SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 35
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1404

Bacaan






BAB 35

Mel melangkah keluar dari bilik ICU dengan lemah. Sedih, pedih berbaur rasa. Dia menyeka air mata yang menitis di pipi. Sudah dua hari berlalu namun tiada apa-apa perubahan positif sehingga kini. Ibunya hanya terbaring kaku. Lesu. Wayar pelbagai warna yang berselirat di tubuh Mak Cik Sara tambah menyentak hatinya. Pedih, luka silih berganti. Separuh jiwanya terasa di bawa pergi. Ya Allah! Betapa beratnya dugaan ini. Tidak termampu dan tidak tertanggung rasanya beban yang kian menghimpit pundaknya.

Arish terjeda. Simpatinya membuak-buak. Ingin sahaja dia meredakan kesedihan gadis itu dalam pelukan hangatnya, belaian lembutnya. Namun terkenangkan Masri dan Daud yang langsung tidak berenggang dengannya sejak dari tadi maka hasrat tersebut terpaksa di batalkan. Tak pasal-pasal nanti mereka berdua buka kelas ceramah agama kat hospital pula!

“Ekau sabar, yo. Somuo ni dah torsurat. Kito tak dapek nak lawan takdir. Sokarang ni ekau banyak-banyakkan berdoa supayo omak ekau copat sombuh soporti sediokalo,” pujuk Daud.

“Yolah. Ekau jangan risau. Kami takkan tinggalkan ekau sorang-sorang kek sini. Kalau ekau kono dudok sini sominggu mako sominggulah kami borkampung kek luar ICU ni hah. Den ni dah anggap ekau ni macam anak den sondiri,” sampuk Masri pula.

“Porut den pun dah lapo ni. Jom kito poie boli apo-apo kat bawah, nak?”

“Apo kolas makanan kek bawah tu? Den toringin pulak nak makan masak lomak daging salai dongan cili api. Jom kito poie cari, nak?”

“Sodap tu. Bolehlah. Ekau berduo nak kirim apo-apo ko? Den boleh tolong bolikan,” pelawa Daud. Namun Mel kekal sepi. Sedikit pun tidak berkutik. Arish memberi isyarat mata pada Masri dan Daud agar meninggalkan ruangan itu buat seketika. Mereka bertiga melangkah keluar dari bilik tersebut.

“Tuan, saya nak minta tolong tuan, boleh tak?”

Kaki Arish terpaku. Tidak jadi dia mengikuti langkah Masri dan Daud yang sudah jauh ke hadapan.

“Nak minta tolong apa tu, Mel? Insya-Allah, kalau saya boleh tolong, saya akan cuba sedaya-upaya saya.”

“Boleh tak tolong hantar saya balik? Ada benda yang saya kena settlekan hari ni jugak.”

Boleh, takde masalah. Bila awak nak balik? Esok? Lusa? Pasal awak sampai ke hujung dunia pun saya sanggup hantar.” Sempat lagi Arish berseloroh. Namun selera Mel untuk bergurau senda seakan-akan mati. Dugaan demi dugaan yang menerjah masuk dalam hidupnya tanpa di undang telah menyekat keceriaannya.

“Saya nak minta tolong tuan bawa saya ke rumah TJ sekarang juga. Buat kali terakhir saya nak cuba gapai semula cinta hati saya yang hampir terlepas dari genggaman.”

Arish mengeluh. “Mel, kan saya dah cakap. Cinta tak boleh di paksa. Soal hati dan perasaan adalah misteri. Tiada siapa tahu bila dan bagaimana kita akan suka, jatuh cinta dan bencikan seseorang. Terima ajelah semua ni sebagai suratan dari Yang Maha Esa.”

“Tuan tak payah nak nasihat sayalah. Tuan pun dua kali lima, lebih kurang macam saya aje. Apa yang tuan tahu pasal cinta? Nak pilih teman wanita pun siap buat tapisan bagai. Cinta tu sebenarnya tak bersyarat. Kalau kita benar-benar cintakan seseorang, kita akan terima dia seadanya. Baik buruk dia semua kita akan telan.”

“Tu namanya cinta membabi buta! Tolonglah, Mel. Tolonglah sedar. Berpihaklah di bumi nyata,” tempelak Arish.

“Kalau tuan tak nak tolong, takpelah. Saya balik sendiri.” Pendek tapi tegas. Kakinya dah di tala ke pintu.

“Mel! Janganlah macam ni. Tunggu saya!” Terkedek-kedek Arish membontotinya dari belakang.

Hampir-hampir sahaja Mel berlaga dengan Effa, Lili dan Rayyan di pintu masuk hospital. “Mel! Kau nak ke mana ni?”

Lengan Mel sudah tergenggam kemas dalam pegangan Effa. “Aku nak buat perhitungan terakhir! Aku nak bersemuka dengan dia!”

“Tak payahlah, Mel. Buat apa kau nak jumpa dia lagi? Nanti kau sendiri yang sakit hati. Lagipun mak kau kan tengah sakit. Baik kau temankan mak kau kat sini.”

Pujukan Effa tidak kalis di telinga Mel. Amarahnya langsung tidak mengendur malah semakin membuak-buak.

“Kau tak faham, Effa. Ini melibatkan maruah keluarga aku. Takkanlah aku nak biarkan diorang buat sesuka hati aje? Lemaklah kalau macam tu!”

“Betul cakap Mel tu. Biarlah dia pergi, sayang. Biar dia selesaikan perkara ni. Buat apa nak tangguh-tangguh lagi? Diorang berdua tu memang dah melampau!”

Effa ketap bibir. Geramnya bertali-tali. “Encik abang aku ni boleh pula jadi batu api. Sabar ajelah,” rungut Effa dalam hati. Tangan ketamnya dah menjalar ke lengan Rayyan.

“Adoi! Sakitlah! Afsal pula ayang cubit abang ni?” soal Rayyan bingung. Lengan yang yang sudah berbekas kemerahan di gosoknya laju-laju.

“Lain kali api yang dah marak, jangan di simbah lagi dengan minyak panas. Bertambah meruaplah jadinya,” gerutu Effa.

Mel dah garu kepala. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. “Api? Mana dia api? Ada kebakaran ke? Cepatlah, telefon bomba sekarang!”

Lili ketap bibir. Geram dengan bendul si Mel yang tak habis-habis. Selamba dia menunjal dahi Mel. “Kau ni! Lain orang cakap, lain yang kau tangkap! Sengal betullah!”

Mel menggosok-gosok dahinya. “Lah, tadi api, ni tangkap apa pulak? Haish aku tak fahamlah bahasa aras tinggi yang korang gunakan ni. Dahlah, buang karan aje.”

Laju kaki Mel menala ke arah parkir kereta yang terletak tidak jauh dari pintu masuk hospital. Arish terkocoh-kocoh mengikutinya dari belakang.

“Macam mana ni, Effa? Takkan kita nak biar aje? Aku risau Mel akan bertindak di luar batasan nanti,” ujar Lili. Cuak dah menempel di wajahnya.

“Betul juga cakap Lili tu. Abang rasa baik kita ikut dia.”

Effa sekadar mengangguk.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku