NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
858

Bacaan






BAB 4

      AYUNAN kakinya sengaja diperlahankan. Dia tidak mahu sampai awal ke rumah. Bermacam-macam benda berlegar dalam kepalanya semenjak akhir-akhir ini. Satu demi satu langkah, dia hitung di hati. Bagaikan setiap langkah itu punya makna tersendiri. Akalnya gagal hendak mengusir perkara-perkara menekan jiwa. Kenapa semuanya harus terjadi ke atasnya?

     PONGG!!!

     Hon kereta berbunyi panjang dari belakangnya. Sepintas kilat Saera melarikan dirinya ke tepi. Degup jantungnya berlari deras. Dia tidak sedar pun ke mana kakinya telah pergi. Sejenak kereta itu bergerak perlahan seolah-olah menyaingi langkah Saera. Cermin gelap kereta diturunkan sedikit demi sedikit sehingga terlihat wajah seorang lelaki. Pandangannya mencerlung menatap muka Saera. Hati Saera tersentak. Matanya kenal benar dengan lelaki ini. Apa lagi Nur Qaisara ada di sebelah. Itu bapa Nur Qaisara. Saera menundukkan sedikit kepala isyarat memohon maaf.

     “Dah puas makan nasi? Nak lekas-lekas mampus ke?!” Ternyata tidak dengan sekadar sebuah cerlungan menjadi habuan buatnya. Sebaliknya Saera juga dihamburi kata-kata kesat memedihkan hati. Pedal minyak sengaja ditekan sehabis-habis serentak dengan brek, sebelum kereta itu memecut laju.

     Demi melihatkan wajah bapa Nur Qaisara tadi, hati Saera tidak boleh tidak untuk mengingati apa yang dijelaskan Puan Hamidah hari itu.

     “Bapa Nur Qaisara tidak suka Saera mengajar anaknya lagi.”

     Saera tahu maksud ayat Puan Hamidah. Bapa Nur Qaisara menaruh perasaan benci terhadapnya. Memang dia tahu kerana lelaki itulah dia terpaksa dengan rela hati menghulurkan surat letak jawatan. Dia tidak mahu menyukarkan Puan Hamidah dan Tadika Cahaya Hati hanya disebabkan dia seorang. Pastinya sesuatu amat sukar buat Puan Hamidah untuk meluahkan maksud sebenar agar dia meletakkan jawatan. Lalu biarlah dia mengundurkan diri demi kebaikan semua. Dia juga tahu bagaimana Puan Hamidah dimaki hamun oleh kata-kata lelaki itu suatu petang itu. Rosni yang menyambut panggilan telefon hari tersebut terkejut dengan jeritan seorang lelaki untuk bercakap dengan Puan Hamidah. Dan sesudah berbual, Rosni lihat Puan Hamidah terduduk lemah di kerusi.

     Salah kah kalau Saera cuba membetulkan sesuatu yang tidak betul dilakukan lelaki itu? Tidak bolehkah dia menasihati cara sebaik-baiknya mendidik anak ketika berkunjung ke rumah Nur Qaisara hujung minggu itu? Ganjil kah tindakannya menahan tapak tangan lelaki itu daripada singgah di pipi mulus Nur Qaisara? Silap kah dia jika seterusnya melaporkan perkara terkutuk lelaki itu kepada pihak polis? Itu pun sesudah tiga hari Nur Qaisara tidak hadir sekolah dan hari berikutnya dia datang dengan lebam di beberapa bahagian badan? Salah kah dia?

     Pipi Saera terasa basah tak semena-mena. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya. Dia tahu kerana dia juga pernah melalui usia kanak-kanak seperti Nur Qaisara. Dunia keseronokan yang seharusnya dipenuhi dengan gelak ketawa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sebaya. Namun kenapa begitu harus berlaku?

     Di hadapan rumah separuh kayu lama, Saera berdiri lama memerhatinya. Di sinilah tempat tinggalnya beberapa tahun dahulu. Salah satu enam bilik di rumah ini adalah miliknya. Tempat tinggal yang pastinya bukan buat penyewa yang mampu. Atau punya pendapatan beribu-ribu. Kerana saban hari, dia harus mandi menggunakan air dari perigi. Dengan bantuan sebuah jentera, air perigi disalurkan ke paip-paip di kamar mandi dan sink dapur serta paip di luar rumah. Penggunaan elektrik juga terhad. Televisyen hanya berada di ruang tamu rumah. Begitu juga seterika. Tidak boleh mempunyai televisyen atau apa-apa alatan menggunakan punca elektrik lain selain lampu kalimantang dan kipas di biliknya. Segalanya terhad.

     Namun bagi Saera, inilah syurga buatnya selama ini. Dia senang di sini. Tapi dia tinggal di sini berbayar empat ratus sebulan. Bukan duduk dengan percuma. Tanpa pekerjaan nanti, bagaimana dia mampu usahakan untuk membayar harga empat ratus sebulan itu? Makan minum nanti pun tidak diketahui dari mana dia bakal mendapat sumbernya. Saera memejamkan matanya lama.

+++++

     “Budak tu tidak datang lagi hari ni, Mak Jah?” tanya Mami June. Mak Jah menjenguk sedikit kepalanya ke hadapan ruang tamu. Mak Jah menggeleng sebaik menyedari orang menanyanya.

     Mami June melepaskan keluhan berat. Tas tangan dan telefon bimbitnya diletakkan ke atas meja. Sambil mengurut kedua-dua kelopak mata dia berjalan ke arah sebuah bilik berhampiran tangga rumah. Bilik di mana kakaknya ditempatkan.

     “June tak mahu sarapan dulu?” Soalan Mak Jah membantutkan kaki Mami June. Mami June berpusing ke belakang.

     “Jam 9 pagi, saya ada kelas,” singkat Mami June bermakna dia tidak mahu lama-lama di sini. Lengan baju disingsing hingga ke paras siku.

     Bila selesai hal kakaknya dia akan segera pergi. Telah empat hari, batang hidung Zaida tidak kelihatan. Cuba dihubungi satu pun tidak berjawab. Ataupun telefonnya ditutup. Hantar mesej pun tidak pernah berbalas. Mami June sendiri mula naik jemu.

     “Assalamualaikum, Kak Nah?” Mami June memulakan dengan salam tatkala membuka pintu kamar. Matanya jadi tunak seketika waktu menatap tubuh yang terbaring kaku di katil.

     Tidak lama kemudian, dia kembali tersedar. Segera sebuah kotak First Aid dibawa keluar lalu diletakkan di atas meja. Rambutnya diikat satu ke belakang. Sepasang sarung tangan getah dikeluarkan. Mami June memakainya. Kemudian dia menyarungkan sehelai apron plastik. Beberapa minit sahaja, muncul Mak Jah membawakan sebekas air panas. Di meja sama, Mak Jah meletakkannya cermat bekas tadi.

     “Faris tak balik malam tadi, Mak Jah?” usul Mami June kala dia sedang membuka sehelai plastik persegi besar. Mak Jah membantu menarik plastik tadi untuk sama-sama menghamparnya ke bawah badan kakaknya. Selepas itu barulah Mak Jah menggeleng.

     Mami June mengeluh. Dia mula membalikkan tubuh kakaknya ke kiri. Mak Jah menarik plastik hingga ke atas dan meratakan. Mak Jah tidak berapa suka berbicara hal-hal berkaitan ahli keluarga ini terutama di hadapan majikannya yang sedang koma. Mak Jah masih percaya biarpun dalam keadaan koma, tahap kesedaran Puan Rosnah masih berfungsi dengan baik. Puan Rosnah koma keadaan permanent vegetative state. Hanya otaknya sahaja yang mati tetapi matanya masih boleh berfungsi menunjukkan maklum balas kepada tindak tanduk dan butir bicara orang-orang di sekelilingnya.

     “Hari tu, Zaida ada cuci tiub ni Mak Jah?” periksa Mami June.

     “Hmm... rasanya ada.” Mak Jah berfikir sekejap sebelum menjawab. Mami June tidak jadi hendak mencuci muncung tiub dan mengeringkannya. Tiub makanan harus ditukar dalam tempoh 30 hari dan perlu dilakukan di hospital selepas disahkan dengan ujian X-ray.

     Mami June membetulkan sarung tangan getahnya. Kantung kateter urin di sisi katil kelihatan penuh. Dia sudah berhajat untuk menggantikan dengan yang lain.

     “Mak Jah, minta kantung urin yang baharu tu,” pinta Mami June. Tangannya mengunjuk kepada satu kantung getah di atas meja. Mak Jah patuh.

     Mami June memeriksa ripple mattress. Tilam berangin ini untuk merangsang gerakan badan pesakit. Kerana posisi pesakit yang terlentang terlalu lama akan mengganggu pengaliran darah dan tisu-tisu di belakang badan.

+++++

     “Bang, pagi ni saya hantar Mia ye,” maklumnya melalui panggilan telefon.

     “Hari ni saya masuk lambat.” Faris menerangkan.

     “Tengah hari nanti... dia balik dengan van.”

     Selepas menjawab salam, panggilan ditamatkan. Dia kembali menatap pinggan sarapannya. Masih berbaki suku pinggan. Nasi lemak kukus sambal sotong kegemaran Mia Sara. Kata ibunya awal-awal pagi tadi. Permintaan Mia Sara sejak lewat petang semalam. Sehinggakan Faris bersama ibu mertuanya terpaksa keluar ke pasar raya malam tadi kerana hendak mencari sotong. Kebiasaan Faris tidak layan sangat dengan kerenah Mia Sara. Apa lagi dengan permintaan yang tiba-tiba mendesak seperti petang semalam. Namun memandangkan Mia Sara baru baik dari demam, Faris turutkan jua.

     Kerana itulah sejak tiga hari lalu dia terpaksa tinggal di sini. Demam Mia Sara tidak baik-baik kecuali semalam dia sudah menunjukkan tanda-tanda sembuh. Dan sebaik sembuh, bermacam-macam permintaan dituntutnya dari pembantu rumah, nenek, datuk dan papanya sendiri.

     “Tambah nasi lagi, Faris!” ucap ibu mertuanya. Mangkuk nasi dihulurkannya kepadanya. Faris menahan dengan telapak tangan. Sebetulnya perutnya sudah kenyang. Pagi, dia jarang mengambil sarapan berat seperti ini. Biasanya dia tidak ambil pun makan pagi. Paling-paling pun sekeping roti bakar dan secawan teh O sahaja. Itu pun sekadar hendak menjaga hati Mak Jah. Mak Jah pun tahu tabiatnya.

     “Jangan diajar tak ambil makan pagi. Kita kan nak bekerja.” Bapa mertuanya mula menasihati. Faris tersenyum kelat.

     Lalu demi menjaga hati mertuanya, Faris menyenduk satu sudip nasi ke pinggan. Di hadapan mertua dia selalu mengalah dalam segala hal. Dia tidak pernah melawan. Cuma dengan Mami June dan sekali-sekala dengan Mak Jah saja, mulutnya jadi tidak patuh. Dan paling banyak dengan budak-budak Jururawat Peribadi yang digaji Mami June. Faris lebih suka menggunakan perkataan ‘budak-budak’, kerana dengan perkataan itu dia tidak akan pernah rasa bersalah sampai bila-bila kala menengking atau menghamun mereka.

     “Eh... Mia dah siap pun.” Suara ibu mertuanya melenyapkan serta-merta limbung fikiran Faris. Mata Faris memerhatikan Mia Sara berjalan menuju ke arahnya. Sebuah ciuman singgah di pipinya. Dia senyum.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku