NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
927

Bacaan






BAB 2

     SAERA meneliti satu persatu wajah murid-murid kelasnya. Nur Qaisara tidak ada lagi hari ini. Saera mengeluh gelisah. Masuk hari ini sudah tiga hari dia tidak melihat Nur Qaisara. Dia mencatatkan ruangan kedatangan untuk hari ini. Sebaik menutup buku kedatangan, dia mula berdiri untuk memulakan pembelajaran. Saera menepuk tangan beberapa kali, menyaingi bunyi riuh kelasnya.

     “Baiklah... hari ini giliran Wasim bacakan doa untuk kita semua!” Laungan Saera kurang mendapat reaksi para pelajarnya. Namun beberapa pelajar kelas Kristal mula mengikut arahan gurunya dengan menadah tangan separas dada. Segelintir lagi masih hanyut dalam dunia permainan bersama-sama beberapa rakan lain.

     “Okey, semua... tadah tangan!!” laung Saera sedikit kuat, mencuri konsentrasi beberapa pelajar kecil yang masih leka di belakang kelas.

     “Tadah tangan!!” ulang Saera. Matanya meniti satu persatu wajah-wajah kecil di hadapannya.

     Izyan Izzati - yang lebih dulu dirangsang dengan suara sedikit lantang gurunya, mengangkat mukanya dari meja. Dia berpaling ke sekeliling. Matanya masih mamai. Tangannya menggosok-gosok kedua belah matanya. Dia takut kalau-kalau suara gurunya ditujukan buatnya yang tiba-tiba sahaja terlena di kerusi.

     “Hariz dan Wasim kat belakang tu, dengar tak?” soal Saera cuba mencuri tumpuan pelajarnya.

     “Baiklah... Hariz, mari ke depan!” Akhirnya Saera harus memutuskan dengan memanggil. Tindakannya ternyata berjaya apabila hampir 100% suara bising lenyap. Seisi kelas jadi sepi serta-merta. Hariz yang dipanggil juga rasa takut tak semena-mena.

     “Alah chekju... dia yang dulu ambik sapu tangan saya.” Mata Hariz menagih simpati. Telunjuknya menuding ke arah Wasim yang tersengih-sengih jauh sedikit daripadanya.

     Kalau tak disebabkan perbuatan Wasim mengambil sapu tangannya, tentu dia tak ditegur gurunya tadi. Dan kerana Wasim telah mengambil sapu tangannya, lalu dia ingin membalas balik. Itulah sebab mengapa Hariz pergi mengejar Wasim dari belakang tadi hingga tidak tersedar akan arahan berkali-kali gurunya.

     “Kenapa ambil sapu tangan Hariz, Wasim?” tanya Saera. Wasim tak berkutik. Sengihan nakalnya sudah berganti dengan mulut terlopong. Dia rasa takut kali ini kalau-kalau dia dimarahi di hadapan teman-teman yang lain. Sekalipun Cikgu Saera selama dikenali tidaklah merupakan seorang guru yang garang.

     “Se... sebaaaab... sebaaab... semalam Hariz sembunyi sapu tangan saya dulu.” Menggigil-gigil dia cuba menyusun perkataan. Mata gurunya tunak di wajahnya.

     “Mak kita kasi tahu... tak boleh main sapu tangan. Kotor. Sebab kadang-kadang kita guna buat lap hingus. Nanti kalau kita ada H1N1 semua orang berjangkit. Nanti semua sakit, tak ada orang datang kat sekolah.” Diam bahasa gurunya, menjadikan Hariz mendapat sedikit keberanian untuk membalas ayat Wasim.

     Saera tersenyum. Telah dekat dua tahun mengajar di sini, ternyata dia bukan seseorang yang tahan dengan celoteh-celoteh kecil di sekelilingnya ini. Hiburan yang sendiri datang tanpa perlu dia petik mana-mana butang atau selak mana-mana kertas. Hatinya sering tercuit, setiap hari datang ke Tadika Cahaya Hati ini.

     Tok-tok! Tok-tok! Tok-tok!

     Bunyi ketukan di pintu bilik darjah mengalih konsentrasi Saera dan murid-muridnya. Puan Hamidah, Pengetua sekolah memandang wajahnya, tapak tangannya diangkat seakan-akan memohon maaf. Saera berlalu ke pintu.

     “Saera, kejap lagi jumpa saya kat bilik ye,” arah Puan Hamidah dalam sebaris ayat sahaja. Dia segera berlalu membuatkan Saera jadi terpinga-pinga. Isi kepalanya berlegar persoalan. Reaksi Puan Hamidah agak berlainan daripada kebiasaan.

+++++++

     AIR MATA Saera hampir gugur saat mendengarkan patah bicara Puan Hamidah. Dia sendiri hilang perkataan untuk berhujah sebagaimana biasa. Telunjuknya menguit sedikit hujung hidung seraya melarikan terus pandangan daripada mata Puan Hamidah. Matanya separuh terkatup. Sesalan di hatinya membuak.

     “Saya tahu menggalas tugas sebagai seorang pendidik bukanlah mudah, Saera,” pesan Puan Hamidah.

     “Kita tidak boleh hendak mencampuradukkan hal-hal peribadi dengan hal-hal di sekolah ini, Saera,” nasihat Puan Hamidah.

     “Hal-hal peribadi orang lain bukan hak kita nak ambil tahu.”

     “Tugas kita sebagai guru cukup... cukup di sekolah ini sahaja.” Perkataan ‘cukup’ sengaja Puan Hamidah tekankan berganda. Pandangan Saera kian tertunduk ke meja. Dia sedar tentang kesilapannya.

     “Saera!” Terasa tangannya di meja sedang digenggam. Beberapa tika mereka berkongsi sepi.

     “Saya tidak mampu berbuat apa-apa lagi.” Kalimah paling menyedihkan terpaksa Saera telan. Seiringan matanya terpejam rapat, air matanya mengalir turun. Segala-galanya akan berakhir.

+++++++

     ROSNI datang berdekatan. Segera dia mengambil duduk di sisi Saera di bawah teduhan pohon kemboja. Sekilas pandang memerhatikan riak wajah Saera demikian, Rosni tidak berani hendak mengeluarkan suara. Lalu dia pun ikut sama membungkam bahasa di sebelah temannya itu. Tiga empat hari ini air muka Saera nampak berbeza daripada kebiasaannya. Rosni pun sudah maklum hal sebenar daripada mulut guru lain. Puan Hamidah terpaksa bertegas dengan tindakannya terhadap Saera.

     Masih ada beberapa pelajar tadika ini yang belum dijemput oleh ibu bapa mereka. Jam telah menunjukkan hampir 4.15 petang. Ada pun waktu pulang mereka adalah jam 4 petang. Mereka sengaja dilepaskan bermain di sekitar taman permainan di dalam pagar sekolah.

     “Izyan Izzati! Emak dah datang!” Terdengar laungan salah seorang guru kepada pelajar kelas Kristal.

     Konsentrasi Rosni dan Saera diganggu dengan laungan tadi. Tidak berapa lama kemudian terlihat kelibat Izyan Izzati berlari-lari mengambil beg sekolahnya sebelum berlari ke pintu pagar sekolah. Ada senyuman di wajahnya apabila bersalaman dengan cikgunya sebelum berpamitan lambaian tangan.

    “Saera!” panggil Rosni lembut sambil matanya mengekori pandangan lurus Saera kepada sekumpulan kanak-kanak. Saera sekadar sekilas pandang menolehnya.

     Tangan Rosni menggosok-gosok belakang Saera. Dia cuba mengembalikan Saera ke dunia realiti. Dia sedar Saera yang duduk di sebelahnya sejak tadi, adalah jasad semata-mata. Sedangkan hati dan fikirannya telah menjelajah jauh ke alam berbeza.

     “Hari ni Wasim dah tak usik Hariz lagi kan?” Rosni memulakan bicara. Dia ingin berkongsi sesuatu yang menguit hati. Saera memandang wajah temannya, hairan. Sangkanya Rosni akan datang dengan bicara-bicara semangat seperti selalu.

     Demi melihatkan respons pantas Saera, Rosni tersenyum lantas segera menyambung isi ceritanya.

     “Budak berdua itu dah tak buat nakal dalam kelas kan? Isy...” Rosni bercerita. Mata Saera tidak beralih ke mana-mana.

     “Lain kali kena guna cara macam tu, Saera,” saran Rosni. Saera senyum bagaikan tahu maksud cara yang disebut Rosni.

     Panggil kedua-duanya ke depan kelas. Baru mereka tidak membuat bising dan bergaduh.

     “Ye,” singkat balasan Saera.

     Diam beberapa detik.

     “Tapi aku dah tak boleh lihat gelagat mereka berdua lagi nanti, Ros.” Syahdu ungkapan Saera. Rosni terpempan.

     Rosni tidak berniat langsung hendak menjurus kepada inti begitu. Sebenarnya dia hanya ingin berkongsi cerita-cerita lucu saja bersama Saera. Dia ingin bercerita tentang abang dan kakak kedua-dua pelajar itu selama pernah dia mengajar di sini. Tiga tahun dulu, abang Hariz dan kakak Wasim juga sering bergaduh ketika sama-sama belajar di sini. Rosni yang lebih lama mengajar di sini lebih tahu sejarah tentang pelajar-pelajarnya. Namun mengapa pula Saera cepat menaksir isi perbualan mereka akan ke arah itu. Rosni jadi serba salah.

     “Siapa kata... mereka kan masih bersekolah di sini. Tahun depan mereka akan masuk enam tahun,” terang Rosni cuba mengusir lara di hati Saera. Ada senyum hambar di wajah Saera.

     “Ye... waktu tu aku bukan lagi cikgunya.” Minda Rosni kembali tumpul dalam sekelip mata.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku