NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
787

Bacaan






BAB 16

     ROGAYAH menunggu semenjak hampir satu jam lagi di perkarangan kawasan rumah sewa itu. Rumah peninggalan arwah ibu mertuanya itu telah tidak sempurna lagi sebagai tempat tinggal dia sekeluarga. Jika dahulu semasa masih ada ibu mertuanya, rumah inilah tempat kediaman mereka. Namun setelah arwah ibu mertuanya meninggalkan hampir sepuluh tahun dulu, suaminya berhak sepenuhnya memiliki rumah ini sebagai anak sulung lelaki. Rogayah mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan rumah yang lebih selesa. Hari ini rata-rata orang di Kuala Lumpur, berlumba-lumba memiliki rumah batu jika tidak banglo pun cukuplah teres dua tingkat. Itu juga antara pengaruh kemasyarakatan memiliki sebuah kediaman yang lebih selesa. Tidaklah hidup bersesak-sesak seperti kawasan setinggan ini. Kesudahannya rumah separuh kayu ini dijadikan bilik-bilik sewa kerana rumah pusaka ini mempunyai enam bilik. Sebuah bilik dengan harga empat ratus ringgit sebulan, dapatlah keluarga Rogayah gunakan buat belanja keperluan harian.

     Jika dahulu, di sinilah dia melahirkan anak sulung dan keduanya. Di rumah inilah dia berpantang sehingga habis. Di sinilah kedua-dua anaknya membesar sehingga masuk ke sekolah rendah. Namun sebaik memasuki sekolah menengah, mereka mula mengadu tentang rasa malu kepada dia dan suami. Malu menjadi bahan ejekan rakan-rakan kerana tinggal di kawasan setinggan. Lantas, Rogayah merayu kepada suaminya agar berpindah. Alasannya memang jelas demi anak-anak. Tapi hatinya paling dalamnya turut tidak menyenangi suasana hidup di sini semenjak dulu. Lantas dengan gaji kerja kerajaan tidak sampai tiga ribu sebulan, suami Rogayah memohon pinjaman bank untuk membeli sebuah rumah teres corner lot. Harga 250 ribu dulu amatlah besar nilainya, apatah lagi rumah itu seluas 22 x 75 kaki. Belum masuk kawasan sekeliling. Namun Rogayah amat puas hati adapun gaji bulanan suami hampir separuh dipotong untuk bayaran ansuran rumah itu kerana nilai rumah sama seperti hari ini hampir mencecah 1 juta Ringgit Malaysia. Memang sampai bila-bila Rogayah tidak akan dapat merasa tinggal di rumah teres macam itu.

     Rogayah menyisihkan kenangan lama itu. Matanya kembali melilau sekitar kawasan, kalau-kalau hendak ternampak kelibat Saera. Dalam satu jam jugalah penyaman udara kereta terpasang buat menyejukkan hawa di dalam kereta. Ke manalah tak nampak-nampak lagi batang hidung budak ni? Sungut hatinya gelisah.

     Memang dia tidak meletakkan apa-apa janji dengan Saera untuk datang ke sini. Tetapi kebiasaannya sebelum 31 hari bulan, bukankah semua orang akan memperoleh gaji? Rogayah mengira sendiri.

     Tentang hal ehwal kewangan, memang Rogayah terlalu arif. Sehinggakan suaminya mendapat gaji pada berapa-berapa hari bulan atau berapa-berapa jumlahnya atau berapa-berapa bonusnya itu pun termasuk dalam kemahirannya. Pendek kata jangan haraplah suaminya dapat menyembunyikan segala nilai wang tersimpan dari belakang otak Rogayah. Apatah lagi belanja harian suaminya juga, Rogayah boleh hitung satu demi satu. Jadi sepanjang di tempat kerja suaminya jarang dapat keluar belanja rakan-rakannya makan di luar.

     Rogayah kembali menilik telefon bimbitnya. Dia mencari kalau-kalau dia ada menyimpan nombor telefon milik Saera. Malangnya tidak ada. Gadis itu sepanjang dikenalinya tidak memakai telefon bimbit. Ini juga punca Rogayah menjadi geram untuk berhubung dengan Saera. Kalaulah ada tentu sejak malam tadi lagi telah dipesan siap-siap kepada Saera tentang kedatangannya.

     “Grrr... kuno betullah budak ni!” marahnya tiba-tiba saat memerhatikan detik jam di papan pemuka kereta. Jangka masa dia menunggu telah berganjak beberapa minit lagi daripada satu jam.

     “Dulu dah cakap, pakai telefon... pakai telefon. Tapi masih tak beli-beli lagi. Kan menyusahkan orang ni!” bentaknya sendirian sambil membaling telefon bimbitnya ke tempat duduk sebelah.

     Jari Rogayah memusing suhu penyaman udara ke tahap maksimum, sehingga rambutnya beralun-alun ke belakang. Tidak berapa lama kemudian telefon bimbit HTCnya menjerit nyaring. Nama paparan berjaya mengeluarkan keluhan keras dari bibir Rogayah.

     “Helo,” mula Rogayah tidak ramah.

     “Waalaikumsalam.” Jawabnya berbasa basi.

     “Kat luar, ada urusan. Kenapa?”

     Bibirnya sedikit herot saat mendengar butir bicara adik ketiganya itu. Gaya bena tak bena sahaja dia mendengar sambil memerhatikan kuku jari-jemarinya. Kemudian lagu di radio kereta sengaja dikuatkan sedikit buat menyaingi suara adik perempuannya.

     “Aya, kau tolong dengar sini. Aku pun tak bekerja macam kau tau. Mana aku nak cari duit banyak tu. Dua ribu ringgit tu bukan kecil, Aya. Banyak benda boleh buat dengan duit sebanyak tu. Kenapa kau tak tanya Idham? Idham tu gaji beribu-ribu tau. Anak pun seorang aja. Belum sekolah lagi.” Sebaik habis mendengar penjelasan adiknya, Rogayah mula melontarkan ayat-ayatnya.

     “Memanglah akak tahu, Idham dah bayar pendahuluan pembedahan tu. Tapi kenapa dia tak selesaikan terus alang-alang dah buat bakti?” tukas Rogayah lebih pantas.

     “Tak ada,” tambahnya singkat.

     “Ya-Allah, Aya... kau ingat aku ini kerja cap duit? Aku pun sempit tau!” bangkang Rogayah.

     “Sudahlah, aku ada kerja ni!” herdiknya geram sambil menekan butang tamat tatkala kelibat Saera mula kelihatan di pandangan Rogayah.


     SAERA bersandar lesu. Plastik membeli belah tersadai di atas lantai tak terusik. Plastik yang mengandungi beberapa buah buku termasuk buku hadiah buat Mia Sara. Kemudian sebuah lagi beg plastik berisi dua helai tudung dari rona berbeza. Memang dia telah berhajat untuk membeli tudung baharu setelah sebulan dulu asyik berganti dua helai tudung yang sama sahaja. Sampaikan Mak Jah pun menegur tentang tudung samanya minggu lepas. Harga tudung yang dibeli itu bukanlah dari jenama ‘anggun-anggun’. Sekadar cukup buat menutup rambutnya. Atau paling tepat buat menutup rupa sebenarnya daripada pengecaman Encik Faris itu. Jika dia hajatkan tudung dari jenama ‘glamour’ itu tentu sekali dia tidak mampu. Cukuplah dengan harga RM30 untuk dua helai tudung. Sebab dia pun bukan dari kategori ‘glamour’. Namun untuk dua helai tudung itu termasuk buku-buku, lebih seratus ringgit juga dia belanjakan.

     “Bulan ini akak memang benar-benar perlukan wang lebih, Saera,” terang Kak Rogayah. Tiba-tiba terasa lemah segala urat sendi kaki Saera. Dalam hatinya sejak dulu bercadang hanya mahu membayar ansuran seratus sebulan kepada sewa bulanan tertunggak bulan lepas memandangkan dia juga memerlukan wang belanja hari-hari.

     Dia pun mahu mengadukan hal ini dengan Kak Rogayah. Tapi Kak Rogayah lebih dulu muncul dengan segala pujuk rayu. Berbekalkan baki gaji seribu ini, mampu kah Saera melunaskan hutang berjumlah RM800 itu sekali gus?



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku