SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 30
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1771

Bacaan






BAB 30

“Ekau dah dapat apo yang ekau nak, kan? Sokarang ni lopaihkanlah kami ni hah! Pulanglan balik kereto den. Den tak nak torlibat dongan rancangan gilo ekau ni,” sampuk Masri pula.

“Jangan beranganlah, ya. Selagi aku tak dapat apa yang aku nak, jangan harap aku akan lepaskan korang semua. Dah! Jangan nak kecoh-kecoh kat sini. Jalan cepat!” bentak Robo. Kasar. Langsung tiada kompromi.

Berdedai-dedai Masri, Daud, Arish dan Mel membontoti Robo dari belakang. Berbaldi makian hanya mampu bersenandung dalam hati. Sebaik sahaja kaki Robo terjejak keluar dari Cheng Ho Cultural Museum, sebuah cahaya terang-benderang terus sahaja menerpa ke ruangan matanya.

“Jangan bergerak! Letakkan senjata anda!”

Robo kaget. Namun otaknya ligat berputar. Pantas dia mencekak tangan Masri. Pistol di tala ke kepala lelaki separuh umur itu.

“Kalau berani, dekatlah! Aku pecahkan kepala dia ni nanti!” jerit Robo. Safwan memberi isyarat kepada anggotanya untuk menurunkan senjata masing-masing. Robo mengheret Masri melintasi Safwan dan anggota polis yang lain sambil di ikuti dengan rapat oleh Togo. Arish cuba bertindak namun pantas Daud merentap tangannya.

“Jangan bahayokan nyawo ekau! Biar polis buek kojo diorang!”

Belum sempat Arish membalas, Robo sudah menghumban Masri ke tepi jalan sebelum pantas menghilangkan diri di sebalik semak bersama-sama dengan Togo.

Mata tajam Masri dapat mengesan suatu objek yang tercicir dari poket Robo. Hampir sekali dengannya. Cakera Alam! Bibirnya dah terlarik senyum lebar. Pantas Cakera Alam di cekau dan di masukkan ke dalam poket sebelum perlakuannya dapat di kesan oleh sesiapa.

“Kejar suspek tu sampai dapat!” arah Safwan kepada anggotanya. Dia sendiri kemudiannya mendapatkan Masri yang sudah terjelepuk ke atas jalan. Tangannya di hulurkan pada Masri yang terkial-kial mahu bangkit semula.

Arish ketap bibir. Genggaman kuat Daud di rentap kasar. “Bang, saya ni pun sebenarnya anggota polis juga. Kenapa abang halang saya jalankan tugas saya tadi?”

Daud menggaru-garu kepala. “Lah, yo ko? Mano den tau? Den ingat ekau ni orang biaso macam den jugak.”

“Sudahlah tu, Arish. Tak payahlah bising-bising. Jangan risau orang-orang kita pasti akan dapat berkas dua orang penyangak tu semula,” sampuk Safwan yang sudah tercegat di situ dengan Masri. Matanya tidak putus-putus melirik ke arah Mel.

“Amboi! Patutlah kau tak layan si Qisya tu. Rupa-rupanya ada skandal dengan PA sendiri, ya,” usik Safwan. Mel tunduk malu. Wajahnya merah padam.

“Ekau ni salah fahamlah! Diorang borduo ni mano ado apo-apo hubungan!” sampuk Daud.

Safwan menyeringai. Kembang hatinya mendengar kata-kata itu. Memang sudah sekian lama gadis bermata biru itu bertakhta dalam hatinya. Setiap hari tidak sah kalau dia tidak mengusik gadis pujaan hatinya itu. Namun dia sedar. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Mel selalu bersikap dingin padanya.

Kerlingan nakal Safwan mengundang rasa kurang senang di hati Arish. “Hei, kau jangan nak mengada-ngada dengan Mel kat sini, ya? Ingat sikit. Aku ni bos dia.”

Safwan mencemik. “Eleh, bos aje pun. Bukannya suami. Jom, Mel. Mesti awak dah penat, kan? Malam ni kita bermalam kat hotel dulu, ya? Esok baru saya hantar awak pulang ke Kuala Lumpur semula.”

Geram yang tersirat pada Arish tadi masih membekas dalam hati Mel. Sengaja dia mengerling manja ke arah Safwan. “Ye ke? Terima kasih banyaklah, Safwan. Tak sangka awak ambil berat pasal saya. Sayang awak.”

Buntang biji mata Arish. Safwan pula terkedu. Sayang? Inilah pertama kali perkataan keramat itu terlontar keluar dari bibir gadis idamannya. Kalau di ikutkan hati mudanya, mahu sahaja Mel di rangkul erat dalam dakapannya. Tapi Safwan masih tidak lupa diri. Masih ingat asal-usul. Sedar akan batas-batas pergaulan sebagai umat Islam yang sejati.

“Awak sayangkan saya? Wow! Tak sangkanya. Saya pun...”

Pantas Arish memintas. “Dahlah! Tak payah nak berdrama sangatlah. Aku dah penat ni. Satu badan dah lenguh-lenguh. Kata tadi malam ni tidur kat hotel. Jomlah gerak sekarang. Nak tunggu apa lagi?”

Safwan menghembus nafas kasar. Tak kasi can langsung orang nak bercengkerama, rungutnya dalam hati. Pantas dia menggamit ke arah anggotanya. “Lan, tolong iring diorang sampai ke hotel. Pastikan diorang semua dapat layanan terbaik, faham?”

“Faham, tuan. Silakan Inspektor, encik dan cik. Biar saya hantarkan sampai ke hotel.”

Arish, Mel, Masri dan Daud segera mengekori Lan ke kereta. Sempat lagi Safwan memancing perhatian Mel. “Mel, kalau awak nak saya hantarkan pun boleh juga. Manalah tahu kalau-kalau awak nak temankan saya pergi minum dulu ke...”

Berbulu pula Arish mendengarnya. “Mel dah penat. Dia nak berehat. Rasanya lagi afdal kalau kau uruskan hal dua ekor penyangak tu dulu,” selar Arish sinis.

Sengaja Mel menaikkan api cemburu yang mula bersarang dalam hati Arish. “Boleh juga, kan? Saya pun lapar juga ni. Jomlah kita pergi minum dulu. Nanti awak hantar saya ke hotel, ya?” Mel kenyit mata sambil pamer wajah nakal.

Serentak Masri dan Daud berteriak. “Jangan nak buek pasal kek sini! Ekau borduo mano ado apo-apo ikatan. Mano boleh borduo-duoan!”

Lega hati Arish. Senyum lebar terpamer di bibir tatkala melihat muncung cemberut Mel. Nak menggatal konon. Padan muka korang, sorak Arish dalam hati.

Safwan terkedu. Namun akalnya tangkas memutar jalan cerita. “Err…minta maaf, pakcik. Saya tak bermaksud buruk sebenarnya. Macam nilah. Biar saya yang hantar korang semua ke hotel. Lan, tolong pantau keadaan kat sini, ya.”

Kunci sudah bertukar tangan. Safwan sudah mara ke hadapan. Punggung di henyakkan ke atas kerusi pemandu. Pantas di hidupkan enjin Toyota Wish itu.

“Mel! Awak duduk kat depan, yek? Boleh gak kita sembang-sembang nanti,” pelawa Safwan. Kepalanya sudah terjegul di balik tingkap. Bibir dah menyerigai.

“Tak payah! Biar abang ni yang temankan kau kat depan. Lagipun ni kereta dia. Siapa nama abang, ya?” sempat lagi Arish menyoal Daud.

“Namo den Daud. Ekau panggil ajo Bang Daud. Nak suruh den duduk kek dopan pun takpo, takdo salahnyo,” pantas Daud menyahut. Tanpa sebarang ‘jemputan rasmi’ selamba Daud melangkah ke hadapan sebelum melabuhkan punggungnya ke sebelah Safwan.

Arish senyum megah. Rancangan licik Safwan berjaya di patahkannya. Puas hatinya. Arish berpaling ke arah Mel pula.

“Sekarang ni sebab awak satu-satunya bunga di kalangan kumbang-kumbang sekalian, makanya awak duduk sorang-sorang kat bahagian belakang sekali, ya. Hah, cepatlah masuk! Lembab betul. Terkedek-kedek macam itik pulang petang,” kutuk Arish. Langsung tak bertapis.

Pantas Mel melangkah masuk. Mulutnya tidak henti-henti menggerutu. Hatinya sakit. Jiwanya bengkak. Kerek betul mamat cengcong ni!

Arish senyum lebar. Entah mengapa suka benar dia melihat Mel marah-marah begitu. Comel sangat!

“Ekau dah monang first round. Tapi next round bolum tontu laie. Ekau kono usoho laie. Jangan mudah putus aso. Jangan sosokali ekau ulang kisah cinto duko Panglimo Awang tu. Ekau mudo lagi. Corah maso dopan. Janganlah ekau sio-siokan,” bisik Masri yang sudah duduk di sebelah Arish.

Panglima Awang? Dato’ Laut Dalam? Miriam? Tiga nama yang menari-nari di layar minda tatkala syiling emas tergenggam kemas di jemari. Siapa mereka semua? Apa kaitan mereka dengannya? Ah! Arish kian buntu. Ringan sahaja mulutnya ingin bertanya pada Masri namun berat pula hatinya menerima kisah silam yang pasti bakal merobek tangkai hatinya.

Pantas Arish berdalih. “Pakcik dah salah faham ni. Kami berdua tak ada apa-apa hubunganlah.”

Masri menghela nafas kasar. “Den dapat raso. Gotaran yang samo. Porjuangan dalam momportahankan cinto. Cumo ekau bolum kotomu dengan Miriam ajo laie. Den yakin dio ada di luar sano, tongah monanti kehadiran ekau.”

Arish terdiam.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku