SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 36
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1870

Bacaan






BAB 36
TJ senyum riang di atas mini pelamin. Seri di wajah sudah cukup menggambarkan perasaannya yang berbunga-bunga kala ini. Mana tidaknya, majlis merisik sudah di upgrade jadi majlis pertunangan. Bermakna dalam tempoh terdekat dia akan bergelar isteri Rizal. Sesuatu yang sudah di idam-idamkannya sejak sekian lama.

“Jadi berapa lama tempoh pertunangan di antara mereka berdua ni? Enam bulan? Setahun?” bertubi-tubi soalan dari pihak perempuan.

“Rasanya tak payah lama-lama sangat kot. Cadang kami minggu depan terus langsung aje majlis nikahnya.”

Semua hadirin berpandangan. Soksek-soksek mula kedengaran di sana-sini. Almaklumlah, ini merupakan rekod tercepat tempoh pertunangan yang berjaya di catatkan dalam Kampung Delima ini!

“Biar betul! Sempat ke nak buat semua persiapan?” tebak pihak perempuan lagi.

“Insya-Allah sempat. Pihak lelaki takde masalah. Lagipun bakal pengantin lelaki memang dah bersedia nak mendirikan rumahtangga. Bila-bila masa pun boleh. Takde masalah,” balas pihak lelaki dengan nada yakin.

Kembang hati TJ mendengarnya. Ternyata Rizal benar-benar ikhlas ingin memperisterikannya. Yang paling penting, nasibnya tidak seburuk nasib Mel. Tiba-tiba imbasan wajah Mel menari-nari di mata. Kusutnya wajah itu saat perkahwinannya di tunda. Nanar di hati Mel bagaikan terserap pula di jiwa TJ. Simpatinya mula datang membuak-buak.

“Argh!!! Buat apa kau nak simpati dengan dia? Selama ni pun asyik kau aje nak kena beralah. Kali ni biar dia pula rasa apa yang kau rasa selama ini. The best woman win, my dear friend,” bisik TJ dalam hati. Serta-merta juga simpatinya terus menjauh.

“Kalau semuanya dah sepakat, jemputlah ibu kepada bakal pengantin lelaki untuk menyarungkan cincin ke jari bakal pengantin perempuan. Di persilakan.”

TJ membetulkan selendang yang menutupi kepalanya. Terserlah keterujaan di wajah meskipun hatinya tak henti-henti berdetak-detup. Peluh di pelipis dahi dah mula turun berjuraian tatkala ibu Rizal sudah berada betul-betul di hadapannya. Seram, kecut perut, getir saling menjunam rasa di dada.

TJ menghulurkan jemari runcingnya. Satu teriakan kuat dari muka pintu terus sahaja membantutkan hasrat ibu Rizal untuk menyarungkan cincin emas bertakhta berlian ke jari TJ.

“Sampai hati kau, TJ. Sampai hati kau!”

Serentak semua berpaling ke arah pintu. Wajah kusam Mel hampir-hampir sahaja menghentikan degup jantung TJ. Kemunculan yang sama sekali tidak di jangka dan tidak di undang kehadirannya!

“Err…Mel! Apa yang kau buat kat sini, ya?” soalan kurang cerdik yang terlontar keluar dari bibir TJ hampir-hampir sahaja membuatkan Mel gelak besar.

“Aku tengah memancing sambil tengok perlawanan hoki! Apa jenis soalan bodohlah yang kau bagi ni, TJ? Dah tentulah aku datang sini nak ‘meraikan’ hari pertunangan kau! Eh, meraikan ke? Meraikan ke, menjahanamkan ke, itu semua bergantung pada keadaan lah kan!”

Gulp?! TJ cuak. Gurauan bernada amaran halus itu menyentak hatinya. Sejak dari kecil dia sudah membesar bersama-sama dengan Mel. Dan dia tahu apa kemampuan sahabatnya itu. Apa yang boleh Mel lakukan, sampai tahap mana Mel sanggup pertahankan cintanya, semuanya kian menyenak jiwa TJ.

Rizal yang sedari tadi diam terus bangkit. “Mel! Sudah-sudahlah tu. Susah sangat ke nak terima kenyataan? Hakikatnya antara kita berdua dah takde jodoh.”

Pedih. Sentap mendengarnya. Tetapi secuit harapan masih tetap menempel di hati Mel. “Awak! Saya tahu awak buat semua ni sebab desakan keluarga, kan? Sebenarnya hati awak masih menginginkan saya, betul tak? Cakaplah, awak! Luahkan kebenaran isi hati awak pada semua orang!” desak Mel bertalu-talu.

Rizal mencemik. “Tolong jangan desak-desak saya. Jangan sampai saya keluarkan perkataan yang tak sepatutnya! Sekurang-kurangnya, jagalah maruah awak sebagai orang perempuan, Mel. Jangan jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!”

“Dahlah, Mel. Tolong jangan buat kacau dalam majlis aku. Kau kena terima hakikat. Rizal pilih aku, bukannya kau!” selar TJ angkuh.

Mel terduduk. Hatinya tersayat pilu. Pedihnya bagaikan di tusuk sembilu bisa. Tidak di sangka, langsung tak terduga. Bakal suami mengkhianati, rasa separuh jiwa di bawa pergi. Namun bila sahabat yang pernah berjanji untuk sehidup dan semati yang memungkiri, nafasnya rasa terhenti. Semangatnya terbang melayang.

“Kau tipu kami selama ni, ya? Mr R konon. Mr Rizal rupa-rupanya! Kawan jenis apa kau ni, TJ? Sampai hati kau buat Mel macam ni?” sampuk Effa yang muncul tiba-tiba di muka pintu.

“Apa yang aku buat? Aku cuma nak kejar kebahagiaan dalam hidup aku aje. Salah ke? Patutnya Mel tu muhasabah diri sikit. Dia tu pembawa malang. Sebab tu takde siapa yang sanggup nak kahwin dengan dia,” kutuk TJ bertalu-talu. Dia tekad. Tiada sesiapa pun boleh sewenang-wenangnya menghancurkan majlis pertunangannya hari ini!

Arish sudah tidak mampu berdiam diri. Penghinaan demi penghinaan yang terlempar pada Mel turut terbias di hatinya.

“Siapa cakap takde sesiapa nak kahwin dengan Mel? Dengan ini, bersaksikan anda semua yang berada di sini. Saya, Inspektor Arish Aqlan bin Afzan akan mengambil Melina binti Kamil sebagai isteri saya yang sah!”

Semua terlopong. Terutamanya TJ dan Rizal. Ketampanan Arish merobek-robek hati perempuan TJ. Tidak di sangkanya, Mel berjaya mendapatkan pengganti secepat ini. Yang paling menyakitkan hati, lelaki itu jauh lebih kacak berbanding Rizal! Api cemburu mula menjalar ke dadanya.

“Err…encik ni siapa, ya? Setahu saya Mel ni mana ada teman lelaki. Tak pernah pun dia cakap dengan kitorang selama ni? Entah-entah encik ni sengaja berlakon tak?” soal TJ sinis.

Selamba Arish menukas. “Siapalah kita nak mempersoalkan urusan jodoh yang di tetapkan oleh Allah? Kalau dah Allah tentukan terbukanya hati saya hari ini untuk menerima Mel sebagai isteri, layakkah awak mempertikaikan keputusan tu?”

TJ ketap bibir. Geram berselirat dalam dada. Tak pasal-pasal kena setepek kat muka. Kurang asam keping betul!

Arish menunduk. Bahu Mel di usap lembut. “Dahlah, Mel. Jomlah kita pergi. Tempat awak bukan kat sini. Tempat awak kat dalam hati saya.”

Mel terpana. Namun dia masih keliru. Adakah Arish benar-benar ikhlas kali ini ataupun sekali lagi dia sengaja nak menduga hati? Mel terus bangkit. Tangan Arish di tepis kasar.

“Cukup-cukuplah tu. Hati saya ni bukannya sekukuh besi. Tahan di kimpal, di lentur, di bengkok berulang kali. Hati saya ni dah retak seribu. Hancur berkecai macam kaca berderai. Usahlah di tambah lagi,” sayu Mel mengungkapkan kata-kata. Sedaya-upaya airmatanya di tahan supaya tidak jatuh berderaian. Dia tidak mahu kelihatan lemah lagi di mata kaum lelaki. Tidak sama sekali!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku