NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
670

Bacaan






BAB 9

     Sebagaimana dipesan sebentar tadi, Zikri meletakkan external hard disk 4TB ke atas meja Faris. Kemudian dia berlalu ke sofa kulit berwarna gading dua serangkai. Tubuh letihnya dihempas ke situ. Kedua belah lengannya bersilang ke belakang, membantalkan kepalanya yang penat.

     “Kau dah run,” tanya Faris mula mencapai hard disk merah di depannya.

     “Tadi aku dah try... semua okey,” balas Zikri. Matanya mula dirapatkan.

     Malam ini mereka ada perbincangan lagi bersama-sama Dr. Sharifuddin, pensyarah Jabatan Geodesi dari UTM dan Sr. Bakhtiar. Kertas Proposal telah hampir 95% siap. Semuanya akan dipastikan siap dalam dua hari ini. Hingga bawa ke pagi pun mereka harus selesaikan jua. Kerana awal-awal pagi lusa mereka akan menghantar saranan teknologi terkini ini kepada jabatan itu untuk projek mereka. Mudah-mudah mereka akan memperoleh projek bernilai jutaan Ringgit Malaysia ini. Demikianlah harapan menggunung Faris dan Zikri mudah-mudahan dimurahkan rezeki syarikat mereka untuk tahun depan.

     “Kau dah makan?” tanya Faris demi melihatkan keadaan hampir terlelap rakan kongsinya.

     Tiada tindak balas.

     “Zik!” panggil Faris.

     “Kau dah makan belum?” soalnya lagi. Kening Zikri cuba diangkat dengan payah.

     “Belum...” lemah kedengaran suara Zikri.

     “Mari ikut aku.” Faris bangun sebaik menutup komputer ribanya sambil mengemas beberapa helai kertas yang tidak tersusun di atas meja.

     “Ke mana?” usul Zikri dengan mata separuh terbuka.

     “Makanlah!” Faris mengambil kunci keretanya.

     Zikri ikut bangun mengekori langkah Faris dengan tidak bertenaga. Jam di dinding luar kamar Faris menunjukkan hampir pukul 3.30 petang. Dia sendiri tidak sedar bila masa perutnya rasa lapar tadi. Disebabkan terlalu khusyuk dengan kerja hingga terlupa rutin makan tengah harinya adalah jam 1.

+++++

     Sebelah tangan Faris mengaup rambutnya ke belakang sehingga ke pangkal leher. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Jam di meja sekali lagi diperiksa. Hampir satu pagi beberapa minit lagi. Zikri telah pulang sejam lebih tadi kerana khuatir isterinya meradang. Malam tadi pun Zikri pulang awal apabila isterinya singgah di pejabat. Kata Zikri, isterinya sengaja datang hendak memeriksa sama ada dia benar-benar ada di pejabat atau ke tempat lain. Semua ketawa mendengarkan cerita Zikri tengah hari tadi.

     Faris mengemas mejanya. MacBook Pro sudah siap dimasukkan ke dalam beg. Esok hari minggu, dia tidak mahu meninggalkan sebarang benda atau dokumen penting di pejabat. Sejak insiden pejabatnya di pecah masuk pencuri, dia sekarang lebih berhati-hati. Tiga buah komputer riba pejabat hilang termasuk external hard disk, cordless telephone dan navigation systems waktu itu. CCTV di pintu masuk dan beberapa tempat dalam pejabat gagal mengesan dengan jelas tiga individu yang masuk ke sini.

     Selesai segala barang-barang peribadinya disimpan kemas, Faris berjalan keluar. Di luar, tidak ada sesiapa lagi. Suis air-cond dan lampu juga telah ditutup kecuali lampu depan sekali. Dua tingkat tangga dia harus turun kerana pejabatnya di tingkat paling atas. Di petak parkir hanya ada beberapa buah kereta sahaja bersama keretanya. Dengan bantuan lampu jalan, keadaan gelap gelita di sini sedikit diterangi. Siang hari, jalan di hadapan ini adalah antara kawasan paling sesak dengan kenderaan. Kenderaan berlapis-lapis di hadapan ini. Kerana di sinilah terdapatnya klinik, bank, tempat tuisyen, butik kecantikan, showroom untuk perabot dan kereta serta pasar raya. Manakala sekarang hanya tinggal tiga buah kedai beroperasi iaitu 7Eleven, kedai mamak dan satu lagi kedai kopitiam. Itu pun di hujung kiri kanan bangunan ini.

     Faris masuk ke dalam keretanya. Lampu interior dipetik. Dia memeriksa smartag di dashboard. Apabila pasti ianya ada, dia memadamkan semula lampu tersebut. Enjin kereta dihidupkan. Pendingin hawa ditekan. Dia mula berfikir tentang beberapa perkara sejak semalam.

     Semalam, dia bertemu dengan Melissa. Tidak sekadar bertemu, sebaliknya lebih merupakan janji temu. Janji temu yang direncanakan Mami June kerana semalam adalah ulang tahun kelahiran Melissa. Pada asalnya janji temu itu diatur pada sebelah malam, tapi disebabkan malam semalam Faris mempunyai perbincangan bersama Dr. Sharifuddin dan Sr. Bakhtiar, lalu dia mempercepatkan temu janji kepada tengah hari. Jika tidak disebabkan harapan Mami June, memang Faris tidak akan ke sana. Malah Mami June ada menyarankan agar membelikan Melissa sesuatu sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya.

     Begitu pun Faris tetap keras kepalanya. Dia bukan tidak berduit. Tetapi kalau semata-mata habiskan wang buat seorang perempuan yang hatinya tidak tersentuh, memang bukan kriteria Faris. Pada Faris, Melissa itu tidak ubah seperti perumpamaan seekor lebah; mulut membawa madu tetapi buntut membawa sengat. Lalu bagaimana hatinya mahu tertawan?

     Awal pagi tadi Faris menerima panggilan daripada Mami June. Sangkanya tentulah Melissa telah melaporkan apa yang terjadi antara mereka berdua semalam. Termasuk perihal Faris menolak pelawaan Melissa untuk keluar menonton teater. Dan Faris pun telah siap sedia dengan alasan untuk di hujah sekiranya Mami June membuka kisah itu. Jangkaannya meleset sama sekali, apabila Mami June menelefonnya hanya untuk memberitahu tentang budak Jururawat Peribadi yang baru mula bekerja hari ini. Selalu pun begitu juga kerana hal ehwal ibunya memang ibu saudaranya yang lebih prihatin. Dia tidak pernah ambil pusing tentang itu asalkan memenuhi beberapa kriterianya. Mesti rajin, tahu jaga tutur kata, tidak makan gaji buta dan paling penting tidak mencampuri urusan keluarganya. Itu sahaja.

     “Mami tengok budak tu bagus, berbanding yang sebelum ini. Itulah Mami teruja ambil dia,” ulas Mami June. Faris tidak berkata ya atau tidak. Bagus pada mata Mami June belum tentu bagus jua pada mata Faris. Namun hal ini, Faris tidak mahu bergaduh lagi dengan Mami June. Dia cuba mengalah dengan melepaskan seluruh tanggungjawab kepada ibu saudaranya. Seminggu dua ini dia terlalu sibuk. Nantilah bila semuanya kembali kepada sedia kala dia akan uji habis-habis. Bagus setahap mana budak dilobi Mami June itu.

     “Petang ni baliklah awal sikit... mana tahu sempat jumpa dia.”

     Ewah! Mami... sempat lagi dia mengumpan. Budak Jururawat itu anak datuk agaknya sehingga perlu menghadap segala. Faris mendecit sendirian sambil mula memasukkan gear R.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku