NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
875

Bacaan






BAB 3

     MAMI JUNE tersentak. Mujurlah dia belum mendapat sakit jantung. Kalaulah dia ini ada sakit jantung, tentu sekarang dia telah diusung ke kamar CCU. Tapi kalau hari-hari dia harus menjalani keadaan seperti ini, jangankan kata belum ada... entah-entah koma terus. Dan dia masih tetap bersyukur kerana dia tidak tinggal menetap di rumah ini. Namun satu atau dua jam satu hari singgah di sini, hatinya tidak pernah berjaya keluar dengan aman damai tanpa membawa selonggok serabut dalam kepala.

     Jika ada anasir-anasir buatan jahat manusia, dia boleh lagi berikhtiar dengan mana-mana ustaz untuk menghalau bala begitu. Tetapi bala ini datang dari tuan punya rumah sendiri. Jadi bagaimanakah caranya? Aduhai!

    “Mami, beritahu dia saya bermalam di rumah umi... tak ada untuk makan malam.” Demikianlah pesanan anak saudaranya tika dia memberitahu Melissa mahu datang untuk makan malam bersama-sama di sini.

     Melissa adalah anak tunggal kesayangan teman baik Mami June, Zubaida. Zubaida merupakan kenalan lama Mami June semenjak sama-sama belajar di kolej dulu. Mereka berdua terputus hubungan selepas sama-sama habis belajar. Puas Mami June cuba menjejakinya. Tetapi gagal. Rupa-rupanya dia berkahwin dengan pemuda Australia. Menetap berpuluh-puluh tahun di Melbourne. Baru tiga tahun ini pulang semula ke Malaysia, selepas berpisah dengan bekas suaminya. Beberapa kali bertukar khabar berita di telefon, Mami June akhirnya memutuskan berkunjung ke rumah Puan Zubaida di Penang buat pertama kalinya. Kala dikenalkan anak tunggal Zubaida, Mami June amat berkenan untuk dikenalkan kepada Faris. Cantik Melissa itu.

     Mami June terus menggaru-garu kepalanya. Panggilan masuk ke telefon bimbitnya tertera nama Melissa. Bagaimana dia hendak berterus terang dengan Melissa sekarang? Faris memang tidak akan pulang langsung ke rumah ini jika dia menyebut begitu. Mami June memang pasti seratus peratus. Apa lagi di rumah mertuanya itu ada Mia Sara.

     “Helo, Lisa!” Mami June memesrakan suara menyambut panggilan Melissa.

     “Eh, Mami ada... tak ke mana-mana.” Dia cuba mencipta helah bila diberitahu Melissa ingin datang.

+++++++

“KELUARRR!!!!”

     Mami June hampir terlompat kala mendengar jeritan dari kamar atas. Dia berbalas pandang dengan Mak Jah. Pembantu rumah itu pun turut terperanjat. Makhluk dari dunia mana pula yang datang membawa kacau ke dalam rumah ini sehingga suara Faris sedemikian nyaring. Mami June meletakkan senduk. Tangan yang sedikit lembap dilapkan dengan kain. Dia bergegas berjalan ke arah tangga menuju ke tingkat atas. Mak Jah memerhatikan dengan seribu tanda tanya.

     “Siapa benarkan kau masuk ke sini?!” Sekali lagi Mami June menangkap suara lantang Faris. Apa yang sedang berlaku di atas ini? Rungut hati Mami June sewaktu melangkah termengah-mengah anak tangga terakhir. Salah satu pintu kamar berbuka luas.

     “Kau tak faham bahasa ke??” Laungan masih bergema dari kamar anak saudaranya itu.

     “Kau tak faham bahasa ke?!” ulangnya lagi.

     Mami June menjenguk dari balik muka pintu. Dia sendiri takut hendak terus menyerbu masuk demi mendengarkan suara Faris. Kalah bunyi meriam. Sambil bercekak pinggang Faris menghadap Jururawat Peribadi yang baharu sahaja mula bekerja seminggu ini. Apa yang tidak kena dengan Zaida sehingga Faris naik berang?

     “Kenapa, Faris?” Mami June terpaksa masuk campur bila melihat redup air muka gadis tersebut. Tunggu masa nak luruh aja air matanya.

     “Mami... tengok ni! Mami tengok ni!” Ayat Faris tidak cukup dengan satu kali. Mami June tahu bila Faris mengulangnya banyak kali pasti ia sesuatu yang serius mahu diungkapkan anak saudaranya itu. Seolah-olah ibu saudaranya ini tidak cekap lagi deria pendengarannya.

     “Ye, kenapa?” soal Mami June.

     “Siapa yang izinkan budak ini masuk ke sini?”

     “Siapa yang suruh dia kacau benda-benda dalam bilik ini?”

     “Bukankah dulu kita dah beritahu... bilik ini tidak ada sesiapa pun yang boleh masuk?”

     “Tempat dia di bilik ibu itu sahaja?” Bulat biji mata Faris kala menuturkan satu demi satu ayat-ayat tadi.

     “Maaf Zaida. Boleh turun ke bawah dulu.” Akhirnya Mami June meminta Zaida tidak terus mendengar percakapan Faris. Mami June sendiri pun terasa mahu jatuh jantung dalam dada, apatah lagi budak sementah Zaida. Baru pula masuk bekerja di sini.

     Sambil menggosok lengan Zaida, Mami June mengisyaratkan dengan mata pula agar gadis itu berlalu. Dia jatuh kasihan dengan Zaida apabila ditengking sewenang-wenangnya oleh Faris tanpa belas.

     “Maafkan saya Mami.” Suaranya mula bersulam sendu. Wajahnya tertunduk memandang lantai. Mami June kian sayu.

     Sebaik kelibat Zaida mula tidak kelihatan dan benar-benar pasti, barulah Mami June kembali menentang pandangan anak saudaranya. Mereka saling beradu pandang. Mami June mengambil duduk di sisi tilam katil. Sebuah keluhan dia lepaskan berat. Sebelah jari jemari tangannya mengurut dahi. Kadang-kadang bercakap dengan Faris menjadikan dia tumpul dengan buah fikiran. Segala-galanya tidak kena di mata Faris.

     Dia tidak tahu sama ada Faris pernah menggunakan akal fikiran yang waras atau tidak sebelum melakukan apa-apa tindakan. Dia tidak terfikir kah betapa sukarnya mereka hendak mencari seorang Jururawat Peribadi dalam waktu-waktu kritikal sekarang. Berminggu-minggu. Bukannya sehari dua. Sehinggakan Mami June merayu kepada budak Zaida itu minggu lepas supaya dapat juga diusahakan untuk mula bekerja dalam minggu ini. Faris dah lupa kah?

     “Apa yang tak kena ni, Faris?” Mami June mula menyoal, cermat.

     “Mami tahu kan saya tak suka sesiapa masuk ke sini?” usulnya seperti tadi.

     Mami June memandang dua laci meja yang terbuka tanpa sempat ditutup semula. Agaknya Zaida mencari sesuatu di sini. Pagi tadi dia ada memberi tahu agar mencari tisu basah di tingkat atas. Memang dia menyebut di bilik paling hujung. Namun barangkali Zaida keliru antara salah satu enam bilik di sini yang mana satu patut dia masuk. Apalagi bilik peribadi Faris ini bersetentangan dengan bilik kosong yang diletakkan First Aid Box dan beberapa alatan perubatan.

     “Budak itu tak tahu Faris.” Mami June cuba menerangkan duduk letak perkara sebenar.

     “Lagi pun depan pintu ini mana ada tampal apa-apa amaran, tak dibenarkan masuk. Budak itu baru seminggu di sini,” sambung Mami June seakan-akan sesal. Faris masih berdiri tegak tidak mempedulikan keluhan ibu saudaranya. Dia pantang jika ada sesiapa dengan sesuka hati masuk ke sini. Sudahlah tidak meminta kebenaran lebih dulu. Setidak-tidaknya bertanyalah dengan Mak Jah ke? Tentu dia tahu larangannya.

     Faris berlalu ke meja di mana lacinya terbuka. Dia merapatkan laci tersebut. Tanpa berkata apa-apa lagi, Mami June segera berdiri. Dia tak mahu lama-lama di sini. Nanti dengan dia-dia sekali kena hamun dengan Faris. Lagi pun dia harus berjumpa Zaida menjelaskan hal sebenar. Dia khuatir Zaida ambil hati dan merajuk nanti. Susah kembali hidup Mami June.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku