NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
855

Bacaan






BAB 8

     Hampir lima puluh meter untuk sampai, Mami June menekan satu butang automatik. Saera mengalihkan matanya ke hadapan. Sebuah pintu pagar dari jenis wrought iron dari sebuah banglo terbuka perlahan-lahan. Dia memerhati penuh kagum banglo di atas tanah lot yang tersergam indah itu. Demi terbuka penuh kedua-dua belah pintunya, terserlahlah luas halamannya. Dalam perkiraan Saera, luasnya kalau diukur dengan jumlah kereta, bolehlah menempatkan berbelas-belas buah kereta disusun secara melintang dalam empat baris. Sepanjang rusuk kiri secara berderet di tanam rumpun pohon buluh siam menjadikan pemandangannya redup dan tenang. Kereta Mami June mula menyusur masuk di dalam kawasan rumah melalui paver driveway. Kelihatan sebuah kolam ikan koi dan air terjun buatan di tengah halaman rumput turf. Kemudian gazebo ringkas dibina di sudut penjuru berdekatan kolam ikan koi. Lorong laluan dari jenis stepping stones sengaja dibina berlengkung-lengkung di atas rumput turf menuju ke sana. Pelbagai jenis pokok ditanam menghiasi suasana damai konsep Bali itu.

     “Mari!” Suara Mami June menyedarkan pengamatan Saera. Sepanjang usianya, dia belum pernah memasuki pekarangan rumah seperti ini. Dia jadi takjub.

     “Ye.” Saera mencapai beg di atas ribanya tatkala Mami June sudah mematikan enjin kereta.

     Mata Saera masih belum puas menjamu pandangan. Keluar ke halaman anjung yang boleh menempatkan empat buah kereta, mata terus melilau serata tempat. Berhadapan pintu sliding sebelah rusuk, ada sebuah patio kayu menghadap kolam ikan koi tadi. Kemudian di situ juga terdapat sebuah meja bulat dan empat kerusi kayu.

     “Saera!” panggil Mami June sekali lagi menyedarkan Saera dari lamunannya. Saera segera berpusing badan.

     Ibu jari Mami June menghala ke satu arah iaitu ke pintu hadapan. Isyarat tersebut jelas menunjukkan bahawa pintu masuk adalah ke arah yang ditunjuknya. Sesekali, Mami June tertawa sendiri memerhati reaksi pelik Saera.

     Hampir berlari, Saera cuba beriringan dengan Mami June yang telah ke hadapan meninggalkannya.

     “Berapa orang tinggal di sini, Puan?” Saera mula mengajukan soalan.

     “Lima orang. Tapi kalau yang betul-betul tinggal di sini... cuma tiga orang. Kenapa?” jawab Mami June.

     “Tiga orang aja? Besar rumah ni, Puan.”

     “Hmm... sebelum itu, saya tak tinggal di sini,” terang Mami June seraya membuka pintu hadapan.

     “Tak tinggal di sini? Habis tu ini rumah siapa?” Saera hairan.

     “Hmm.. rumah kakak saya. Orang yang akan awak jaga.” Mami June senyum.

     Fikiran Saera mula bercelaru. Orang koma yang dimaksudkan Mami June tadi kah pemilik rumah cantik ini? Habis itu, bagaimana dia selenggara rumah sebegini indah? Ligat isi kepala Saera berfikir.

     Menapak sahaja di ruang tamu, kaki Saera lagi sekali terpaku. Susun atur perabotnya amat menarik. Berbanding dengan rumah yang disewanya kini berkali-kali ganda jauhnya. Saera meneguk liur keringnya. Dia hilang seluruh kata-kata. Lalu dia hanya mengekori dari belakang Mami June ke mana mahu dibawanya untuk terus menyelongkar keunikan rumah ini.

     “Mak Jah!” Mami June melaung nama seseorang sambil meletakkan tas tangan dan kunci keretanya di meja konsol. Selepas itu dia bergerak lagi ke arah belakang. Saera mengikuti sama.

     “Ye... ye!” Muncul seorang wanita yang tidaklah seberapa tua jika didengar daripada panggilan namanya tadi.

     Dia berbaju kurung kedah, tapi dilindungi apron. Penampilannya kemas jika hendak mengandaikan dia pembantu rumah di sini. Atau mungkin dia saudara mara Mami June juga. Saera mula berfikirkan tentang hubungan wanita yang baru muncul dengan pemilik rumah ini.

     “Mak Jah, ini Saera... Jururawat Peribadi kita.” Mami June lebih awal mengenalkan Saera.

     “Dan Saera, ini Mak Jah... pembantu rumah ini.”

     “Tapi Mak Jah hanya pembantu rumah sahaja. Tidak akan melakukan tugas-tugas lain,” pesan awal Mami June membuatkan Saera faham.

     Saera menghulur tangan bersalaman dengan Mak Jah. Hanya anggukan mengiringi perkenalan mereka berdua.

     “Okey, mari kita bertemu dengan tuan rumah pula.” Mami June tidak banyak melengahkan masa.

     Saera tertegun. Potret tiga beranak dalam bingkai gambar besar di dinding ruang makan, mengundang debaran hebat buat Saera. Wanita gempal mirip wajah Mami June dan dua lelaki muda dalam gambar itu mengembalikan semula ingatan Saera kepada kejadian di dalam bank tempoh hari. Salah seorang lelaki yang menengking hari tersebut, bukankah lelaki ini? Timbul tenggelam ingatan Saera cuba mengingati. Saera pasti dengan telahannya. Biar pun lelaki dalam potret ini kelihatan lebih muda berbanding ketika dia terserempak beberapa hari lalu, namun Saera yakin dia adalah orang sama.

     “Saera!” seru Mami June di hadapan. Saera sedikit terperanjat. Saera mengurut dadanya.

     Menjejakkan kaki buat kali pertama di rumah besar ini, mengundang debar padanya. Mungkin kah Tuhan tidak merestui pekerjaannya ini? Saera menghampiri Mami June di muka pintu bilik berhampiran tangga menuju ke atas.

     Pergelangan tangan Saera dipaut Mami June untuk sama-sama memasuki kamar peribadi kakak sulungnya. Kerana telah lima tahun, usia kakaknya dihabiskan di dalam kamar ini. Inilah dunia buat kakak Rosnahnya.

     “Assalamualaikum... kak.” Seperti kebiasaan, Mami June akan selalu memulakan dengan salam tatkala menapak masuk ke sini.

     Mami June yakin, kakaknya sedar dengan kedatangannya. Dua malam lepas pun dia bercerita dengan kakaknya tentang kedatangan Saera ini. Pembantu yang akan menguruskan diri kakaknya. Terdahulu sebelum ini, dia juga tidak lupa menerangkan kenapa dia memilih Saera dan terpaksa menolak seorang lagi calon yang hampir serentak datang untuk temu duga. Dia memilih Saera, kerana tertarik dengan peribadinya.

     “Assalamualaikum... Puan.” Lantaran mendengar ucapan daripada Mami June, Saera turut sama berbahasa. Dia mengekori langkah Mami June sehingga ke katil yang menempatkan seorang insan. Tubuhnya amat kurus. Matanya tidak berganjak melilau menatap lelangit kamar. Tiub dan wayar bersambung pada tubuhnya. Kali pertama melihatnya, Saera tergamam.

     Bukankah wanita ini, adalah orang sama dalam gambar di dinding tadi? Tanya hati Saera. Alangkah sedihnya melihatkan keadaannya seperti ini. Musibat apakah yang telah menduga hidup wanita ini? Daripada seorang yang sempurna dan sihat afiat – merujuk kepada gambar di luar - sehingga akhirnya terbaring tak bermaya sebegini?

     “Kak Nah, inilah Saera...” desis suara Mami June melenyapkan segala persoalan demi persoalan yang berlegar di fikiran Saera. Saera tekun mengamati sejauh mana kah tindak balas wanita koma itu. Nyata tidak ada apa-apa balasan buat menyahut kata-kata Mami June itu. Kasihannya, dia!

     Saera pula dengan berani memegang tangan kanan kakak Mami June. Dia menyalami dan sekali gus mencium tangan wanita itu. Tidak ada sebarang tindak balas juga. Mata Saera tiba-tiba tertunduk ke bawah.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku