NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
805

Bacaan






BAB 12

     Mak Jah cuba menyendukkan satu sudip nasi ke pinggan nasi Saera. Gadis itu menahan dengan tapak tangan isyarat tidak membenarkan. Mak Jah terus menyuakan sudip tersebut. Saera melarikan pinggan nasinya yang masih ada baki dua tiga suap lagi nasi. Perutnya telah kenyang. Dia tidak berhajat hendak menambah lagi nasi. Melihatkan penolakan Saera, Mak Jah akhirnya mengalah dengan memasukkan nasi satu sudip itu ke pinggannya.

     “Saera ni, makan sikitlah,” tegur Mak Jah.

     “Ini pun dah banyak Mak Jah,” balas Saera melihatkan nasinya yang masih berbaki lebih kurang dua suap.

     “Patutlah tak gemuk,” canda Mak Jah riang mula menggaul nasi berketul.

     “Alah, Mak Jah... saya kan muda lagi.”

     “Mak Jah dulu-dulu pun mesti kurus kan?” Saera cuba mengambil hati.

     “Saera pernah tengok ke Mak Jah masa muda?” usul Mak Jah terus tekun menguap nasi berlaukkan secubit ikan sepat pekasam goreng.

     “Belum pernah. Tapi saya boleh agaklah. Mak Jah mesti cantikkan masa muda-muda dulu?” puji Saera. Senyum Mak Jah tiba-tiba meriah di wajah bila dipuji menggunung oleh Saera.

     “Tak lah... gemuk macam ni juga,” tukas Mak Jah malu-malu.

     “Tak percayalah,” bantah Saera.

     “Nanti Mak Jah tunjuklah gambar lama Mak Jah. Boleh saya tengok,” perangkap Saera.

     “La... Mak Jah sama je macam sekarang,” dalih Mak Jah lagi. Senyumannya masih di bibir. Senang hatinya lebih-lebih lagi mendapat pujian dari Saera.

    “Bohonglah tu,” sangkal Saera lagi. Ketawa Mak Jah mula kedengaran.

Kring! Kring! Kring!

     Telefon rumah nyaring berbunyi. Memandangkan Saera telah selesai lebih dulu daripada Mak Jah lalu dia bangkit meninggalkan kerusi untuk menyambut panggilan telefon yang masuk ke rumah.

     “Tak pe Mak Jah, saya jawab,” pelawa Saera tergesa-gesa berlalu ke sink. Mak Jah tidak jadi bangun.

     “Helo. Assalamualaikum!” Saera memulakan dengan salam.

     Senyap beberapa saat tanpa balasan. Saera mengulangi buat kali kedua.

     “Waalaikumsalam...” barulah kedengaran suara seorang lelaki. Nadanya sedikit hairan.

     “Rumah Puan Rosnah?” usul penyambut salam tadi. Barangkali mahu lebih pasti.

     “Ye, Encik... Encik hendak bercakap dengan siapa?” Saera mengiakan.

     “Mak Jah?” usul pemanggil tadi setelah lama diam.

     “Mak Jah?” Saera mengintai Mak Jah yang masih belum selesai makan.

     “Maaf Encik, Mak Jah sedang makan. Encik hendak tinggalkan apa-apa pesanan ke?” tanya Saera ramah.

     “Hmm... tak pe lah. Saya call sekejap lagi. Ini siapa ye?” soal suara lelaki tadi.

     “Saya Saera, Encik,” beritahunya.

     “Oh. Okey terima kasih ye,” permisi pemanggil yang tidak mengenalkan diri.

     “Assalamualaikum,” akhiri Saera dengan satu lagi salam adapun talian telefon telah pun putus.

     Saera meletakkan gagang. Kemudian dia berlalu ke dapur untuk membasuh pinggannya yang masih tertinggal di meja.

     “Ada orang nak bercakap dengan Mak Jah,” terang Saera sambil mengambil pinggannya tadi.

     “Siapa?” tanya Mak Jah menyuapkan sesuap nasi ke mulut.

     “Entahlah. Lelaki. Gewe Mak Jah kut.” Saera ketawa halus ketika membuka paip air.

     Dahi Mak Jah berkerut cuba memahami istilah ‘gewe’ yang disebut Saera. Mentang-mentanglah Saera itu berasal dari Kelantan, bijak pula dia hendak mengenakan orang. Itu pun mujur Mami June yang beritahu Saera itu berasal dari Tumpat, Kelantan sebelum Saera datang bekerja di sini. Jadi tahulah Mak Jah serba sedikit latar belakang Saera.

     “Dia nak call Mak Jah sekejap lagi. Mak Jah cepat-cepatlah siap,” arah Saera sebaik pinggan dan gelas miliknya disusun atas rak pinggan. Saera mengelap tangan basahnya.

     “Siap?” ulang Mak Jah pelik. Saera senyum mengusik.

     “Ye bersiap-siap... sebab buah hati Mak Jah nak call jap lagi,” Saera berbisik ke telinga Mak Jah.

+++++

     Faris meletakkan gagang telefon mejanya kasar. Dua kali dia cuba menghubungi telefon rumahnya. Dan kedua-duanya gagal. Talian sedang digunakan. Takkan Mak Jah pula bergayut petang-petang begini. Memang Faris tidak pernah menanggapi ini kerja Mak Jah. Sebaliknya nama Saeralah yang awal-awal muncul di benaknya. Dulu pun begitu juga dengan dua tiga Jururawat Peribadi ibunya sebelum ini. Setiap hari selalu sahaja ada orang menggunakannya. Sampai hujung bulan, dapat bil telefon beratus. Bila ditanya, tidak mengaku. Akhirnya tak datang kerja tanpa apa-apa notis.

     Dengan keadaan sekarang bagaimana dia dapat bercakap dengan Mak Jah kalau talian rumahnya sibuk? Dah lah bila hubungi telefon bimbit Mak Jah ditutup. Grr... geramnya! Bentak Faris sambil menghempaskan gagang sekali lagi kala panggilannya terus gagal.

+++++

     Saera telah menyiapkan beg telekungnya. Sebelum keluar bilik, Saera menghampiri Aunty Rosnah. Mata Aunty Rosnah masih seperti itu, melilau-lilau ke siling kamar. Saera duduk di sisi katil. Kerusi didudukinya dirapatkan ke katil.

     “Aunty, saya balik dulu ye. Esok insya-Allah saya datang lagi. Aunty jaga diri ye.” Jari jemari Aunty Rosnah diusap lembut. Pandangan Saera beralih ke sebuah buku bertajuk Himpunan Kisah Teladan. Buku yang sering digunakan ketika mengajar pelajar-pelajar tadika dulu. Kini dia bacakan untuk Aunty Rosnah pula. Tadi dia telah habiskan buku tersebut.

     “Esok saya bawakan buku 10 Wanita Kesayangan Nabi ye...” Saera cuba mengingati sesuatu. Dia tidak pasti sama ada Aunty Rosnah faham atau tidak. Tapi setidak-tidaknya dia ada teman untuk berbual selain Mak Jah.

     Pandangan Saera terus tumpah ke wajah Aunty Rosnah. Alangkah bahagianya kiranya dia masih mempunyai seorang ibu. Tangan Aunty Rosnah dikucup Saera seolah-olah seorang anak dan ibu yang akan berpergian. Pipi Aunty Rosnah jua dikucup kanan kiri. Saera bangun. Sebelum menutup pintu bilik, hatinya tetap berat hati. Dia cuma berdoa, agar esok akan masih ada lagi pertemuan antara dia dan Aunty Rosnah.

     “Dah nak balik!” Baru sahaja Saera merapatkan pintu kamar Aunty Rosnah, tiba-tiba satu suara menegurnya. Saera berpaling. Faris berdiri tidak jauh darinya memandang dari atas ke bawah dirinya. Ia membuatkan Saera jadi rimas tak semena-mena. Bimbang Faris mengesani sesuatu dari dirinya. Kaca mata, dia rapatkan ke batang hidung. Hujung tudung ditarik menutupi dahinya.

     Saera memeriksa jam di dinding dari balik belakang Faris. 6.15 petang. Waktu bekerjanya sehingga 6 petang sahaja. Dia cuma singgah tak sampai 15 minit tadi di kamar Aunty Rosnah untuk mengucapkan selamat tinggal. Itu pun akan jadi satu kesalahan juga ke?

     “Ye, Encik Faris.” Saera menjawab tanpa ragu-ragu kerana dia tidak mencuri masa.

     Faris menoleh ke belakang memerhatikan waktu yang sama seperti Saera. Adapun dia memakai jam tangan, namun dia sengaja hendak menunjukkan kepada Saera bahawasanya dia juga memahami waktu yang diperhatikan Saera. Tapi dia punyai alasan kenapa mahu melengahkan masa Saera untuk kali ini. Hari ini dia mahu menyelesaikan hajat yang disimpan dalam hati sejak tengah hari tadi.

     “Dengar sini, dalam bilik belakang ada tempat menggosok baju. Dan kat situ, ada beberapa helai kemeja... awak pergi seterika, sekarang. Saya nak pakai nanti.” Faris mengarah. Saera tercengang.

     Apakah erti arahan ini? Dulu kata Mami June, dia tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah. Bukan dia hendak merungut kerana dia boleh lakukannya. Cuma kenapa baru sekarang disuruh? Kenapa tidak awal-awal tadi.

     “Sekarang ke, Encik Faris?” soal Saera terlalu polos pada pendengaran Faris.

     “Ye, sekarang!” tegas Faris sambil berlalu ke arah luar.

     Saera kian dibelenggu dilema antara tuntutan waktu dan arahan majikan. Bukankah selalu ada pembantu rumah yang dibayar mengikut jam akan datang ke sini untuk melakukan tugas itu? Mimpi apa pula tiba-tiba Faris memerintahnya? Dalam payah hati, Saera turuti jua arahan Faris. Dia berlalu ke bilik belakang bersebelahan bilik Mak Jah. Rupa-rupanya bukan sehelai dua sebaliknya enam helai kemeja tergantung di situ. Saera cuba redakan hati mengenangkan tingkah-laku majikannya.

     Hampir satu jam barulah, Saera keluar kamar semula ketika langit beransur jingga. Mak Jah yang sedang menyiapkan juadah makan malam terperanjat. Wajah Mak Jah nampak hairan tatkala melihat Saera masih berada di sini. Sangkanya Saera telah pulang. Sebentar tadi mereka telah berpamitan salam di dapur.

     “Eh, Saera belum balik?” Mak Jah menoleh ke belakang.

     “Dah siap?” tiba-tiba Faris muncul di ruang dapur belum sempat Saera menjawab soalan Mak Jah. Ekspresi wajahnya tetap serius.

     “Boleh saya pulang sekarang, Encik Faris?” tanya Saera seakan-akan menyindir. Tapak tangan Faris mempersilakan. Barulah ada senyuman sinis dari Faris. Senyuman puas hati.

     “Sempat ke nak kejar bas tu?” laung Mak Jah khuatir. Saera tidak menjawab, sebaliknya dia bergegas meluru ke pintu hadapan.

     “Hati-hati Saera... dah malam ni,” pesanan Mak Jah tidak sempat didengari Saera apabila daun pintu kedengaran ditutup.

     Mak Jah membasuh sayur dari dalam bekas. Faris menjenguk bilik belakang. Dia hendak memastikan kerja yang disuruhnya benar-benar dituruti Saera atau tidak. Setelah pasti enam helai kemejanya siap bergosok, barulah Faris menutup semula pintu tersebut. Mak Jah ikut memerhatikan aksi Faris. Hatinya juga terasa pelik apabila tiba-tiba Saera keluar dari bilik itu. Atau adakah Faris telah menyuruh Saera melakukan kerja-kerja menyeterika pakaian?

     “Zafran telefon tadi, Faris,” umum Mak Jah demi melihatkan Faris hendak berlalu keluar.

     “Zafran?” Faris berpusing ke belakang.

     “Tengah hari tadi dia berbual dengan Mak Jah... lama,” dengan gembira Mak Jah menceritakan individu yang disebut tadi. Adik Faris.

     “Lama Zafran tu tak hubungi kita. Entah mimpi apa dia hari ni hendak menelefon ke sini,” cerita Mak Jah sambil memasukkan sayur bayam ke dalam kuali.

     Faris melepaskan sebuah keluhan kesal. Mukanya didongakkan lurus ke atas. Jadi rupa-rupanya Mak Jah lah yang menggunakan telefon tadi. Berbual dengan Zafran yang lama hilang khabar berita. Pastilah lama perbualan mereka. Akhirnya dia sedar, dia telah tersilap membuat tanggapan terhadap Saera.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku