NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
841

Bacaan






BAB 17

ZIKRI mengambil jus oren yang terhulur dari tangan Faris. Isi separuh gelas kaca itu diteguk sekali dua. Sambil berlalu ke meja Candy Party untuk mengambil sebiji marshmallow, pandangannya terpaku lama ke arah seseorang yang baru sahaja menyusup masuk ke halaman rumah temannya. Dalam ramai-ramai tetamu jemputan Faris tiba-tiba Zikri lebih minat memaku penglihatannya kepada gerangan tidak dikenali itu. Dia segera berlalu ke arah Faris yang baru memulakan perbualan dengan salah seorang tetangganya.

     Zikri memandang kiri kanan terlebih dahulu. Dia khuatir kelibat isterinya ada berdekatan.

     “Siapa tu?” bisik Zikri ke telinga Faris sambil menggunakan gelas kaca di tangannya ke arah dua orang gadis yang sedang meloloskan diri daripada para tetamu. Mereka berdua berlalu ke arah pintu dapur.

     Mata Faris memusat kepada salah seorang gadis dimaksudkan Zikri. Saera dan seorang gadis yang tidak dikenali sekadar sempat sekali pandang ditangkap mata Faris sebelum mereka hilang di balik kelibat kanak-kanak; teman-teman Mia Sara.

     Lengan Faris disiku Zikri, sekali lagi cuba mendapatkan jawapan. Faris tunak memandang wajah Zikri. Belum pun sempat Faris berkata apa-apa, kelibat Azlina muncul dari arah belakang Zikri.

     “Lina! Bagusnya kau, Zik... ada isteri tolong tatang makan,” sengaja canda sedemikian Faris kuatkan suaranya buat menyedarkan Zikri daripada terus hanyut melayan jiwa lelaki. Azlina tersenyum-senyum mendengarkan pujaan teman suaminya.

     Jatuh bahu Zikri dalam sekelip mata demi mendengarkan nama Lina. Zikri cuba memaniskan muka sebelum memalingkan wajahnya ke belakang. Azlina menghampirinya dengan sepinggan penuh sarat dengan makanan, termasuk buah-buahan dan kuih pencuci mulut.

     “Bang, cuba ni... best tau.” Sudu camca kecil betul-betul dihalakan ke bibir Zikri. Tanpa sempat mengelak, Triffle Cake berjaya masuk ke mulut Zikri.

     “Untung kau, Zik... ada isteri tolong suapkan.” Bahu Zikri ditepuk oleh Faris. Hampir tersedak isi pencuci mulut yang masih di dalam mulut Zikri.

     “Itulah, Faris... suruh kahwin lagi sekali tak mahu,” sambut Azlina yang tidak kurang juga lucunya. Tetangga Faris bersama mereka bertiga turut berkongsi senyum.


ROSNI mengekori langkah Saera. Mereka bertukar salam dengan beberapa orang. Semuanya tidak dikenali Rosni. Ini kali pertama dia menjejakkan kakinya di sini. Segalanya terasa janggal. Mujur juga Saera tidak meninggalkannya jauh-jauh. Sebaik dia melihat Saera bertukar beberapa ayat dengan wanita yang tadinya dipanggil sebagai Mami June, Saera terus mengheret lengan Rosni. Entah ke mana pula mahu dibawa Rosni di ruang rumah sebesar ini. Sebuah kamar berhampiran tangga dimasuki Saera.

     “Assalamualaikum... Aunty,” seru Saera. Rosni tergamam melihatkan sekujur jasad terlentang di sebuah katil. Matanya berkelip-kelip memandang ke siling kamar.

     Agaknya inilah Aunty Rosnah yang dijaga Saera selama ini. Fikir Rosni. Seluruh pandangan Rosni meneliti setiap sudut kamar yang tidak kurang juga luasnya. Penyaman udara dan kipas siling berfungsi serentak tapi dalam kelajuan minimum. Ada tiga daun tingkap yang ditutup dua lapisan langsir. Hanya langsir paling dalam dan paling tebal kainnya diikat. Manakala langsir putih jarang dibiarkan menutup tingkap yang tertutup rapat. Begitu pun bunyi hiruk pikuk dari luar rumah tetap terlepas masuk adapun tidak sebingit keadaan di luar sana tadi.

     “Aunty, apa khabar hari ni?” Saera mengambil duduk di birai katil sambil menjamah belakang tangan Aunty Rosnah.

     “Hari ini, saya bawa kawan... ini Rosni. Dulu saya pernah ceritakan kat Aunty.” Tutur kata Saera terus mendapat perhatian deria dengar Rosni. Terlalu pelik pada Rosni yang baru pertama kali menyaksikannya.

     “Eh!” Rosni mencuit bahu Saera.

     “Dia faham ke apa kau cakap tu?” seolah-olah berbisik Rosni meluahkan kemusykilannya. Mata Rosni mengamati penuh hairan tubuh terbujur Aunty Rosnah dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

     “Aunty, tahu tak hari ini birthday Mia?” Tanpa mempedulikan pertanyaan Rosni, Saera memeriksa kantung makanan yang tergantung. Rosni ikut sama memerhati.

     “Ramai sangat orang kat luar sana, Aunty,” beritahu Saera lagi.

      Kemudian Saera memeriksa kantung tiub kateter yang tergantung di sisi katil. Dahi Aunty Rosnah disentuh dengan tapak tangannya. Saera kembali duduk setelah barangkali berpuas hati.

     “Aunty, saya keluar dulu ye... nak tolong Mak Jah dan Mami June di dapur.” Dengan tertib, Saera memohon diri. Rosni masih tercengang tidak tahu bagaimana harus beraksi apabila Saera berlalu keluar.


SAERA menyerahkan hadiah tak seberapanya kepada Mia Sara kala para tetamu telah beransur pulang. Berbanding banyak-banyak hadiah yang diterima Mia Sara, tentulah pemberian Saera ini terlalu kecil nilainya. Baru tadi dia melihat teddy bear hampir sebesar Mia Sara, pemberian datuk dan neneknya. Kemudian sekejap tadi Mia Sara membuka balutan sebuah kotak hadiah daripada Mami June. Sehelai gaun labuh rona tanah dari jenama Somerset Bay yang tentu harganya mencecah ratusan ringgit. Apatah lagi dengan sulaman tangan penuh di dada dan hujung kainnya. Itu belum lagi hadiah tiket percutian tiga orang ke Legoland termasuk penginapan tiga hari dua malam di hotel di Johor Bahru daripada Melissa.

     Kisah 25 Rasul tentulah tidak sehebat koleksi Siri Geronimo Stilton (15 set buku) hadiah Aunty Azlina dan Uncle Zikri; teman papa Mia Sara. Pendek kata, segala pemberian yang diterima Mia Sara hari ini bukan berharga sekupang dualah.

     “Acik, malam ni tidur sini,” pinta Mia Sara kala Saera dan Rosni mula bersiap-siap untuk berangkat pulang.

     Kerja-kerja di dapur hampir separuh telah dibereskan. Biarpun tidak disuruh oleh Mak Jah atau Mami June, namun demi melihatkan suasana kelam kabut dan berselerak di ruang dapur itu Saera ringan tulang membantu. Dia kasihan mengenangkan Mak Jah dan Mami June yang akan mengemas nanti.

     “Hari ni tak boleh Mia. Esok Acik Rosni kerja awal pagi. Tak pe esok pagi, Acik datang awal-awal.” Saera sedikit mencangkung setara dengan ketinggian Mia Sara menolak permintaan anak kecil itu.

     “Kalau gitu, baliklah lambat,.. malam ke?” pujuk Mia Sara lagi.

     “Kalau malam, nanti susah nak dapat bas,” tukas Rosni ikut sama berminat dengan perbualan Saera dan Mia Sara.

     “Alah... Saera nanti biar papa Mia hantarkan. Bukannya nak balik ke Kelantan pun,” sambil berjalan melintasi Saera, Mami June yang sedang membawa masuk mangkuk set bufet kosong ke arah dapur memberikan cadangan.

     Saera hilang kata-kata. Rosni memandang wajah keruh temannya.

     “Yeayy! Yeay! Nanti Mia kasi tahu papa tau...” Mia Sara telah bersorak dengan idea daripada nenek saudaranya. Opah June memang pandai! Fikir Mia Sara terus berlari ke arah luar mencari kelibat papanya yang masih leka berbual dengan beberapa orang tetamu.

     “Eh, Mia... tunggu dulu,” panggil Saera tapi sudah tidak didengari.

      Saera berlalu ke dapur. Dia ingin mencari Mami June. Bukan dia tidak sudi menerima budi orang. Tetapi dia lebih tahu Faris itu bagaimana orangnya. Lagi-lagi kalau adanya Rosni bersama. Dia khuatir Rosni akan ‘mengenali’ rupa sebenar majikannya selama ini. Malulah dia!

     “Mami,” panggil Saera apabila melihat Mami June di sink.

     “Saera dan Rosni boleh guna bilik tetamu, sebelah bilik Aunty Rosnah. Kat sana dah ada kain sembahyang dan sejadah.” Belum sempat Saera mula berkata apa-apa, Mami June lebih dulu merangka.

     “Tolong, Mami... kat depan sana masih banyak yang perlu kemas, Saera.” Mami June memegang bahu Saera, meminta sedikit simpati. Mami June seakan-akan sudah tahu apa yang mahu diungkapkan Saera.

     Akhirnya Saera terpaksa mengangguk.


MIA SARA ikut serta menghantar Saera dan Rosni. Saera rasa hairan melihatkan aksi riang Mia Sara. Tidak letih kah Mia Sara sepanjang majlis hari ini? Dan sekarang telah menghampiri jam 12 malam matanya masih segar bugar melayan bual.

     “Acik, rumah Acik besar tak?” soal Mia Sara setelah beberapa pertanyaannya kurang mendapat sambutan daripada papanya. Sepatah ditanya, sepatah juga dijawab.

     “Kecil je,” pendek jawapan diberikan Saera.

     “Acik Ros pula, besar tak?” usulnya beralih kepada Rosni

     “Kecil juga, Mia,” balas Rosni.

      Kadangkala perkara-perkara peribadi begini agak sukar untuk kita berterus terang dengan jujur. Cukuplah sekadar dengan jawapan ya atau tidak. Atau jawapan paling mudah, mendiamkan diri. Namun demi mengenangkan yang bertanya seorang kanak-kanak petah bahasa, lalu Saera dan Rosni harus jua menjawab untuk menjaga hati Si Kecil.

     Jalan di hadapan mula bersimpang dua, mahu tidak mahu Saera terpaksa jua membuka bicara dengan Faris. Sepanjang hampir satu jam dalam kereta tadi, hanya suara Mia Sara lah menguasai perbualan. Manakala Faris sekadar bertanya kiri atau kanan atau tidak pun laluan mana satu. Dan sekarang Mia Sara sudah terlena.

     “Encik Faris masuk ke kanan,” ucap Saera agak janggal memberi arahan buat pertama kali kepada majikannya.

      Tanpa apa-apa balasan, Faris mengikut arah yang dipandukan Saera. Dia memang bernasib malang malam ini kerana keretanya berada dalam garaj. Dan disebabkan hanya kereta Honda Stream Mami June ini sahaja yang berada di luar, maka dia terpaksa memandu kereta ini. Dan kesukaran buatnya kerana kereta keluaran 2007 ini tidak dilengkapi alat pandu arah GPS seperti mana keretanya. Jadi terpaksalah dia menerima setiap arahan laluan melalui mulut Saera.

      Apabila semakin menghampiri destinasi dituju, laluannya juga semakin sempit sehingga tiada lagi jalan bertar.

     “Encik Faris boleh berhenti di sini,” pinta Saera mula bersiap-siap untuk keluar.

     Pandangan Faris meninjau kiri kanan. Hanya semak belukar memagari penglihatannya. Kemudian ternampak samar-samar satu tiang lampu dari jauh di depan sana.

     “Mana rumah?” usulnya sedikit seram dengan suasana persekitaran. Tak ubah seperti kawasan persekitaran rumah kongsi pendatang-pendatang asing.

     “Kat depan tu sikit aja,” beritahu Saera sudah mula membuka pintu kereta. Rosni hanya membisu, sekadar ingin menjadi pendengar patah bicara temannya. Ada sesuatu yang mula jadi tarikan dalam benaknya.

     “Saya ke depan sikit lagi... tutup pintu kereta tu.” Saera menolak kembali tubuh Rosni ke tengah sebaik merapatkan semula pintu kereta.

     Faris menolak gear kereta dari N ke D dan mula menekan perlahan-lahan pedal minyak. Tanah merah di hadapannya agak becak. Senyum Rosni mula mengoyak sedikit. Bukan susah pun nak faham ayat-ayat macam ini, bisik hati Rosni.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku