NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
798

Bacaan






BAB 6

     Elok sahaja pintu kereta dirapatkan, telefonnya berbunyi. Dalam kedua belah tangannya sedang sarat dengan pelbagai khazanah termasuk kunci kereta yang belum sempat disimpan termasuk dokumen-dokumen penting penuh di kedua belah tangan, waktu itulah juga dia perlu meraba-raba kocek seluar mencari telefon bimbit. Ikutkan hati, dia ingin menyumpah kepada pemanggil.

     Lalu dia menyelitkan satu folder hitam di celah lengan. Sebelah tangan lagi masih membimbit beg. Telefonnya berjaya dicapai. Nama panggilan tertera Sr. Zamani. Faris menarik nafas dalam. Bukan calang-calang orang yang menghubunginya ini. Nasib baiklah mulutnya tidak terlanjur terlalu awal dengan niat tadi. Jika tidak, memang gelaplah masa depan syarikatnya sampai bila-bila.

     “Assalamualaikum, Encik Zamani!” Dia memulakan salam tanpa menyedari hujung sepatunya tersadung anak tangga pertama.

     Ouch!

     Hampir rebah dia di situ, tetapi masih sempat dia kawal struktur badan. Lalu dia tidak termalu pada beberapa pandangan mata orang lalu-lalang berdekatannya. Namun malangnya, folder hitam terlucut dari bawah lengannya menyebabkan isi-isi segala dokumen bertaburan di tangga. Dia menyumpah diri sendiri sambil menggigit bibir, geram. Dalam keadaan begitu pun dia masih meneruskan perbualan. Terbongkok-bongkok dia mengutip dokumen-dokumen penting sebelum disumbatkan kembali di dalam folder. Tidak seperti mula-mula tadi, semuanya sudah tidak tersusun rapi lagi.

     “Saya ada urusan di luar, Encik Zamani. Tak lama, sekejap je.” Faris kembali melangkah masuk ke pintu kaca bangunan tanpa menyedari dia telah tercicir sesuatu yang amat penting.

+++++

     Perutnya mula berkeroncong. Jam di tangan menunjukkan waktu 3.17 petang. Awal pagi tadi sebelum keluar bilik, dia sekadar sempat mengalas perut dengan dua keping roti Gardenia. Itu pun sebab roti Gardenia itu akan tamat tempohnya hari ini. Dia tidak mahu membazir dalam keadaan gawat seperti sekarang. Bulan ini bayaran sewa biliknya belum dijelaskan lagi. Dia sudah meminta tangguh untuk bulan ini. Dalam agak payah hari itu, Kak Rogayah membenarkan jua dalam terpaksa. Jadi mahu tidak mahu bulan depan, Saera perlu juga mendapatkan sumber kewangan buat membayar sewa setidak-tidaknya secara ansuran sewa tertunggak biliknya. Kalau tidak dia tidak boleh tinggal di situ lagi.

     Saera membawa keluar dompetnya. Dia membelek jumlah ringgit yang terselit di situ. Hanya tertinggal not RM1 sahaja. Jumlahnya pula tidak pun sampai sepuluh keping. Harga makan tengah harinya memang cukup. Tapi dia juga harus fikirkan tambang pulang nanti.

     Saera meninjau kiri kanan bangunan. Dia mencari logo kepala harimau belang. Itulah satu-satunya tempat yang boleh membantunya walaupun baki wangnya di situ pun tidaklah sebanyak mana. Tetapi untuk seminggu dua di situlah satu-satunya tempat yang dia boleh sandarkan.

     Saera tersenyum. Dia melepaskan nafas lega. Akhirnya bertemu jua dia dengan logo kepala harimau belang. Dia tidak berniat hendak masuk ke dalam bangunan itu pun. Ada enam mesin ATM di luar sudah memadai buatnya. Kerana jika ada sepuluh sekalipun belum tentu nilai simpanannya bertambah sama. Dia mendaki tangga.

     Saera mengambil sedikit masa merenung baki dalam simpanannya. Cuma tinggal RM219.72. Alangkah bagusnya kalau nilai perpuluhan itu berganjak beberapa angka ke belakang. Jika tidak beberapa nombor pun, satu angka pun dah memadai buatnya. Pastinya kepalanya tidak sesempit ini memikirkan penyelesaian dalam waktu yang singkat. Alangkah...

     Saera sempat memasang angan-angan yang tidak terjangkau dek akal. Dehem seseorang dari belakangnya kedengaran. Saera mulai tersedar ada beberapa lagi orang ingin menggunakan perkhidmatan di ATM ini. Separuh dari jumlah dalam simpanannya segera dibawa keluar. Dia harus mempunyai baki lagi dalam simpanan itu buat waktu-waktu tersempit.

     Setelah mengambil penyata, Saera kembali menuruni tangga. Dia mengeluh. Kesal kah dia? Entah. Dia sendiri tidak tahu. Anak tangga yang sedikit curam, menyebabkan dia terpaksa menumpukan perhatian ke bawah. Dan dengan tiba-tiba kakinya statik. Mata menghantar isyarat. Pandangannya mungkin silap. Dia memandang ke kiri kanan. Tidak ada keadaan ganjil di sekelilingnya. Ye, dia pasti masih berada di dunia realiti.

     Tangannya dengan tiba-tiba tanpa disuruh memungut sekeping kertas betul-betul di bawah kasutnya. Mulutnya hampir terlopong melihatkan jumlah yang tertera pada kertas sekeping itu. Kertas tersebut adalah sekeping cek terbuka berjumlah RM 277,000.00 di atas nama seseorang. Matanya bulat penuh.

     Saera menarik nafas dalam cuba menenangkan diri. Baru sekejap tadi dia berharap jumlah dalam simpanannya bertambah. Adakah sepantas ini Tuhan memberikannya jalan? Kepalanya mendongak ke langit. Manalah tahu kalau-kalau ada hujan duit hari ini. Ceh!

     Saera, itu bukan hak kamu! Dia terdengar suara itu.

     Sabda Rasulullah S.A.W “Sesiapa yang merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya maka sesungguhnya Allah S.W.T telah memastikan neraka untuknya dan mengharamkan untuknya syurga.” Seseorang bertanya baginda: “Walaupun benda itu sedikit wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Walaupun sebatang kayu sugi.” ( Imam Muslim)

      Dada Saera berdebar-debar. Ye! Cek ini bukan hak dia adapun detik ini wang amat-amat diperlukannya. Benda yang tidak halal itu suatu hari kelak akan menjadi darah dagingnya jua sekiranya dia mengambil dan menggunakannya. Dia harus memulangkan kepada pemiliknya. Saera memandang kiri kanan memerhatikan gelagat individu yang boleh dia kaitkan dengan cek ini. Tanpa melengahkan masa, dia memutuskan untuk masuk ke dalam bank.

     Di depan pintu kaca, terlalu ramai manusia yang sedang menunggu untuk melakukan urusan. Tempat duduk pun tidak ada satu pun yang kosong. Lalu Saera menuju ke arah pengawal keselamatan.

     “Maaf Encik!” Dia menegur dengan perlahan. Pengawal keselamatan tersebut mengangguk.

     “Saya jumpa cek ini... barangkali ada sesiapa di sini yang tercicirnya di luar bangunan.” Saera menjelaskan sambil ibu jarinya menuding ke arah luar. Pengawal keselamatan itu nampak terkejut apatah lagi dengan jumlahnya.

     “Cuba Cik tanya di sana.” Jarinya menuding ke arah meja pertanyaan tidak berapa jauh dari pintu hadapan.

     “Terima kasih.”

     Saera mengatur pula kakinya ke arah seorang perempuan bersanggul cantik di meja pertanyaan. Hatinya tekad ingin memulangkan cek di tangannya ini. Namun tidak dia sedari, kakinya telah dilanggar tanpa dia sempat mengelak.

     Kedebukk!

     Saera jatuh berlutut di lantai. Dia lekas-lekas membetulkan posisi badan kerana beberapa mata mula menjurus kepada dirinya. Tidak setakat itu, malahan hampir keseluruhan isi bank ini memerhatikan. Salah seorang pegawai di kaunter berdiri semata-mata untuk menjenguk melihat keadaannya. Malunya...

     “Tak apa-apa ke?” tegur satu suara lelaki. Saera mendongak.

     “Maaf!” pintanya pula. Lelaki itu tergesa-gesa tadi hendak cepat. Saera mengangguk. Dia segera bangun. Dia melilau mencari semula sekeping cek yang tadinya di dalam genggamannya.

     “Hei!” Nada suara lelaki sama berubah. Saera menoleh kaget.

     “Kau cari ini?!” soalnya sambil mengunjukkan sekeping cek tadi.

     Air muka lelaki berkemeja slim fit berjalur kelabu putih itu agak tegang. Matanya tajam menikam wajah Saera. Saera memandang ke arah wajah pegawai perempuan bersanggul di meja pertanyaan tadi. Memang hajatnya ingin menyerahkan cek itu ke situ.

     “Kau cari ini, kan?” Pertanyaan sama diajukan sambil lelaki itu menghampiri Saera. Saera rasa kurang senang seolah-olah lelaki itu bakal melemparkan satu tuduhan maha berat buatnya. Seperti dia seorang pesalah.

     “Err... ye!” Saera mengiakan dalam tergagap-gagap. Pandangan lelaki itu kian dalam merenung mata Saera.

+++++

     Faris terus merenung wajah gadis di hadapannya. Sebelah tangannya mencekak pinggang. Nyawa yang serasa hilang lima belas minit tadi gara-gara kehilangan sekeping cek miliknya ini akhirnya berjaya pulih. Yang paling membengangnya apabila cek itu berada bersama seseorang yang tidak sepadan dengan peribadi luarannya. Nampak tertib dan beradab rupa-rupanya serigala berbulu domba.

     “Kau cari ini, kan?” soalnya memerli. Raut wajah gadis itu nampak serba salah.

      Memanglah mana ada orang yang tertangkap dengan kesalahan, mampu mempamerkan wajah baiknya lagi! Desis hari Faris.

     “Err... ye! Akui gadis itu tergagap-gagap.

     Kan, betul tidak apa yang di tafsir! Nilai sekeping cek ini kadangkala boleh mengelapkan mata sesiapa sahaja tanpa mengira peribadi.

     “Kau punya ke?” Dia terus berusul.

     Kepala gadis itu menggeleng. Kemudian mengangguk. Gadis itu cuba meneguk liurnya yang kering. Ternyata telahan Faris tidak silap tentang gadis tidak diketahui asal usul ini.

     “Atau kau CURI?!” Suara Faris mulai melengking tinggi. Sekali lagi gadis itu menjadi perhatian umum. Terbuntang matanya. Dia memandang kiri kanan melihat reaksi orang ramai.

     “Bu...bu... bukan, Encik!” Terketar-ketar nada suara gadis itu menolak tuduhan.

     “Kalau kau tak ambil, kenapa boleh ada kat tangan kau?” pantas jua dicantas Faris.

     “Bukan begitu niat saya, Encik.” Kepalanya tergeleng-geleng beberapa kali menyanggah tuduhan.

     “Maaf, Encik!” Suara tidak dikenali menyertai mereka berdua. Kemudian seorang pegawai bank dari kaunter dan seorang pelanggan datang.

     Suasana tegang yang mula ditimbulkan Faris ternyata menarik perhatian ramai. Apa lagi ia terjadi di dalam sebuah institusi kewangan.

     “Cik ni tadi, datang hendak pulangkan cek yang dia jumpa di luar bangunan ni,” terang seorang pengawal keselamatan memegang senjata. Faris mendengar. Terasa belakangnya mula digosok dari belakang. Pegawai bank yang baru Faris berurusan tadi hadir menenangkannya.

     “Sabar! Sabar!” Seorang pelanggan tadi mengangkat kedua belah tapak tangannya dari jauh untuk menenangkannya.

     “Baru tadi, dia bertanyakan kepada saya.” Pengawal keselamatan itu menyambung. Faris terdiam.

     “Cek ini... cek, Encik ke?” Pengawal keselamatan sekadar mengusul sambil memandang cek yang berada di tangan Faris.

     Faris melepaskan keluhan sebelum dia mengangguk. Kemudian, cek itu dibawa kepada tangan pegawai bank. Kepala tertunduk ke lantai. Tadi dia hampir pitam, tiba-tiba sahaja sekeping cek hilang tidak dapat dikesan. Walhal semua dokumen ada. Malahan cek itu dikepilkan bersama-sama dokumen-dokumen itu semua. Dan apabila hendak ke luar untuk mencari semula cek itu kerana dia khuatir folder yang dikeleknya terjatuh tadi turut mencicirkan cek tersebut, di sinilah dia menemuinya. Cek itu di tangan gadis tadi.

     Pegawai bank mengangguk memberikan jawapan kepada soalan pengawal keselamatan.

     “Kita masuk ke dalam, Encik Faris.” Faris dipelawa apabila pertelingkahan tadi mulai kembali reda.

     “Eh, mana pula Cik tadi?” Pengawal keselamatan memandang kiri kanan mencari kelibat gadis yang baru menyelamatkan ‘harta’ seorang hamba yang tidak tahu menghargai budi.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku