SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 34
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1556

Bacaan






BAB 34

Mata Arish terbuntang luas. Tangannya segera mencapai telefon bimbit di atas meja. Sudah pukul 6.00 pagi rupa-rupanya. Masri segera meraup wajahnya berulangkali. Alhamdulillah! Masih di izinkan oleh Yang Maha Esa untuk dia bernafas di muka bumi ini. Masri segera bangkit. Sesusuk tubuh yang tercongok di birai katil hampir sahaja menyentak dadanya.

“Ekau ni! Buat torkojut den ajo. Awalnya ekau bangun!”

Sepi. Sedikit pun Arish tidak berkutik. Masri bingkas bangun. Laju kakinya di tala ke bilik air. Sesudah mengambil wuduk, dia melangkah keluar. Giliran Daud yang sudah terjaga pula melangkah ke bilik air. Arish masih tetap statik di birai katil. Langsung tidak bergerak walau seinci. Masri segera mendekati Arish. Bahu jejaka itu di usapnya lembut.

“Kalau ado apo-apo korungsingan, mintalah pado Allah. Hanya Dio ajo yang dapek tolong kito.”

Tepat mengena ke batang hidungnya. Namun Arish buntu. Sudah sekian lama tikar sembahyang tidak di ciumnya. Adakah Allah masih mahu menghilangkan segala keresahan yang kian bersarang dalam hatinya?

“Saya ni jahat, bang. Jahat. Dah lama saya tak mengadap Dia. Mahukah Dia tolong saya?”

Masri kulum senyum. “Allah tu Maha Pomurah. Maha Mongasihani. Dio sontiasa sayang dan kasihkan kito sobagai hambonyo. Ekau torai mintak dulu. Jangan ekau putus aso sobolum usoho.”

Pedih. Tapi benar belaka. Arish terpana. Malunya bergulung-gulung datang. Kakinya terus melangkah ke bilik air dengan hati yang sebal. Sesudah berwuduk, terus sahaja mereka solat subuh berjemaah. Semilir pagi melagukan kesyahduan yang kian meresapi jiwa. Bertalun-talun doa Arish panjatkan pada Yang Esa. Selama ini dia alpa. Dia leka dengan pangkat dan perhiasan dunia. Itu semua yang akhirnya menjebaknya dalam situasi begini. Arish kesal. Benar-benar kesal.

Bahu Arish di tepuk-tepuk perlahan. “Ekau jangan torlalu kojarkan dunia. Bila ekau torlalu kojarkan dunia, akhirat akan menjauh. Tapi kalau ekau kojarkan akhirat, dunio yang akan datang menyembah kek kaki ekau.”

Arish tunduk. Kata-kata Masri benar-benar menyentak jiwa. “Saya menyesal, bang. Saya betul-betul menyesal. Selama ni saya leka. Saya alpa. Saya sibuk kejar duniawi. Saya sangka, dengan pangkat dan kemahsyuran, hidup saya akan bahagia. Tapi saya lupa. Saya kufur nikmat yang Allah pinjamkan buat seketika. Tapi saya janji, lepas ni saya takkan lalai lagi.”

“Tak payah borjanji dongan den! Ekau kono janji dengan Allah, baru botul. Dahlah, porut den pun dah monyanyi riang ni hah. Hotel ni ado sodiakan breakfast ko untuk kito?”

Arish garu kepala. “Entah! Mestilah ada kan. Tapi awal sangat ni. Baru pukul tujuh. Takkanlah kita nak turun sekarang pula. Karang nampak sangat kita ni kebulur sangat.”

“Poduli apo den orang nak koba camno pun. Den memang dah lapar. Den tak kiro, den nak sosah ajo.”

Masri dan Daud sudah sekata menala kaki ke pintu sebelum sempat Arish menghalang. Berdedai-dedai mereka berdua menghala ke arah lif. Riuh rendah suasana seketika dengan omelan Masri dan Daud yang gagal menemui titik noktahnya. Sebijik macam buntut ayam!

Baru sahaja Arish nak mengikuti jejak langkah mereka apabila deringan interkom masuk bertalu-talu. Langkah termati. Gagang telefon segera di capai.

“Tuan. Saya…saya…nak minta tolong sikit, boleh?”

Arish dah sengih nakal. “Tolong? Nak tolong apanya pagi-pagi buta ni? Nak tolong mandikan ke? Nak! Nak! Saya datang sana sekarang, ya?”

Mel garu kepala. “Aik? Saya ni dah tua bangka. Kenapa pula tuan nak mandikan, ya? Lainlah kalau saya ni baby lagi ke, logiklah juga. Macamlah kuat sangat nak angkat kita,” gerutu Mel.

Arish geleng kepala. Makin menjadi-jadi pula bendul PA nya ni. Tawa kecil dah tercetus di bibir. “Haish…susahlah cakap dengan awak ni. Dahlah back to topic. Awak nak minta tolong apa ya?”

Merah dah menyerkam di wajah Mel. Mujurlah sekadar bercakap melalui telefon. Kalau tidak pasti terserlah pipi dan hidung Mel yang kemerah-merahan ala-ala badut sarkis. Mahu juga seminggu bernanah telinga Mel dek kutukan Arish nanti!

“Err…saya…saya…nak pinjam duit sikit, boleh?”

Arish tersentak. “Hah? Pinjam duit? Apa kes pagi-pagi buta nak pinjam duit orang ni? Tak tahu malu ke?”

Sentap. Pedih hati Mel. Ikutkan hati mahu juga di semburnya mamat cengcong ni. Tapi dalam keadaan genting macam ni, marah harus di kunci rapi dalam hati. Susun atur ayat haruslah tepat. Umpan harus di pasang agar persetujuan Arish dapat di capai.

“Saya bukannya sengaja nak menyusahkan tuan. Saya betul-betul terdesak. Saya perlukan sangat benda tu. Bukannya banyak pun saya minta. Sepuluh ringgit pun dah cukup,” lirih Mel bersuara. Harap-harap Arish akan jatuh simpati dengan nada suara lemak merdu memikat kalbu yang di sajikannya.

“Benda apa ni? Senang macam nilah. Apa kata saya aje yang pergi belikan benda tu untuk awak? Cakaplah cepat. Benda apa yang awak nak saya beli ni?”

Errk!! Mel telan liur. Muka dah tebal macam tampal dengan pinggan. Macam mana nak cakap ni?

“Err...sebenarnya...saya nak beli...nak beli...hmm malulah nak cakap.”

“Apa yang nak malunya? Cakaplah cepat. Jangan nak buang masa saya,” desak Arish.

“Saya nak beli roti untuk orang perempuan!” teriak Mel. Lega kerana apa yang terbuku di hati berjaya di ungkapkan di bibir.

“Lor, itu aje ke? Apa yang susah sangat nak cakap tadi tu? Yelah saya pergi belikan untuk awak sekarang.”

Klik! Gagang di letak sebelum sempat Mel menghabiskan kata-kata. “Ish mamat ni! Aku tak habis cakap lagi, selamba aje dia letak telefon. Dia tau ke aku pakai brand apa?” bebel Mel seorang diri. Nampaknya dia kena pasrah ajelah dengan apa sahaja ‘roti perempuan’ yang akan di bawa balik oleh Arish sebentar sahaja lagi!

Arish terkulat-kulat. Dahi dah kerut seribu. Kejap pegang, kejap letak. Mana satu roti perempuan ni? Arghh tak boleh jadi ni. Arish tebalkan muka. Kaki di tala ke arah juruwang.

“Err…tumpang tanya. Mana satu roti perempuan?”

Juruwang dah sengih kambing. “Abang ni baru kahwin ya? Ni mesti bini abang yang suruh tolong beli, kan?”

Dahi Arish dah kerut seribu. Apa pula kaitannya roti perempuan dengan kahwin, soal Arish dalam hati.

“Abang nak roti jenis yang mana satu? Ada yang 28 cm, ada yang 32 cm. Bini abang biasa pakai yang mana?” sambung juruwang lagi.

Mak aih, panjangnya! Roti gergasi ke apa ni? Arish tambah bingung. “Ada jenis baru ke sekarang ni? Brand apa tu? Gardenia ke?”

Juruwang dah pekup mulut sambil menahan tawa. “Abang ni kelakarlah! Pandai buat lawak. Meh sini saya tunjuk roti perempuan tu. Abang pilih sendiri.”

Juruwang dah bergerak ke rak pameran. Arish membontoti dari belakang. Pelik tambah beraja di hati tatkala juruwang berhenti betul-betul di hadapan rak yang mempamerkan tuala wanita beraneka jenis di situ!

“Abang pilihlah yang mana satu,” unjur juruwang sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

Arish telan liur. “Dik, saya nak beli roti perempuan, bukannya tuala wanita!”

“Abang, roti perempuan tu maknanya tuala wanitalah! Takkanlah itu pun abang tak tahu? Oh, lupa pulak. Abang ni baru kahwin, kan? Takpe, sekarang ni abang pilih dulu. Bini abang selalu pakai jenis yang mana satu?”

Sudah! Silapnya juga tadi tak tanya kat Mel betul-betul. Hentam ajelah nampaknya.

“Hmm…bagilah yang panjang 32 cm tu. Rasanya isteri saya pakai jenis tu,” ujar Arish. Wajah confident habis. Tapi hati dah berdetak kencang macam enjin motobot. Mata dah berkeliaran ke kanan dan kiri. Manalah tahu tiba-tiba Mel muncul kat situ. Jenuh dia nak menjawab nanti.

“Ini aje ke, bang? Kalau dah takde pape, abang bolehlah bayar kat depan.”

Terus sahaja Arish membontoti juruwang tu ke depan semula. Bibir dah ukir senyum sinis. Terbetik idea nakal di minda. Tangannya pantas mencapai sebungkus roti. Setelah membuat bayaran, kakinya di tala terus ke hotel semula. Tak sabar rasanya nak bersemuka dengan Mel.

Loceng pintu yang bertalu-talu menggamit kaki Mel. Sebaik pintu terkuak, wajah kacak Arish tersembul. Seram sejuk pula Mel melihat sengih nakal di bibir Arish. Sebuku roti terus di sua pada Mel.

Kerut segera tertampal di dahi Mel. “Eh, saya tak laparlah. Buat apa susah-susah belikan roti? Mana barang yang saya minta tadi?”

Hati Arish di geletek kelucuan. Namun cepat-cepat di cempung. Mukanya sengaja pamer riak selamba. “Lah, tadi kan awak minta roti perempuan? Ni lah rotinya. Budak cashier tu dah confirm kan tadi. Roti ni jantinanya memang perempuan!”

Mel melopong. Adoi!! Lain yang di suruh, lain pula yang di belinya. Sabar ajelah. “Err...kiranya ni roti perempuan lah, ya? Apa pun terima kasihlah sebab tolong belikan untuk saya.”

Pintu yang terkuak lebar terus di tutup oleh Mel namun tangan sasa Arish cepat-cepat menyanggah pintu tersebut. Plastik yang mengandungi bungkusan tuala wanita segera di unjurkan pada Mel.

“Nantilah dulu. Apa yang awak kelam-kelibut sangat ni? Tak nak ambil roti perempuan a.k.a tuala wanita ni? Lain kali cakap tu biar terang. Nasib baik ada awek yang tolong tunjukkan ‘roti perempuan’ yang betul tadi. Kalau tak memang habis satu kedai saya borong roti untuk awak.”

Mel ketap bibir. Waduh malunya! Rasa macam nak menyorok bawah katil pun ada. Plastik yang di unjurkan di sambut dengan perasaan sebal. “Err...terima kasih banyak, tuan. Maaflah...”

Bunyi deringan yang bertalu-talu dari telefon bimbit Mel yang terletak di atas meja solek terus sahaja mematikan kata-katanya. Pantas kakinya di tala ke situ.

“Mel! Mak kau, Mel. Mak kau masuk hospital!”

Telefon bimbit terlerai dari genggaman. Mel terjelepuk ke atas lantai.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku