NOTA CINTA ORIGAMI (KUPU-KUPU ORIGAMI)
BAB 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 21 Jun 2015
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
874

Bacaan






BAB 19

RAMLAN mengetuk sekali daun pintu tanpa tanda nama. Dalam hatinya berdoa agar individu yang hendak ditemui itu ada. Dia menantikan jawapan masuk dari dalam. Seperti diharapkan, ketukan keduanya bersambut.

     “Masuk!”

     Ramlan segera memulas tombol pintu. Dia mengelek bersama satu naskhah kertas kerja siap berjilidKertas wajib lulus semester ini modul Sejarah Kesusasteraan Asia Tenggara, Alhamdulillah dua kertasnya telah dihantar untuk penilaian kepada dua orang penyelia. Yang ini... insya-ALLAH adalah yang ketiga disiapkan untuk kursus ini.

     “Assalamualaikum, Prof.” Ramlan memulakan salam, menutup rapat pintu.

     “Waalaikumussalam... duduk,” pelawa Profesor Naquib Hassan.

     Kadangkala berbual dengan Profesor Naquib Hassan tidak menimbulkan rasa kekok kepada Ramlan malah kepada semua pelajar. Sekalipun beliau hanya pensyarah jemputan dari Prince of Songkhla University. Tetapi kefasihannya bertutur Bahasa Melayu sangat membanggakan. Ceritanya dalam kuliah-kuliah yang lepas, dia lebih senang berbahasa Siam. Tapi pastinya ramai yang tidak akan faham. Lantas, dia memilih Bahasa Melayu kerana katanya bukan pelajar-pelajar sahaja yang perlu membuat persediaan sebelum masuk ke kelasnya. Malah, dia juga akan membuat persediaan iaitu memahirkan lagi percakapan dalam Bahasa Melayu sebelum bercakap di hadapan semua.

     Semua pelajar tahu, Profesor Naquib Hassan keturunan Melayu. Namun jarang Melayu-Siam fasih bertutur Bahasa Melayu tanpa meninggalkan telornya. Kecuali kalau dia benar-benar telah lama berada di Malaysia.

     “Semuanya okey?” tanya Profesor Naquib Hassan.

     “Alhamdulillah, Prof.,” akui Ramlan menyerahkan naskhah kertas kerjanya kepada Profesor Naquib Hassan. Beliau mula membelek dari satu halaman ke satu halaman kertas kerja Ramlan.

     “Insya-ALLAH, sebelum saya pulang... saya rasa saya sempat siapkan markah semua,” janjinya. Ramlan nampak lega mendengarkannya.

     Ramlan mengambil kesempatan menilik ruang bilik yang tidak seluas mana. Sebagai pensyarah jemputan pasti Profesor Naquib tidak mengharapkan apa-apa layanan istimewa. Lagi pun dia hanya diperuntukkan dua belas jam sahaja dari syllabus ini. Bermakna jika dia memberi kuliah dua jam seminggu, enam minggu pengajarannya sudah selesai.

     Ramlan terpaku melihat satu susunan buku-buku tulisan penulis Malaysia di atas meja. Memang pensyarahnya ini seorang yang suka membaca. Setiap kali ada peluang dijemput datang ke sini, pasti ada sahaja karya-karya penulis Malaysia menjadi bahan tetap bacaannya. Malah, semuanya akan dibawa pulang nanti bersama.

     “Prof. dah jumpa semua koleksi hari tu?” tanya Ramlan pura-pura ambil tahu.

     “Oh, kebanyakannya sudah ada... cuma satu sahaja lagi belum saya dapat.” Profesor Naquib Hassan menjeling ke arah susunan buku yang dibeli beberapa hari lepas.

     “Buku apa lagi yang belum dapat, Prof.?” tanya Ramlan.

     “Juara, tulisan S Othman Kelantan juga.” Profesor Naquib Hassan mempamerkan salah satu nama penulis sama kepada buku Wajah Seorang Wanita.

     “Oh, jangan bimbang, Prof... nanti saya cuba-cuba carikan. Kalau tak sempat, saya akan pos untuk Prof.,” janji Ramlan cuba masuk daun dalam situasi begini.

     “Oh, betul ke? Terima kasih, Ramlan.” Profesor Naquib membelek semula muka depan kertas kerja Ramlan untuk memastikan nama pelajarnya ini. Jumlah hampir seratus orang pelajar mengikuti kursus Kesusasteraan Thai mustahil diingati Profesor Naquib semuanya. Apatah lagi dia bukan pensyarah tetap di sini.

     Sekilas ingatan, Profesor Naquib kembali mengingati budi seorang gadis yang meminjamkan kad ahlinya di kedai buku tempoh hari. Adakah semua belia Malaysia mempunyai sikap suka membantu? Kali ini, dia mendapat satu lagi huluran bantuan tidak dipinta daripada pelajar jurusannya yang kurang dikenali.

     Ramlan meneliti lagi meja pensyarah ini. Ada sekeping foto di dalam bingkai gambar di atas mejanya. Pastinya isteri dan anak-anak pensyarah ini. Menyedari perhatian mata Ramlan, Profesor Naquib Hassan ikut memandang foto sama.

     “Anak-anak,” sebut Profesor Naquib Hassan tersenyum menyedarkan Ramlan.

     “Ooo...” Ramlan cuba menutup keterlanjuran matanya.

     “Yang sulung akan masuk universiti nanti.” Telunjuk Profesor Naquib Hassan menuding kepada salah seorang anak lelaki paling besar.

     “Manakala yang ini masih di sekolah.” Telunjuknya berpindah kepada individu sebelah yang lebih kecil.

     “Dua orang aja Prof.?” soal Ramlan.

      Mata Profesor tiba-tiba tersasar keluar daripada bingkai tadi. Dia mengambil sedikit masa untuk mengangguk. Pertanyaan Ramlan bagaikan mula menyedarkannya tentang seorang lagi anaknya yang tidak dimasukkan dalam jumlah itu.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 | BAB 7 | BAB 8 | BAB 9 | BAB 10 | BAB 11 | BAB 12 | BAB 13 | BAB 14 | BAB 15 | BAB 16 | BAB 17 | BAB 18 | BAB 19 | BAB 20 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku