NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
832

Bacaan






BAB 13

Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan

     “Woi, mana kau belajar pasang sarung cadar macam tu?” jerkah seorang pengawal penjara. Basri menarik semula kain bergetah yang baru diberikan kepadanya. Pengawal penjara yang sekadar menjenguk tadi berlalu pergi ke sel lain.

     “Maghi kawe tulong (Biar saya tolong).” Salah seorang daripada tiga penghuni sel yang tidak dikenali Basri datang mendekatinya.

    “Panggil kawe Pok Ya. Tu Sudin. Pah, tu Pakorn (Panggil saya Pok Ya. Itu Sudin. Yang itu pula, Pakorn),” Seorang demi seorang dikenalkan Pok Ya.

     Melihatkan wajah mereka, Basri tahu mereka semua telah lama menjadi penghuni penjara ini.

     “Demo namo gapo? Baru masuk ari ni ko? (Awak nama apa? Baru masuk hari ini ke?)” ramah Pok Ya berbicara.

     “Basri.” Sepatah Basri menjawab. Satu anggukan dia tujukan buat Pok Ya. Hatinya masih dibelenggu ketakutan. Ini kali pertama dia masuk ke penjara. Tangan Pok Ya menjabat tangan Basri.

     “Dok mano? (Tinggal kat mana?)”

     “Saya orang Perak,” terang Basri. Dia agak kekok hendak bercakap dialek Kelantan.

     “Oh, pade pun (Oh, patutlah).” Pok Ya sudah selesai memasang cadar ke katil Basri. Dia berdiri.

     “Lama dah ke masuk sini?” tanya Basri.

     “Kawe baru jah stahun... kalu hok lamo skali tigo oghe ni, Pakornlah (Saya baru je setahun... kalau yang paling lama dari kami bertiga ni, Pakornlah),” Pok Ya memuncungkan mulutnya ke arah Pakorn yang sedang baring mengiring menghadap dinding.

     “Guano demo buleh masuk sini? kes gapo?(Macam mana awak boleh masuk ke sini? Kes apa?)” Lelaki bernama Sudin menghampiri mereka berdua.

     “Conteng dinding,” tulus Basri menjawab.

     “Od-Alah, kecik benar tu (Alah, kecil sangat tu).” Sudin hampir ketawa.

     “Oghe lain masuk sini, kes besar-besar sajo weh. Bunuh, rogol, dadah, rompak. Tapi demo baru keno tudoh conteng dinding. Keno reman male ni jah ko? (Orang lain masuk ke sini, sebab kes besar-besar semuanya. Bunuh, rogol, dadah, rompak. Tapi awak baru kena tuduh conteng dinding. Kena reman malam ini aje ke?)” Basri angguk.

     “Demo tengok Pakorn tu, nak masuk pat tahun doh dok sini (Awak tengok Pakorn tu. Nak masuk empat tahun dah kat sini).”

     “Pakorn?” acap kali disebut Sudin dan Pok Ya, Basri terasa pelik. Orang Siam kah dia tu?

     “Oghe sini belako panggil dio Pakorn sebab dio oghe alik sano. Islam tuh. Dulu dio nikoh oghe sini. Pah nikoh muda pulok ngan bujae anok soghe. Oghe Naro (Orang-orang kat sini panggil dia Pakorn sebab dia berasal dari Thailand. Muslim tu. Dulu dia berkahwin dengan orang Kelantan. Selepas tu kahwin muda dengan janda anak seorang. Orang dari Narathiwat).” Agak terkial-kial Basri cuba menghadamkan loghat bahasa Sudin.

     “Kes apa?” usul Basri.

     “Gocoh pah tetok oghe pakai parang (Bergaduh. Tetak orang guna parang),” sampuk Pok Ya dengan nada perlahan.

     “Gocoh setahun jah jail tapi tetok oghe pakai parang, tamboh tiga tahun (Bergaduh, satu tahun aja penjara tapi menetak orang guna parang, tambah tiga tahun),” senang hati Pok Ya bercerita tentang Pakorn.

     Basri memerhatikan Pakorn dari jauh. Siapa Pakorn itu? Belum dapat untuk Basri bertukar bicara dengannya sepertimana yang lain.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku