SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
BAB 38
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 Mei 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2317

Bacaan






BAB 38

Pondok kecil di tepi sawah. Saksi sebuah ikatan yang termeterai. Buktinya cinta Effa dan Rayyan pernah teradun di sini. Pondok ini juga lambang keutuhan sebuah persahabatan. Yang sudah terjalin sejak sekian lama. Dari zaman persekolahan lagi sehinggalah kini. Tapi pondok tetap kekal sebagai sebuah pondok semata-mata. Ia tidak dapat menjamin keteguhan sebuah persahabatan yang pernah termeterai di sini.

Setitis demi setitis air mata mula berguguran dari pipi gebu Mel. TJ. Rizal. Dua nama yang hebat memalu dada. Terngiang di telinga. Seorang sahabat. Seorang lagi kekasih. Tegarnya sebuah persahabatan yang sekian lama terjalin hancur berderai hanya kerana seorang lelaki. Tidak! Bukan ini sepatutnya pengakhiran kisah ini. Bukan begini penghujungnya.

“Tu dia,” muncung Lili.

“Jom kita pergi kat dia...”

Pantas Arish memintas. “Dia tengah serabut tu. Biar aku cakap dengan dia dulu. Berdua. Secara peribadi. Harap kau faham.”

Safwan hanya mampu akur. “Yelah. Aku tunggu kat sini. Kau pujuklah dia baik-baik.”

Arish menala langkah. Semakin lama semakin dekat. Wajah suram Mel kian menerpa di pandangan. Tanpa sebarang jemputan punggungnya terus sahaja di labuhkan ke sebelah Mel.

“Ehem.” Diam. Tiada sebarang reaksi.

“Mungkin saya bukan bos yang baik tapi mami saya selalu cakap saya memang seorang pendengar yang setia.”

“Ya. Setuju.” Pendek jawapan Mel. Tapi mendalam.

“Apa yang awak setujunya ni?” soal Arish bingung.

“Memang tuan bukan bos yang baik pun. Dahlah kerek, cerewet pulak tu. Banyak songeh. Cengcong. Mana ada orang yang boleh tahan dengan perangai tuan.”

Nah! Sekali bertubi-tubi kutukan yang terlontar dari bibir Mel. Geram dah mula menari-nari di jiwa Arish. Namun terpaksa di pendam padat-padat dalam dada.

“Ya, saya tahu saya memang bos yang teruk. Tak berhati perut, kejam lagi sadis! Langsung tak berperikemanusiaan!”

Mel telan liur. “Err...ini tuan yang cakap sendiri, tau? Bukan saya yang cakap.”

Arish mengeluh. “Ok...ok...saya tak seteruk itu. Macam ni ajelah. Saya tahu mungkin saya tak layak untuk nasihatkan awak tapi cuma satu yang saya boleh cakap. Saya betul-betul ambil berat pasal awak. Saya tak sanggup tengok awak susah hati macam ni. Err...jangan salah faham pula. Ini bukan percubaan nak tawan hati, jantung dan sebagainya. Cuma saya rasa bertanggungjawab ke atas awak sebab awak PA saya.”

“Sebab saya PA aje ke? Tak lebih dari tu?” bisik Mel perlahan. Namun sempat tertangkap ke gegendang telinga Arish.

“Apa awak cakap?”

Merah dah melatari wajah Mel. “Err..tak...saya cuma...ah, takpelah. Lupakan aje. Tadi tuan cakap tuan tak boleh tengok saya susah hati, kan? Sanggup tak tuan buat sesuatu untuk menceriakan hati saya semula?”

“Demi awak apa-apa pun saya sanggup. Awak nak saya buat apa?”

Mel dah kerling nakal ke arah Safwan dan Lili yang sedang elok bertenggek di bawah pokok kelapa yang tinggi menjulang.

Arish dah geleng kepala. “Saya rasa saya tahu apa yang awak nak buat. Jangan sesekali terfikir walau sekalipun benda-benda macam tu.”

Mel dah cebik bibir. “Tak berani ler tu? Jomlah, bukannya selalu. Sekali-sekala aje pun. Takkanlah kita nak biarkan mamat senget tu ikut aje bontot kita dua puluh empat jam? Tak macholah! Ok, kalau tuan tak nak ikut, saya tak paksa.”

Mel bangkit. Dia mengerling ke arah Safwan yang sedang rancak bersembang dengan Lili. Memang peluang yang baik! Pantas Mel menuruni terusan yang terletak bersebelahan dengan pondok tersebut. Mujur air terusan tersebut hanya separas lutut sahaja. Perlahan-lahan Mel meranduk air terusan tersebut sambil menundukkan kepala.

Tergeleng-geleng kepala Arish melihat aksi berani mati Mel. Namun tiada salahnya kalau dia juga turut serta. Kini Arish juga menuruni terusan tersebut dan meranduk air bersama-sama dengan Mel.

Alangkah terperanjatnya Safwan tatkala pandangannya terlempar ke arah pondok kecil di tengah sawah itu. Kosong tidak berpenghuni!

“Arish! Mel! Mana korang pergi! Arish! Jawablah!”

Arish dan Mel menahan tawa di sebalik tebing terusan. Sampai tahun depan pun belum tentu Safwan dapat menjejak mereka!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku