SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 37
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1435

Bacaan






BAB 37

Arish tersentak. Kerana mulut santan binasa. Sikapnya yang gemar bermain soal hati dengan Mel kini menjeratnya. Natijahnya mula menampakkan diri.

“Mel, saya tahu. Selama ni saya selalu main-main. Soal hati umpama bahan gurauan bagi saya. Tapi itu dulu, Mel. Sebelum saya jumpa dengan manusia kejam berhati batu macam diorang berdua ni.”

Buntang biji mata TJ dan Rizal seketika. Arish sekadar pamer wajah selamba. Terus sahaja dia menyambung kata-katanya.

“Saya tak nak jadi macam diorang, Mel. Sanggup pijak kepala orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Bina kebahagian atas penderitaan orang lain. Kejadian hari ini menyedarkan saya, Mel. Kadang-kala kebahagian sudah terhidang di depan mata jadi kenapa harus di kenang lagi cinta yang sudah berlalu?”

TJ mencebik. “Alalala…pasangan dua sejoli ni. Kiranya dalam hati tu dah hancur berkecai-kecailah, ya? Sakitnya tuh di sini, sakitnya tuh di sini.” Selamba TJ mengalunkan petikan lagu Cita Citata. Siap tangan di dada, bahu dan pinggul dah tergoyang-goyang. Saling tak tumpah macam gelek gerudi Inul Darastita!

Panas pula hati Arish melihatnya. “Sesuai sangatlah! Sekor sengal, sekor lagi macam perempuan kabaret!”

Buntang biji mata Rizal. “Apa kau cakap? Karang melayang jugak penumbuk aku kat muka kau!”

“Tumbuklah kalau berani!” acum Arish.

“Sudahlah tu! Janganlah bergaduh macam budak-budak kecil. Biarlah saya pergi dari sini. Itulah yang terbaik rasanya buat semua.”

Benteng air mata Mel tumpah jua akhirnya. Tidak tertampung rasa sebak di jiwa. Kakinya sudah tertala laju ke muka pintu. Tidak sanggup lagi dia berhadapan dengan mereka semua.

“Mel! Tunggu dulu, Mel!” pekik Arish. Namun masih tidak mampu untuk mencengkam brek kaki Mel ke bumi. Langkah Mel makin laju.

KEDEBAM!!!

Mel jatuh tersungkur. Peritnya dada bagaikan di siat-siat. “Adoi!! Dah takde orang lain ke yang kau nak langgar selain dari...”

Kata-kata Mel mati tatkala wajah Togo dan Robo menerpa betul-betul di hadapan mata.

“Drama romantik lagi! Asal terserempak dengan korang mesti tengah buat adegan drama yang tidak sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Lain kali buatlah drama aksi ke, seram ke, barulah selera nak menengoknya. Ini buat loya tekak aku aje!” tempelak Robo.

Arish sudah berlari ke arah Mel. Namun Togo lebih pantas mencekak dan membelit leher Mel dengan lengannya. “Jangan rapat! Kalau tidak aku patah-patahkan leher budak ni!” acum Togo.

Keperitan mula mencengkam leher Mel. “Sakitlah! Lepaskan aku! Lepaskan! Rizal, tolong saya, Rizal. Tolong saya!”

Rizal diam tidak berkutik. Kakinya terpasung ke lantai. Tidak mungkin dia akan menbahayakan nyawanya buat gadis pembawa malang itu. Tidak sama sekali.

“Jangan! Jangan apa-apakan dia! Tolonglah! Apa saja yang kau nak, aku akan bagi!” balas Arish cuak.

Letus tawa memuncak dari bibir Robo. “Pelik betullah. Cinta memang mampu buatkan orang sihat jadi sewel, orang lemah jadi kuat. Tengok, yang perempuan beria-ria minta tolong dari sang kekasih hati, tapi inspektor yang perasan bagus ni pula beria-ria nak tolong dia. Memang kelakar!”

Merah padam muka Arish. “Suka hatilah aku nak tolong sesiapa pun. Lagipun memang dah jadi tanggungjawab aku sebagai seorang anggota polis yang berdedikasi...”

Pantas Robo mencelah. “Pirah!! Dedikasi konon! Sebenarnya dari mula kau memang ada hati kat perempuan ni, kan? Kaulah lelaki paling pengecut yang pernah aku jumpa seumur hidup aku. Sampaikan isi hati sendiri pun kau tak mampu nak lafazkan pada orang yang kau sayang.”

Amarah Arish memuncak. “Kau diamlah! Sekarang ni baik kau lepaskan dia sebelum kau menyesal seumur hidup kau nanti!”

Sekali lagi letus tawa terbit dari bibir Robo dan Togo. “Hei inspektor bodoh! Kau ingat aku pun bodoh macam kau ke sampaikan senang-senang nak lepaskan perempuan ni macam tu aje? Sekarang ni aku nak kau pulangkan balik syiling yang kau ambil kat Muzium Cheng Ho tadi. Kalau tidak kau pulak yang akan menyesal seumur hidup kau nanti!”

Amaran keras lagi tegas. Langsung tiada unsur-unsur yang Robo sekadar berbasa-basi di mulut. Dia benar-benar maksudkan kata-katanya.

Otak Arish ligat berfikir. Pasti syiling itu mempunyai keistimewaan tersendiri sampaikan dua ekor malaun ini sanggup datang sampai ke sini semata-mata untuk merampasnya. Tangannya segera menyeluk poket. Beberapa kepingan syiling yang tersadai di situ cukup melegakannya.

Sekeping dari syiling tersebut di lambungnya tinggi. “Nah, ambillah ni!”

Kelam-kabut Robo dan Togo menyambut. Kesempatan ini di ambil oleh Mel untuk memijak kaki Togo sekuat-kuat hatinya. Serta-merta belitan tangan Togo terlepas. Arish pantas menerpa ke arah Togo. Kedua-dua belah tangan Togo terus di kilas ke belakang.

“Jangan bergerak!”

Safwan bersama sepasukan anggota polis muncul di situ. Robo tidak mati akal. Sepantas kilat dia meloloskan diri dari situ.

“Lan! Amin! Kejar suspek sampai dapat!” teriak Safwan. Tidak cukup tanah Lan dan Amin mengejar Robo dari belakang. Namun kepakaran Robo mengatasi segala-galanya. Dalam sekelip mata kelibat Robo lesap dari pandangan.

“Tuan! Suspek berjaya melepaskan diri!” ujar Lan yang muncul semula di situ tidak berapa lama kemudian dalam keadaan tercungap-cungap.

Berkerut dahi Safwan. Arahan tegas segera teralun di bibirnya. . “Ini tak boleh jadi! Lan, arahkan sekatan jalan raya di lancarkan serta-merta. Sekat semua jalan keluar dari Kuala Lumpur. Semua laluan termasuk laluan darat, udara dan air. Dapatkan bantuan polis marin jika perlu. Bukan calang-calang orang yang kita sedang berhadapan ni. Dia memang berbahaya. Tunggu apa lagi? Geraklah sekarang!”

“Baik, tuan,” serentak Lan dan Amin membalas. Tanpa banyak soal mereka segera berlalu dari situ. Kini Safwan berpaling ke arah Arish dan Mel pula.

“Aku nak kau terus-terang dengan aku, Arish. Si Robo tu nak apa sebenarnya? Dari tadi dia duk sebut syiling, nak syiling. Syiling apa sebenarnya?”

Sedaya upaya Arish cuba pamer wajah selamba. Tidak mungkin syiling itu akan di biarkan terlepas ke tangan orang lain, lebih-lebih lagi pada si Safwan ni. Jangan haraplah!

“Entah! Aku pun tak tahu syiling apa yang dia nak. Tadi pun kira nasib baiklah ada duit syiling dalam poket aku. Tu yang aku campak kat dia tu.”

Mel dah garu kepala. “Eh, bukan ke tadi tuan ada ambil syiling kat muzium...”

Pantas Arish memintas. Sengaja mata kanannya di kedip berulang kali ke arah Mel. “Yelah! Memang saya ada ambil duit syiling kat dalam dashboard kereta abang Daud tempohari. Nanti saya gantilah balik.”

Mel tambah bingung. Isyarat mata Arish gagal di bacanya. “Kenapa pula dengan mata tuan ni? Terkedip sana, terkedip sini. Tadi elok aje saya tengok. Bila masa pula tuan kena sakit mata ni?”

Arish ketap bibir. Geram makin tebal dalam hati. Makin menjadi-jadi pula bendul si Mel ni.

Safwan mara ke arah Arish. “Lah, kau sakit mata pulak ke? Jom aku bawak kau ke klinik. Lepas ni pun, aku kena ekori kau dan Mel ke mana saja korang pergi. Selagi si Robo tu bebas berkeliaran selagi tu juga aku akan ikut korang berdua macam bayang-bayang.”

Pulak! Mel tersentak. Safwan akan mengikutinya ke mana sahaja dia pergi selepas ini? Biar betul!

“Terima kasih ajelah kot tapi rasanya saya masih mampu jaga diri saya sendiri.”

Mel sudah mengalun langkah laju-laju. Sekelip mata kelibatnya lesap dari pandangan. Terpinga-pinga Safwan dan Arish di buatnya.

“Kita tak boleh biarkan Mel keseorangan. Bahaya. Jom kita pergi cari dia sebelum Robo tangkap dia pula!” ujar Safwan. Cuak dah terlarik di wajah.

“Yelah tapi kita nak cari dia kat mana?” soal Arish bingung.

“Rasanya saya tahu ke mana dia pergi,” sampuk Lili. Arish dan Safwan saling berpandangan. Lega mula bertandang di jiwa.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku