NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
797

Bacaan






BAB 11

     Rambut yang panjang itu diusap lembut. Dia mula menyikat perlahan-lahan. Segumpal rambut gugur dimasukkan ke dalam satu plastik. Dengan usia yang kian meningkat dan keadaan pesakit sebegini, tentulah rambut turut mengalami pelbagai masalah. Hal ini telah dimaklumi Mami June kepada Saera awal-awal lagi tentang diri Aunty Rosnah. Saera juga memahami situasi itu.

     “Aunty, maaf ye.” Saera bersuara.

     “Saya hendak cuci rambut Aunty hari ini,” tuturnya lagi.

     Sebuah bekas plastik berisi air dibawa berdekatan. Kemudian sebotol syampu berubat diambil dari laci sebuah meja. Tidak lupa sehelai tuala bersih yang baharu.

     "Aunty, saya angkat dulu ye kepala Aunty,” pinta Saera bagaikan Aunty Rosnah benar-benar sedar setiap perbuatannya.

     Dengan lemah lembut, kepala Aunty Rosnah diangkat sebelum Saera menarik sehelai plastik buat menutupi bantal. Rambut yang telah disikat dibiarkan berjurai ke bawah. Lebih memudahkan buat Saera untuk melakukan tugas mencuci nanti.

     Saera membasahkan rambut panjang yang kian menipis itu. Dia memicit keluar sedikit syampu dari botol ke atas tapak tangan. Dan dengan sedikit urutan, Saera menggosok kemudian melurut turun rambut berbuih ke bawah. Aksinya tidak ubah seperti seorang pekerja salon.

     Setelah sepuluh hari dia di sini, telah bermacam-macam pengalaman dia peroleh. Tidak seperti mengajar dan bersama kanak-kanak di tadika, dia malah mula mengenal cabaran hidup sebenar. Bekerja di rumah orang, tidak seperti bekerja di taman didikan kanak-kanak. Semuanya menjadi perhatian. Dan semuanya mendapat teguran.

     “Kawasan kau di tingkat bawah ini sahaja... jangan nak pandai-pandai naik ke atas. Perlu apa-apa beritahu Mak Jah. Faham!” Saera patuh mengangguk. Saera tak mahu beritahu arahan itu datang daripada siapa. Kalau tak tengok mukanya dengan sekadar mendengarkan suara pun, sekali teka Saera boleh meneka tepat gerangannya. Itulah anak tuan rumah ini, merangkap majikannya.

     Ye, ini bukan rumahnya. Kalau diperintah berada dalam bilik ini dari jam 8 sehingga 6 petang tanpa beranjak sedikit pun dari katil Aunty Rosnah ini pun dia perlu patuh. Dia kan dibayar gaji!

     “Kalau tak tahu,.. tanya! Jangan pandai-pandai nak buat sendiri. Ingat diri sendiri tu!” Itu habuan buat Saera apabila kali kedua bersua muka dengan majikannya. Iaitu sebaik beliau kembali dari Manila tiga hari lepas bila menegur Saera kerana tersilap mengubah sedikit tilam berangin Aunty Rosnah.

     “Datang jam 8, mesti tulis dan tandatangan jam 8. Datang jam 9, jangan pula kau tulis dan tandatangan jam 8.”

     Hal itu adapun belum pernah dilakukan, Saera tetap terasa pedih. Tanggapan dalam kepala Saera mula timbul pelbagai versi. Barangkali pekerja dahulu pernah melakukan perkara sama. Disebabkan hal itulah majikannya jadi lebih tegas. Bahkan terlampau tegas. Entahlah!

     Pagi semalam mereka dengan tidak sengaja bertembung di ambang pintu dapur. Saera sedang mengacau kole berisi Milo panas sambil berjalan. Jikalaulah dia terlebih awal sedar Si Faris itu mahu melalui laluan sama, sumpah! Dia tidak akan sesekali melintasi pintu itu. Dia sanggup aja berdiri di tepi kabinet itu. Malangnya semua terjadi tanpa dia pinta. Itulah selalu pepatah menyebut, malang itu tidak berbau.

     Saera tahu dia terleka. Tidak menoleh ke depan pun kala mengacau Milo panas di kole semalam. Dan dia pun tidak menjangkakan Si Faris itu akan berjalan tak ubah seperti Usain Bolt. Segala-gala terjadi seperti kilat.

     PINGGG!!

     Kole berisi Milo panas terpelanting ke lantai. Sebahagian lantai terazo putih tercemar dengan tumpahan warna coklat Milo. Kole putih berlogo jenama minyak kereta popular pecah berselerak. Saera mengurut dada sendiri. Hendak katakan taufan, itu tentunya tidak masuk akal. Namun benda yang merempuh tubuhnya sebentar tadi seolah-olah begitulah sehingga dia terdampar di dinding.

     “Mata letak kat mana?!”

     Itulah ucap selamat pagi pertama semalam, Saera terima daripada majikannya.

     “Saera!” panggil satu suara di muka pintu. Lamunannya tentang kisah sepagi semalam patah. Ghaib ditelan panggilan untuknya.

     Saera mendongak memandang ke depan. Mak Jah berdiri di muka pintu kamar.

     “Dah siap nanti... ke dapur ye. Mak Jah buatkan teh,” pesan dari wanita yang cukup lama tinggal di rumah ini. Saera angguk.

+++++

     Faris menyandarkan badannya, kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya cuba dipejamkan rapat. Sesekali tubuhnya terhuyung-huyung ke kiri dan ke kanan mengikut kelajuan kereta yang dipandu Zikri. 180km/j itulah kelajuan kereta Zikri sekarang. Faris malas merungut apa-apa kerana ini bukan keretanya. Jika keretanya, pasti dia tidak akan benarkan Zikri memandu. Di lebuh raya tiga lorong ini, banyak perangkap had laju. Tadi papan tanda amaran had laju adalah 110km/j. Dia pun tahu, Zikri menyedarinya. Kalau tak sedar pun tadi, sebelum ini pun sejak beberapa tahun dulu pun papan tanda itu telah terpacak di situ. Dan lebuh raya ini merupakan laluan mereka saban hari.

     Saman Zikri bulan lepas pun belum dibayarnya. Saman ekor! Kata Zikri waktu mereka berbicara beberapa minggu sudah. Itu belum masuk saman yang dia kena semasa balik berhari raya ke kampung di Manjong, Perak dulu. Cuti pertengahan tahun pun ada saman diterimanya. Pendek kata setiap tahun, hanguslah juga duitnya seribu dua buat menampung bayaran saman ini. Bila ada orang menegur, kata Zikri...

     “Kau fikir logik, jalan lurus tak de selekoh-selekoh... dua lorong pula tu tapi had laju 70km/j. Tak ke geram tu?” radangnya ketika itu sambil merenyuk surat saman di tangan.

     “Yang lagi aku sakit hati... kena had laju 85km/j. Bengang betul!” Zikri mula meradang.

     “Kalau aku tahu awal-awal kat situ ada kamera, sah-sah aku pecut sampai berpusing meter... puas hati juga!”

     “Zik, kalau tak ada undang-undang rasanya semua orang macam kau juga.” Faris menasihat.

     “Iyelah sebab kau jarang dapat surat cinta macam aku,” balas Zikri sedikit geram. Faris tidak ketawa.

     Beep! Beep! Beep!

     1 message received

     Isyarat gera daripada Samsung Galaxy S6 menyedarkan Faris. Telefon dari poket seluar dibawa keluar. Mesej dari orang bernama abi dibuka. Zikri sekilas memandang ke sisi.

     Umi minta tanya Faris. Hari jadi Mia nanti nak buat kat mana?

     Demi membaca mesej dari bapa mertuanya, barulah dia tersedar bahawasanya 30 hari bulan ini adalah hari lahir ke-lima tahun Mia. Rasa sesal menguasai hati. Tentang hal anak sendiri pun dia hampir terlupa. Jika tidak diingatkan dari mesej bapa mertuanya, pasti sampai tarikh 30 hari bulan pun dia tak akan ingat langsung usia Mia yang kian bertambah. Faris menggaru kepalanya. Gelisahnya diperhatikan Zikri.

     “Hah, kenapa pula tu?” tegur Zikri. Zikri pun mahu tahu apa-apa perihal dari mesej tadi. Manalah tahu, ada dapat projek lain pula. Atau ada ura-ura berita baik bakal mereka dengar tentang proposal dulu. Siapa tahu kan?

     “Ayah aku,” singkat Faris.

     “Ayah?” usul Zikri sedikit pelik.

     “Ayah mertua.” Faris membetulkan.

     “Oh.”

     “Apa cerita?” sambung Zikri.

     “Alah hal Mia aje.” Faris menutup semula Samsung Galaxy S6nya.

     “Mia?”

     “30hb ini hari lahirnya.” Faris menerangkan.

     “Oh.”

     “Dah besar anak kau tu... Faris.”

     "Lima tahun,” jelas Faris membetulkan kembali posisi kerusi.

     “Dah besar anak kau tu, Faris,” ulang Zikri. Senyumannya tersungging.

     Faris menoleh pelik. Ada maknakah di sebalik pertanyaan berulang Zikri itu? Sehingga harus diulang dua kali.

     “Kenapanya?”

     “Tak aku bagi tahu... dah besar anak kau tu,”

     Diam beberapa detik.

     “Anak aku belum cukup umur lagi, Zikri kalau kau maksudkan untuk tujuan itu.” Faris segera membidas. Ketawa Zikri pecah mendadak.

     “Ada ke pula ke situ. Maksud aku, dia dah besar... dia dah makin mengenali orang-orang di sekelilingnya. Mana tahu suatu hari nanti dia mula bertanya tentang kekurangan keluarganya berbanding budak-budak lain.” Zikri menerangkan dengan panjang.

     Faris diam. Diam yang sukar dimengerti oleh Zikri. Sikap temannya ini memang begitu. Dia jarang bercakap. Bercakap pun sekadar hal-hal penting sahaja. Hal-hal remeh-temeh janganlah cuba-cuba diajak untuk dia berbual. Seriusnya memanjang.

     “Cari-carikan lah mama untuk dia.” Zikri menepuk paha sahabatnya sekadar menyedarkan sesuatu yang harus difikirkan juga.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku