NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1100

Bacaan






BAB 1

     MELISSA mengelap sedikit bibirnya dengan napkin berona pic, sebelum meletakkan cermat di sisi kanan pinggan makannya. Dia mengerling sekilas kepada lelaki di hadapannya. Lelaki itu makan tanpa sudi hatta memberi sedikit pun pandangan buatnya. Cuma dialah lebih terhegeh-hegeh menolak rasa malu berbual itu dan ini. Melissa menyilangkan garpu dan pisau di atas pinggan yang masih berbaki lebih separuh daging stiknya. Setelah menyisipkan sedikit air putih dari gelas tinggi, dia tiba-tiba berdiri. Matanya memandang kiri kanan kurang selesa kalau-kalau aksinya mendapat perhatian orang sekeliling ruang restoran. Lelaki bernama Faris di hadapan terkejut. Menyedari ada beberapa pasang mata memberikan tumpuan kepadanya, dia memaniskan wajah serta-merta. Dengan tertib dia mengambil tas tangan di sisi kerusi.

     “I nak ke wash-room sekejap,” pintanya lemah lembut. Butir bicaranya tidak mendapat reaksi balas. Melissa mendengus geram.

     Dengan langkah yang sengaja diatur gemalai, dia masih mampu menjaga gengsi saat berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Mata-mata yang memerhatikannya masih melihatnya sebagai seorang yang menjaga tertib. Langkahnya tidak terkocoh-kocoh seperti orang dikejar sesuatu. Adapun hatinya mendesak benar-benar untuk berlagak begitu.

     Terlihat sahaja pintu tandas wanita, dia terus menerpa masuk. Nafas yang ditahan-tahan dilepaskan sepuas hati. Tapak kasutnya menghentak lantai jubin beberapa kali. Dia mengerang sakit hati.

     “Bodoh! Bodoh!” Dia melepaskan kemarahan tersembunyi.

     Rambut gaya Bob Hairstyle separas dada ikut menggerbang. Melissa membetulkan dengan jari jemarinya. Kemudian tangannya meraba-raba isi tas tangan Coach. Blackberry Classic dibawa keluar. Telunjuknya berlari-lari di skrin sesentuh sambil beralih ke cermin besar di sink. Wajahnya di tilik berkali-kali ketika menerkap smartphone ke telinga menanti panggilannya bersambut. Sebelah tangannya masih membetulkan gaya rambut. Panggilannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba dengan butang redial. Juga gagal.

     Buat meredakan rasa sakit hati, bibirnya dilekap buat meratakan warna gincu yang mungkin tersisih ketika makan tadi. Alis mata dikuis. Mata dikelipkan beberapa kali kalau-kalau maskara di bulu matanya tidak sekata. Kemudian Blackberry Classic dimasukkan kembali ke dalam Coach. Tangannya mencari-cari benda lain di situ. Akhirnya Chanel lipstik dari jenis Rouge Allure Velvet dari warna 40 La Sensuelle dioles ke bibir. Lagi sekali kedua bibirnya melekap meratakan warna gincu. Bedak kompak dari jenama sama juga dikeluarkan. Wajahnya mula nampak berminyak biarpun berada di dalam restoran berhawa dingin.

     Belum sempat dia mendandan semula wajah sendiri, Blackberry Classic berbunyi nyaring. Bedak kompak diletak ke tepi. Sekali lagi tangannya terpaksa meraba-raba isi tas tangan. Dia membetulkan suara terlebih dahulu setelah melihat paparan nama pada skrin pemanggil.

     “Helo, Mami!” Suaranya kembali mesra.

     “A’ah... Lisa call tadi,” jawabnya bersopan santun.

     “Masih kat restoran,” terangnya. Tangannya mula mengezip tas tangan sebaik bedaknya disimpan masuk semula. Dia berjalan ke arah pintu keluar.

     “Sekejap lagi.” Suaranya diiringi ketawa halus. Seolah-olah penawar sakit hatinya telah ditemui dengan hanya berbual dengan suara pemanggil bernama Mami saja.

     “Doa-doakan kami ye, Mami.” Dia meletakkan sebuah harapan. Suaranya bersulam ketawa lagi. Kakinya riang melangkah semula ke dalam restoran. Matanya kembali bercahaya memberi perhatian kepada lelaki tampan yang duduk bersendirian di meja yang ditinggalnya sekejap tadi. Hati yang meronta-ronta sakit sebelum ini pulih dalam sekelip mata. Bibirnya mengoyak senyuman.

++++++++         
                                                  
     “You bawa kereta kan? Tumpangkan I balik... tadi I datang dengan teksi.”

     Kaki Faris tidak jadi melangkah. Tiba-tiba dia menjadi keras. Badannya secara automatik berpusing ke belakang.

     “Apa?!” Kedua keningnya hampir bertaut. Matanya singgah sekejap ke wajah Melissa sebelum memandang kiri kanan. Mulut Faris sedikit terlopong. Dia tidak tahu hendak memilih perkataan apa. Hanya tangannya mempamerkan aksi bercekak sebelah pinggang.

     Melissa menggigit bibir sendiri, ketika saling bertatapan mata antara mereka. Dia tidak tersedar akan mengeluarkan ujaran tersebut di depan lelaki seperti Faris ini.

     “M-Mami yang...” Dalam tergagap-gagap, Melissa baru ingin menyambung tetapi lontaran kunci kereta dari tangan Faris pantas mematikan ayatnya. Nasib baik juga dia sempat menyambut lontaran itu.

     “Kereta aku di B1. Nanti kuncinya berikan kepada Mami.” Bulat mata Melissa mendengarkan butir perkataan Faris. Belum pernah dia mendapat kata-kata dan cara sekeji itu dari mana-mana lelaki.

     Sebal hatinya jika mahu diukur, dia ingin menendang lelaki yang sedang berjalan menuju ke pintu lif. Namun bukannya dia tidak tahu siapa Faris itu. Secara logiknya Faris itu bukan jenis romantik dan lemah lembut dengan perempuan. Telah beberapa kali dia keluar dengannya. Masakan dia tidak masak lagi dengan fiil Faris. Melissa memandang kiri kanannya, kalau-kalau ada yang mengesani tindakan dia dimalukan. Mujurlah rakyat Malaysia ini jenis buat tidak kisah.

     Melissa memilih menggunakan eskalator sahaja. Dia malu tiba-tiba untuk menggunakan lif. Segan untuk berhimpit-himpit di dalam lif dengan adanya Faris di situ. Ayat terakhir Faris jelas menunjukkan pertemuan mereka telah pun tamat. Jadi wajar kah lagi dia terhegeh-hegeh di hadapan Faris?

     Di depan pintu lif, Faris menoleh seketika kepada kelibat Melissa. Perempuan itu sedang menapak ke arah eskalator ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka. Faris tidak jadi memasukinya. Sebaliknya dia menuju ke pintu masuk utama bangunan. Dia membawa keluar Samsung Galaxy S6. Ibu jarinya bergerak di skrin sesentuh. Nama Zikri dicari dalam senarai call log.

     “Zikri, kau dah masuk pejabat?”

     “Datang ambil aku sekejap.”

     “Ye, sekarang.”

     “Aku kat entrance.”

     “Okey.”

     Faris melepaskan keluhan. Gara-gara perempuan, dia harus menjarakkan hati sebegini rupa. Akibat dari seorang perempuan juga dia bukan lagi seperti Faris lima tahun dulu.

+++++++


     “Saja-saja dia je tu, Lisa.” Mami June cuba berdiplomasi. Suaranya dilunakkan.

     “Okeylah nanti Mami ke sana,” janji Mami June.

     “Jangan ambil hati sangat dengan Faris tu,” reda Mami June demi mendengarkan suara sayu pilu perempuan bernama Melissa.

     “Dia memang selalu macam tu. Tapi hatinya baik tau, Lisa.” Ye apa lagi yang mampu Mami June jual? Tentulah dengan perkataan baik itu sahaja untuk Faris. Sedangkan ‘baik’ itu telah beberapa tahun hilang dari diri Faris.

     Setelah beberapa ayat bertukar antara mereka dan berpamitan salam, Mami June menamatkan panggilan. Dia mengeluh kecewa. Nasib baiklah Faris tidak ada di depannya sekarang. Jika tidak, mulutnya ini mahu juga muntah dengan ayat-ayat tidak puas hati.

     Adakah patut Faris meninggalkan keretanya kepada Melissa? Dia sedar kah siapa Melissa itu? Dia ingat Melissa itu pemandunya atau mekaniknya? Lama berfikir, Mami June kembali ke dada komputer ribanya.

Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan di Rumah

· Tugas menjaga seorang wanita yang sedang koma berusia 57 tahun.

· Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

· Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

· Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.

· Tugasan:

~ Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut, potong kuku dan beberapa lagi)

~ Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

~ Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

· Gaji : RM900.00 (sebulan)

· Pengangkutan : RM10 (sehari)

· Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

· Makan minum disediakan


     Masuk kali ini telah tujuh kali dia mengiklankan jawatan sama. Semuanya masih belum mendatangkan hasil. Belum ada seorang pun yang sanggup menyahut cabaran jawatan yang diiklankan ini. Hendak menggaji pembantu rumah luar negara, dia kurang yakin. Malah di rumah ini, Mak Jah – pembantu rumah mereka semenjak dahulu lagi tidak pernah bertukar. Hanya disebabkan usia Mak Jah yang tidak lagi segagah dululah, Mami June harus mencari orang lain untuk menjalankan tugas-tugas rutin di kamar kakaknya itu. Mak Jah sekarang hanya boleh diharapkan untuk tugas-tugas menyediakan makan minum di dapur sahaja. Hal-hal mengemas rumah pun Mami June sudah tidak bebankan Mak Jah sejak tangannya terseliuh kerana cuba mengangkat tubuh kakak Mami June. Jadi, setiap dua atau tiga hari sekali cleaner yang dibayar mengikut jam (empat atau lima jam sehari) datang melakukan tugas-tugas menyapu, mop lantai dan mencuci kain baju.

     Bukannya tidak ada langsung yang sanggup membuat kerja ini. Ada. Malangnya semua sempat bertahan untuk sebulan dua sahaja. Kalau dua bulan itu memang antara yang terlamalah dapat bertahan di sini. Semuanya disebabkan mulut bisa anak saudaranya itu. Jika tidak tentu sesiapa tiada masalah hendak kekal lama. Sudahlah tugasnya tidak begitu mudah. Ditambah dengan saban hari terpaksa menadah maki hamun. Manusia mana boleh tahan. Kalaulah ada robot yang boleh buat kerja macam itu, pasti dia tidak berhempas pulas mencari orang. Bila dia merungut begitu di depan anak saudaranya itu, Faris meradang.

     Lagi sekali dia membaca iklan yang bakal diiklankan di akhbar nanti. Iklan sama juga dua bulan lepas. Hanya terdapat beberapa tambahan di imbuhan termasuk bayaran kerja lebih masa dan pengangkutan. Segala-galanya untuk menarik perhatian semata-mata. Lumayan betul sekarang sumber pendapatan kerja di Malaysia.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku