Hati Kasih
Hati Kasih
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 27 Julai 2015
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)
1619

Bacaan






“BERAMBUSSS!!” Bentak Cinta.

“Aku cakap berambus, berambus daripada bilik aku!” Suara Cinta makin meninggi.

Kasih hanya terkebil-kebil.Sungguh Kasih tak percaya yang Cinta akan mengamuk sebegitu.Memang Kasih tahu sangat yang Cinta tak pernah sukakannya.Apatah lagi menyenangi segala tindakan yang dilakukannya.Tapi belum pernah Cinta mengherdiknya sebegitu.

Cinta melabuhkan punggung ke atas katil.Matanya menjegil.Bulat dan merah. Keningnya bercantum rapat ditengah-tengah.Dahinya berkerut-kerut menahan amarah. Memandang wajah Kasih sahaja sudah cukup untuk membuatkan hatinya luka parah. Jiwanya bagaikan terbelah, berdarah dan bernanah.

Kasih masih terjenguk-jenguk di sebalik tabir.Menatap wajah bulat itu dalam-dalam. Sesudah lama tenggelam dalam jeda yang panjang,dia cuba mengurai resah yang mengikat perasaan.Menarik nafas dalam-dalam sebelum muncul semula di hadapan sekujur tubuh yang amat dikenalinya itu.

“Kenapa Cinta?” Suaranya dilembutkan.Berniat hendak memujuk hati yang sedang panas.

“Kau ni tak faham bahasa ke? aku cakap berambusss.Kenapa kau datang balik? Keluar daripada bilik aku sekarang jugak!!” Cinta bertempik kuat.Tempikannya mengalahkan halilintar.

“Cinta, bawalah bersabar..jangan marah-marah macam ni.” Pujuk Kasih lagi.

“Heii..keluarlah kau.Tak faham bahasa betul!” Tubuh Kasih ditolak keluar.

Langsung pintu bilik dihempas kuat.Berdentum bunyinya.Cukup kuat untuk menyakitkan telinga, cukup berkesan untuk merobekkan jiwa.

‘Kenapa dengan Cinta tu?’ Hati Kasih berbolak-balik.Dia merasa hairan melihat kelakuan Cinta.

Tokk..tok..tokkk!! Ketukan pintu berbunyi bertalu-talu.

“Cinta..kalau ada masalah janganlah segan nak beritahu Kasih.Mungkin Kasih boleh tolong?” Jeritan Kasih bergema diluar bilik.

“Kau ni tak faham bahasa ke? Kan aku dah cakap jangan kacau aku? berambuss!” Jerkahnya.Cinta betul-betul bengang.Kenapalah perempuan itu tak faham-faham bahasa?

Kasih terkesima.Begitu marahkan Cinta kepadanya? Tapi mengapa? Apa salahnya? Lima minit berlalu, akhirnya Kasih memutuskan untuk pergi.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

MASUK kali ini, entah sudah berapa kali Cinta menyumpah di dalam hati.Bengkak sungguh hati Cinta melihat bonda memuji-muji pencapaian peperiksaan kakak.Macamlah Cinta ini bodoh sangat di mata bonda.Cinta bukannya tak cerdik.Cuma nasib yang tak menyebelahi Cinta.Tengoklah suatu hari nanti, Cinta akan buktikan pada bonda yang Cinta lebih hebat berbanding kakak!

Bonda memang berat sebelah.Apa sahaja yang kakak buat, semuanya dihadiahkan pujian oleh bonda.Semuanya dibanggakan bonda.Tapi apa yang Cinta buat semuanya dipandang jelek dan enteng di mata bonda.Pernah Cinta sesekali terfikir , mungkinkah Cinta ini cuma anak pungut? kerana itu bonda selalu melebih-lebihkan kakak berbanding Cinta.

Kakak anak genius, kakak budak yang ringan tulang, kakak perempuan solehah, kakak itu, kakak ini..semuanya kakak.Seolah-olah kakaklah segala-galanya bagi bonda. Kakaklah anak paling hebat di dalam dunia ciptaan bonda.Kakaklah ratu yang sentiasa bertahta di hati bonda sedangkan Cinta cuma sang pengemis hodoh yang sentiasa menyakitkan pandangan mata bonda.

Apa kurangnya Cinta? Cinta juga bagus dalam pelajaran walaupun sering kalah di tangga sepuluh paling teratas dalam kelas.Cinta juga tangkas berlari dan lincah di padang sekolah walaupun masih tertewas berbanding gelaran olahragawati sekolah yang disandang oleh kakak. Cinta juga cantik seperti bonda malah jauh lebih cantik berbanding kakak.

Ya.memang Cinta bukan anak yang baik. Cinta bukan seperti kakak yang sentiasa patuh pada arahan bonda.Kakak sentiasa menjadi anak emas bonda kerana setiap kata-kata dan arahan bonda akan kakak patuhi tanpa sekelumit pun rasa hendak memberontak seperti Cinta.Jangankan hendak berkata “ Ah!” , “ alah..” , hatta bersuara “sekejap lagilah bonda..” yang seperti selalu Cinta lakukan pun kakak tak pernah berani.

Kakak seperti Lembu yang dicucuk hidungnya.Patuh sahaja pada arahan tuannya. Kakak sanggup mengenepikan perasaan dan gelodak jiwa remajanya semata-mata kerana ketaatanya pada bonda. Andai terpaksa merangkak , bersujud di hadapan bonda sekalipun Cinta percaya kakak sanggup melakukannya! Begitulah tingginya rasa hormat kakak kepada bonda.

Beza sekali dengan Cinta.Cinta tak dungu seperti kakak.Cinta tak rela jadi orang suruhan bonda.Cinta mahu bebas.Cinta mahu mencorak sendiri mimpi remaja Cinta dengan warna-warna penuh ceria mengikut rasa dan impian hati Cinta.Tak boleh.Nyata bonda tetap mahu Cinta mengikut corak dan percaturannya.Cinta,jadilah seperti kakak.Cinta, cuba kamu contohi kakak.

Cinta kian lemas.Lelah dan parah dalam bayang-bayang kakak dan mimpi-mimpi indah bonda yang sentiasa inginkan Cinta jadi seperti kakak.Cinta bukan kakak! Andai ditakdir Cinta dan kakak adalah kembar sepasang sekalipun tak mungkin Cinta akan jadi kakak! Kami adalah dua jiwa yang berbeza.Dua jiwa yang takkan mungkin bersatu untuk selama-lamanya.

Cinta masih ingat satu ketika dahulu, kawan-kawan bonda yang bertandang ke rumah sering bertanyakan perangai kakak yang lebih mirip bonda berbanding Cinta. Malah, ada yang mempertikai perbezaan karakter antara Cinta dan kakak.Jauh.Terlalu jauh jurangnya.Kakak amat serupa bonda sedangkan Cinta? Perangai Cinta mirip siapa?

Kerana berkecil hati dengan peristiwa itu,Cinta memendam rasa.Cinta lebih rela mengurung diri di dalam bilik berbanding hendak beramah mesra dengan rakan-rakan bonda.Tidak cukup dengan itu, Cinta koyakkan semua gambar-gambar Cinta yang diambil bersama-sama dengan kakak.Cinta sorokkan semua barang-barang mainan kesayangan kakak.

Cinta buangkan semua rasa sayang Cinta kepada kakak.Cinta binakan tembok paling kebal di dalam hati Cinta demi kakak.Cinta letakkan jurang pemisah paling dalam di antara Cinta dengan kakak.Biar sampai bila-bila pun Cinta takkan berbaik-baik lagi dengan kakak.Tapi kakak bijak.Kakak sentiasa berusaha mengumpan Cinta dengan helah-helahnya.

Kakak memang pandai mengambil hati.Bukan sahaja bonda, malah kakak memang tahu sahaja cara untuk melembutkan kembali hati Cinta yang keras macam batu kerikil. Ada sahaja usaha kakak untuk mencairkan ais beku di dalam hati Cinta hingga akhirnya Cinta kalah.Sentiasa tewas oleh pujukan kakak.Tembok dan benteng yang dibina entah ke mana.Jurang yang dalam pun terkubur begitu sahaja.

Umpan kakak memang mengena.Apatah lagi dengan usia hingusan Cinta ketika itu. Apalah sangat ertinya rajuk kanak-kanak sepertinya,jika hendak dibandingkan dengan koleksi patung Barbie edisi terhad yang dihadiahkan kakak kepada Cinta.Patung Barbie yang asalnya dihadiahkan bonda kepada kakak sudah bertukar milik.Yang pasti, kawan-kawan Cinta kagum dengan koleksi Barbie edisi terhad miliknya!

Memang Cinta cemburu pada kakak.Kakak dapat segalanya yang tak pernah Cinta dapat.Kakak beroleh sepenuhnya perhatian yang seringkali Cinta tagih.Nama kakak disanjung dan diagung-agung sedangkan Cinta pula hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.Hakikatnya diam-diam sedikit demi sedikit kakak sedang membakar sekeping hati milik Cinta.

Kakak meranapkan segala impian dan harapan Cinta.Biarpun tanpa sengaja.Cinta tetap tidak rela.Kakak tidak harus dapat segala-galanya.Apatah lagi yang sewajarnya menjadi milik Cinta.Cinta takakan benarkannya dan takkan sekali-kali mengizinkan semuanya menjadi kepunyaan kakak semata-mata.Tidak untuk kesekian kalinya.Kakak harus kalah.Kakak harus tahu mengalah.

Satu hari, kakak telah dilamar sebuah universiti terkemuka untuk melanjutkan pelajarannya.Bangganya bonda tak terkata.Makin kembang kuncuplah hati kakak kerana sekali lagi dia mendapat penghargaan daripada bonda.Bertambah-tambahlah rasa sayang bonda.Menggunung pulalah kebencian Cinta kepadanya.Apa sahaja pencapaian kakak takkan pernah menggembirakan hati Cinta.

Suatu malam, kala sepi dan kelam menemani sekalian makhluk di atas muka bumi mengulit mimpi, Cinta mula melaksanakan segala yang telah direncana.Cinta mahu menghancurkan segala impian milik kakak.Cinta mahu melunaskan dendam yang lama terpendam.Dendam yang dalam diam-diam semakin menghitam, semakin mencengkam dan semakin mengancam.Sekeping kertas itu dicarik-carik puas.Begitulah rasanya, hati yang dicarik-carik tanpa belas.

‘Padan dengan muka kau, Kasih!’

Cinta puas.Puas kerana dapat mengoyakkan sekeping kertas milik kakak yang diagung-agungkan bonda.Puas kerana dapat merobek-robekkan perasaan kakak.Biar kakak rasa bagaimana sakitnya hati Cinta.Betapa hati Cinta sakit kerna dicarik-carik oleh segala perlakuan kakak.Kepingan-kepingan kertas yang dicarik halus itulah saksinya! Saksi luka di hati Cinta yang sudah lama berdarah.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“BANG..”

“Wardah rasa dah sampai masanya kita ceritakan hal yang sebenarnya kepada Kasih dan Cinta.”

“Hal sebenarnya? Hal apa ni ,sayang?”

“Abang masih ingat..dua puluh tahun lalu kita pernah mengambil anak angkat?”

Abdullah terdiam.Dia cuba mengenang peristiwa lalu.Masih terlipat kemas dalam ingatannya.Tak mungkin dia lupa!

“Abang rasa mereka berdua belum bersedia..”

“Tapi sampai bila kita nak rahsiakannya bang?”

Abdullah kelu.Dia sendiri tidak ada jawapannya.Dia tak sanggup meluahkan kebenaran yang satu itu.Bimbang kalau-kalau ada yang akan berubah hati nanti.Dia tidak tega hubungan yang dibina selama ini pudar sinarnya dek kerana kebenaran yang telah tersimpan kemas olehnya selama itu.

‘Jadi, aku ini Cuma anak angkat? Itu kebenarannya?’ Cinta kecewa.

“Kenapa bonda dan ayah tak beritahu Cinta awal-awal? Kenapa nak rahsiakan daripada Cinta?!” Bentaknya.

Wardah dan Abdullah terpana.Rupa-rupanya diam-diam Cinta telah terdengar perbualan mereka.Tidak disangka rahsia yang tersimpan sekian lama terbongkar juga akhirnya.Tapi..terbongkar oleh Cinta? Keduanya bisu tak bersuara.

“Cinta..” Pujuk Wardah.Dia tak mahu Cinta bertindak terburu-buru tanpa mendengar penjelasan mereka terlebih dahulu.

“Jadi selama ni, ayah dan bonda banyak berahsia tentang keluarga kita.Apa lagi yang ayah dan bonda rahsiakan daripada pengetahuan Cinta? Apa lagi bonda? ayah?!!” Pekikan Cinta membuatkan Abdullah hilang sabar.

“Cinta! Ayah dan bonda buat semua ni demi kebaikan kita semua.Ayah dan bonda tak mahu ada hati yang terluka.Ayah tak mahu rosakkan hubungan kita sekeluarga!”

“Tapi Ayah dah pun rosakkannya!” Teriak Cinta.

Cinta menghentak kaki ke lantai yang beralas jubin mewah buatan Itali itu.Dia cukup kecewa dengan berita yang baru diketahuinya.Patutlah selama ini ayah dan bonda sering melebihkan Kasih dalam segala hal.Patutlah Kasih sering dipuja-puji.Kasihlah anak emas ayah dan bonda.Kasih ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh ayah dan bonda.Kasih itulah..Kasih inilah! Macamlah Kasih itu malaikat di dalam rumah ini!

“Cinta benci ayah dan bonda!”

“Cinta!! Cinta nak ke mana tu..Cinta jangan pergi nak!!” Wardah meraung sekuat hatinya melihat tubuh Cinta yang semakin mengecil meninggalkannya.

“Bang..anak kita bang..!!”

“Bawa bersabar Wardah..dia takkan ke mana-mana..biarlah dia keluar tenangkan hatinya tu dulu..”

“Tapi dia keluar tak bawa apa-apa bang..sehelai sepinggang..Wardah bimbang!”

“Insyaallah, dia selamat!” Pujuk Abdullah kepada isterinya.Selebihnya, untuk menyedapkan hatinya sendiri.

Wardah tersandar pada kusyen di ruang tamu.Air matanya berjejeran.Abdullah hanya mampu menenangkan isterinya itu.Dia sendiri bagaikan tidak kuat menerima tamparan itu.Begitu sekalikah penerimaan Cinta terhadap kebenaran itu? Berdosakah mereka kerana merahsiakan perkara itu? Sudah dijangkakan kebenaran yang satu itu pasti merobekkan hati anak-anak itu.

Keakraban hubungan yang terlihat oleh mata mereka selama ini di antara Cinta dan Kasih begitu mengagumkan.Tiada siapa yang akan sedar bahawa mereka bukan adik beradik kandung.Kekwatiran mereka selama ini berasas juga.Lihat sahaja pada perlakuan dan tindak balas Cinta setelah mengetahui kebenarannya.

“Ayah, bonda! Kenapa dengan bonda ni? kenapa bonda menangis?” Kasih muncul setelah ketegangan itu reda.

Hanya kedengaran esakan bondanya yang menjawab segala persoalan di minda. Kasih masih gagal meneka.Siapakah yang empunya angkara? Apakah Cinta yang telah melukai hati bonda?

“Maafkan kami, Kasih!” Hanya ucapan itu yang terlahir di bibirnya.

“Apa sebenarnya ni ,ayah? Bonda? Kasih tak fahamlah?” Kasih keliru.Mengapa Bonda dan ayah memohon maaf kepadanya?

“Kasih..yang sebenarnya, Kasih adalah anak angkat ayah dan bonda.” Wardah menggenggam jari-jemari anak itu.Dia mahu Kasih menerima berita itu dengan redha. Dia berharap Kasih takkan bertindak terburu-buru seperti Cinta.

Kasih menarik nafas perlahan.Bibirnya mengulum senyum.Lembut dan sungguh bersahaja.Tenang dan sedikit pun tak terkesan sebarang kekecewaan di wajahnya.Lantas membuatkan Wardah dan Abdullah semakin rasa bersalah.Jiwa keduanya bagai dihambat pilu yang sarat.Ya Allah, tenangnya anak itu menerima perkhabaran itu!

“Ayah, bonda.Sebenarnya Kasih dah lama tahu.Kejadian dua puluh tahun lalu masih lekat dalam kepala Kasih ni ayah, bonda.Mana mungkin kasih dapat lupakan semua itu?” Ucapnya lembut.Dia pasrah.Dia redha.

“Kasih,kau masih ingat nak!” Wardah memeluk erat tubuh anak itu.Melepaskan rasa bersalahnya.

“Sebab itu ayah dan bonda melayan dan menjaga Kasih begitu baik? Ayah dan bonda sering lebihkan Kasih berbanding anak kandung ayah dan bonda sendiri. Sampaikan Cinta cemburu dan iri hati kepada Kasih?”

“Betul ke begitu?” Bagaikan baru tersedar dari mimpinya, Wardah cuba merungkai persoalan yang satu itu.

“Ya ayah, bonda.Terima kasih sebab menjaga Kasih dengan sempurna.Bagi Kasih, segala perhatian,kasih-sayang dan tanggungjawab yang ayah dan bonda laksanakan terhadap Kasih tak mungkin dapat Kasih balas sampai bila-bila.

“Tapi Kasih juga berjasa.Segala pengorbanan yang Kasih lakukan untuk Cinta langsung tak terbalas oleh kami.Terima kasih,nak!” Air mata Wardah semakin lebat mencurah-curah membasahi pipinya.Kasih dan sayangnya terhadap anak itu tiada penghujungnya.

“Siapalah Kasih ini, bonda.Cuma anak kepada bekas mangsa rogol.Anak tak sah taraf yang sering dipandang hina pada mata masyarakat!” Kelopak matanya bergenang dengan air jernih.

“Jangan cakap macam tu, nak.Kamu dan mak kamu langsung tak bersalah.Kamu berdua mangsa keadaan.Mangsa kerakusan lelaki durjana yang tak berakal.Manusia bertopengkan syaitan!” Abdullah gagal menahan sebak.Sekeras-keras hati lelakinya, luluh juga oleh tangisan seorang anak yang tak berdosa.

“Kerana lelaki itu juga mak membunuh diri.Mak tak tahan dihina dan dipandang rendah oleh orang-orang sekeliling.Padahal mak tak bersalah!” Kasih mengesat air mata.

“Sudahlah Kasih..jangan kita ingat cerita sedih tu lagi.Sekarang ni kita kena cari Cinta!”

“Kenapa dengan Cinta bonda?”

“Cinta dah larikan diri dari rumah!”

“Hah?” Kasih terpana.Dia mengesat sisa air matanya yang semakin mongering.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

LORONG sepi di celah-celahan kesibukan kotaraya besar itu ditelusuri sendiri. Sampah-sampah masayarakat yang berpeleseran dijalanan langsung menarik perhatian. Mengapa harus ada Hitam andai Putih menyenangkan? Cinta keliru.Keliru dalam membuat pilihan.Keliru dalam percaturan.Dia tidak tahu ke mana hala tujunya.Patutkah dia kembali ke rumah itu?

Adakah dia masih layak menjejakkan kakinya ke situ? Tidak! Aku Cuma anak angkat.. anak pungut.Aku Cuma menumpang di rumah besar itu.Aku bukan siapa- siapa di situ.Untuk apa aku kembali jika hanya untuk dijadikan alas kaki di rumah itu.Dipijak-pijak, menjadi tempat mengesat kotoran dan najis? Pabila dah buruk, aku dilempar ke dalam tong sampah!

“Cinta!” Terdengar suara seseorang memanggilnya.

“Cinta mari pulang nak!”

Suara itu! itu suara bonda.Tapi di mana bonda? Kabus putih berkepul-kepul menyelaputi gelap malam.Suasana sejuk semakin mencengkam hingga ke tulang hitam. Dia berada di satu tempat yang asing.Di mana aku? Cinta penasaran.

“Cinta!” Laung ayah.Cinta terjenguk-jenguk mencari ayah.Tiada!

Mana ayah? Mana bonda? Mana Kasih?

“Cinta!” Kasih memanggil-manggil namanya.

“Kasih!!” Panggil Cinta.Dia melambai-lambai namun tidak tahu kepada siapa. Bayang-bayang Kasih semakin menghilang.Semakin kelam dan tenggelam dalam pekat malam.Jangan tinggalkan aku seorang di sini, Kasih! Jerit hati kecilnya.

“Kasihhhhhhhhhhhhh!!” Laung Cinta sekuat-kuat hatinya.

“Astaghfirullahalazimmmmmm.!!” Kasih beristighfar panjang.

Kasih berkalih ke kiri dan kanan.Dia bermimpi rupanya! Jam loceng di sisi meja dikerlingnya.Sudah jam dua pagi? Ke manalah agaknya Si Cinta? Bantal yang tersandar di bahu katil ditepuk-tepuk kuat.Berkira-kira hendak melelapkan mata semula sebelum dia terdengar bunyi sesuatu.Ada seseorang menyelinap masukkah? Kasih segera merapatkan telinganya ke muka pintu bilik tidur.

‘Ada bunyi tapak kaki!’

Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu.Dari celah-celah pintu dia jelas dapat melihat satu susuk tubuh yang amat dikenalinya.Cinta! Kasih mencari suis lampu dan tap! Suis lampu dihidupkannya.Krekkkkk!! pintu bilik dingangakan luas.Seluas-luasnya. Bukan main terperanjat lagi Cinta tatkala melihat Kasih muncul di depan pintu biliknya.

“Cinta!” Panggil Kasih.Tubuh itu cepat diterpanya.Didakap erat dan rapat.

“Ah..ketepi kau!” Cinta menolak kasar tubuh itu.

Kasih hampir-hampir tersembam ke lantai.Mujur tubuhnya disambut bonda.Abdullah menggeleng kepala.Begitu sekali layanan Cinta terhadap Kasih? Abdullah masih berpeluk tubuh sambil matanya mencerlung tajam pada sekujur tubuh anak daranya itu. Tergamak Cinta menolak Kasih seperti itu? Bagaimana kalau anak itu jatuh lalu tergolek ke tangga? Bukankah nanti akan cedera?

“Kenapa buat kakak macam tu?” Tegur Abdullah.Tegas namun penuh berhemah.

“Siapa kakak aku? perempuan tu? aku ni anak pungut.Aku mana ada kakak.Mana ada mak bapak!” Tempiknya.

“Cinta? Kamu tu anak kandung ayah dan bonda.Apa yang kamu merepek ni?” Wardah jadi hairan.Bagaimana pula Cinta itu menjadi anak angkatnya?

“Ahhhh..aku tak percaya.Ingat aku bodoh? Mana buktinya? Aku ni memang anak angkat kau orangkan.Ni, perempuan ni..ni anak kandung kau orangkan?”

“Cinta! Kamu memang anak kami.Anak yang lahir dari Rahim bonda!” Teriak Wardah.

“Buktikan!” Jerkah Cinta.Dia tak puas hati.Wajah Kasih ditenungnya tajam.Marah dan penuh dendam!

Wardah berlari masuk ke biliknya.Menyelongkar laci dan almari mencari segala dokumen yang berkaitan dengannya.Biar anak itu sedar perkara sebenarnya.Biar anak itu bangun dari mimpi-mimpinya!

“Ni..tengok ni.Ni surat nikah ayah dan bonda.” Wardah menghulurkan sekeping kertas dalam sarung plastik lutsinar kepada anak itu.

“Ni..ni pulak sijil lahir kamu.”

“Ni..ni gambar kamu sewaktu kecil dengan tok ayah dan opah kamu!”

“Ni semua ni..ni semua gambar kamu waktu kecil!”

“Ya nak, kamu anak kandung kami!” Abdullah meniyakan pengakuan isterinya itu.

“Dan.. kakaklah anak angkat itu.” Kasih berkata antara dengar dan tidak.Suaranya perlahan dan lemah sekali.

Dummm!!

“Kasih!!!”

“Kasih..kenapa ni..? Kasih..bangun nak..bangun!!!” Terdengar jeritan Wardah memecah kesunyian malam.

Cinta terpaku.Kelu.Bisu.Benarkah apa yang baru sahaja didengarinya itu? Kak Kasih itu adalah anak angkat ayah dan bonda..dan Cintalah sebenarnya anak kandung mereka? Apakah perasaannya kini? Puas hati? Gembira? Tapi mengapa tiba-tiba sahaja dia merasa hiba? Mengapa dia rasa terluka?

Sekujur tubuh yang terlantar di depan mata di pandangnya kejap-kejap.Kenapa dengan Kak Kasih? Kenapa dia tiba-tiba rebah dan tak bermaya? Akukah yang berdosa?

“Kasihhhhhhhhhhhhh..!!” Cinta berteriak kuat.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“MAAFKAN kami!”

Kata-kata doktor pakar itu benar-benar telah merobekkan hatinya.Kenapa sekarang? Kenapa mesti waktu ini? Kalaulah Cinta boleh mengembalikan waktu, ingin sahaja dia menampar-nampar mulutnya yang telah berkata kasar kepada Kasih selama ini, mahu sahaja dia memukul tangannya yang tergamak menyakiti Kasih , Melumpuhkan perasaannya yang tergamak melukai jiwa dan sanubari Kasih.

“Doktor..buatlah sesuatu, tolonglah anak kami doktor!!” Wardah menangis lagi. Tangisannya tak henti-henti.

Doktor itu hanya mengeleng-ngelengkan kepala.Dia sudah tak berupaya hendak berkata apa-apa.Kudratnya terbatas oleh kekuasaaan-NYA.Ajal maut semua telah ditakdirkanNYA.

“Innalillahiwainnalillahirajiun!”

Hujan lebat yang mencurah-curah pagi itu seolah turut sama menangisi pemergian Kasih.Semerbak harum bau Bunga Kemboja dan Mawar Merah melatari tanah perkuburan yang masih basah.Cinta memegang batu nisan yang tertulis nama kakaknya sambil tak putus-putus melahirkan rasa bersalah dalam hatinya.Bait-bait kata yang tercoret dalam sepucuk surat tinggalan arwah kepadanya terpatri dalam ingatannya.

Assalamualaikum adikku sayang.

Cinta, mungkin ketika Cinta menatap surat ini Kasih sudah jauh meninggalkan Cinta.Kasih nak minta maaf andai selama ini Kasih telah melukai Cinta, bukan niat Kasih hendak merampas kasih-sayang ayah dan bonda.Kasih ini anak yatim piatu.Kasih Cuma hendak menumpang sayang ayah dan bonda.

Cinta, sebenarnya Kasih sedar yang Kasih ini Cuma anak pungut. Kasih takkan layak menggantikan Cinta di hati ayah dan bonda. Biarpun segunung intan yang dicurahkan takkan sama dengan nilai kasih-sayang seorang ibu dan ayah terhadap anaknya.Hargailah orang tuamu ,Cinta.

Hidup Kasih ini tak lama, ketahuilah..dalam diri Cinta ada sebahagian dari diri Kasih. Mungkin Cinta masih terlalu kecil untuk mengingati yang Cinta pernah menjalani pembedahan pemindahan hati suatu ketika dahulu.

Kita berkongsi hati yang sama! Jagalah hati Kasih itu sebaik-baiknya.Sakit hati Cinta..sakit jugalah hati Kasih.Terlukanya hati Cinta, luka jugalah hati Kasih. Halalkan segala yang pernah Kasih ‘pinjam’daripada Cinta.Maafkan salah silap Kasih terhadap Cinta.

Kasih pergi dulu, Cinta..tolong tengok-tengokkan ayah dan bonda untuk Kasih..Tak sabar nak berjumpa dengan ibu kandung Kasih di SANA.

Ikhlas,

Kasih.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku