NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
918

Bacaan






BAB 14

     Mia Sara berlari ke ruang makan. Dia mencari seseorang yang teringin benar hendak dia temui. Sebulan ini papanya tidak berkesempatan membawanya ke sini. Lalu, dia jadi teramat rindu dengan semua orang. Terutama neneknya.

     “Opah Jah!” laungnya. “Opah Jah!”

     Faris mengekori dari belakang tubuh kecil anaknya. Di tangannya membimbit sebuah carrier bersaiz S. Moon itu akan disuruh bawa ke mana-mana jika Mia Sara harus tinggal bermalam. Kucing baka Munchkin berkaki pendek ini baru berusia lima bulan dan cukup manja dengan Mia Sara. Kucing hadiah daripada Mami June kerana Mia Sara mendapat markah terbaik dalam ujian di sekolahnya beberapa bulan lepas.

     “Mia, kita jumpa nenek dululah... Opah Jah keluar kut,” beritahu Faris cuba mengalihkan rasa kecewa Mia Sara. Tadi sebelum sampai, Mia Sara telah berpesan kepada Mak Jah melalui panggilan telefon agar jangan ke mana-mana kerana dia akan sampai.

     “Okey.” Mia Sara menukar laluannya ke arah kamar berhampiran tangga ke tingkat atas rumah.

     Faris meletakkan carrier kecil itu di tepi dinding. Dari luar, dia mendengar suara bercakap sendirian dari kamar ibunya. Pintu kamar ibunya tidak ditutup dengan rapat membolehkan dia dan Mia Sara mendengar suara itu.

     “... Dengan pantas Ibad bangkit dan menghunuskan pedangnya. Ketika mahu melibaskan pedangnya ke arah Rasulullah SAW, tiba-tiba berlaku suatu keajaiban. Ibad berdiri kehairanan di belakang Rasulullah SAW. Dengan tangannya menjulang pedang, dia bagaikan kaku dan matanya terpinga-pinga melilau seperti mencari sasaran. Mukanya pucat sekali. Peluh dingin mengucur seluruh badan. Nabi Muhammad SAW yang dilihat benar-benar berada di hadapannya, kini sudah tiada!”

     Bunyi keriut pintu menghentikan bacaan Saera. Di ambang pintu kamar Aunty Rosnah, berdiri dua individu. Seorang tentulah majikannya dan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang belum pernah dilihat Saera. Mereka memandangnya dengan seluruh rasa pelik. Berkerut dahi masing-masing. Saera menutup halaman buku di tangannya sebelum bangun berdiri.

     “Aunty... saya sambung nanti.” Dengan perlahan Saera membisikkan ke telinga Aunty Rosnah. Mata Aunty Rosnah tidak berganjak dari siling.

     “Nenek!” Suara manja kanak-kanak kecil itu memecah suasana hening.

     Semenjak kejadian petang dulu, Faris tidak lagi sekadar suka-suka menegur Saera. Tidak kiralah teguran berlandaskan arahan mahupun semata-mata memerli. Walaupun salah tanggapan datang daripadanya, tapi ia bukan alasan buat Faris mudah mempercayai Saera. Masih banyak yang tidak diketahui tentang Saera. Faris tetap bersikap berhati-hati.

     Tangan Aunty Rosnah dikucup Mia Sara. Aksinya terus mendapat perhatian Saera. Saera tidak pernah mengenali siapa Mia Sara. Tetapi melihatkan aksi tidak kekoknya dalam rumah, Saera pasti Mia Sara juga salah seorang ahli keluarga ini. Sikap Faris turut berubah. Tiada arahan menyakitkan hati terhadap Saera agar keluar, jelas membuktikan Faris amat menjaga tutur katanya di hadapan Mia Sara.

     Saera mula mengundurkan diri.

     “Acik jaga nenek ya?” Soalan pertama meluncur daripada patah bicara Mia Sara melihatkan Saera mula menghampiri pintu untuk keluar.

     “Ya,” jawab Saera sambil matanya sekilas mengerling ke arah Faris.

     Faris tidak berkutik. Pandangannya lurus ke arah Mia Sara dan ibunya.

     Saera dan Mia Sara berbalas senyuman. Dengan sekali anggukan Saera meloloskan diri dari balik pintu sebelum menutupnya rapat.

+++++

     “Betul ke Zafran nak balik hujung bulan ni, Faris?” Mami June merapatkan straw ke bibir. Dengan sekali sedut, jus oren mula tinggal ¾ gelas. Renik peluh di muka dikesat dengan tisu.

     Faris mengangguk. Begitulah apa yang didengari daripada mulut Mak Jah ketika memaklumkan kepadanya tempoh hari. Faris sendiri agak terkejut dengan berita itu. Telah hampir empat tahun Zafran pergi belajar, tidak pernah sekali dia pulang ke tanah air tiba-tiba sahaja membuat keputusan mahu pulang. Pastinya mengejutkan semua orang. Sebelum ini, jangan kata hendak pulang, panggilan telefon pun boleh dihitung dengan jari-jemari berapa kali Zafran menghubungi keluarga semenjak ke Jerman.

     Cerita patah hatinya dengan seorang gadis yang sama-sama belajar di kolej dulu, itulah agaknya menjadikan Zafran lupa semua orang. Cerita Mami June dulu, gadis itu mempunyai teman lelaki lain. Zafran yang kecewa, membawa hati dengan menerima tawaran belajar ke Jerman.

     “Faris tak cuba hubungi Zafran?” selidik Mami June.

     “Belum,” jawabnya. Cawan teh O dijamah dengan tapak tangan. Apabila benar-benar telah suam, barulah Faris menyisipnya sedikit.

     “Tanyalah betul-betul Zafran tu. Mana tahu Mak Jah tersilap dengar.”

     Faris tersenyum sinis.

     Kisah pendengaran Mak Jah memang menarik juga buat Faris. Beberapa hari lepas, Mami June beritahu tentang salah dengar Mak Jah. Kelakar juga. Pagi itu, Mami June menyuruh Mak Jah tapaukan nasi lemak yang dimasak dengan telur goreng. Entah di mana salahnya, Mak Jah membekalkan Mami June nasi lemak bersama nasi goreng pagi itu. Kebetulan pagi itu, menu makan pagi mereka ada nasi lemak dan nasi goreng. Nasi lemak sambal sotong, Mak Jah masak awal-awal kerana tahu kesukaan Mia Sara. Tapi pagi itu, tiba-tiba Mia Sara meminta nasi goreng. Lantas, jadilah dua menu. Disebabkan tidak mahu membazir, Mami June meminta Mak Jah membekalkannya nasi lemak sebelum keluar ke kedai patisserienya.

     “Saera macam mana?” Mami June mengesat bibirnya sebaik jus di gelas hanya tinggal kiub-kiub ais.

     Faris mendongak. Muka ibu saudaranya ditatap. Dia tidak tahu bercerita tentang budak itu. Sejak kebelakangan ini, dia sudah ambil jalan tidak kisah. Hanya sesekali dia memantau dari jauh.

     “Ada masalah ke?” Mami June terus mengusul.

     Faris menjongket bahu.

     “Hujung bulan ini, masuk sebulan dia di situ, kan?” Mami June mengingati.

     Dahi Faris berkerut cuba mengingati jangka masa itu. Oh, baru tahu... rupa-rupanya Mami June ingin mengingatkannya tentang bayaran gaji budak itu.

     Cangkir teh O yang masih berbaki separuh diangkat semula. Perlahan-lahan Faris menghirupnya. Terasa nikmat air Teh Boh yang digemarinya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku