BAYANGAN GURAUAN
Teaser 02
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 15 September 2015
** ALHAMDULILLAH.. Bayangan Gurauan sudah diterbitkan pada Januari 2017 under Alaf 21 / Karangkraf & kini sudah berada di pasaran.. Anda boleh dapatkannya melalui belian secara online di Karangkraf Mall, melalui Whatsapp, di outlet Karangkraf & juga di kedai-kedai buku berhampiran anda.. Terima kasih semua yang setia dan sabar menanti BG selama lebih 3 tahun ini.. Salam sayang dari #HarrysIrish.... ^_^
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
6546

Bacaan






BAB 2

SUASANA di kediaman Encik Izzuddin kedengaran riuh rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarganya berkumpul pada hari itu. Izzul serta Iman sekeluarga juga turut pulang, menambahkan lagi kemeriahan di situ. Ditambah dengan suara riang cucu-cucunya bermain. Puan Qarina adalah orang yang paling sibuk di dapur menyediakan juadah sarapan sambil dibantu anak-anak dan menantu perempuannya. Manakala Encik Izzuddin pula sedang duduk berbual-bual bersama ketiga-tiga anak lelakinya di ruang makan yang turut disertai menantu-menantunya sementara menunggu hidangan sarapan pagi tersedia.

Hanya Irish yang tidak turut bersama-sama mereka. Sebentar lagi dia akan ke universiti memandangkan hari ini adalah hari pertama dia menghadapi peperiksaan akhir semester. Jarak rumah dari UiTM Shah Alam tidaklah jauh mana. Hanya memakan masa sekitar beberapa minit sahaja bergantung kepada keadaan jalanraya.

“Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke belum? Kang lambat pulak sampai ke U nanti.” Puan Qarina bertanya kepada Iman. Tangannya laju mengacau sambal sotong di dalam kuali untuk disediakan bersama dengan nasi lemak yang dimasaknya pagi ini. Agak banyak juadah yang disediakan termasuklah mihun goreng, maggie goreng, dan beberapa jenis kuih-muih. Maklumlah, bukan selalu keluarganya dapat berkumpul ramai-ramai begini. Mujurlah ada ‘pembantu-pembantu’ di dapur membantu menyediakan semua makanan tersebut.

“Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia,” balas Iman yang sedang menyediakan minuman panas bersama kakak iparnya, Safiya.

“Hmm, minta-minta eloklah dia ambil examnanti. Pulaknya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul Allah nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu pasal hal ni!”

“Memang Irish dah tahu pun, umi!”

Serta-merta semua mata tertumpu pada Irma. Tajam renungan mereka, seolah-olah meminta penjelasan daripadanya. Dia yang sedang mengelap pinggan ketika itu, terus terhenti tugasnya. Menyedari diri sudah terlajak kata.

“Semalam dia terdengar umi borak-borak dengan ayah pasal hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi.”

Puan Qarina terdiam. Itulah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nak buat macam mana. Terlajak perahu bolehlah diundur juga. Kalau sudah terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.

“Habis Irish macam mana, lang?” baru kini Safiya bersuara.

“Dia okay. Elok tenang je alang tengok. Siap boleh gelak-gelak masa alang tanya. Alang pulak yang risaukan dia. Tapi tulah. Luaran je nampak okay. Dalam hati dia kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya dan boleh terima kenyataan.”

Puan Qarina mengeluh perlahan. Rasa bersalah mula menjalar dalam diri. Iman yang perasan akan kegelisahan uminya, datang menghampiri. Bahu Puan Qarina dipaut lembut.

“Umi, sudahlah tu. Angah tahu Irish tu kuat semangat. Kita sendiri tengok macam mana dia berusaha lawan semua tu untuk bangkit macam sekarang. Apa yang boleh kita buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya.”

“Ina! Dah siap semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah, dah berkeroncong perut ni!” laung Encik Izzuddin dari ruang makan. Suaranya yang sedikit kuat itu menyentakkan mereka yang berada di dapur. Apalagi, kelam-kabut jadinya masing-masing menyudahkan tugas yang tergendala sebentar tadi.

“Si Irish mana? Tak nampak-nampak dari tadi.” Encik Izzuddin menyoal sebaik semua ahli keluarganya sudah berada di meja makan usai semua juadah siap terhidang.

“Ada ni.”

Satu suara mencelah tiba-tiba. Kelibat Irish kelihatan muncul dari arah bilik menuju ke ruang makan. Nampaknya dia sudah bersiap-siap untuk ke universiti bagi menghadiri peperiksaan. Nasiblah. Dapat jadual periksa yang jatuh pada hari Ahad. Hari pertama pula. Orang lain duduk bersantai di rumah, dia pula terpaksa memerah otak di hujung minggu begitu.

“Duduk sarapan dulu, Irish.”

“Irish dah lambat ni, umi. Nanti terlewat sampai pulak.”

“Duduk dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak tu nak ambil exam. Kang tak berjalan pulak otak dengan perut kosong tu.” Izzul sudah pun menarik kerusi di sebelahnya untuk Irish. Dalam pada itu matanya sempat menangkap susuk tubuh adiknya yang kelihatan agak susut semenjak akhir-akhir ini.

Kali ini Irish menurut kata alongnya. Dijamah sedikit kuih-muih yang terhidang di atas meja bersama secawan teh o’ panas sebagai mengalas perut.

Okay, Irish pergi dulu!” pamit gadis itu setelah menjamah sarapan. Dia kemudian menyalami setiap ahli keluarganya di situ sebelum berangkat pergi. Sampai pada giliran uminya, terus saja Puan Qarina memeluk anak perempuannya itu.

“Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal tu. Umi cuma tak mahu Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. ExamIrish lebih penting.”

“Tak ada apalah, umi. Irish okay. Janganlah risau.” Irish meleraikan pelukan. Sekuntum senyuman dihadiahkan pada uminya lalu kedua belah pipi wanita itu dicium lembut. “Okay, semua! Irish pergi dulu. Doakan, ya!”

Irish melambaikan tangannya sebelum berlalu pergi. Sebaik kereta Satria Neo yang dipandu gadis itu hilang dari pandangan, terus sahaja Encik Izzuddin menghampiri isterinya sebelum berkata sesuatu. “Irish dah tahu ke?”

Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina, menantikan jawapan. Lama wanita itu membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan, akhirnya dia mengangguk lemah. Serentak itu terdengar beberapa keluhan terbit dari mereka yang lain.

Puan Qarina mengesat air mata yang sudah mula jatuh ke pipi. Pilu hatinya mengenangkan nasib Irish. Bagaimana agaknya anak itu dapat menghadapi kemelut hidup dalam usia muda sebegini? Masih kuat lagikah Irish untuk menghadapi pelbagai dugaan yang bakal mendatang dalam hidupnya di kemudian hari?

Dan keluhan turut lahir dari celahan bibir wanita itu.


GADIS tinggi lampai itu bersandar di sisi kereta sambil memeluk buku-bukunya. Masih terngiang-ngiang riak muka setiap ahli keluarganya sewaktu dia meninggalkan rumah tadi. Masing-masing kelihatan risau. Mungkin risau dengan dirinya yang akan mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah mengetahui khabar tentang perkahwinan Reza hari ini. Bohonglah kalau dia tidak terkesan dengan berita tersebut. Tetapi fokusnya pada peperiksaan yang akan berlangsung sebentar lagi melebihi dari fikirannya tentang lelaki yang tidak punya pendirian itu.

‘Biarlah. Kalau itu yang kau nak. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup yang telah kau pilih ni, Reza.’

Satu keluhan dilepaskan Irish. Cuba mengusir jauh segala gangguan yang berlegar-legar di ruang fikirannya saat ini. Dia harus kembali tenang sebelum peperiksaan bermula.

“Hey!”sergah seseorang dari belakang. “Termenung!”

“Astaghfirullahalazim! Kau, kalau tak kejutkan aku macam tu, tak boleh ya?” soal Irish sedikit geram. Buku-buku yang dipegangnya habis terlepas ke bawah. Perlahan dia menunduk lalu mengambil semula buku-buku itu.

“Boleh! Tapi sebab kau tengah termenung, kan. Syok sikit kalau aku sergah. Kan ke aku suka tengok muka kau yang kalut macam tu!”

“Kan? Suka?” tingkah Irish pada Athirah yang sudah tersengih-sengih.

Athirah, sahabat baik Irish sepanjang menuntut di UiTM. Memang itulah satu-satunya rakan yang selalu bersamanya semasa di universiti baik di dalam dalam kelas, dewan kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan, mengulangkaji pelajaran mahupun aktiviti-aktiviti yang lain. Pendek kata, di mana ada Irish di situlah ada Athirah. Sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi kedua-dua sahabat itu.

“Sukalah! Sebab comel muka kau kalau kalut macam tu!” semakin galak Athirah menyakat rakannya yang sudah pun menarik muka.

“Hmm, dahlah. Malas nak layan.”

Irish sudah mahu melangkah meninggalkan Athirah. Kalau dilayan gadis itu memang sengaja cari nahaslah dia. Kakinya mula dihayun menuju ke dewan peperiksaan yang terletak tidak jauh di hadapan.

“Eh, cepatnya jalan! Marah ke?” soal Athirah yang sudah menyaingi rakannya itu.

“Tak.”

“Jawapan macam tak ikhlas je!”

“Ikhlas sangat.”

“Lain macam je ni. Kau termenungkan apa, Rish? Ada masalah? Nak share dengan aku?”

“Tak ada apalah,” jawab Irish acuh tak acuh.

“Alaa... sorrylah Irish! Marah pasal tadi ke? Aku gurau jelah. Nak bergurau manja pun tak boleh ke?” spontan Athirah memeluk tubuh Irish, cuba memujuk. Dan perbuatannya itu serta-merta membuatkan langkah mereka terhenti.

“Eh, lepaslah Ira! Tak nampak ke ramai orang ni? Tak malu orang semua tengok? Kang lain yang diorang ingat, macam mana?”

“Biarlah. Macam diorang tak tahu aku kawan baik kau!”

“Tu orang yang tahu. Kalau yang tak tahu? Ingat kau ni famous sangat sampai semua orang kat sini kenal kau? Monyet kat hutan pun belum tentu kenal kau, tahu tak? Jangan nak perasan!” tingkah Irish sambil menampar lembut pipi gadis di sebelah. Kemudian dia menyambung semula langkahnya menuju ke dewan peperiksaan.

“Amboi, sedap bahasa nampak! Monyet kat hutan kau cakap? Hishh, dia ni memanglah! Tak bagi chance aku nak merasa famous sikit!” Athirah mula mengomel sambil mengejar Irish

yang sudah jauh meninggalkannya di hadapan. “Oi minah, tunggulah!”

Irish menoleh sekilas ke belakang. Dilihat rakannya itu sudah berlari-lari anak cuba mengejar langkahnya.

“Kau marah aku, kan?” Athirah bertanya.

“Tak.”

“Kalau tak marah tak adalah kau menonong je jalan tinggalkan aku kat belakang.”

“Pengawas dah panggil masuk tu. Nanti lambat masuk tak sempat pulak jawab exam sampai habis. Ke kau teringin nak repeat paper Real Estate ni?” ujar Irish selamba.

“Ishh, kau ni Rish! Janganlah disebut-sebut. Buatnya betul kang. Tak nak aku repeat-repeat paper ni!”

“Kalau tak nak, diam. Jalan je cepat.”

“Hmm. Yelah-yelah! Kau ni, Rish. Tak sportinglahhari ni. Lagipun diorang baru panggil masuk dewan je, kan. Belum startjawab exam lagi.”

Dalam menurut sempat lagi Athirah mengomel. Irish di sebelah hanya menggeleng dan tersenyum melihat kerenah rakannya. Kedua-dua mereka terus melangkah memasuki dewan bersama pelajar-pelajar yang lain untuk memulakan peperiksaan bagi sesi pagi itu.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku