orangnya. Cakera Alam yang sakti pun ada dalam tangannya. Lainlah kalau Cakera Alam tu jatuh ke tangan kita.”

Berkerut dahi Mastor mendengarnya. “Tak baik tuan hamba cakap begitu, Denan. Bukankah kita banyak terhutang budi pada Dato’ selama ini? Kalau tak kerana jasa-jasanya, kita dah hidup merempat sekarang ni, tau? Sudahlah, tak payahlah kita fikir yang bukan-bukan. Hamba tak mahu dengar lagi tuan hamba berdua berbicara begini tentang Dato’ selepas ini.”

Denan dan Rashid terjeda. Namun hati mereka belum puas. Selagi misteri wanita itu dan laluan sutera belum terungkai, mereka tidak akan berdiam diri begitu sahaja. Tidak mungkin sesekali!

Tun Gayah hanya menjengah semula ke serambi rumah apabila pengikut-pengikut suaminya sudah beransur pulang. Di lihatnya Dato’ Laut Dalam asyik sekali memerhatikan sang suria yang mula melabuhkan tirainya nun jauh di kaki langit.

“Menung jauh nampaknya, bang. Teringat kat seseorang ke?”

Serta-merta bisikan lembut lagi syahdu terasa menampar ke gegendang telinganya.

“Baiklah, Enrique sayang. Kalau itu mahumu. Aku tidak bisa menukar pendirianmu. Cuma janji pada aku, perginya kamu kali ini hanya untuk sementara. Walau apa pun yang terjadi aku tetap menantimu di kaki langit pabila ufuk timur mula melabuhkan tirainya.”

Tanpa di duga linangan air mata mula menitis dan membasahi pipi Dato’ Laut Dalam. Ataupun dahulunya Enrique. Dia terpaksa menukar namanya untuk mengelakkan dia dari menjadi buruan pihak Portugis dan Sepanyol. Namun dirinya sendiri di buru perasaan cinta yang membara buat Miriam, cinta hatinya yang nun jauh tertinggal di bumi Portugis. Hatinya hiba. Jiwanya bergelora. Cintanya yang utuh suatu ketika dulu buat Miriam akhirnya berlabuh di jendela sepi.

“Tak ada apa-apalah sayang. Teringat kisah pahit getir abang semasa abang di tawan dulu. Jomlah kita masuk.”

Dato’ Laut Dalam meraih jemari Tun Gayah. Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam. Namun sempat lagi jemari Dato’ Laut Dalam menyeluk kocek seluarnya. Sekeping syiling terus kukuh dalam genggaman jemarinya. Syiling emas berbentuk heksagon yang sentiasa di bawanya ke mana sahaja itu akan terus tergenggam dalam pegangan selagi hayatnya di kandung badan. Itu ikrarnya!

Suatu daya yang kuat telah menolak tubuh Arish. Dia jatuh terjelepuk ke belakang. Namun di tangannya tergenggam erat syiling emas berbentuk heksagon.

Robo dan Togo saling berpandangan. “What a surprise! Kau...kau...pewaris Panglima Awang?” soal Robo bingung.

Masri dan Daud sudah berlari-lari anak ke arah Arish. Tubuh Arish terus di rangkul. “Ruponyo ekau ni powaris Panglimo Awang! Patutlah rupo ekau saling tak tumpah macam dio!” teriak Masri kegembiraan.

Arish termangu-mangu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku