NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1031

Bacaan






BAB 18

FARIS termangu sendiri. Telah hampir dua jam dia berada di dalam kereta ini sebaik bertolak keluar dari halaman rumah sewa Saera. Mujurlah anaknya nyenyak sahaja dalam tidurnya. Jika tidak berganda lagi rasa geram Faris. Jam di papan pemuka kereta telah menghampiri 3.00 pagi. Dia sendiri tidak tahu di mana dia berada sekarang. Tadi, dia ternampak kelibat penunggang dua buah motosikal di pinggir jalan, namun disebabkan dia jenis penuh syak wasangka jadi dia tidaklah berhenti bertanya. Betullah kata orang, malu bertanya sesat jalan. Begitulah situasi yang dialami Faris. Matanya sejak tadi berpasir dan mengantuk. Jika tidak diingatkan adanya Mia Sara bersama, mahu sahaja dia memberhentikan kereta buat melelapkan mata seminit dua.

     Telefon bimbit Faris yang hampir kehabisan bateri berdering. Nama Mami June keluar. Segera disambut Faris.

     “Faris kat mana tu?” usul Mami June.

     “Tengah cari jalan baliklah ni,” balasnya kurang bersemangat ditambah rasa geramnya dengan kereta Mami June. Walaupun tadi berkali-kali Mami June mengingatkan tentang keretanya yang tidak memiliki GPS.

     “Sesat ke?” Ada ketawa mengiringi pertanyaan Mami June.

     “Bukan sesat... saja-saja melawat kawasan.”

     Kian menjadi ketawa Mami June di hujung talian. Dah tahu pun masih nak bertanya.

     “Kat mana sekarang?” tanya Mami June.

     “Entahlah...” Faris membalas lemah. Dia kurang minat melayan gurau ibu saudaranya.

     “Okey, tak apalah... Mami ingatkan Faris bermalam kat rumah Saera aje tadi,” canda Mami June sebelum mematikan panggilannya.

     “Hah,” tukas Faris terperanjat.

     Kisah gadis ini satu hal menambahkan bengang kepala Faris. Kalau Saera tak datang ke majlis tadi, tidaklah dia seperti lalat buta di tempat tak diketahui. Sekarang satu laluan pun tak ada papan tanda. Mula-mula tadi ternampaklah juga papan tanda menunjukkan hala ke arah Bagan Lalang. Selepas itu, hilang entah ke mana pun Faris tidak perasan. Sedar-sedar dia telah memasuki jalan ini. Grrr... sakit hati!

     Faris menggigit bibir bawahnya.

     Dalam kelajuan tidak sampai 50km/j, Faris berhati-hati juga kalau-kalau terlepas lagi sekali apa-apa papan tanda menuju ke pusat bandar. Jika ada penunjuk arah untuk memasuki lebuh raya, lagilah Faris bersyukur.

     Dari jauh, dia akhirnya terlihat sebuah kedai kopi berhampiran pinggir jalan. Brek kereta segera ditekan demi melihatkan masih ada beberapa orang pengunjung di situ. Faris memanjatkan rasa syukurnya.


ROSNI masih belum puas hati dengan penjelasan Saera. Temannya itu masih memberikan jawapan tanpa perasaan tatkala Rosni mengajukan apa-apa pertanyaan berkaitan hal ehwal majikannya malam tadi. Atau memang Saera mahu menyimpan rahsia peribadi. Saera kan cekap menutup rahsia perasaan.

     Malam tadi, Rosni sengaja mencari alasan untuk bermalam di bilik Saera bila dipelawa untuk dihantar pulang oleh Faris. Sebenarnya, dia mahu menyelidik lebih lanjut hal ehwal Saera dan majikannya itu.

     “Eh!” Rosni menepuk bahu Saera.

      Sedikit tersedak minuman yang baru menuruni separuh kerongkong Saera. Telapak tangannya mengesat birai bibir.

     Saera mencerlung geram seraya Rosni mengambil duduk berhadapan Saera. Pinggan berisi nasi lemak lauk sambal sotong rendam kesukaan Rosni diletakkan atas meja.

     “Pukul berapa sekarang?” soal Rosni, walhal telefon bimbitnya terletak elok di atas meja bersebelahan teh tarik yang baru dibawakan oleh adik pelayan kedai.

      Saera yang tidak mempunyai jam tangan dan telefon bimbit, terpaksa melingas pandangan ke sekeliling kedai mencari jam.

     “7.25,” balas Saera cuba menghabiskan baki Milo panas. Dia hendak cepat, biarpun Mami June sudah berpesan pagi ini tidak perlu datang awal memandangkan dia tahu jam berapa Saera pulang malam tadi. Namun, demi mengenangkan Aunty Rosnah yang tidak ada sesiapa sanggup uruskan, Saera tidak seharusnya melengahkan masa.

     “Belum pun 7.30 pagi. Yang kau tergesa-gesa ni, kenapa?” usul Rosni, sesuap nasi lemak masuk ke mulutnya setelah membaca bismillah.

     “Tak ada orang kat sana, Ros,” ucap Saera mula meletakkan gelasnya ke meja.

     “Huh, bukannya aku tak dengar apa Mami June pesan malam tadi... Saera tak usahlah datang awal sangat esok pagi. Esok, Mami tak ke kedai,” ulang Rosni bait-bait kata Mami June sebelum dia dan Saera keluar rumah besar itu malam tadi.

     Kalaulah pesanan itu untuk Rosni, matahari tegak atas kepala barulah dia ke sana. Tidak pun terus tak pergi kerja langsung.

     “Nanti kesian kat orang tu, Ros,” singkat Saera. Dia perlu mengejar bas pula. Semakin dilayan usul periksa Rosni ini, makin berat kepala otaknya.

     “Aik, kesian kat orang itu? Orang yang mana satu?” Rosni tidak akan membiarkan Saera terlepas begitu saja.

     “Aunty Rosnah... Aunty Rosnah!” Sedikit tegas Saera menekankan nama Aunty Rosnah. Moga-moga Rosni faham.

      Beg sudah disandang ke bahu. Saera mengeluarkan not RM20. Dia berlalu ke kaunter bayaran. Harga makan untuk dia dan Rosni dijelaskan. Sebelum berlalu, Saera menepuk bahu Rosni.

     “Aku pergi dulu... Jaga diri baik-baik,” pesan Saera sebelum melintas jalan untuk ke seberang.


WAKTU Saera tiba di pekarangan halaman rumah majikannya, khemah kanopi, meja dan kerusi masih berselerak. Rumah besar itu hampir hilang serinya dengan segala longgokan barang tidak berkemas. Dia memasuki pintu sebelah belakang kerana ternampak kelibat Mak Jah mundar-mandir di situ. Entah apalah yang sedang dibersihkannya. Pembantu rumah yang amat rajin pada pandangan mata Saera.

     “Assalamualaikum, Mak Jah,” tegur Saera.

      Sedikit terkejut Mak Jah mendengar ucapan salam Saera. Dia berpaling cemas.

     “Waalaikumussalam... Eh, Saera!” balas Mak Jah. “Awalnya,” usul Mak Jah.

     Saera senyum. “Mak Jah buat apa?”

     “Nak buangkan sampah ni aje. Pergilah masuk dulu!” arah Mak Jah tidak suka menerima apa-apa bantuan daripada Saera.

     Dengan sekali anggukan, Saera beredar masuk ke dalam rumah. Dapur rumah ini seperti biasa sentiasa kemas. Pinggan mangkuk telah disimpan ke dalam kabinet. Begitu juga dengan periuk belanga. Pendek kata bahagian dapur ini, tidak ada sesiapa yang boleh kompelin apa-apa.

     Saera membawa beg tote berisi telekung sembahyangnya ke bilik solat betul-betul di bawah tangga. Bilik kecil yang hanya boleh memuatkan tidak lebih tiga hamparan sejadah dan sebuah penyidai kayu untuk menyangkut telekung sembahyang. Kemudian ada sebuah rak kayu kecil di dinding. Beberapa naskhah al-Quran, tafsiran dan kitab-kitab disusun di situ. Mungkin kepunyaan Mak Jah atau Aunty Rosnah dulu-dulu. Saera pun tidak pernah bertanya lanjut tentang hal ini.

     Sebaik keluar dari pintu bilik solat, telinganya menangkap sayup-sayup suara perbualan dari tingkat atas. Andaiannya terus berpusat kepada suara Mia Sara dan bapanya.

     “Jangan macam tu, sayang...”

     Saera menangkap butiran itu. Lemah lembut suara itu memujuk.

     “Tak mahu pergi rumah nenek...” rengek Mia Sara.

     Daun pintu berwarna gading itu perlahan-lahan dirapatkan Saera. Dia bukan ingin memasang telinga. Tetapi dia cuma khuatir bunyi yang terlantun mengganggu perbualan dua beranak itu.

     “Hari ini Mia dah tak ke sekolah, tau.”

     Suara itu kedengaran kian dekat. Saera sedar mereka di atas itu mulai mendekati tangga. Lalu, dia segera meloloskan diri ke arah pintu kamar Aunty Rosnah.

     “Tak mahu...”

     “Mia tak mahu tinggal dengan nenek?”

     “Mia nak tinggal sini,” adu si kecil itu lagi.

     “Dengan papa... Opah June... Opah Jah...” hitung Mia Sara satu per satu.

     “Dan... mama.”

     Nama terakhir disebut Mia Sara menyentuh hati Saera dengan tiba-tiba. Saera menyandarkan badannya di belakang pintu kamar.

     Ditinggalkan seorang ibu dalam usia belum sempat untuk mengenalinya, ternyata rupa-rupanya Mia Sara masih mengerti betapa dia dahagakan belaian kasih sayang seorang ibu. Kesiannya!

     Saera meninggalkan pintu tempat bersandarnya. Dia ingin memeriksa keadaan Aunty Rosnah. Tiba-tiba dia baru menyedari telah terlupa untuk menandai buku kedatangannya. Hatinya menjadi serba salah. Mahu keluar sekarang atau membiarkan dahulu rutin wajibnya menandai buku kedatangannya. Jika dia keluar sekarang tentulah kurang sesuai dengan iklim perbualan yang sedang dibincangkan di luar sana. Suasana hubungan dua hala dia dan majikannya itu selalu tidak baik sejak dulu lagi? Dia tidak mahu terus menyemai faktor-faktor kemarahan dan kebencian dalam diri majikannya itu.

     Lalu Saera memutuskan untuk membiarkan sahaja. Apabila tidak kedengaran lagi suara perbualan di luar sana itu, barulah nanti dia keluar kamar.

     “Assalamualaikum, Aunty Rosnah!” sapa Saera seperti selalu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku