NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
886

Bacaan






BAB 15

SEJAK ada Mia Sara di sini, rutin harian Saera telah mula berubah. Seminggu ini tugasannya kini bukan hanya menjaga dan mengawasi Aunty Rosnah, malahan dia jua harus melayani kerenah Mia Sara. Ini antara perkara-perkara yang menambahkan kegembiraan Saera apabila ada ‘kawan’ selain Mak Jah. Apa tah lagi rakan kecil secomel dan sepetes Mia Sara ada sahaja yang mahu ditarik perhatian dari Saera.

     “Boleh Mia dengar cerita Acik itu?” pintanya suatu hari itu tatkala mendengar suara Saera membacakan sebuah kisah kepada neneknya.

     “Boleh, marilah,” ajak Saera seraya menguit tangannya kepada Mia. Mia yang tercegat di muka pintu dengan wajah tersipu-sipu menghampiri Saera.

     Di atas riba Saera, Mia jadi terlalu khusyuk mendengar pembacaan Saera. Manakala Saera, inilah peluang yang telah lama ditinggalkan semenjak meninggalkan tugas sebagai guru tadika. Jika dulu, buku-buku inilah dijadikan cerita kepada pelajar-pelajarnya.

     “Acik, kita mandikan Moon nak?” idea yang tidak diduga datang dari mulut Mia Sara tengah hari itu. Saera tergamam pada awalnya.

     Bukan dia tidak mahu, tetapi agak keberatan kalau-kalau apa yang dilakukan akan menjadi bahan teguran majikannya pula. Masalahnya dengan Faris memang tidak pernah selesai. Satu hari itu, ketika dia membantu Mak Jah di dapur pun dikritik dengan alasan dia tidak menggaji Saera untuk membuat kerja-kerja rumah. Faris melemparkan tuduhan seolah-olah Saera akan menuntut bayaran lebih untuk kerja-kerja rumah nanti. Panas sungguh hati Saera bila mendengar butir bahasa majikannya itu. Sebelum itu dia tidak pernah sedar pun, dia pernah menyuruh Saera menyeterika kemeja-kemejanya?

     “Selalu siapa mandikan Moon?” selidik Saera, sambil menyusun empat biji pinggan yang baru dilapkan ke dalam rak kabinet.

     “Selalu papa bawa Moon grooming seminggu sekali kat Pet Shop,” cerita Mia.

     “Oh.”
     “Mesti Moon tak pernah mandi kat rumah kan?” Mia geleng kepala.

     “Kalau Moon sakit nanti macam mana ye?” Saera mengujarkan soalan untuk mengelakkan diri. Mia Sara diam berfikir.

     “Mia pernah mandikan Moon?” Mia geleng kepala juga.

     “Acik pun tak pandai mandikan Moon,” terang Saera. Mia terus tidak berkata-kata.

     “Hmm... macam mana ye?” Saera pura-pura berfikir.

     “Kena ada syampu, kena pakai air suam, kena guna blower lepas tu,” sengaja Saera hitung satu demi satu perkara-perkara menyukarkan untuk mengendalikan kucing bernama Moon itu.

     “Hmm... tak pe lah. Nanti Mia suruh papa bawa Moon ke Pet Shop ajelah,” akhirnya Mia Sara terpaksa mengalah dengan keadaan.

     Saera senyum lega kerana dia tidak perlu melukakan hati Si Kecil dengan mengatakan tidak mahu.



SAERA membelek halaman kulit belakang sebuah buku bertajuk Kisah 25 Rasul. Dalam pelukannya sudah ada tiga buah novel. Agak lama juga dia tidak membaca novel sejak mula berhenti dari tadika. Maklumlah ketika itu sedang belajar berjimat waktu-waktu gawat. Tetapi hari ini dia mahu berbelanja lebih sikit. Petang semalam dia mendapat gaji pertama. Alhamdulillah berkat rezeki dari kerjanya hampir sebulan lepas, bolehlah dia berbelanja lebih sikit untuk buku.

     Dan dalam fikirannya mula berkira-kira untuk membeli sebuah buku untuk Mia Sara. Sejak Mia Sara kian pandai mendengar cerita yang dibacanya kepada Aunty Rosnah, Saera terasa hendak membeli sebuah buku cerita yang mengandungi banyak koleksi cerita pendek. Buku Kisah 25 Rasul ini mempunyai 25 buah buku-buku kecil berlainan siri. Apa lagi Ahad ini ada sambutan hari lahir Mia Sara. Boleh juga dijadikan hadiah untuknya nanti. Fikir Saera.

     Akhirnya tanpa berfikir lebih panjang, Saera mengambil buku tersebut bersama tiga buah novel dalam pelukan. Saera menuju ke kaunter bayaran. Saera mengeluarkan kad ahlinya siap-siap dari dompet. Dia berbaris di belakang seorang lelaki dalam usia menghampiri 50-an. Lelaki itu meletakkan selonggok buku. Saera cuba membaca beberapa tajuk di tulang buku-buku itu. Antaranya Di Hadapan Pulau tulisan A. Samad Said, Wajah Seorang Wanita karya SN S. Othman Kelantan, Taubat dan Pengampunan Dosa ; Imam Al-Ghazali, Selasih Ku Sayang dari Alias Ali dan beberapa buku falsafah termasuk tajuk Risalah Untuk Kaum Muslimin.

     Benak Saera berfikir tentang sesuatu. Melihatkan jenis pembacaan lelaki di depannya, Saera bertanggapan mungkin kah dia seorang ahli falsafah? Atau adakah dia seorang sasterawan? Nasionalisme? Atau dia seorang berfikiran bagaimana? Jenis-jenis bukunya datang dari pelbagai cabang.

     “Encik ada kad ahli?” soal gadis di kaunter. Lelaki itu menggeleng.

     “Banyak buku Encik ini, kalau ada keahlian dapat diskaun,” terang juruwang itu lagi.

     “Bagaimana nak jadi ahli?” tanya lelaki itu, kedengaran agak pelat. Saera sempat menangkapnya.

     “Untuk keahlian dua tahun, bayarannya dua puluh ringgit... Encik kena isi borang ini.” Juruwang itu melobi dengan ramah. Sehelai borang dibawa keluar.

     Lelaki itu memandang ke arah belakangnya. Dalam barisannya ada lima orang yang juga sarat dengan buku-buku mahu dibayar. Manakala kaunter bayaran hanya dua sahaja daripada empat beroperasi sekarang. Dia jadi tidak tergamak untuk melengahkan masa semata-mata mahu menjadi ahli. Mengisi borang itu bukannya sekejap.

     “Tak pe lah, ramai sangat orang beratur... kasihan pula mereka,” akurnya tidak mahu menyusahkan pembeli lain.

     “Sekejap aja Encik,” pengaruh juruwang itu tanpa mempedulikan orang yang beratur.

     “Tak pe... tak pe,” sekali lagi lelaki itu menolak mula membawa keluar dompet dari saku seluarnya.

     “Sayang Encik, banyak ringgit juga ni.”

     “Encik boleh guna kad saya?” Saera menyuakan kad di tangannya di hadapan lelaki tersebut. Dia ikhlas untuk berkongsi.

     “Eh!” Lelaki itu sedikit terkejut. Matanya sedikit lama merenung Saera.

     “Empat lima ringgit pun bukankah jimat juga tu,” gurau Saera.

     “Boleh ke?” Lelaki itu bertanya kepada juruwang tadi sambil mengambil kad yang terhulur dari tangan Saera. Juruwang itu terdiam. Akhirnya dia mengangguk tanpa sepatah kata. Suara ramah melobi hilang serta merta.

     “Terima kasih.” Lelaki itu menarik nafas lega.

     “Buku ini tak ada diskaun.” Juruwang menolak salah satu sebuah buku yang bertambun ke tepi menandakan buku itu tidak mendapat potongan harga.

     “Okey.” Lelaki itu akur.

     “Yang ini pun tak ada diskaun.” Satu lagi buku ditolak ke tepi. Saera terus memerhati.

     Jika awal-awal tadi bukan main lagi juruwang itu melobi dengan mengatakan potongan harga. Sekarang semakin berkurang pula jumlah buku yang boleh dipotong harganya. Mujur juga tadi lelaki itu tidak menjadi ahli.

     Selesai semuanya, dapatlah jua lelaki itu menjimatkan wangnya beberapa ringgit untuk sejumlah buku dengan menggunakan kad keahlian Saera. Dia tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Saera atas keikhlasannya membantu.

     Manakala Rosni sedang menunggu di pintu masuk. Dia tidak berapa gemar berbelanja di kedai buku. Dia lebih minat membelanjakan wangnya ke kedai-kedai pakaian, kasut atau beg tangan. Buku yang ada pun sedikit sahaja yang dia berjaya habiskan. Disebabkan alasan itu dia jadi tidak gemar menjadi ulat buku seperti mana Saera. Pandangannya berlainan dengan semua orang. Kerana setiap orang ada pendapat masing-masing. Dan pendapat masing-masing itu bukan bererti ia sesuatu yang kurang baik. Sebagai contoh seorang kaki bola. Sesetengah orang tidak menyenangi minat begitu, tetapi bagi peminat bola itu ada satu tabiat. Dan sesiapa pun tidak mampu mengubahnya.

     “Jom!” tegur satu suara. Rosni berpusing tubuh. Saera telah siap menjinjit sebuah beg plastik tentunya berisi beberapa buah buku yang dibelinya.

     “Banyak juga ni,” gurau Rosni menatap isi beg plastik di tangan kanan Saera.

     “Alah, lama tak baca buku, Ros.” Saera berjalan terus.

     “Kalau lama, kenapa tak pinjam aje? Kan banyak kedai buku terpakai buat cara pinjam ni. Lagi murah,” racun Rosni.

     “Tak boleh lah macam tu, Ros. Kesian sikit kat penulis. Siapa tahu mereka pun mencari rezeki melalui novel. Berhempas pulas siapkan satu novel bukan sehari dua tau. Malah berbulan-bulan. Bertahun-tahun pun ada. Perbuatan kita nanti akan menutup periuk nasi mereka tau,” ceramah Saera menukar beg plastik ke tangan kiri pula.

     Bibir mulut Rosni sedikit terjuih. Dia diam. Mereka kembali kehabisan topik. Rosni mengikuti sahaja gerak kaki Saera. Mereka telah membeli belah, telah singgah ke Vinci dan ke kedai buku pun sudah. Sekarang mereka seharusnya pergi mengisi perut. Lagi pun sekarang masa makan tengah hari.

     “Eh, sekejap... aku nak singgah kedai beli pembalut hadiah.” Saera berpusing arah tiba-tiba tatkala matanya terpandang sebuah kedai cendera hati di sebelah kanannya.

     “Beli pembalut hadiah?” usul Rosni terasa amat pelik. Hadiah untuk siapa pula Si Saera ini mahu berikan?

     Rosni cuba berfikir kalau-kalau hari lahirnya atau apa-apa acara dalam waktu-waktu terdekat ini. Tetapi hari lahirnya adalah awal tahun.

     “Nak balutkan satu buku ni untuk Mia Sara,” Saera mendahului Rosni ke depan menuju ke arah satu kedai.

     “Oh,” Rosni akhirnya berjaya meneka. Gelagat cucu kepada Aunty Rosnah itu baru sahaja didengari ceritanya sekejap tadi melalui Saera.



“PUKUL berapa kau nak pergi, Saera?” periksa Rosni.

     “Awal sikitlah, nak tolong-tolong Mak Jah dan Mami June,” terang Saera.

     Rosni mengangguk dengan arahan Saera. Tadi, Saera mempelawanya untuk sama-sama turut ke parti hari lahir Mia Sara. Cucu kepada Aunty Rosnah itu akan mencecah usia lima tahun. Lalu bapanya mahu membuat sambutan hari lahirnya di rumah itu. Cucu tunggal Aunty Rosnah itu tidak tinggal bersama-sama bapanya di situ kerana tinggal bersama nenek dan datuknya dari sebelah arwah ibunya. Jadi tentulah parti itu sebuah majlis yang meriah.

     “Mia tu, tak ada pakcik ke atau uncle ke?” Rosni mengiat Saera dengan leluconnya.

     “Pakcik?” Saera mencari dompetnya untuk mencari syiling buat tambang bas.

     “Iyelah kalau-kalau, dia nak ada bapa saudara yang handsome. Kau ni, Saera... lambat betullah tangkap.” Satu cuitan singgah di bahu Saera.

     “Ros, aku kat sana nak bekerjalah... tolong sikit!” tukas Saera akhirnya berjaya membawa keluar dompet perang dari beg tangannya.

     “Bekerja... bekerja juga. Tak kan lah hati kau tak terpanggil nak belajar-belajar cari teman tapi mesra gitu,” canda Rosni.

     “Teman tapi mesra?” Saera membuka zip tempat simpanan duit syilingnya. Otaknya memang tidak boleh fokus kepada dua perkara dalam serentak masa.

     “Saera!” Rosni menepuk bahu Saera. Ada nada geram pada panggilan nama Saera. Matanya memerhati ke kiri jalan. Desah nafas dilepaskannya keras.

     Saera terus membelek isi dompetnya. Duit syiling yang ada tidak cukup untuk tambang nanti. Wang kertas pula hanya tinggal not lima puluh. Nanti marah pula pemandu bas Rapid itu kalau dihulurkan duit besar ini.

     “Mesti seronok kan kalau kita ada couple... hari-hari akan ada orang nak tolong hantar dan balik kerja.” Rosni bergumam sendiri sebelum mengambil duduk di tempat yang dikosongkan oleh seorang remaja.

     “Mesti kita berdua banyak topik nak berbual.” Rosni masih berkhayal sendirian.

     “Tapi satu aku tak suka couple... kau dan aku dah tak boleh keluar macam sekarang!”

     “Ros... pinjamkan aku duit kecil seringgit. Aku tak de wang kecil nak tambang ni.” Saera mengubah topik serta-merta.

     Bukan niatnya hendak memotong tajuk Rosni, tetapi sebelum bas datang apa salahnya dia sediakan wang kecil terlebih dahulu agar tidak kelam kabut hendak naik bas nanti. Dah lah nanti nak berebut-rebut dengan orang ramai.

     Dalam marah hati, Rosni membawa keluar dompet kecilnya. Not seringgit dihulurkan kepada Saera. Saera menyambut dengan rasa sedikit lega.

     “Terima kasih, nanti aku ganti,” janji Saera.



“ESOK birthday Mia ye?” periksa Melissa kedengaran prihatin. Faris angguk.

     “Mami June yang beritahu I. You dah belikan kek? Biar I aja yang belikan ye.” Beria-ia Melissa menabur budi. Mana tahu kali ini hati Faris termakan.

     “Tak perlu,” singkat Faris. Matanya memerhatikan gelagat pengunjung Chilis di meja berhampiran.

     “Biar I bercakap dengan Mia... tentu dia tahu mana satu cita rasanya,” Melissa masih berusaha. Tangannya mula meraba-raba isi bag tangan.

     “Dia dah pilihkan sendiri.” Herot bibir Faris seolah-olah satu ejekan.

     Tangan Melissa terhenti demi mendengarkan kata-kata Faris. Sukar sungguh hendak menambat hati lelaki ini. Desis hati Melissa cuak. Dia sendiri habis akal memikirkan cara untuk setidak-tidaknya Faris memandangnya dengan sebelah mata.

     Melissa melarikan pandangan kepada set Fajita Trio. Faris sedang menyiapkan sekeping roti di atas pinggan di hadapannya sebelum memasukkan campuran daging, ayam dan udang panggang serta mengaulkannya dengan perasa, mayones, keju dan sayur-sayuran. Kemudian Faris menggulungnya tidak ubah seperti sekeping Shawarma. Melihatkan Faris menyiapkan demikian, dalam hati Melissa terus memasang angan-angan kalau-kalau hendak ada seorang lelaki sanggup menyediakan begitu untuknya.

     “Melissa!” Faris menegur dengan panggilan nama buat pertama kalinya. Melissa tergamam.

     Sambil mengangkat pinggan roti gulung, Faris nampak seperti menghulurkan pinggan Fajita itu kepadanya. Sebuah senyuman menghiasi bibir Melissa. Baru sekejap tadi dia berangan-angan begitu. Lalu tanpa mahu membuang lebih banyak masa, tangan Melissa jua terhulur hendak menyambut huluran pinggan tersebut.

     “Sos,” belum sempat tangan Melissa mencapai pinggan di depan, jari telunjuk dari bawah pinggan Faris terkuit menunjukkan ke arah botol sos cili betul-betul di depan Melissa.

     Aduhai, malunya!

     Melissa memaksa diri menundukkan wajahnya ke bawah kala menolak botol sos cili kepada Faris.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku